DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, August 4, 2013

Penawar Hati

Antara semua makhluk ciptaan Allah SWT, manusia adalah ciptaannya yang paling sempurna. Selain lengkap dengan tujuh pancaindera, Allah juga mengurniakan akal dan fikiran bagi memudahkan manusia membuat pertimbangan. Walaubagaimanapun, akal dan fikiran dikendalikan oleh seketul daging di dalam tubuh manusia yang dikenali sebagai hati. Hati diibaratkan sebagai raja dalam sebuah negeri. Hati jugalah yang memerintah seluruh anggota badan supaya bertindak sesudah mendapat arahan serta bertindak mengikut arahan. Tindakan yang dilakukan itu sama ada berupa kebaikan atau kejahatan, ia banyak bergantung kepada hati itu sendiri. Hati adalah anggota tubuh manusia yang paling mulia. Hati terletak di dalam dada. Ia dilindungi dan dikelilingi oleh seluruh anggota tubuh sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang raja.
Hati tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi tindakan yang diambil oleh hati dapat dilihat pada perilaku seseorang seperti kesabaran, keilmuan, kemuliaan, cinta, kehendak, kerelaan dan pelbagai lagi yang terpancar pada diri manusia itu. bukan hanya kebaikan sahaja, tetapi boleh berupa tindakan yang berunsur kejahatan termasuklah perbuatan yang mengingkari perintah Allah. Marah, benci, dengki, sombong dendam adalah antara perbuatan tersebut. Semua anggota tubuh kita sama ada yang dapat dilihat atau tidak , termasuklah segala kekuatannya adalah benteng kepada hati.

Mata dan hati mempunyai hubungan erat yang tidak boleh dipisahkan. Segala yang dilihat oleh mata terus dihantar ke hati. apabila mata melihat sesuatu, mata dengan cepat menghantar isyarat ke hati. kemudian hati segera membuat tindakan susulan. Apa pun tindakan yang dibuat oleh anggota tubuh selepas menerima arahan daripada hati tidak akan terlepas begitu sahaja pada hari akhirat. Semua anggota tubuh dipertanggungjawapkan dan menjadi saksi setiap perkara yang dilakukan semsa hidup di dunia.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Al-Qur'an, maksudnya: "sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawapannya" (Surah Al-Israk, ayat 136) Ayat ini menjelaskan, telinga, mata, hati dan seluruh anggota badan dipertanggungjawapkan atas apa juga perkara yang dilakukan semasa di dunia. mata yang melihat, telinga yang mendengar, dan hati yang mengeluarkan arahan akan diminta menjadi saksi.

Sekiranya hati seseorang itu sering membuat keputusan yang berpandukan dengan ajaran Al-Qur'an, maka berbahagialah mereka yang mempunyai hati seperti ini. Tetapi sekiranya memiliki hati yang sering membuat keputusan yang berpandukan kepada hasutan syaitan, hanya kebinasaan sahaja yang akan menimpa mereka. Abu Hurairah melaporkan dalam sebuah hadis; "Hati adalah umpama raja dan anggota badan adalah sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, maka pengawalnya tentu bertugas dengan baik. apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, maka sudah tentu pengawalnya pun begitu juga".

Hadis ini diperkuatkan lagi dengan pengakuan Rasulullah SAW: "Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh badan ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badannya, dan sekiranya buruk, maka buruklah keseluruhannya. ketahuilah ia adalah hati"
Hati juga ssering dikaitkan dengan kehidupan dan kematian..... Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Hatilah punca segala-galanya. Jika tidak berpunca dari hati yang kotor, manusia tidak akan melakukan maksiat terhadap penciptanya. Namun, kita sentiasa tidak menghiraukan gelagat hati kita. Kita sering biarkan hati kita dikotori titik-titik hitam dan dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang menjijikan. Lantas, hasilnya segala gerak-geri yang dipertontonkan melencong dari jalan yang dikehendaki Allah SWT.

Al-Quran yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW merupakan mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, bahkan ia juga sebagai ubat bagi mengubati hati yang berpenyakit. Dengan kita melazimi membacanya dan mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, akan memperolehi ketenangan hati yang akan menyebabkan hati sentiasa tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang”.

Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan mengubati segala penyakit yang tersemat dihati kerana dengannya hati akan beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT serta menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa yang sedikit makannya, sihatlah perutnya dan bersihlah hatinya. Barangsiapa yang banyak makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah hatinya”.

Sabda Rasulullah SAW lagi: “janganlah kamu matikan hati kamu dengan membanyakan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati”.
Seterusnya, diantara ubat bagi mengubati hati ialah dengan sentiasa bangun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari melakukan dosa serta mendapat keredhoan dari Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa mengingati ummatnya: “hendaklah kamu bangun malam (beribadat) walaupun hanya mengerjakan satu rakaat solat”. Oleh itu, bagi memastikan hati kita dalam keadaan sentiasa bersih dari segala penyakit, hendaklah kita melazimi dengan membanyakan beribadat kepada Allah disepertiga malam kerana waktu itulah Allah SWT turun ke langit dunia bagi melihat siapa diantara hambanya yang berjaga malam, beribadat kepadanya.

Begitu juga, hati akan terubat dari segala penyakit dengan sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku, perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Berkata Luqman Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, sentiasalah kamu berada dalam majlis alim ulama (orang-orang yang soleh) dan dengarlah kata-kata hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan siraman hujan yang lebat”.

Berkata seorang hukama’: “Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah kebun di atas dunia ini, barangsiapa yang masuk ke dalamnya maka bahagialah hidupnya. Kemudian ditanya padanya: “apakah kebun itu?, lantas dijawab bahawa kebun itu adalah majlis-majlis ilmu (mengingati Allah).
Begitulah di antara penawar-penawar yang digariskan oleh ulama bagi mengubati hati-hati kita dari segala penyakit yang menyebabkan gerak geri yang dipertontonkan oleh kita melencong ke arah kemurkaan Allah SWT. Mudah - mudahan kita digolongkan dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa dalam keadaan hati bersih dari segala penyakit-penyakit yang menyebabkan kita lalai mengingati Allah SWT.

No comments: