“Dan
mereka tidak diperintah, kecuali hanya untuk beribadah kepada Allah dengan penuh
keikhlasan di dalam menjalankan ajaran agama”. (Al-Bayyinah: 5). Keikhlasan adalah
inti dan ruh ibadah. Ibnu Hazm berkata, niat adalah rahsia peribadatan. Kedudukan
niat terhadap amal adalah sama dengan kedudukan ruh terhadap jasad. Mustahil apabila
suatu ibadah itu hanya berupa amalan yang tidak ada ruhnya sama sekali, seperti
jasad yang tidak bernyawa. Ikhlas adalah asas samada diterima atau ditolaknya sesuatu
amalan dan ia merupakan kunci samada:
1.
Untuk menuju kemenangan atau kerugian yang abadi.
2.
Untuk merintis jalan menuju syurga atau neraka.
Apabila
keikhlasannya itu cacat maka ia akan membawa pelakunya menuju neraka, tetapi apabila
keikhlasan mampu direalisasikan, maka ia akan membawa pelakunya menuju syurga.
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan
amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah
kepada Tuhannya”. (Al-Kahfi: 110)
MAKNA
IKHLAS
Ikhlas
berasal dari perkataan ‘khalasha’, yang memberi erti kejernihan dan hilangnya segala
sesuatu yang mengotorinya. Oleh yang demikian, perkataan ikhlas menunjukkan kepada
sesuatu yang jernih, bersih dan bebas dari campuran dan kotoran. Di antara makna
ikhlas lagi menurut ulama’ adalah:
“Amal
yang dilakukan hanya kerana Allah, tidak untuk selain Allah”
“Keikhlasan
itu adalah berusaha melindungi amal yang dilakukan dari pengetahuan makhluk termasuk
dari pengetahuan dirimu sendiri….”
Fudhail
bin Iyadh berkata: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riya’, beramal kerana
manusia itu syirik. Ikhlas itu adalah engkau beramal dan engkau dilindungi Allah
dari kedua keadaan tadi.”
Ya’qub
Al Makhfuuf berkata: “Orang yang ikhlas adalah yang menyembunyikan kebaikannya sebagaimana
ia menyembunyikan keburukannya.”
Ibnu
Taimiyah mengatakan: “Orang yang Ikhlas (mukhlis) adalah orang yang tidak peduli
bila ia tidak dianggap baik di hati manusia demi kebaikan hatinya dengan Allah dan
dia tidak ingin menampakkan amalnya meskipun hanya sebiji sawi kepada orang lain.”
Manakala
Ibnul Qayyim pula berkata dalam kitab Madarij As Saalikin: “Barangsiapa yang bersaksi
atas keikhlasan dirinya, maka keikhlasannya itu memerlukan keikhlasan. Kayu ukur
kekurangan orang yang ikhlas dalam keikhlasannya ialah sejauh mana ia merasakan
dirinya ikhlas, bererti dialah seorang ikhlas dan benar-benar ikhlas.”
Ibnu
Taimiyah menceritakan bahwa Abu Hamid Al Ghazali pernah mendengar kata-kata hikmah
yang menyebutkan bahwa barangsiapa yang berbuat ikhlas semata-mata kerana Allah
selama 40 hari maka akan memancar hikmah dalam hati orang tersebut melalui ucapannya.
Abu
Hamid Al Ghazali mengatakan: “Maka aku berbuat ikhlas selama empat puluh hari, tapi
ternyata tidak memancar apa-apa dariku lalu aku sampaikan perkara ini kepada sebahagian
ahli ilmu, di antara mereka mengatakan: “Sesungguhnya engkau ikhlas hanya untuk
mendapatkan hikmah dan bukan kerana Allah semata-mata…”
IKHLAS
MODAL TERBESAR
Modal
terbesar kita adalah keikhlasan. Itulah inti kekuatan kita dalam berjalan , beramal
dan berjuang. Sungguh, keikhlasan menjadi suatu kata-kata yang kerap kita dengar
tapi jarang kita mendapati wujudnya dalam kehidupan kita. Memang ia adalah suatu
sifat yang paling sukar diwujudkan. Junaid Al Baghdadi mengatakan: “Keikhlasan itu
adalah rahsia antara Allah dan seorang hamba. Tidak diketahui oleh malaikat sehingga
tidak dapat ditulis, tidak diketahui oleh syaitan sehingga tidak boleh dirosakkan
oleh syaitan. Juga ia tidak boleh dikenali oleh hawa nafsu sehingga tidak boleh
diselewengkan oleh hawa nafsu.”
