Doa kadang-kadang minta lain tapi buat lain
malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta tapi kita sebut ‘Aamiin’.
Adakala kita tidak dapat apa yang kita minta, kalau dapat pula adalah berlainan
dari apa yang kita pinta. Dimana salahnya doa kita atau cara berdoa,
ketertipannya atau lansung tiada kesungguhan dihati maka pekenanan Allah
terhadap doa kita penuh dengan tanda tanya dan perkara yang tersembunyi.
Sesetengah dari kita bila imam baca doa kita di belakang
main sebut saja, ‘Aamiin’ tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca. Lansung
tidak tersentuh dihati pada doa-doa yang dibaca. Susahnya mahu berdoa atau kita
tak perlu pun berdoa
Doa sebenarnya permintaan,
kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham, barulah masuk ke hati dan sedar
apa yang kita minta. Bila faham semasa berdoa sangat menolong kita mencarinya selepas berdoa
dalam kehidupan seharian. Kalau main minta atau main angkat tangan saja
sedangkan tak faham apa-apa boleh dianggap bermain-main dengan doa.
Sudah puluhan tahun kita meminta perkara sama tapi tak
dapat-dapat. Sebenarnya bukan Allah tak
perkenankan tapi kita sendiri yang hanya pandai minta tetapi tak pandai cari. Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan. Antara
yang kita mesti minta setiap hari sebanyak 17 kali sehari semalam ialah ‘Ihdinassiratal
Mustaqim’ ataupun maksudnya ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’ Besarnya doa
ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17
kali sehari.
Doa ini tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji
Allah dahulu bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia adalah Tuhan
yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Besarnya juga doa ini ia tidak
didahulukan melainkan kita berikrar mengaku sebenar-benarnya hanya Allah, Tuhan
yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan. Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’. Tahukah kita apa jalan yang lurus itu? kalau tak tahu
kena belajarlah sebab jalan yang lurus itu sangat penting.
Bila kita belajar secara
mendalam kita mendapati jalan itu adalah iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiganya
adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati
seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat
jalan yang lurus. Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum
dapat lagi.
Cubalah muhasabah diri kita sejauh
mana kita bersungguh-sungguh ketika berkomunikasi dengan Allah. Paling kurang
ayat Al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti
biarlah selari seiring dan sejalan. Bermakna perlu ada adap, ada kesungguhan,
ada kehendak yang tinggi atas kelemahkan kita sebagai hambaNya
Antara adab-adab yang biasa
dilakukan ialah berada dalam keadaan bersih, berwuduk dan menghadap kiblat. Selain
itu, semasa berdoa hendaklah memuji Allah, dan berselawat ke atas Nabi SAW, juga kesungguhan dengan
mengangkatlah kedua belah tangan ke paras bahu ketika berdoa dan
hendaklah menyapu
ke muka apabila selesai membaca doa. Ia sesuai dengan sebuah
hadia yang bermaksud: Apabila kamu memohon kepada Allah Taala (berdoa) maka
pintalah dengan perut-perut tapak tangan kamu dan janganlah kamu memohon akan
dia dengan belakang tangannya, kemudian janganlah kamu mengembalikan dia
sehingga kamu menyapu dengannya akan muka kamu, maka sesungguhnya Allah
menjadikan padanya berkat, Riwayat Abu Daud
Percaya dan yakin sepenuh
hati dengan apa yang didoakan supaya diperkenankan oleh Allah. Ini juga
membuatkan kita akan bersungguh-sungguh semasa berdoa. Berdoalah dengan penuh khusyuk dan tawadhuk
serta perlahankan suara (merendah diri), sebagaimana tersebut
dalam surah al-A’raf ayat 55: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah
diri dan secara perlahan (tersembunyi) kerana sesungguhnya Ia tidak suka kepada
orang-orang yang melewati batas”.
Itulah antara adab-adab yang
menunjukkan kita ni hamba yang kerdil, yang memohon sepenuhnya kepada pencipta
yang satu. Kalau kita pergi rumah kawan pun ada adab-adab tertentu sebagai
orang melayu juga sebagai orang Islam, lebih-lebih lagi yang diciptakan,
tentulah ada adab-adab juga kan?
1. Doa adalah permohonan kepada
Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang
berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri,
kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya. Ramai
orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa
merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan
dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya), “Berdoalah
kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah
al-‘Araf, 55). Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab,
merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu
kemakbulan.
2. Bersangka buruk kepada Allah
seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan
perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang
memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah: (maksudnya): “Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):
Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang
berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu
(dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya
mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186). FirmanNya juga: (maksudnya), “Dan
Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60). Doa yang dilakukan dengan penuh
penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.
3. Maka seseorang hamba yang berdoa
hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya.
Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap
penerimaan Allah. Sabda Nabi SAW: “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan
kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima
doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih
oleh al-Albani).
4. Namun, waktu dan ketika yang
dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah.
Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang
berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya.
Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa
betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan
putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi SAW : « Sentiasa doa dimustajabkan untuk
seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa,
atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya
baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata :
aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun
dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa »
(Riwayat Muslim).
5. Cara bagaimana Allah
memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin
tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu
yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta
kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia. Namun
Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh
memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan
kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik,
anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai
ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Maka insan hendaklah
jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia
sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban
doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa
yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu
insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi SAW : “Tiada
seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau
memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu
dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan
pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”.
(Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).
6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah
lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab
itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi
atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah
ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya
sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia
beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi SAW : “Doa itu adalah ibadah” (Riwayat
Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Adapun berdoa selain
Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman
Allah: (maksudnya): “Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain
Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang
mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari
permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat),
segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya)
dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).
7. Kehidupan ini mempunyai
rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya
pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang
kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha
Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita
selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa
hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah
menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar. Seseorang mungkin merasakan doa
yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang
dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus
asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum
dimustajabkan.
8. Dukacita dan keperitan hidup
menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa
insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang
kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa
mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan
tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian
insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal
merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang
hakiki.
9. Marilah kita teruskan doa, baiki
diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini.
Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum
tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan
putus asa berdoa kepadaNya agar kita menjadi hambaNya yang bersyukur dan
terpelihara dari segala kemungkaran.
3 comments:
GOOD
good
Yaa Allah,Yaa Rahman, Yaa Rahiim,Yaa Robbal 'aalamiin, limpahkanlah berkah, Rahmat, danRizki yg melimpah kpd kami sekeluarga. Selamatkanlah kami dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Post a Comment