Mari
kita kongsi ilmu mengenai islam dari dua sumber asas, Al-Quran dan Hadith. “Aku
tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang
dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” (Hadis
riwayat al- Hakim)
APA
ITU AL-QURAN NI?
Al-Quran
ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
melalui perantaraan Jibril AS., ditulis dalam mashaf, dipindahkan kepada kita
secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya. Susunan Al-Quran terdiri
daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan Al-Quran mengandungi
323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6,236 ayat, 114 surah, 30 juzuk, 60 hizib.
APA
KELEBIHANNYA?
Antara
kelebihan Al-Quran ialah:-
1.
Mukjizat teragung
2.
Mukjizat Nabi yang kekal hingga hari Kiamat
Sabda
Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:- "Dan kelebihan kalamullah ke atas
seluruh kalam (perkataan) seperti kelebihan Allah ke atas sekalian
kejadian-Nya."
MACAM
MANA AL-QURAN BOLEH SAMPAI PADA KITA?
Al-Quran
diturunkan melalui beberapa peringkat iaitu:-
1.
Al-Quran diturunkan ke Luh Mahfuz, Cara turun dan wujudnya Al-Quran di Luh
Mahfuz pada waktu yang tidak diketahui kecuali Allah. Firman Allah SWT yang
bermaksud:- "Bahkan ialah Al-Quran yang mulia. Diturunkan ke Luh
Mahfuz."
2.
Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di Langit Dunia pada Lailat al-Qadr dalam
satu jumlah (sekali gus).
3.
Al-Quran diturunkan dengan perantaraan Jibril AS. kepada Nabi Muhammad SAW.
secara beransur-ansur.
MACAM
MANA PULAK CARA PENURUNAN WAHYU?
1.
Melalui mimpi seperti mimpi Nabi Ibrahim AS. menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.
2.
Melalui suara seperti Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa AS.
3.
Wahyu turun seperti bunyi loceng
4.
Melalui Jibril AS. kepada Nabi Muhammad SAW. dalam bentuk manusia
APA
LAGI NAMA-NAMA KITAB SUCI DAN JUMLAHNYA?
Oleh
sebab ramai Rasul utusan Allah, banyak catatan dan pesanan yang disampaikan.
Ada yang disebut sebagai lembaran-lembaran (suhuf) dan ada pula dalam bentuk
buku (kitab). Suhuf diturunkan kepada Nabi Ibrahim AS. dan Nabi Musa AS..
Manakala kitab pula diturunkan kepada Nabi-Nabi berikut:-
1.
Kitab Al-Taurat diturunkan kepada Nabi Musa AS.
2.
kitab Al-Zabur diturunkan kepada Nabi Daud AS.
3.
Kitab Al-Injil diturunkan kepada Nabi Isa AS.
4.
Kitab Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
KENAPA
DINAMAKAN KITAB SUCI?
1.
Bebas daripada campur tangan manusia
2.
Kandungan sesuai dengan fitrah manusia
3.
Kandungannya tidak bercanggah di antara satu sama lain
APA
KEISTIMEWAAN AL-QURAN?
Perbezaan
lebih khusus antara Al-Quran dengan ucapan yang lain (hadis Qudsi dan hadis
Nabawi) ialah Al-Quran merupakan firman Allah SWT, di turunkan dengan lafaz dan
makna yang jelas dengan perantaraan Malaikat Jibril AS, kemudian tersebar dalam
bentuk-bentuk tetap dan tidak dapat ditiru dan mendapat jaminan Allah SWT. Ini
berdasarkan firman-Nya yang bermaksud:- "Sesungguhnya Kamilah yang
menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."
APA
FADHILAT MEMBACA AL-QURAN?
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:- "Daripada Ibnu Mas'ud RA. katanya
Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah
(Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan diganda sepuluh. Aku
tidak bermaksud (Alif Lam Mim) itu satu huruf akan tetapi Alif itu satu huruf,
Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf." (Riwayat al-Tirmizi)
APA
PULAK FADHILAT MENGAJAR AL-QURAN?
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:- "Sesiapa yang mengajar Al-Quran kepada
anaknya secara melihat mushaf, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu dan
yang terkemudian dan sesiapa yang mengajar secara menghafaz, Allah akan
membangkitkannya di hari akhirat seperti bulan purnama dan dikatakan kepada
anaknya, bacalah! Tiap-tiap kali dia membaca satu ayat daripadanya Allah
mengangkat darjat bapanya hinggalah sampai akhir ayat yang dihafaznya
APA
ITU HADITH?
Dalam
kitab-kitab hadith didapati hadith Qudsi. Ulama' hadith mengatakan bahawa
hadith Qudsi itu: ialah perkataan Nabi SAW yang disebut dengan mengatakan Allah
bertitah , disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadanya.
Hadith Qudsi: ialah titah Allah yang disampaikan kepada Nabi SAW di dalam mimpi
atau dengan jalan ilham, lalu Nabi SAW menerangkan apa yang disampaikan itu
kepada umatnya dengan ibarat atau susunan perkataannya sendiri serta menyandarkan
kepada Allah; sedang hadith-hadith yang lain tidak demikian itu. Hadith Qudsi
itu dinamakan juga Hadith Ilahi atau Hadith Rabbani. Dan pernah pula dibezakan
Hadith Qudsi dengan yang lainnya; iaitu segala hadith yang bersangkut dengan
kebersihan atau kesucian zat Allah dan sifat-sifat kebesaran dan kemuliaanNya.
[Kitab al-Dar al-Nadid min Majmu'ah al-Hafid]
Contoh
Hadith Qudsi itu, Rasulullah SAW bersabda: "Firman Allah SWT: Tiap-tiap
amal anak Adam untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu, dan
Aku akan memberi balasan dengannya. Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang
kamu berpuasa janganlah ia memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk-pikukkan;
maka jika dia dimaki oleh seorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia katakan:
aku ini berpuasa." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim) Rasulullah SAW
bersabda: "Firman Allah SWT: Aku menurut persangkaan hambaKu dan Aku
bersamanya di mana saja ia sebut (ingat) akan daku." (Hadith riwayat
Bukhari & Muslim)
Hadith
ini penting sebagai sumber ilmu agama. Hukum wajib, harus, halal, haram, sunat
etc boleh datang dari hadith (selain dari Al-Quran). Hadith boleh ditolak jika
ianya hadith palsu. Contoh hadith palsu paling popular ialah hadith berkenaan
kelebihan berpuasa selama 30 hari. Yang selalu dok siar kat TV dan radio kita.
Rasanya kebelakangan ini pun telah tak diwar-warkan lagi sekarang ini sebab
makin ramai orang sudah ambil tahu berkenaan dengan hadith.
Ada
beberapa kategori hadith:
1. Sahih (authentic)
2. Hasan (good)
3. da'if (weak)
4. maudu' (palsu)
Yang
dua pertama tu selalu diguna untuk buat hukum dalam agama (wajib, haram, halal
etc) sedangkan yang dua kemudian tak boleh. Hadis da'if hanya untuk memberi
semangat (fadilat). Hadith maudu' atau palsu, tertolak terus, tak boleh pakai. Selalu
juga ajaran sesat menggunakan hadith palsu untuk mengelirukan pengikutnya.
Kitab
hadith yang paling muktabar ada enam juga dikenali sebagai Sunan Sittah. Ianya:
1.
Sahih
Bukhari
2.
Sahih
Muslim
3.
Sunan
Abi Da'ud
4.
Sunan
al-Tirmidhi
5.
Sunan
al-Sughra (al-Nasa'i)
6.
Sunan
Ibn Majah
Yang paling autentik mengikut ulama ialah Sahih Bukhari dan Muslim.
Hadith
ada berapa banyak? Memang banyak. Imam Ahmad bin Hambal, imam kepada mazhab
Hambali sendiri menghafal hadith sebanyak 300,000. Itu baru seorang Imam besar,
tak ambil kira yang lain-lain lagi. Dengan lain kata, hadith ni memang banyak.
Tapi nanti kena tapis yang mana sahih, da'if dan maudu'. Itu bukan kerja kita.
Kita rujuk dari ulama-ulama hadith.