Ertinya,
keikhlasan tidak boleh:
a.
Dibuat-buat.
b.
Direka-reka.
c.
Dikendalikan.
d.
Dirasa-rasakan.
Ia
akan muncul begitu sahaja dalam diri kita lalu mengalir ke dalam darah dan menguasai
jiwa. Oleh yang demikian, mengendalikan jiwa itu menjadi suatu pekerjaan yang sangat
sukar bagi para Salafus Soleh. Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam Al Ghazali mengutip
ungkapan Sahl bin Abdullah At Tusturi ketika ditanya: “Apakah yang paling berat
dilakukan oleh jiwa?” Ia mengatakan: “Keikhlasan, kerana jiwa tidak mempunyai bahagian
untuk mengendalikannya.”
BERATNYA
MERAIH KESEMPURNAAN IKHLAS
Para
salaf mengakui bahwa merealisasikan ikhlas dan memperbaiki niat adalah perkara yang
sangat sulit. Ini disebabkan hati kita memiliki sifat suka berubah dan berbolak-balik
sehingga boleh jadi seseorang pada mulanya berniat ikhlas, namun di tengah jalan
niatnya ternoda atau bahkan berubah. Demikian pula sebaliknya, ada yang mulanya
salah dalam niat, namun akhirnya sedar akan kekeliruannya lalu memperbaiki niat
tersebut. Maka mengetahui berbagai persoalan yang berkaitan dengan keikhlasan amat
perlu bagi kita sebagai salah satu usaha menjaga hati agar sentiasa lurus menuju
kepada Allah dan tidak goyah oleh segala gangguan dan godaan yang terdiri dari:
a.
Was-was dari syaitan.
b.
Segala kecenderungan buruk oleh hawa nafsu.
Keikhlasan
yang sempurna amatlah sukar digambarkan kecuali oleh orang yang telah menyerahkan
cintanya secara utuh kepada Allah dan mengutamakan akhirat. Apalagi mengingatkan
bahwa manusia memiliki sifat banyak lupa dan mempunyai kecenderungan yang besar
terhadap kehidupan duniawi dan bahkan banyak pula yang terpedaya olehnya. Biasanya
keikhlasan akan sukar untuk menembusi hati orang yang telah terpesona dan terpengaruh
dengan kehidupan dunia kecuali atas taufik dari Allah.
Tidak
perlu pergi lebih jauh, cuba kita tengok dalam hati kita masing-masing dalam perkara
yang paling ringan sahajapun seperti makan atau tidur misalnya, apakah kita melakukan
itu biasanya kerana memang kita menginginkannya? Jarang sekali terdetik di dalam
fikiran kita ketika melakukan itu agar badan kita kuat dan sihat sehingga dapat
melakukan ibadah kepada Allah dengan baik. Demikian pula dalam melakukan berbagai
amal yang lain, kita sering merasakan adanya berbagai bisikan dan gangguan yang
cuba menggigit kemurnian niat ikhlas kita kepada Allah SWT. Maka adalah selayaknya
kita masing-masing:
1.
Bersikap waspada.
2.
Membenteng diri kita.
3.
Memusatkan niat dan tujuan pada keikhlasan yang sempurna.
4.
Jangan hiraukan was-was syaitan kerana was-was dan bisikan syaitan akan menghancurkan
dan melemahkan kita.
Ketika
amal-amal soleh yang kita kerjakan terkena pencemaran, maka janganlah merasa lemah,
kerana kotoran-kotoran tersebut boleh dihilangkan sehingga amal tersebut menjadi
benar-benar jernih dan tidak hilang pahalanya.
APABILA
KEIKHLASAN TELAH DINODAI
Bagaimana
seseorang bersikap apabila keikhlasan suatu amal yang dia kerjakan telah dinodai?
Ini adalah kerana tidak jarang orang yang menghadapi masalah ini lantas surut dari
berbuat kebaikan kerana khuatir akan terkena riya’. Abu Thalib al-Makki berkata:
“Seseorang tidak boleh meninggalkan amal soleh kerana takut terkena penyakit pada
amal kerana memang itulah yang dikehendaki oleh musuhnya iaitu syaitan. Namun dia
mesti kembali kepada niatnya semula, niat yang benar. Jika amal tersebut diresapi
oleh penyakit, maka hendaklah ia segera mencari ubatnya, berusaha menghilangkannya
dan tetap pada niat yang benar dan tujuan yang baik.
