Perkataan
berkat (barakah) bermaksud perkembangan dan kebaikan. Secara umumnya kita boleh
menyatakan maksud berkat (barakah) disini adalah memohon restu dari Allah SWT
agar dikurniakan kebaikkan yang berkembang . Berkat ini tidak syak lagi adalah
dengan keizinan Allah SWT . Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati
rezekinya , maka jika Allah kehendaki, dia akan memberi berkat kepada seseorang
itu, sebagaimana berkata Nabi Isa AS., firman Allah SWT: "Dan Dia
menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada" [Surah
al-Maryam ayat 31]
Allah
SWT adalah al-Mubaarik (pemberi restu/berkat) dan hamba-Nya adalah al-Mubaarak;
seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan didalam ayat diatas. Sifat
memberi berkat ini hanyalah milik Allah SWT, Berkat Allah adalah dimana sahaja
Dia letakkan, firmannya: "Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air
(hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya)" [Surah Qaaf ayat 9]
Allah
SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. tanda Allah SWT kasih kepada
hamba-hamba-Nya adalah Allah SWT memberi pertolongan, rahmat dan keberkatan
dalam kehidupan. Terdapat lima keberkataan kurniaan Allah SWT diberikan-Nya
kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya iaitu;
1.
Keberkatan pada umur.,
2. Keberkatan pada kehidupan berkeluarga.
3. Keberkatan pada rezeki.
4. Keberkatan pada berjemaah.
5. Keberkatan pada ilmu
Huraiannya:
Tanda-tanda keberkataan itu ada lima perkara seperti berikut:
Pertama:
Keberkatan Pada Umur - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik
manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan
baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang
umurnya tetapi buruk pula perbuatannya" [Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim]
Berdasar
kepada hadis tersebut apa yang dapat kita simpulkan bahawa amalan yang baik
yang menjadi fokus kepada nilaian Allah SWT.. Sekiranya kita diberi peluang
untuk hidup lama di muka bumi ini, tetapi kita tidak memanfaatkan untuk
kebaikan hidup di dunia dan bekalan akhirat ia adalah sia-sia. Tetapi sekiranya
kita menggunakan peluang umur yang panjang itu untuk berbuat baik ia mendapat
tempat terbaik disisi Allah. Inilah maksud umur yang diberkati Allah SWT.
Sebaiknya pula jika seseorang memiliki umur panjang sedangkan kejahatannya
melebihi kebaikannya ini bermakna tidak ada keberkatan pada umurnya dan bersiap
sedialah untuk memasuki Neraka.
Sabda
Nabi SAW. maksudnya: “Jika seseorang telah mencapai umur 40 tahun sedangkan
kebaikannya tidak lebih banyak dari kejahatannya maka syaitan akan mengusap
usap wajahnya sambil berkata; 'demi ayahku wajah ini tidak akan beruntung'
"
Dalam
riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya: “Siapa yang sudah berumur 40 tahun
sedangkan kebaikannya tidak lebih baik dari keburukannya, maka hendaklah ia
bersiap siap masuk Neraka”
Kedua:
Keberkatan dalam hidup berkeluarga - Keluarga yang berbahagia adalah keluarga
yang memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Sentiasa rukun damai dan lahir kasih
sayang di antara suami, isteri dan anak-anak. Saling nasihat menasihati, hormat
menghormati dan percaya mempercayai. di antara satu sama lain. Sikap rahmah
(kasih sayang) kepada pasangan hidup dan anak-anak merupakan tulang belakang
keharmonisan keluarga. Rasulullah SAW .memanggil Aisyah dengan panggilan yang
memanjakan, dengan gelar yang menyenangkan hati. Bahkan baginda membolehkan
seseorang berdiplomasi kepada pasangan hidupnya dalam rangka membangun kasih
sayang. Suami atau isteri harus mampu menampilkan peribadi yang dapat menimbulkan
rasa tenteram, senang kerinduan. Ingat, di atas rasa kasih sayanglah pasangan
dalam keluarga dapat melayari bahtera kehidupan dengan aman dan damai.
Tarbiyah
(pendidikan) merupakan keperluan asasi setiap manusia. Para suami yang telah
aktif dalam medan dakwah biasanya akan mudah mendapatkan hal ini. Namun, isteri
juga memiliki kemampuan untuk meneruskan tarbiyah ini untuk anak-anaknya.
Nafkah yang halal merupakan tanggung jawab suami untuk ahli keluarganya Itulah
sebabnya Rasulullah SAW. meluluskan permintaan taklim (pengajaran) para wanita
muslimah yang datang kepada baginda. Baginda memberikan kesempatan khusus bagi
pembinaan wanita dan kaum ibu . Jika tidak berjalan tarbiyah dalam keluarga
maka akan berlaku pergeseran, pertengkaran dan pergaduhan yang tidak
berkesudahan hingga membawa kepada penceraian.
Keluarga
yang diberkati Allah SWT. akan melahirkan ciri-ciri Baitul Muslim dalam
keluarga tersebut dan keluarga yang tidak mendapat keberkataan melahirkan
pergolakkan dan perselisihan samaada di antara suami isteri dan juga di antara
ibu bapa kepada anak-anaknya. Oleh itu jadikanlah Islam sebagai panduan hidup
berkeluarga barulah mendapat rahmat ,ketenangan dan keberkatan daripada Allah
SWT.
