DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, June 28, 2013

Antara Orang Taqwa, Mukmin dan Islam

Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam,orang mukmin dan orang bertaqwa. Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang beriman. Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.
Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia solat, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam. Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya:
1. Kalau kita hendak buat contoh, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran. Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain. Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman. Dia sudah melihat keindahan taman. Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.
2. Sebagai contoh lagi, katalah kita hendak ziarah sebuah zoo. Kita ambil tiket lalu duduk di pintu. Lepas itu kita balik. Atau di sebuah taman bunga yang indah, kita ambil tiket dan duduk di kerusi. Lepas itu kita balik. Kemudian kita cakap kita sudah masuk zoo dan sudah masuk taman. Betullah kita sudah masuk. Tetapi kita belum tengok dan belum rasa hebat dan cantiknya zoo dan taman itu. Soal sudah masuk itu satu perkara. Itulah Islam. Soal sudah tengok dan sudah rasa keindahan dan kenikmatan zoo dan taman, itu satu perkara lain pula. Itulah mukmin dan taqwa.

3. Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke universiti. Dia baru baftar nama, belum belajar dan belum pusing-pusing kawasan universiti lagi. Baru diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pendaftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.

4. Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.
Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu ingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap, itu tamsilan orang bertaqwa.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa). Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.” Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.
Katalah seseorang itu solatnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang (tidak kira sama ada orang itu ketua jabatan ke, menteri ke atau kuli sekalipun). Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat, mukaddimah ucapan menggunakan ayat Al-Quran, MasyaALLAH. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa lebih-lebih lagi nak menunjuk-menunjuk sahaja.

Orang mukmin yang baik itu hidupnya luar biasa.
Unik dan berbeza sangat dengan manusia yang lain.
Dia berhadapan dengan kehidupan penuh tenang.
Kejahatan orang tidak dibalas dengan kejahatan.
Bahkan didoakan orang yang membuat jahat dengannya.
Berhadapan dengan ujian dia tenang.
Berhadapan dengan nikmat dia bersyukur.
Jadual waktunya dengan ALLAH tetap dan istiqomah.
Walau di dalam keadaan susah dan senang.
Bermesra dengan orang.
Tetamu yang datang dihormati sesuai dengan kedudukannya.
Tidak boleh mendengar orang mendapat kesusahan.
Selagi tidak dapat ditolongnya, menderita jiwanya.
Merendah diri adalah budaya hidupnya.
Setiap orang yang meminta pertolongan jarang tidak ditunaikannya.
Pemurah sangat terserlah di dalam kehidupannya.
Tidak pernah mengeluh berhadapan dengan penderitaan.
Tapi dia mengeluh dengan dosa-dosanya.
Atau mengeluh bila berhadapan dengan kelemahan dan kecuaian.
Rasa kehambaan tampak kelihatan pada mukanya.
ALLAH selalu sahaja disebut-sebut di dalam perbualannya.
Nampak sangat bahawa ALLAH itu adalah sandaran hidupnya.
Gembira tidaklah sampai ketawa berdekah-dekah.
Kesusahannya tidaklah sampai muram di mukanya.
Lebih-lebih lagi tidak rasa kecewa dan putus asa berhadapan dengan kesusahannya.

Tawakal, sabar dan redha adalah menjadi budaya hidupnya.

Ehsan Jalan ke Syurga

Tuesday, June 25, 2013

Mengutip Pahala dan Menghapus Dosa

Segala puji bagi Allah SWT Rabb alam semesta, salawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dan utusan yang paling mulia. Dalam kehidupan yang serba mencabar kita seakan lelah mencari kebaikan untuk bekalan nanti namun kita sering berhadapan dengan seribu satu ujian dan dugaan. Adakala kita tewas kerana mudah tunduk atas runtunan nafsu dah hasutan iblis, akantetapi jika kita ada usaha untuk mencerap sedikit ilmu bagi memperbaiki kelemahan dan kelalaian kita Insyaallah peluang tetap ada, cuma jangan mudah putus asa dan mengalah. Kita perlu istiqamah dalam mencari kebaikan kerana amat menyayangi hambaNya yang selalu sujud kepada Nya.
Risalah ini ditujukan kepada setiap muslim yang beribadah kepada Allah sahaja dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Tujuan utama yang sangat penting bagi setiap muslim adalah apabila meninggalkan dunia fana ini dengan keampunan Allah dari segala dosa sehingga Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat, dan memasukkannya ke dalam syurga kenikmatan, hidup kekal didalamnya, tidak keluar selama-lamanya. Di dalam risalah yang sederhana ini disampaikan beberapa amalan yang dapat menghapuskan dosa dan membawa pahala yang besar, yang kesemuanya bersumber dari hadis-hadis yang sahih. Kita bermohon kepada Allah yang Maha Hidup, yang tiada Tuhan yang haq selain Dia, untuk menerima segala amalan kita. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

1. TAUBAT - "Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan mengampuninya" HR. Muslim. "Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla menerima taubat seorang hamba selama roh belum sampai ke kerongkongnya".

2. KELUAR UNTUK MENUNTUT ILMU - "Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya dengan (ilmu) itu jalan menuju syurga" HR. Muslim.

3. SENANTIASA MENGINGAT ALLAH - "Inginkah kalian aku tunjukkan kepada amalan-amalan yang terbaik, lagi suci disisi Allah, tertinggi dalam tingkatan derajat, lebih utama daripada mendermakan emas dan perak, dan lebih baik daripada menghadapi musuh lalu kalian tebas batang lehernya, dan merekapun menebas batang leher kalian. Mereka berkata: "Tentu", lalu beliau bersabda: ( Zikir kepada Allah SWT)" HR. At Turmidzi.

4. BERBUAT YANG MAKRUF DAN MENUNJUKKAN JALAN KEBAIKAN - "Setiap yang makruf adalah sedakah, dan orang yang menunjukkan jalan kepada kebaikan (akan mendapat pahala) seperti pelakunya" HR. Bukhari.

5. BERDAKWAH KEJALAN ALLAH - "Barangsiapa yang mengajak (seseorang) kepada petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun" HR. Muslim.

6. MENGAJAK YANG MAKRUF DAN MENCEGAH YANG MUNGKAR - "Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lisannya, jika ia tidak mampu (pula) maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman" HR. Muslim.

7. MEMBACA AL QUR`AN - "Bacalah Al Qur`an, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat untuk memberikan syafa`at kepada pembacanya" HR. Muslim.

8. MEMPELAJARI AL QUR`AN DAN MENGAJARKANNYA - "Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur`an dan mengajarkannya" HR. Bukhari.
9. MENYEBARKAN SALAM - "Kalian tidak akan masuk syurga sehingga beriman, dan tidaklah kalian beriman (sempurna) sehingga berkasih sayang. Maukah aku tunjukan suatu amalan yang jika kalian lakukan akan menumbuhkan kasih sayang di antara kalian? (yaitu) sebarkanlah salam" HR. Muslim.

10. MENCINTAI KERANA ALLAH - "Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari kiamat: (Di manakah orang-orang yang mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan menaunginya dalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan selain naungan-Ku)" HR. Muslim.

11. MENZIARAH ORANG SAKIT - "Tiada seorang muslim pun menziarah orang muslim yang sedang sakit pada pagi hari kecuali ada 70.000 malaikat berselawat kepadanya hingga petang hari, dan apabila ia menziarah pada petang harinya mereka akan selawat kepadanya hingga pagi hari, dan akan diberikan kepadanya sebuah taman di syurga" HR. Tirmidzi.

12. MEMBANTU MELUNASI HUTANG - "Barangsiapa meringankan beban orang yang dalam kesulitan maka Allah akan meringankan bebannya di dunia dan di akhirat" HR. Muslim.

13. MENUTUP AIB ORANG LAIN - "Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain di dunia kecuali Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat" HR. Muslim.

