Kesejahteraan hidup bermula daripada tubuh badan sihat dan sempurna yang
datangnya daripada amalan penjagaan kesihatan yang baik. Amalan penjagaan pula
harus bermula seawal kelahiran hingga meningkat usia. Bagi merealisasikan tahap
kesihatan terjamin, makanan, minuman dan hidup gaya sihat mesti menjadi amalan
dalam kehidupan seharian.
Proses penuaan atau menjadi tua bermula dari seseorang itu dilahirkan.
Setiap saat dan hari kita menjadi tua. Bagaimanapun, tidak semua orang menjadi
tua dengan cara dan kadar yang sama. Di Malaysia, peringkat umur 60 tahun ke
atas tergolong sebagai warga tua dan warga emas. Bagaimanapun, penuaan
seseorang bergantung pada persepsi masing-masing melalui pengalaman yang
dilalui. Ada orang kelihatan tua pada usia 60 tahun, tetapi ada juga yang
berumur 80 tahun masih nampak muda dan sihat.
Sesetengah pendapat mengatakan, wajah tua atau muda tidak penting.
Perkara yang lebih penting adalah badan sihat dan tidak berpenyakit. Tekanan
hidup menyebabkan seseorang itu lebih cepat nampak tua selain penyakit
berbahaya yang dihidapi seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Proses penuaan berjalan sejak bayi kepada kanak-kanak melewati remaja,
dewasa dan masuk ke alam tua. Setiap orang tidak harus berasa takut dan bimbang
melalui proses ini. Ini disebabkan semua orang akan melalui dan mengalaminya
dalam hidup. Jadi, hiduplah dengan penuh riang dan sejahtera. Mengikut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tua boleh dikategorikan kepada peringkat
umur berikut. Pertama, awal tua berumur 65 hingga 74 tahun. Kedua, pertengahan
tua berumur 75 hingga 84 tahun. Ketiga, akhir tua berumur 85 tahun ke atas.
Perubahan yang berlaku meliputi kedut di muka, sendi tulang dan otot
lemah serta sendi menjadi kaku. Mata rabun dekat dan penglihatan menjadi kabur.
Pendengaran, deria rasa dan bau makin berkurangan. Selain itu, terdapat
perubahan fisiologi iaitu rambut beruban, gigi longgar, fungsi buah pinggang
atau hati berkurangan, tulang rapuh dan mudah patah atau arthritis dan sakit
pinggang berterusan, serta keupayaan seks berkurangan.
Dari segi psikologi antara perubahan
yang sering berlaku kepada warga emas adalah perasaan keseorangan dan kesunyian
disebabkan kehilangan pasangan hidup, kehilangan teman, tidak ada minat dan
hobi tertentu, berjauhan dengan anak dan kurang upaya untuk bergerak. Seseorang
itu harus memahami secara psikologi dan putaran alam. Kesihatan adalah anugerah
Tuhan yang tidak ternilai. Proses menjadi tua adalah semula jadi dan berterusan
yang dialami semua insan.
Cepat atau lambatnya seseorang itu menjadi tua adalah berbeza. Cara yang
baik untuk terus menjadi sihat dan cergas, walaupun usia sudah meningkat adalah
dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif. Bersenam, berenang dan
berjoging adalah langkah terbaik untuk kekal muda. Ramai wanita melakukan
pembedahan untuk mengekalkan kesihatan diri, tetapi semua kecantikan itu akan
merosot disebabkan proses penuaan berlaku secara berterusan. Sementara itu,
ramai wanita maut dan menderita selepas menjalani pembedahan kecantikan.
Justeru, penjagaan kesihatan lebih baik dan berkesan berbanding pembedahan.
Bagi mengekalkan kesihatan, pemakanan warga tua mesti seimbang, mudah
dihadam dan lembut untuk dimakan. Minum enam hingga lapan gelas air kosong
sehari. Empat komponen dalam pemakanan warga tua seperti bijirin (karbohidrat),
protin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanlah makanan bijirin dan hasil
bijirin (pilihan yang baik adalah bijirin mil penuh) ubi-ubi adalah sumber
tenaga utama. Selain itu, makanan yang membekalkan karbohidrat, protein,
vitamin B, mineral dan serat. Sayur-sayuran dan buah-buahan membekalkan vitamin
A, vitamin C, asid folik, mineral dan serat. Daging (pilihan yang baik adalah
daging tanpa lemak), ayam, ikan dan kekacang yang membekalkan protein, vitamin
B dan mineral. Minum susu dan hasil tenusu (pilihan yang baik adalah susu dan
hasil tenusu rendah lemak), membekalkan protein, kalsium, vitamin D, vitamin B2
dan magnesium. Elakkan makanan berlemak, berminyak dan terlalu manis.
Sebagai warga tua perlu selalu mengadakan pemeriksaan kesihatan berkala
bagi mengetahui taraf kesihatan, mengesan penyakit lebih awal, mendapatkan
rawatan dan mengelakkan penyakit lebih teruk dan peluang berbincang dengan
doktor bagi memahami kesihatan. Elakkan daripada penyakit tekanan darah tinggi,
kencing manis, penyakit jantung, kanser, katarak, glaukoma, masalah pendengaran
dan masalah gigi yang boleh menjejaskan kesihatan. Lakukan pemeriksaan seperti
ujian tekanan darah, jantung, paru-paru dan sebagainya. Lakukan ujian darah, penglihatan,
pendengaran dan kesihatan secara menyeluruh.
Senaman seperti berjoging, berenang dan sebagainya dapat meningkatkan
kecergasan, keceriaan dan keyakinan diri selain menguatkan otot jantung dan
paru-paru. Melakukan senaman mesti mengikut kemampuan dan keupayaan diri. Cukup
rehat dan tidur sangat penting bagi mengekalkan kesihatan.
Kajian menunjukkan 30 peratus daripada kecederaan yang dirawat di
hospital kerajaan akibat kemalangan di rumah. Mengikut perangkaan Kementerian
Kesihatan, 25 peratus kemalangan warga tua membabitkan kemalangan kecil seperti
luka, terseliuh dan bengkak, 10 peratus mengalami kemalangan perlu dirawat
seperti patah, luka, melecur dan sebagainya.
Oleh itu, elakkan kemalangan menimpa yang mungkin sukar untuk sembuh.
Oleh Dr Awinuddin Mansor
* Penulis berkelulusan PhD Persuratan.
No comments:
Post a Comment