Ketiga:
Keberkatan Pada Rezeki - Rezeki yang berkat adalah rezeki yang diperolehi
daripada sumber-sumber yang halal. Dan digunakan pula rezeki tersebut untuk
kebaikan dan di jalan Allah SWT. Apabila kita mensyukuri rezeki Allah SWT maka
Allah SWT akan memberkati hidup kita dan Dia akan memberi tambahan rezeki
dijalan yang tidak disangka-sangka.
Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang
dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat
orang mencukupi untuk lapan orang.” [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]
Setiap
Mukmin hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada
tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah
ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan
rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat
qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan ‘Alhamdulillah’
di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
Rasulullah
SAW. pernah bersabda yang maksudnya, “Tiada seorangpun yang berdo'a kepada
Allah dengan suatu do'a, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu
daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan do'anya di dunia,
disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya
daripada musibah (bencana) yang serupa.” [Hadis riwayat at-Tabrani]
Rezeki
adalah ketentuan Allah SWT. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan
diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain
kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih
disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat
hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati
adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan
kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
Kita
sering mendengar berita orang kaya rezekinya melimpah ruah tetapi hidup
keluarganya porak peranda, anak-anaknya menjadi penjenayah dan penceraian
berlaku di antara suami istari. Ini menunjukkan tidak ada keberkatan rezeki
yang mereka perolehi ada sesuatu yang tidak kena maka berlakulah keadaan
seperti ini. Kita juga mendengar suatu keluarga yang pendapatannya kecil
menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yan berakhlak
mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada
keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Dari
Abu Hurairah RA. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi
(pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui
menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan
bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya,
sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya
tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan
apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada
apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” [Hadis riwayat Abu Naim]
Oleh
itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana
kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. Dan pastikan sumber rezeki
yang kita perolehi dari sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah
SWT semasa mencari rezeki, rezeki yang diperolehi akan diberkati dan hidup kita
akan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT.
Keempat:
Keberkatan Hidup Berjemaah - Hidup kita di dunia ini tidak boleh berseorangan
kita perlu kepada berjemaah. Hidup berjemaah akan membawa keberkatan sedangkan
hidup tanpa jemaah akan membawa kepada kehancuran.
Daripada
Huzaifah RA berkata: “Orang-orang Islam yang lain bertanya Rasulullah SAW tentang
kebaikan dan saya bertanya Rasulullah tentang kejahatan, kerana saya bimbang
(takut) saya terjatuh kedalam kejahatan, lalu saya berkata kepada Rasulullah
SAW,: “Ya Rasulullah, kami sesungguhnya berada di dalam keadaan jahiliah dan
kejahatan, tetapi Allah hantarkan kebaikan, apakah ada selepas kebaikan ini
kejahatan?”
Rasulullah
SAW menjawab: “Ya ada”
Kemudian
saya bertanya lagi, “Apakah selepas kejahatan ini ada kebaikan?”
Rasulullah
SAW menjawab “Ya ada, tetapi di dalamnya ada dakhan”
Kemudian
saya bertanya kepada Rasulullah SAW “Apakah dakhan itu?”
Rasulullah
SAW menjawab “Yang di maksudkan dakhan itu adalah suatu kaum yang mengambil
suatu peraturan lain dari Sunnahku dan mengambil Petunjuk lain dari Petunjukku,
kamu kenal mereka maka hendaklah kamu tolak mereka.”
Saya
bertanya lagi: Adakah selepas itu (kebaikan), ada lagi kejahatan?”
Rasulullah
SAW menjawab: “Ya ada, iaitu pendakwah (penyeru) yang berada di tepi jurang
neraka, siapa yang menyahut seruan mereka akan di campakkan kedalam neraka”
Saya
bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perintahmu jika saya sampai pada masa itu (iaitu
masa penyeru-penyeru yang menyeru di tepi jurang neraka)?”
Rasulullah
SAW menjawab: “Hendaklah kamu duduk bersama-sama Jemaah Muslimin dan ikut imam
mereka” {Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud]
Hidup
kita akan mendapat keberkatan jika kita duduk di dalam jemaah. Rasulullah dan
sahabat-sahabat baginda hidup bersama jemaah Islam yang dibentuk oleh baginda.
Di dalam jemaah inilah berlakunya proses tarbiyah imaniah berjalan hingga
melahirkan satu generasi umat Islam yang paling baik dalam sejarah manusia.
Hasil dari jemaah ini melahirkan Daulah Islamiyah yang mendaulatkan hukum-hukum
Allah SWT .Berjemaah membawa berkat dan perpecahan membawa azab.
Kelima:
Keberkatan Pada Ilmu - Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat
adalah ilmu syar’i (ilmu Islam). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh
Allah SWT. dan Rasulullah SAW, ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh
Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara
’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan
pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat
pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya
suka atau tidak suka”.
Mengenai
ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala
ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan
ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih dipelajari,
selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan
mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan
kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk
rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang
lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada
pengarang kitab tersebut.
Ilmu
yang berkat adalah ilmu yang difahami, dilaksanakan dan disampaikan pada orang
lain. Ilmu yang berkat juga akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT
Marilah
sama-sama kita muhasabah balik pada diri kita kenapakah sering kita mengalami
kerisauan, jiwa sentiasa tidak tenang dan tekanan hidup yang semakin meningkat.
Jika kita kaji pasti kita akan dapat jawapannya iaitu tidak wujud keberkatan
dalam hidup kita. Iaitu tidak ada keberkatan pada umur, hidup berkeluarga,
rezeki , berjemaah dan pada ilmu. Oleh itu perlulah kita kembali kepada Allah
SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya
insya Allah rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT akan kita perolehi. - Cahaya ilmu
No comments:
Post a Comment