14. MENYAMBUNG TALI SILATURAHMI - "Silaturahmi itu tergantung di `Arsy (Singgasana Allah) seraya berkata: "Barangsiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambung hubungan dengannya, dan barangsiapa yang memutuskanku maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

15. BERAKHLAK YANG BAIK - "Rasulullah SAW ditanya tentang apa yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka beliau menjawab: "Bertakwa kepada Allah dan berbudi pekerti yang baik" HR. Tirmidzi.

16. JUJUR - "Hendaklah kalian berlaku jujur kerana kejujuran itu menunjukan kepada kebaikan, dan kebaikan menunjukan jalan menuju syurga" HR. Bukhari.

17. MENAHAN MARAH - "Barangsiapa menahan marah padahal ia mampu menampakkannya maka kelak pada hari kiamat Allah akan memanggilnya di hadapan para makhluk dan menyuruhnya untuk memilih bidadari yang ia sukai" HR. Tirmidzi.

18. MEMBACA DO`A PENUTUP MAJLIS - "Barangsiapa yang duduk dalam suatu majlis dan banyak terjadi di dalamnya kegaduhan lalu sebelum berdiri dari duduknya ia membaca do`a: (Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memuji-Mu aku bersaksi bahwa Tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah kecuali Engkau, aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu) melainkan ia akan diampuni dari dosa-dosanya selama ia berada di majlis tersebut" HR. Tirmidzi.

19. SABAR - "Tidaklah suatu musibah menimpa seorang muslim baik berupa malapetaka, kegundahan, rasa letih, kesedihan, rasa sakit, kesusahan sampai-sampai duri yang menusuknya kecuali Allah akan melebur dengannya kesalahan-kesalahannya" HR. Bukhari.

20. BERBAKTI KEPADA KEDUA ORANG TUA - "Sangat celaka, sangat celaka, sangat celaka...! Kemudian ditanyakan: Siapa ya Rasulullah?, beliau bersabda: (Barangsiapa yang mendapati kedua orang tuanya atau salah satunya di masa lanjut usia kemudian ia tidak boleh masuk syurga)" HR. Muslim.
21. BERUSAHA MEMBANTU PARA JANDA DAN MISKIN - "Orang yang berusaha membantu para janda dan fakir miskin sama halnya dengan orang yang berjihad di jalan Allah" dan saya (perawi) mengira beliau berkata: Dan seperti orang melakukan qiyamullail yang tidak pernah jenuh, dan seperti orang berpuasa yang tidak pernah berbuka" HR. Bukhari.

22. MENANGGUNG BEBAN HIDUP ANAK YATIM - "Saya dan penanggung beban hidup anak yatim itu di syurga seperti begini," seraya beliau menunjukan kedua jarinya: jari telunjuk dan jari tengah.HR. Bukhari.

23. WUDHU` - "Barangsiapa yang berwudhu`, kemudian ia memperbagus wudhu`nya maka keluarlah dosa-dosanya dari jasadnya, hingga keluar dari ujung kukunya" HR. Muslim.

24. BERSYAHADAT SETELAH BERWUDHU` - Barangsiapa berwudhu` lalu memperbagus wudhu`nya kemudian ia mengucapkan: (Saya bersaksi bahwa tiada Tuhan yang haq selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan saya bersaksi bahwa Muhammad hamba dan utusan-Nya,Ya Allah jadikanlah aku termasuk orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang bersuci)," maka dibukakan baginya pintu-pintu syurga dan ia dapat memasukinya dari pintu mana saja yang ia kehendaki" HR. Muslim.

25. MENGUCAPKAN DOA SETELAH AZAN - "Barangsiapa mengucapkan doa ketika ia mendengar seruan azan: Ya Allah pemilik panggilan yang sempurna dan solat yang ditegakkan, berilah Muhammad wasilah (derajat paling tinggi di syurga) dan kelebihan, dan bangkitkanlah ia dalam kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya maka ia berhak mendapatkan syafa`atku pada hari kiamat"HR. Bukhari.

26. MEMBANGUN MASJID - "Barangsiapa membangun masjid kerana mengharapkan keredhaan Allah maka dibangunkan baginya yang serupa di syurga" HR. Bukhari.

27. BERSIWAK - "Seandainya saya tidak mempersulit umatku nescaya saya perintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap solat" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

28. BERANGKAT KE MASJID - "Barangsiapa berangkat ke masjid pada waktu pagi atau petang, nescaya Allah mempersiapkan baginya tempat persinggahan di syurga setiap kali ia berangkat pada waktu pagi atau petang" HR. Bukhari dan HR. Muslim,

29. SOLAT LIMA WAKTU - "Tiada seorang muslim bila datang waktu solat fardhu kemudian ia memperbagus wudhu`nya, kekhusyu`annya dan ruku`nya kecuali hal itu menjadi pelebur dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya selama ia tidak dilanggar suatu dosa besar. Dan yang demikian itu berlaku sepanjang masa" HR. Muslim.

30. SOLAT SUBUH DAN ASAR - "Barangsiapa solat pada dua waktu pagi dan petang (subuh dan asar) maka ia masuk syurga" HR. Bukhari.

31. SOLAT JUMAAT - "Barangsiapa berwudhu` lalu memperindahnya, kemudian ia menghadiri solat Jumaat, mendengar dan menyemak (khutbah) maka diampuni dosanya yang terjadi antara Jumaat pada hari itu dengan Jumaat yang lain dan ditambah lagi tiga hari" HR. Muslim.

32. SAAT DIKABULKANNYA PERMOHONAN PADA HARI JUMAAT - "Pada hari ini terdapat suatu saat bilamana seorang hamba muslim bertepatan dengannya sedangkan ia berdiri solat seraya bermohon kepada Allah sesuatu, tiada lain ia akan dikabulkan permohonannya"HR. Bukhari dan HR. Muslim.

33. MENGIRINGI SOLAT FARDHU DENGAN SOLAT SUNNAT RAWATIB - "Tiada seorang hamba muslim solat kerana Allah setiap hari 12 rakaat sebagai solat sunnat selain solat fardhu, kecuali Allah membangunkan baginya rumah di syurga" HR. Muslim.

34. SOLAT 2 (DUA) RAKAAT SETELAH MELAKUKAN DOSA - "Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu ia berwudhu` dengan sempurna kemudian berdiri melakukan solat 2 rakaat, lalu memohon ampunan Allah, melainkan Allah mengampuninya" HR. Abu Daud.
35. SOLAT MALAM - "Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam" HR. Muslim.

36. SOLAT DHUHA - "Setiap persendian dari salah seorang di antara kalian pada setiap paginya memiliki kewajiban sedekah, sedangkan setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, memerintahkan kepada yang makruf itu sedekah dan mencegah dari yang mungkar itu sedekah, tetapi semuanya itu dapat terpenuhi dengan melakukan solat 2 rakaat dhuha" HR. Muslim.

37. SELAWAT KEPADA NABI SAW - "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali maka Allah membalas selawatnya itu sebanyak 10 kali" HR. Muslim.

38. PUASA - "Tiada seorang hamba berpuasa satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkannya kerana puasa itu dari neraka selama 70 tahun" HR. Bukhari.

39. PUASA 3 (TIGA) HARI PADA SETIAP BULAN - "Puasa 3 (tiga) hari pada setiap bulan merupakan puasa sepanjang masa" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

40. PUASA 6 (ENAM) HARI PADA BULAN SYAWAL - "Barangsiapa melakukan puasa Ramadhan, lalu ia mengiringinya dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal maka hal itu seperti puasa sepanjang masa" HR. Muslim.

41. PUASA `ARAFAT - "Puasa pada hari `Arafat (9 Dzulhijjah) dapat melebur (dosa-dosa) tahun yang lalu dan yang akan datang" HR. Muslim.

42. PUASA `ASYURA - "Dan dengan puasa hari `Asyura (10 Muharram) saya berharap kepada Allah dapat melebur dosa-dosa setahun sebelumnya" HR. Muslim.

43. MEMBERI HIDANGAN BERBUKA BAGI ORANG YANG BERPUASA - "Barangsiapa yang memberi hidangan berbuka bagi orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti pahala orang berpuasa itu, dengan tidak mengurangi pahalanya sedikitpun" HR. Tirmidzi.

44. SOLAT DI MALAM LAILATUL QADR - "Barangsiapa mendirikan solat di (malam) Lailatul Qadr kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu"HR. Bukhari Juz. IV/No. 221 dan HR. Muslim.

45. SEDEKAH - "Sedekah itu menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api" HR. Tirmidzi.

46. HAJI DAN UMRAH - "Dari umrah ke umrah berikutnya merupakan kafarah (penebus dosa) yang terjadi di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya kecuali syurga" HR. Muslim.

47. BERAMAL SOLEH PADA 10 HARI BULAN DZULHIJJAH - "Tiada hari-hari, beramal soleh pada saat itu lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini, yaitu 10 hari pada bulan Dzulhijjah. Para sahabat bertanya: "Dan tidak (pula) jihad di jalan Allah? Beliau bersabda: "Tidak (pula) jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian ia tidak kembali lagi dengan membawa sesuatu apapun" HR. Bukhari.
48. JIHAD DI JALAN ALLAH - "Bersiap siaga satu hari di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya, dan tempat pecut salah seorang kalian di syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya" HR. Bukhari.

49. INFAQ DI JALAN ALLAH - "Barangsiapa membantu persiapan orang yang berperang maka ia (termasuk) ikut berperang, dan barangsiapa membantu mengurusi keluarga orang yang berperang, maka iapun (juga) termasuk ikut berperang" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

50. MENSOLATI MAYAT DAN MENGIRINGI JENAZAH - "Barangsiapa ikut menyaksikan jenazah sampai disolatkan maka ia memperoleh pahala satu qirat, dan barangsiapa yang menyaksikannya sampai dikubur maka baginya pahala dua qirat. Lalu dikatakan: "Apakah dua qirat itu?", beliau menjawab: (Seperti dua gunung besar)" HR. Bukhari.

51. MENJAGA LIDAH DAN KEMALUAN - "Siapa yang menjamin bagiku "sesuatu" antara dua dagunya dan dua selangkangannya, maka aku jamin baginya syurga" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

52. KEUTAMAAN MENGUCAPKAN LAA ILAHA ILLALLAH DAN SUBHANALLAH WA BI HAMDIH - "Barangsiapa mengucapkan: (LAA ILAHA ILLALLAH) sehari seratus kali, maka baginya seperti memerdekakan 10 budak, dan dicatat baginya 100 kebaikan,dan dihapus darinya 100 kesalahan, serta doanya ini menjadi perisai baginya dari syaithan pada hari itu sampai petang. Dan tak seorangpun yang mampu menyamai hal itu, kecuali seseorang yang melakukannya lebih banyak darinya". Dan beliau bersabda: "Barangsiapa mengucapkan: (SUBHANALLAH WA BI HAMDIH) satu hari 100 kali, maka dihapuskan dosa-dosanya sekalipun seperti buih di lautan" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

53. MENYINGKIRKAN GANGGUAN DARI JALAN - "Saya telah melihat seseorang bergelimang di dalam kenikmatan syurga dikeranakan ia memotong pohon dari tengah-tengah jalan yang mengganggu orang-orang" HR. Muslim.

54. MENDIDIK DAN MELINDUNGI ANAK PEREMPUAN - "Barangsiapa memiliki tiga anak perempuan, di mana ia melindungi, menyayangi, dan menanggung beban kehidupannya maka ia pasti akan mendapatkan syurga" HR. Ahmad dengan sanad yang baik.

55. BERBUAT BAIK KEPADA HAIWAN - "Ada seseorang melihat seekor anjing yang menjilat-jilat debu kerana kehausan maka orang itu mengambil sepatunya dan memenuhinya dengan air kemudian meminumkannya pada anjing tersebut, maka Allah berterimakasih kepadanya dan memasukkannya ke dalam syurga" HR. Bukhari.
57. MENINGGALKAN PERDEBATAN - "Aku adalah pemimpin rumah di tengah syurga bagi siapa saja yang meninggalkan perdebatan padahal ia dapat memenangkannya"HR. Abu Daud.

58. MENGUNJUNGI SAUDARA-SAUDARA SEIMAN - (Maukah aku beritahukan kepada kalian tentang para penghuni syurga? Mereka berkata: "Tentu wahai Rasulullah", maka beliau bersabda: "Nabi itu di syurga, orang yang jujur di syurga, dan orang yang mengunjungi saudaranya yang sangat jauh dan dia tidak mengunjunginya kecuali kerana Allah maka ia di syurga") Hadits hasan, riwayat At-Thabrani.

59. KETAATAN SEORANG ISTERI TERHADAP SUAMINYA - "Apabila seorang perempuan menjaga solatnya yang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menjaga kemaluannya serta menaati suaminya maka ia akan masuk syurga melalui pintu mana saja yang ia kehendaki" HR. Ibnu Hibban, hadits shahih.

60. TIDAK MEMINTA-MINTA KEPADA ORANG LAIN - "Barangsiapa yang menjamin dirinya kepadaku untuk tidak meminta-minta apapun kepada manusia maka aku akan jamin ia masuk syurga" Hadits sahih, riwayat Ahlus Sunan.

Thursday, June 13, 2013

Kenapa Kita Suka Mengkritik

Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang mengembirakan hingga kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Dalam kehidupan bersosial atau bermasyarakat, kita tidak akan lari dari terjumpa atau berjumpa dengan individu atau mempunyai kawan yang suka membesar-besarkan diri sendiri, pendek kata suka berlagak atau sombong. Ciri-ciri yang biasa kita nampak ialah mereka ini suka bercakap besar atau berdegar-degar, suka memperlekehkan orang lain, mengkritik dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang, memuji diri sendiri, bersikap defensive, suka berbohong, tidak suka menerima pandangan orang lain, selalu menceritakan sesuatu yang diidam-idamkannya walaupun perkara itu mustahil untuk dicapai, suka mengawal orang lain dan cepat marah.

Apabila kita berdepan dengan individu sebegini, kebiasaannya hati kita akan terdetik mengatakan “asyik-asyik nak dengar cakap dia je!”,”dia ingat dia seorang je ke yang betul?”, “sikit-sikit nak marah orang!”. Memang tidak dapat dinafikan, sikap dan tingkahlaku seseorang yang mengkritik dan suka marah-marah ini akan memberi impak psikologi terhadap emosi dan pemikiran kita samada secara langsung ataupun tidak.

Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri. Bak kata orang dulu, kuman di seberang laut dapat dilihat tetapi gajah di depan mata tidak pula kita nampak.

Kita marah orang memperkatakan hal kita tetapi kita juga sebenarnya membuka diri kita untuk diperkatakan apabila memperlihatkan sikap yang mengundang kejelekan pada mata masyarakat. Apabila berlaku ketidakpuasan hati, maka bermula satru episod yang merosakkan hubungan, yang sebenarnya membawa kita selangkah ke neraka tanpa kita sedari.

Orang yang mengkritik itu pada hakikatnya mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang lemah. Oleh kerana, antara ciri-ciri orang yang begini itu adalah suka memarahi orang lain terutama di depan khalayak ramai, maka telah disebut dalam satu hadith yang bermaksud; Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling kuat bukanlah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika ia sedang marah.” Hadith Riwayat Muslim – 4723

Berdasarkan konsepsi hadith ini, jelas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mampu mengawal marahnya adalah merupakan orang yang tidak kuat atau lemah.

Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari, secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan.

Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkara yang dilakukan secara berulangkali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira samada positif atau negatif. Maksudnya di sini apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita terlalu rajin mengkritik seseorang hingga tiada ruang untuknya menjelaskan hal sebenar, apa yang sebenarnya berlaku adalah kita sedang menanam afirmasi kritikan itu di dalam minda bawah sedar kita. Jika ianya dilakukan secara berulang kali maka akhirnya tanpa sedar kita mula mengikut rentak fikiran bawah sedar itu tadi. Nah… lama kelamaan, ianya menjadi satu sikap yang negatif untuk kita. Buruknya, kita kemudiannya melakukan sebagaimana yang kita kritikan dahulu.

Justeru, kita perlu menghindari sikap yang mengkritik yang tidak membina. Kita boleh sahaja memberi kritikan asalkan kritikan itu membina yakni kritikan yang disertai dengan cara penyelesaian. Jika kritikan itu tidak disulami dengan aliran penyelesaian maka ianya tidak layak dipanggil kritikan membina melainkan satu kecaman atau sering dipanggil 'condemn'. Sikap suka mengecam ini sering dimiliki oleh mereka yang sebenarnya membawa sikap yang dikecam. Mereka tidak pernah sedar yang sikap mereka kadangkala lebih buruk dari orang mereka kecam

Dalam ilmu psikologi, orang yang beremosi itu sering menggunakan salah satu teknik ‘self-presentation’ iaitu ‘intimidation’ samada secara sedar mahupun tidak. ‘Intimidation’ atau intimidasi digunakan untuk membangkitkan rasa takut pada orang lain dengan membentuk imej sebagai individu yang digeruni supaya orang lain mengikutinya. Tambahan itu, intimidasi juga boleh digunakan secara positif atau pun negatif berdasarkan kepada situasi dan tujuan tertentu. Jika seseorang itu menggunakan teknik ini ke arah yang negatif maka akan jadilah ia seorang yang berlagak sombong, suka marah-marah, bengis, merasakan diri bagus dan yang akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke arah kehancuran.

Maka mulai dari hari ini juga marilah kita sama-sama melihat ke satu arah yang baru, arah yang tidak melihat hanya kepada keburukan orang lain. Kita tidak pula banyak mengata serta memberi komen yang tidak diperlukan. Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti.

Jika kita tidak berhenti melakukan hal-hal negatif sebegini, ditakuti kita akan melakukan apa yang kita kritikkan terhadap orang lain sebelum kita menghembuskan nafas terakhir. Mereka yang kita kritik mungkin sudah bertaubat lalu meninggalkan dunia dengan penuh keinsafan. Malangnya mereka yang sering memberi kritikan dan kecaman pula mati dalam keadaan yang penuh dengan kenegatifan.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita perlu memberi nasihat kerana Allah swt dan bukan atas kehendak diri.

Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita menghadapi individu seperti ini? Terdapat beberapa cara antaranya ialah bersikap tenang beserta senyuman ketika menghadapinya, cuba sedaya upaya untuk tidak terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh mereka dengan cara berfikir secara rasional, siapkan hujah yang bernas dalam fikiran tetapi jangan berdebat, biarkan mereka meluahkan segala-galanya apa yang ingin diperkatakan, elakkan dari terpengaruh dengan gaya komunikasi dan tuturkata mereka dan sama sekali jangan beremosional.

Selain itu, antara kelemahan orang yang mengkritik ini ialah mereka sering mengungkapkan sesuatu yang tidak rasional dan memutarbelit sesuatu perkara. Mengapa perkara ini berlaku? Hal ini terjadi kerana minda mereka sudah dipengaruhi oleh nafsu, maka akal sudah tidak lagi berfungsi untuk berfikir secara positif. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menerima pandangan dan sering menyalahkan orang lain.

Dari aspek perubatan Thibbun Nabawy, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut bahawa penyakit itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit fizikal dan hati. Justeru, orang yang mengkritik ini boleh dikategorikan sebagai orang yang mengalami penyakit hati yang kronik. Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”

Marilah kita sama-sama mengubah diri kita untuk menanam kata-kata yang baik lagi mulia secara berulang-ulang agar ianya tertanam utuh dalam memori bawah sedar kita. Biarlah kata-kata tersebut menjadi corak masa depan kita dan menjadi satu contoh yang baik untuk mereka yang berada di sekeliling kita. Seandainya kita mampu mengubah diri kita, maka kita juga mampu mengubah sekeliling kita kerana kita sudahpun menjadi contoh tauladan yang baik.
Perlu kita ingat bahawa kita tidak mampu mengubah orang lain, maka eloklah jika kita melihat ke dalam diri sendiri kerana kita mampu mengubah diri sendiri. Kita perlu berhenti dari cuba mengubah orang lain dan mengkritik orang lain tanpa terlebih dahulu mengubah diri sendiri serta menilai prestasi hubungan kita dengan Allah SWT. Semoga hari ini kita mula menjadi orang yang sentiasa mengubah diri ke arah yang lebih baik dan mulia. Amiin

Konklusinya, apa yang paling penting adalah bukan kita hanya sekadar melihat akan perilaku orang lain, tapi sentiasa bermuhasabah diri, apakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang berlagak, beremosi suka mengkritik dan lemah ini? Bagi mengelakkannya, hendaklah kita belajar berfikir secara rasional dan tidak emosional, senyum selalu, menilai kelemahan diri sendiri atau bersifat tawaddhu', menanamkan sifat kehambaan kepada Allah SWT, janganlah kita menganggap apa yang kita fikir betul kesemuanya, bersedia untuk dikritik, menghormati pendapat dan terimalah nasihat serta pandangan orang lain

Hisham dan Azhar

Sunday, June 9, 2013

Solat Jamak dan Qasar

Pengertian solat jamak ialah mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, contohnya mengumpulkan waktu zohor kepada asar atau asar kepada zohor, maghrib kepada isyak atau isyak kepada maghrib. Manakala solat qasar ialah memendekkan solat daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi 2 rakaat ialah solat zuhur, asar dan isyak. Solat jamak atau solat qasar diharuskan kepada sesiapa yang musafir lebih dari 2 marhalah (60 batu atau 90 kilometer)
Hendak lah kita perhatikan apakah niat kita sebelum memulakan satu perjalanan atau bermusafir dan cara solat yang mana yang kita pilih ketika hendak bermusafir kerana itu lebih memudahkan agar niat kita tidak berubah-ubah yang kemudian menyusahkan diri sendiri. Adakah pilihan kita hendak solat qasar, solat jamak taqdim dan takhir atau solat jamak  taqdim dan takhir qasar. (Memahami niat  itu lebih mudah untuk kita membezanya).

Seseorang yang bermusafir atau dalam satu perjalanan diharuskan mengqasharkan solat. Contoh memendekkan solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat tetapi solat mahgrib dan subuh hendak dikerja seperti lazim dan tiada diringkaskan. Sesuai dengan firman Allah: "Sekiranya kamu melakukan perjalanan (bermusafir )dimuka bumi ini,maka tiada halangan untuk kamu mengqasharkan solat jika kamu takut akan ditakuti oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh kamu yang jelas lagi nyata.(Surah An-Nisa :4;101)

Menurut mahzab Asy-Syafi"i mengqasar solat bagi orang-orang yang bermusafir yang memenuhi syarat amat digalakkan; Dari Ibnu Umar R.A beliau berkata Rasulullah SAW pernah bersabda 'Sesungguhnya Allah SWT menyukai segala kelonggaran yang diberikan olehnya diterima dan dilaksanakan, sebagaimana Allah memurkai segala kemaksiatan terhadapnya dilakukan oleh kamu"(Hadis riwayat Ahmad)

Sahnya solat jamak dan qasar bagi seseorang itu ialah;
1.Perjalanannya melebihi 90 kilometre.
2.Perjalanan bukan bertujuan maksiat
3.Solat yang boleh diqashar (diringkaskan)hanya solat yang 4 rakaat
4.Meniatkan solat itu dengan solat Qashar semasa melafazkan takbiratul ikram
5.Tidak berimam kepada orang yang bermukim(orang tempatan)

Tempuh sah sebagai musafir mengikut para ulama hanya 3 hari dan 2 malam sahaja.Sekiranya lebih daripada itu maka tidak harus  jika ia mengqasharkan solat kerana dianggap telah bermukim.