Kedudukan
Hadis di dalam Islam
Kedudukan
hadith dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diragukan kerana terdapat
penegasan yang banyak di dalam al Quran tentang hadith – di dalam al Quran
disebut sebagai al Sunnah – malahan dalam banyak tempat hadith disebutkan
selari dengan al Kitab ataupun al Quran. Di dalam al Quran juga disebutkan
dengan ketaatan terhadap Rasulullah SAW yang disebutkan bersama dengan
ketaataan kepada Allah. Ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam al Quran di
dalam firman Allah seperti;
·
Maksudnya;
“Dan taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu adalah orang-orang yang beriman”
(surah al Anfāl: ayat 1)
·
Maksudnya;
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan
yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan,
akan ada bagi mereka pilihan yang lain bagi urusan mereka” (surah al Ahzāb:
ayat 36)
·
Maksudnya;
“Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang
dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (surah al Hasyr : ayat 7)
Dengan
penegasan al Quran di atas, jelaslah bahawa hadith tidak dapat dipisahkan
penggunaannya di dalam segala hal yang berkaitan dengan Islam selari dengan al
Quran. Sesetengah pengarang menyebutkan mengenai 5 fungsi hadith yang utama –
dalam sesetengah buku cuma disebut 4 – iaitu;
·
Penguat
dan penyokong kepada hukum-hukum yang terdapat di dalam al Quran seperti dalam
perkara pengsyariatan sembahyang, puasa dan haji.
·
Penghurai
dan pentafsir bagi ayat-ayat al Quran yang umum seperti memperjelaskan mengenai
cara perlaksanaan sembahyang, kaedah jual beli, menunaikan zakat dan haji dan
sebagainya yang mana perkara-perkara tersebut hanya disebutkan secara umum oleh
al Quran.
·
Menjadi
keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tiada di dalam al Quran
seperti dalam hal memakan haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih
seperti anjing yang mana buruan tersebut terdapat kesan dimakan oleh haiwan
pemburu terlatih tadi dan kesan tersebut menunjukkan haiwan pemburu tadi
menangkap buruan untuk dirinya sendiri. di dalam al Quran hanya dibenarkan
memakan buruan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih. Maka dalam hal ini,
hadith menerangkan bahawa buruan yang mempunyai kesan dimakan oleh haiwan
pemburu adalah haram dimakan.
·
Menasakhkan
hukum yang terdapat di dalam al Quran.Sesetengah ahl al Ra’y berpandangan
bahawa hadith yang dapat menasakhkan hukum al Quran itu mestilah
sekurang-kurangnya bertaraf Mutawatîr, Masyhûr ataupun Mustafhîdh.
·
Menerangkan
mengenai ayat yang telah dinasakh dan ayat mana yang telah dimansukhkan.
Dalam
menentukan fungsi-fungsi bagi hadith ini, para ulama bersepakat dalam
menentukan fungsi pertama dan kedua tetapi mereka masih berselisih dalam
menentukan fungsi ketiga, keempat dan kelima. Menurut ulama Hanafiyyah,
hadith-hadith Mutawatîr dan Masyhûr boleh menasakhkan hukum al Quran manakala
Imam Syafie sendiri menolak penasakhan itu. Di dalam bidang ibadat, hadith
memainkan peranannya dalam menghuraikan maksud ayat-ayat al Quran mengenai
pengsyariatan sesuatu bentuk ibadat dengan lebih jelas. Tambahan pula, hadith
juga memperincikan lagi masalah-masalah yang berhubung dengan pelaksanaan
sesuatu ibadat sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.
Dalam
bidang hukum atau undang-undang, hadith memperincikan hukuman-hukuman dan undang-undang
yang terdapat di dalam al Quran seperti hukuman terhadap penzina. Hadith juga
berbicara meliputi soal-soal yang berhubung dengan keadilan sosial, ekonomi dan
politik. Hadith juga menerangkan mengenai hal-hal mengenai masalah-masalah
perseorangan dan kekeluargaan seperti soal nikah, cerai dan talak. Begitu juga
kita tidak menemui secara khusus tentang larangan al Quran terhadap amalan
rasuah dan menyorok barang dagangan dan perkara-perkara ini diterangkan di
dalam hadith.
Mengenai
ilmu pengetahuan pula, tidak sedikit ilmu yang boleh kita korek dari hadith
bagaikan satu dasar yang tidak diketahui kedalamannya sama ada ilmu sejarah –
sejarah penciptaan alam dan bangsa-bangsa terdahulu -, ilmu nasab, ilmu
sosiologi, bahasa, sastera, budaya dan banyak lagi. Tambahan pula, hadith juga
menggalakkan manusia agar berusaha menuntut ilmu dan memperbaiki diri. Manakala
dalam soal pembentukan akhlak pula, maka sememangnya pengutusan Rasulullah SAW
itu sendiri adalah untuk membentuk akhlak yang mulia.
No comments:
Post a Comment