Pembahagian Solat Jamak
Jamak Taqdim ialah melakukan solat jamak pada waktu yang awal iaitu zuhur dan maghrib. Contohnya solat zuhur dijamakkan dengan asar pada waktu zuhur, solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, maka ini dinamakan solat jamak taqdim.

Jamak Takhir ialah melakukan solat jamak pada waktu yang akhir iaitu asar dan isyak. Contohnya melaksanakan solat zuhur dan asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak, maka ini dinamakan solat jamak takhir.

Hikmah dan Hukum solat Jamak dan Qasar
Hikmah solat Jamak dan Qasar adalah untuk mempermudahkan atau memberikan keringanan kepada orang yang musafir lebih dari 2 marhalah. Orang musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya, sukar untuk berhenti solat dan sebagainya, maka dari itulah Allah memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Tiada alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat fardhu. Hukum solat jamak dan Qasar ini adalah harus, terpulang kepada orang yang musafir untuk mendirikan solat sempurna atau jamak dan qasar, tidak menjadi masalah, nak buat jamak qasar tidak menjadi masalah atau tidak mahu buatpun tidak menjadi masalah.
Syarat Jamak Taqdim
Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal.
Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.
Syarat Jamak Takhir
Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.

Syarat Qasar
Musafir hendaklah tidak bertujuan maksiat.
Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah.
Solat yang diqasarkan hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja.
Hendaklah diniatkan qasar dalam niat solat.
Tidak boleh berimam orang yang solat penuh (sempurna).
Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
Dia tahu orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Niat Solat Jamak dan Qasar

i). Jamak Taqdim dan Qasar
Zuhur-Asar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إلي الظهر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur tunai kerana Allah Taala”.

Maghrib-Isyak
أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إليه العشاء أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إلي المغرب أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib tunai kerana Allah Taala”.

ii). Jamak Takhir dan Qasar
Asar-Zuhur
أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إليه الظهر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلي العصر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala”.

iii). Isyak-Maghrib
أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إليه المغرب أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إلي العشاء أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepada isyak tunai kerana Allah Taala”.
Cara Mengerjakan Solat Jamak dan Qasar
Cara mengerjakan solat jamak dan qasar:
Solat zuhur dan asar itu hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur. Kalau jamak takhir hendaklah dilakukan dalam waktu asar.
Berdiri lurus mengadap kiblat.
Berniat hendak mengerjakan solat zuhur secara jamak taqdim dan qasar. Kalau jamak takhir solat jamak dan qasar pada waktu terakhir.
Setelah itu kerjakan solat zuhur sebanyak dua rakaat sehingga selesai memberi salam.
Kemudian berdiri semula untuk mendirikan solat yang kedua iaitu asar.
Berniat untuk mengerjakan solat asar secara jamak takhir.
Kerjakanlah solat asar sebanyak dua rakaat sehingga selesai.

Kalau qasar jamak taqdim atau jamak takhir antara solat maghrib dan isyak, maka hendaklah niatkan solat maghrib secara jamak takdim atau jamak takhir sahaja tanpa menyebut qasarnya.

Wednesday, June 5, 2013

Makan dan Minum Yang Wajib Diikuti

Secara umumnya, umat Islam diperintahkan agar makan dan minum hanya dari apa-apa yang dihalalkan dan menjauhi segala bentuk makanan yang haram. Ini merupakan adab makan dan minum yang paling utama perlu difahami dan dipatuhi. Allah SWT berfirman: “Wahai manusia, makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah Syaitan, kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang jelas bagimu.” (Surah al-Baqarah, 2: 168). “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik dari apa yang Kami kurniakan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu mengabdikan diri.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)
Tetapi tidak hanya itu, bahkan ada lagi beberapa bentuk-bentuk adab makan dan minum yang harus dipelajari, difahami, dan diikuti sebagai seorang muslim yang sempurna keimanannya. Di antara adab-adab yang dimaksudkan tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Makan dengan tangan kanan, Jangan makan seperti Syaitan
Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaklah minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (Shahih Muslim, no. 2020. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya) Dalam riwayat Ibnu Majah: “Makanlah kamu dengan tangan kanannya, minum dengan tangan kanannya, mengambil dengan tangan kanannya, dan memberi dengan tangan kanannya. Kerana sesungguhnya Syaitan itu makan dengan tangan kirinya, minum dengan tangan kirinya, memberi dengan tangan kirinya, dan mengambil dengan tangan kirinya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3266. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dua hadis ini menunjukkan perintah agar apabila makan dan minum, hendaklah dengan tangan kanan. Ia juga menunjukkan larangan menyamai amalan atau cara syaitan makan, di mana syaitan apabila makan atau minum, maka mereka makan dan minum dengan tangan kiri. Hukum menggunakan tangan kanan untuk menyuap makanan ke mulut itu hukumnya adalah wajib kerana asal bagi setiap perintah itu adalah menunjukkan hukum wajib melainkan ada dalil-dalil lain yang mengecualikannya. Atau jika ada udzur-udzur lain yang tidak dapat dielakkan seperti cedera teruk pada tangannya yang kanan, atau lumpuh, atau tidak memiliki tangan sama sekali. Selain itu, hadis ini juga turut mengkhabarkan tentang sebahagian dari sifat-sifat Syaitan. Iaitu syaitan itu memiliki tangan dan memiliki sifat makan, di mana apabila ia makan, maka ia makan dengan tangan kirinya. Kemudian, disunnahkan kepada kita agar menyelisihi perangai syaitan tersebut.

2. Tidak Sombong Untuk Makan Dengan Tangan Kanan
Dalam Shahih Muslim disebutkan sebuah hadis: “Bahawasanya ada seorang lelaki makan dengan tangan kirinya di sisi Rasulullah SAW. Maka Rasulullah pun bersabda: “Makanlah dengan tangan kanan engkau.” Lelaki itu pun berkata: “Aku tidak mampu.” Kata Rasulullah lagi: “Kamu tidak mampu?” (Hakikatnya) tidaklah dia menolaknya melainkan kerana sombong. (kata perawi): Maka setelah itu, dia pun benar-benar tidak mampu menyuap makanan (dengan tangan kanannya) sampai ke mulutnya.” (Shahih Muslim, no. 2021. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)

3. Rasulullah mengajarkan adab makan buat anak kecil
Daripada ‘Umar B. Abi Salamah, beliau berkata, “Ketika aku masih kecil berada di bawah jagaan Rasulullah SAW, tanganku ke sana ke mari di ketika makan. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Ghulam (anak kecil), sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang dekat denganmu.” Maka begitulah cara (adab) aku makan setelah itu.” (Shahih al-Bukhari, no. 5376. Muslim no. 2022) Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar mengambil makanan yang paling hampir dengan tempat duduk kita, tidak berebut makanan, tidak sehingga berlaga tangan, tidak menyibukkan diri untuk mengambil makanan yang jauh, disunnahkan agar membaca bismillah ketika hendak makan, dan disunnahkan agar makan dengan tangan kanan. Tetapi dibolehkan sekiranya kita meminta tolong orang lain agar mengambilkan makanan yang jauh untuk kita sebagaimana dalam hadis yang lain. Hadis ini juga turut menunjukkan kepada kita bagaimana mendidik anak-anak tentang sebahagian dari adab-adab makan dan tidak memarahinya.

4. Apabila Makan, Sebutlah Nama Allah
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka sebutlah nama Allah SWT. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah SWT di awalnya, hendaklah dia mengucapkan:
بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
“Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu (dengan nama Allah di awal dan akhirnya).” (Sunan Abu Daud, no. 3767. Dinilai sahih oleh al-Albani) Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebut nama Allah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3766. Dinilai sahih oleh al-Albani) Seorang lelaki yang menjadi pelayan kepada Rasulullah mengatakan: “Bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW apabila makanan didekatkan (dihidangkan) kepadanya, maka beliau pun mengucapkan: “Bismillah”.” (Ibnu Taimiyah, Kalim ath-Thayyib, no. 190. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852) berkata: “Dalil yang paling tegas tentang maksud bacaan tasmiyah (ketika hendak makan) adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi dari jalan Ummu Kultsum daripada ‘Aisyah, secara marfu’: “Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka ucapkanlah “Bismillah”. Jika terlupa menyebutnya, hendaklah ia mengucapkan: “Bismillaahi fii awwalihi wa aakhirihi (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” Hadis ini memiliki dukungan (syahid) dari hadis Umayyah B. Makhsyi yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan An-Nasaa’i.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 9/521. Hadis ini terdapat dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 1858 dan dinilai sahih oleh at-Tirmidzi) Boleh juga mengucapkan dengan doa sebagaimana dalam hadis berikut ini. Kata Rauslullah SAW: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah dengan makanan, maka ucapkanlah:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan kurniakanlah makanan yang lebih baik lagi.” Dan sesiapa yang dikurniakan minuman berupa susu oleh Allah, maka ucapkanlah:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan tambahkanlah untuk kami darinya.”.” (Sunan Abu Daud, no. 3730. Sunan at-Tirmidzi, no. 3455)

5. Doa Makan Yang Masyhur Tetapi Tidak Sahih Dari Nabi
Doa (hadis) yang dimaksudkan tersebut adalah: “Apabila Nabi dihidangkan dengan makanan, maka beliau pun mengucapkan:
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ
“Ya Allah berkahilah kami pada apa yang direzekikan untuk kami, dan jauhilah kami dari ‘azab neraka, bismillah.” (Lihat: al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 424,no. 674 – Daar Ibn Khuzaimah, Tahqiq: ‘Amir ‘Ali Yasin) Kata Syaikh Amir ‘Ali Yasin: “Hadis ini dha’if jiddan, diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 888, Ibnu as-Sunni, no. 457, dan Ibnu ‘Adi, 6/2212 dari beberapa jalur, “dari Hisyam B. ‘Ammaar, Muhammad B. ‘Isa B. Sami’ menceritakan kepada kami, “Muhammad B. Abi az-Zu’aiza’ah, menceritakan kepada kami, daripada ‘Amr B. Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya…” dengan hadis tersebut.
Sanad hadis ini adalah sanad yang bersangatan lemahnya. Hisyam dan Ibnu Sami’, keduanya dipertikaikan, tetapi masalah yang sebenarnya terletak pada Ibnu Abi az-Zu’aiza’ah, kerana ia tertuduh pendusta lagi matruk (ditinggalkan hadisnya), dan hadisnya mungkar lagi sangat dha’if (syadid adh-dha’if). Dengannya, hadisnya ini dinilai mungkar oleh Ibnu ‘Adi, adz-Dzahabi, dan Ibnu Hajar al-Asqalani. (‘Amir ‘Ali Yasin, al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 424 – Daar Ibn Khuzaimah). Maka dari itu, hendaklah kita mengutamakan sunnah dan doa-doa yang sahih terlebih dahulu.

6. Jangan Makan Bersama Syaitan
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka syaitan pun berkata (kepada kaum kerabatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.” Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata: “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika makan, maka syaitan pun berkata: “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.”.” (Shahih Muslim, no. 2018. Abu Daud, no. 3765) Hadis ini menunjukkan apabila kita makan tanpa mengingat Allah, iaitu tanpa membaca bismillah (atau tanpa dzikir yang disunnahkan sebagaimana di atas), maka syaitan akan turut serta makan bersama-sama tanpa kita sedari.

7. Makan berjama’ah (bersama-sama)
Para sahabat Nabi berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak merasa puas?” Beliau bersabda: “Mungkin kerana kamu makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab, “Ya benar.” Beliau bersabda: “Hendaklah kamu bersama-sama (berjama’ah) ketika makan, dan sebutlah nama Allah atasnya, maka kamu akan mendapat barakah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3764. Dinilai hasan oleh al-Albani) Hadis ini selainnnya menunjukkan sunnah mengucapkan bismillah ketika hendak makan, ia juga menunjukkan disunnahkan agar makan secara berjama’ah, bukan sendiri-sendiri kerana padanya terdapat barakah lagi membuatkan kita merasa cukup (kenyang).
8. Minum Dengan Tiga Kali Nafas
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: “Bahawasanya (Rasulullah SAW) biasa minum dengan tiga kali nafas (selang seli antara meneguk air dan menarik nafas). Jika bekas minuman menghampiri ke mulut beliau, beliau menyebut nama Allah SWT. Dan jika selesai satu nafas, beliau memuji Allah SWT (mengucapkan tahmid). Beliau lakukan perkara yang sama tiga kali.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/94. Majma’ az-Zawa’id, no. 8259. Al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 3/272, no. 1277)

9. Bacaan (Dzikir) Setelah Makan
Daripada Mu’adz B. Anas, daripada ayahnya ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang makan makanan kemudian mengucapkan:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ
“Alhamdulillaahilladzii ath-amanii haadzaa wa rozaqaniihi min ghairi haulinm minnii wa laa quwwatin” (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini, dan merezekikan kepadaku tanpa daya serta kekuatan dariku), maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3458. Kata at-Tirmidzi, hadis ini hasan gharib. Manakala al-Albani menilainya hasan) Juga sebagaimana doa Nabi ini, daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: “Setelah Nabi selesai makan, beliau berdoa:
الحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ، رَبَّنَا
“Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik, dan penuh keberkahan padanya. Dzat yang telah mengurniakan kecukupan, Dzat yang tidak mungkin diabaikan, dan Dzat yang sentiasa diperlukan. Engkaulah Rabb kami.” (Shahih al-Bukhari, no. 5458. Bab: Apa Yang Dibaca Sebaik Selesai Makan)

Dalam riwayat yang lain, juga daripada Abu Umamah RA: “Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan memberi kami minum, Dzat yang telah mengurniakan kecukupan, dan yang nikma-Nya tidak kami kufuri (ingkari).” (Shahih al-Bukhari, no. 5459. Bab: Apa Yang Dibaca Sebaik Selesai Makan) Jika mengucapkan dengan ucapan “Alhamdulillah” setelah makan juga dibolehkan berdasarkan hadis berikut, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah redha kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (Alhamdulillah) sebaik selesai makan dan minum.” (Shahih Muslim, no. 2734)
10. Menjilat Jari Sebelum Mengesat atau Membasuhnya
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu makan, maka janganlah dia membersihkan (atau mengesat) tangannya sehinggalah dia menjilatnya atau ada orang lain yang menjilatkan untuknya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5456. Bab: Menjilat dan Menghisap Jari Sebelum Dibersihkan Dengan Kain Pengelap) Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar menjilat sisa-sisa makanan yang masih melekat pada jari-jemari sebelum dibasuh atau dikesat.

11. Berkumur-kumur Setelah Selesai Makan
Suwaid B. An-Nu’man RA berkata: “Kami keluar bersama-sama Rasulullah ke Khaibar. Ketika kami tiba di ash-Shahba’, beliau meminta dibawakan makanan. Tiada apa (untuk dihidangkan) melainkan gandum. Maka kami pun makan. Kemudian beliau berdiri untuk solat, maka beliau berkumur-kumur, dan kami pun berkumur-kumur.” (Shahih al-Bukhari, no. 5454. Lihat juga no. 5455. Bab: Berkumur-kumur Setelah Selesai Makan) Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar berkumur-kumur sebaik selesai makan terutamanya apabila sebaik selesai makan itu kita hendak segera mengerjakan solat.

12. Mengajak Penyedia Makanan Untuk Makan Bersama
Nabi SAW bersabda: “Apabila pembantu (pelayan) salah seorang daripada kamu menyediakan makanan (untuk kamu) ajaklah dia makan sekali, jika tidak maka hendaklah kamu berikan padanya satu atau dua makanan, atau secubit atau dua cubit darinya. Ini kerana dia telah membantu kamu menyediakannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5460)

13. Apabila Makanan Telah Terhidang
Nabi SAW bersabda: “Apabila makan malam telah terhidang dan dalam masa yang sama seruan solat dikumandangkan, maka dahulukanlah makan malam tersebut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5463. Lihat juga: no. 5465, hadis daripada ‘Aisyah) Nafi’ berkata: “Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Umar) pernah makan dan dalam masa yang sama suara bacaan imam bersolat telah kedengaran.” (Shahih al-Bukhari, no. 5464) Hadis ini menunjukkan disukai agar menghabiskan makanan yang telah sedia terhidang terlebih dahulu jika tiba-tiba telah masuk waktu solat. Tetapi sekiranya hidangan makanan tersebut tidak mengganggu kekhusyukkan atau kesempurnaan solatnya, maka dibolehkan dia untuk meninggalkan sementara makanan tersebut (dalam keadaan baik) kemudian dia segera menunaikan solat. Ini sebagaimana hadis Amr B. Umayyah RA: “Bahawasanya aku nampak Rasulullah SAW sedang memotong daging pada peha kambing, tiba-tiba seruan solat berkumandang. Beliau pun meletakkan pisau dan daging di tangannya lalu bergegas menuju solat tanpa memperbaharui wudhu’.” (Shahih al-Bukhari, no. 5462)

14. Tidak Mencela Makanan
Abu Hurairah RA berkata: “Nabi tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Jika beliau mahu, beliau makan, dan jika tidak suka, beliau meninggalkannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5409) Maksudnya adalah tidak berkata yang bukan-bukan tentang makanan tersebut walaupun ianya tidak sedap. Tidak mengejeknya, tidak mempersendakannya, dan tidak mencelanya. Sekiranya mahu atau menyukainya, dia boleh makan, dan sekiranya tidak mahu, maka dia boleh untuk tidak memakannya. Dan dalam hadis yang lain, apabila makanan tersebut sedap dan enak, maka dianjurkan memujinya ketika sedang menikmatinya. Jabir B. ‘Abdillah RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah meminta lauk daripada para isterinya. Maka para isterinya berkata, “Tiada apa di sisi kami kecuali khal (cuka).” Maka beliau pun meminta dibawakan cuka tersebut lalu beliau pun makan berlauk dengannya. Dan beliau mengatakan, “Lauk yang paling nikmat (enak) adalah cuka, lauk yang paling nikmat adalah cuka.” (Shahih Muslim, no. 2052)

Tetapi apabila ditanya kenapa kita tidak makan makanan tertentu, maka dibolehkan menyatakan alasannya dengan baik tanpa memburuk-burukkan makanan tersebut. Ini sebagaimana hadis di mana Rasulullah enggan makan makanan berupa daging dhab (biawak padang pasir). Apabila beliau ditanya sama ada dhab itu haram dimakan, maka Rasulullah mengatakan: “Dhab tersebut tidak terdapat di kampung halamanku (bukan makanan kebiasaan bagi masyarakatnya), jadi aku rasa tidak biasa dengannya (atau tidak selera terhadapnya).” (Shahih al-Bukhari, no. 5391, 5537)

15. Tidak Disukai Makan Sambil Bersandar
Kata Nabi SAW: “Aku tidak makan dalam keadaan bersandar.” (Shahih al-Bukhari, no. 5398, 5399. Bab Makan Sambil Bersandar)

16. Larangan Makan Dari Bekas Terbuat Dari Emas dan Perak
‘Abdurrahman B. Abi Laila mengkhabarkan: “Bahawasanya ketika mereka (orang-orang) berada di sisi Hudzaifah, Hudzaifah meminta minuman, maka seorang Majusi pun membawa untuknya minuman dalam sebuah bekas di tangannya. Lalu Hudzaifah pun melempar bekas tersebut dari tangannya lalu berkata: “Kalau bukan kerana aku telah melarangnya lebih dari sekali atau dua kali (tentu aku tidak melemparkannya).” Seolah-olah beliau mengatakan: “Aku tidak mahu melakukan seperti ini tetapi aku telah mendengar Nabi SAW bersabda: “Janganlah kalian memakai sutra, jangan kalian minum dari bekas terbuat dari emas dan perak, dan janganlah kalian makan di atas bekas yang terbuat dari emas dan perak. Kerana semua itu adalah untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia, dan untuk kita di akhirat kelak.” (Shahih al-Bukhari, no. 5426). Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW: “Orang-orang yang minum dengan menggunakan bekas terbuat dari perak sesungguhnya di perutnya akan bergelojak dengan api jahannam.” (Shahih al-Bukhari, no. 5634)

17. Makanan Yang Tidak Dimakan Hendaklah Ditutup
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila memasuki waktu malam (atau ketika senja), maka tahanlah anak-anak kalian (agar tidak keluar rumah) kerana Syaitan-syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Jika waktu malam telah berlalu beberapa ketika, maka lepaskanlah mereka. Kuncilah pintu-pintu dan sebutlah nama Allah kerana Syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup. Tutuplah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah walaupun hanya dengan meletakkan sesuatu (sebatang kayu) di atasnya di atasnya, dan matikanlah lampu-lampu kalian.” (Shahih al-Bukhari, no. 5623. Bab: Menutup Bekas-bekas Makanan) Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Matikanlah lampu-lampu apabila kamu tidur, dan tutuplah (kunci) pintu-pintu. Ikatlah (tutuplah) bekas-bekas minuman, dan tutuplah makanan-makanan dan minuman-minuman walaupun hanya sekadar dengan meletakkan sebatang kayu (lidi) di atasnya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5624)

18. Tidak Bernafas Ke Dalam Bekas Makanan atau Minuman
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu minum, maka janganlah dia menghembuskan nafasnya ke dalam bekas. Dan apabila salah seorang di antara kamu kencing, maka janganlah dia membasuh (menyentuh) kemaluannya dengan tangan kanannya. Dan apabila dia beristinja’, maka janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5630). Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Rasulullah SAW melarang perbuatan minum dari bahagian bekas yang retak, dan beliau juga melarang meniup ke dalam minuman.” (Sunan Abu Daud, no. 3722. Dinilai sahih oleh al-Albani)

19. Tidak Makan Makanan Yang Terlalu Panas
‘Urwah B. Az-Zubair RA berkata: “Bahawasanya pernah beliau (Asma’ B. Abi Bakr) membuat tsarid, beliau menutupnya sehinggalah asap panasnya hilang. Kemudian beliau berkata: “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya itu menambahkan barakah.” (Musnad Ahmad, no. 26958. Dinilai sahih oleh al-Albani dan hasan oleh Syu’aib al-Arnauth). Tsarid adalah makanan berupa campuran potongan-potongan roti dengan kuah daging.

20. Mengambil makanan yang terjatuh
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila makanan salah seorang dari kalian terjatuh, maka ambil dan bersihkanlah kotoran yang terdapat padanya dan kemudian makanlah, dan jangan biarkannya untuk Syaitan. Dan janganlah kalian bersihkan tangan kalian dengan kain pengelap sehinggalah terlebih dahulu ia dijilat. Kerana sesungguhnya kalian tidak tahu di bahagian manakah makanan tersebut mengandungi barakah.” (Shahih Muslim, no. 3793)

21. Larangan Minum Dari Bahagian Gelas Yang Retak
Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Rasulullah SAW melarang perbuatan minum dari bahagian bekas yang retak, dan beliau juga melarang meniup ke dalam minuman.” (Sunan Abu Daud, no. 3722. Dinilai sahih oleh al-Albani)

22. Membuang Kotoran Dari Minuman
Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Bahawasanya Nabi SAW melarang dari perbuatan meniup ke dalam minuman.” Seorang lelaki bertanya: “Adakalanya aku melihat sesuatu (kotoran) terapung di dalam bekas air.” Rasulullah pun berkata: “Keluarkanlah (kotoran tersebut).” Lelaki itu berkata lagi: “Bahawasanya aku tidak merasa puas dengan sekali tarikan nafas.” Rasulullah bersabda: “Kalau begitu, jauhkanlah bekas tersebut dari mulutmu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1887. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

23. Makan Dari Bawah Hidangan
Rasulullah SAW bersabda: “Makan dan makanlah dari bahagian bawahnya, dan jangan kamu makan dari bahagian atasnya. Kerana sesungguhnya barakah itu turun dari bahagian atasnya, maka makanlah darinya sehingga kenyang.” (Musnad Ahmad, no. 16006. Dinilai hasan sanadnya oleh Syu’aib al-Arnauth) Dalam riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabdsa: “Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka jangan ia makan dari bahagian atas hidangan, tetapi makanlah dari bahagian bawahnya. Kerana sesungguhnya barakah itu turun dari bahagian atasnya.” (Sunan Abu Daud, no. 3772. Dinilai sahih oleh al-Albani)

24. Larangan Minum Dari Bekas Tempat Menyimpan Air
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah SAW melarang minum secara langsung dari bekas simpanan air atau dari kantong air.” (Shahih al-Bukhari, no. 5627) Maka yang benar, hendaklah air dituang ke dalam bekas yang lain seperti gelas atau cawan mengikut jumlah kadar yang diperlukan, lalu kemudian barulah diminum.

25. Mengagihkan Minuman Bermula Dari Yang Paling Kanan
Anas B. Malik RA berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW diberikan dengan susu yang telah dibancuh air. Di sebelah kanan beliau ketika itu adalah seorang ‘Arab Badwi manakala di kiri beliau adalah Abu Bakr. Maka beliau pun meminumnya kemudian memberikannya kepada orang ‘Arab Badwi lalu beliau bersabda, “Yang paling kanan, kemudian yang kanan.” (Shahih al-Bukhari, no. 5619)

26. Tidak Berlebihan Dalam Makan
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya.” (Musnad Ahmad, no. 17186. Sunan at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi) Sambungan hadis dalam riwayat at-Tirmidzi: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi) Nabi SAW bersabda: “Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang-orang beriman makan dengan satu perut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5395. Bab: Orang-orang beriman makan dengan satu perut. Shahih Muslim, no. 2060)

27. Melazimi Makan dan Minum Dalam Keadaan Duduk
Anas RA berkata: “Nabi SAW melarang seseorang minum dalam keadaan berdiri.” Qotadah berkata, “Kami bertanya (kepada Anas): Bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)?” Maka katanya: “Itu lebih buruk atau menjijikkan.” (Shahih Muslim, no. 2024. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri) Abu Hurairah RA berkata: “Bahawasanya Nabi SAW pernah melihat seseorang minum dalam keadaan berdiri. Maka beliau pun berkata, “Tahan orang itu.” Orang tersebut pun bertanya, “Kenapa?” Maka Nabi berkata, “Sukakah sekiranya kucing turut minum bersama-sama denganmu?” Lelaki itu berkata, “Tidak.” Nabi pun menjelaskan, “Kerana sesungguhnya telah turut minum bersama-sama denganmu yang lebih buruk dari kucing, iaitu Syaitan.” (Musnad Ahmad, no. 8003. Dinilai sahih sanadnya oleh al-Albani)

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata: “Bahawasanya Nabi SAW mencela perbuatan minum dalam keadaan berdiri.” (Shahih Muslim, no. 2025. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri). Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah salah seorang di antara kamu minum dalam keadaan berdiri, sesiapa yang terlupa makan muntahkanlah.” (Shahih Muslim, no. 2026. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri). Al-Jarrud B. Al-Mu’alla radhiyallahu ‘anhu berkata: “Bahawasnaya Nabi SAW melarang perbuatan minum dalam keadaan berdiri.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1881). Hadis-hadis ini semuanya menjelaskan larangan makan dan minum dalam keadaan berdiri. Sekaligus menunjukkan keutamaan agar melazimi makan dan minum dalam keadaan duduk. Walaupun begitu tidaklah ia terlarang secara mutlak. Tetapi tetap dibolehkan makan dan minum dalam keadaan berdiri sekali-sekala sebagaimana perbuatan Nabi SAW sendiri dan berdasarkan perbuataan sebahagian sahabat yang bersamanya.

Ulama berbeza pendapat dalam memahami antara dalil-dalil yang melarang dengan perbuatan Nabi bersama-sama para sahabatnya yang menunjukkan dibolehkan perbuatan tersebut. Di antara dalil-dalil yang menunjukkan keharusannya adalah: An-Nazzaal berkata: “‘Ali radhiyallahu ‘anhu membawa air ke pintu masjid, kemudian beliau pun meminumnya dalam keadaan berdiri. Beliau berkata, “Sebahagian orang membenci minum dalam keadaan berdiri, sedangkan aku melihat sendiri Nabi SAW melakukannya sebagaimana yang engkau lihat aku melakukannya.”.” (Shahih al-Bukhari, no. 5615. Bab: Minum Dalam Keadaan Berdiri). Kata Ibnu ‘Abbas RA: “Nabi SAW pernah minum zam-zam dalam keadaan berdiri.” (Shahih al-Bukhari, no. 5617). Ibnu ‘Umar RA berkata: “Kami pernah makan di zaman Rasulullah SAW sambil berjalan dan minum dalam keadaan berdiri.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1880. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Imam an-Nawawi rahimahullah dalam Syarah Shahih Muslim (13/195) menyatakan larangan makan dan minum dalam keadaan berdiri tersebut adalah merujuk maksud makruh tanzih. Iaitu makruh yg menghampiri mubah, tidak disukai sekiranya dijadikan sebagai kebiasaan. Demikian juga yang dipegang oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari dan penyusun ‘Aunul Ma’bud, Abu Thayyib Al-Adzim Abadi rahimahullah. Adapun perintah memuntahkan minuman tersebut sekiranya terminum dalam keadaan berdiri, maka itu menunjukkan tuntutan bersifat sunnah (istihbab), bukan wajib. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah: “Sebaliknya yang benar berkaitan larangan beliau tersebut dibawa kepada makna makruh tanzih. Dan dalil yang menunjukkan beliau minum dalam keadaan berdiri tersebut menunjukkan keharusannya (dibolehkan). Adapun yang mengatakan adanya nasakh (pemansuhan hukum) atau selainnya, maka itu adalah salah. Kerana nasakh tidak boleh dilakukan ketika masih ada ruang kebarangkalian untuk menggabungkan di antara dalil-dalil yang ada walaupun setelah adanya tarikh (difahami mana dalil yang datang awal dan terkemudian).
Dan perbuatan Nabi SAW minum sambil berdiri tersebut menunjukkan hukum boleh (harus) kerana tidak mungkin kita katakan beliau melakukan sesuatu yang makruh (dibenci). Ini kerana beliau adakalanya melakukan sesuatu sekali atau berulang-ulang kali dalam rangka untuk menjelaskan (sesuatu hukum). Dan adakalanya beliau membiasakan sesuatu untuk menunjukkan keutamaan (sesuatu amal). Manakala perintah memuntahkan minuman jika seseorang terminum dalam keadaan berdiri maka ia dibawa kepada perintah istihbab (dianjurkan, bukan wajib). Menunjukkan, disukai bagi yang minum dalam keadaan berdiri agar memuntahkan yang diminum berdasarkan isyarat dari hadis yang sahih lagi jelas ini. Kerana apabila suatu kata perintah itu tidak dapat dibawa kepada makna wajib, maka ia dibawa kepada makna istihbab (anjuran).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/83)