Tidak
boleh meninggalkan suatu amalan kerana manusia atau kerana malu terhadap mereka.
Ini adalah kerana:
a.
Beramal kerana manusia adalah syirik.
b.
Meninggalkannya kerana mereka adalah riya’.
c.
Meninggalkan amal kerana khuatir akan masuknya penyakit (riya’) di dalam hati adalah
kebodohan.
d.
Meninggalkannya ketika amal tersebut sedang dilakukan (kerana keikhlasannya terganggu)
adalah suatu kelemahan.
Siapa
sahaja yang beramal kerana Allah dan meninggalkannya juga kerana Allah, maka tidak
ada masalah baginya selagi masih berada dalam wilayah ini, tentunya setelah ia dapat
membuang jauh-jauh segala niat buruk. ”
BOLEHKAH
NIAT YANG ROSAK DIPERBAIKI?
Sebahagian
orang ada yang menyangka bahwa apabila amal kebaikan dimulai dengan niat yang salah,
maka amal tersebut mesti ditinggalkan. Ini adalah anggapan yang salah. Niat itu
boleh diperbaiki dan dibangunkan di atas amal perbuatan tersebut, tanpa perlu meninggalkannya.
Sebahagian salaf ada yang pernah mencari ilmu tanpa niat yang sempurna dan benar,
kemudian mereka menyedari dan akhirnya kembali kepada Allah serta memperbaiki niat
mereka, memulai niat menuntut ilmu dengan niat yang benar.
Imam
Az-Zahabi mengatakan: “Para salaf mencari ilmu kerana Allah sehingga mereka menjadi
mulia dan menjadi imam yang diteladani.” Ada juga di antara mereka yang mulanya
mencari ilmu bukan kerana Allah, namun setelah mereka mendapatkan ilmu, mereka introspeksi
diri, maka ilmu mereka telah menghantarkan mereka kepada keikhlasan di tengah jalan.”
Mujahid
berkata: “Kami mencari ilmu, dan pada mulanya kami tidak memiliki niat yang benar,
kemudian Allah mengurniakan niat kepada kami.”
APAKAH
NODA MENGHAPUSKAN PAHALA KESELURUHANNYA?
Seseorang
yang telah berusaha beramal dengan ikhlas, namun ternyata masih ada noda yang mengotorinya
seperti kealpaan atau syahwat, maka pahala amalnya tidak hilang secara keseluruhannya.
Ini merupakan keutamaan dari Allah untuk hamba-hambaNya sehingga kaum muslimin tidak
terjatuh ke dalam keputusasaan dan kesempitan hidup. Kotoran-kotoran yang semacam
ini sangat sukar dihilangkan kecuali sebahagian kecil sahaja. Namun demikian ia
bukanlah bererti bahwa noda tersebut tidak berpengaruh terhadap amal bahkan ia tetap
membuat pahala suatu amal namun ianya menjadi berkurang kesempurnaannya, tapi tidak
sampai kepada tahap menghapuskannya sama sekali. Oleh kerana itu seorang hamba setelah
berusaha semaksima mungkin, hendaklah sentiasa khuatir antara ditolak dan diterima
amal perbuatannya, takut kalau amal ibadahnya terdapat penyakit yang bahayanya lebih
besar daripada pahalanya. Oleh kerana itu, jangan sampai ada ujub dan bangga dengan
amalnya bahkan yang perlu dilakukan adalah terus meningkatkan kualitinya.
MEMPERLIHATKAN
AMAL KEBAIKAN
Memang,
pada dasarnya amal kebaikan mestilah disembunyikan dan tidak perlu di pertunjukkan
kepada orang lain kecuali yang memang perlu dinampakkan seperti solat berjamaah
dan haji. Namun dalam keadaan tertentu, memperlihatkan amal soleh adalah dibenarkan
asalkan memenuhi dua syarat iaitu:
PERTAMA:
Bebas dari riya’ (bukan untuk mempamirkan)
KEDUA:
Terdapat faedah deeniyah dari menampakkannya seperti:
a.
Untuk memberikan contoh kebaikan.
b.
Menguatkan orang yang lemah.
c.
Menenangkan orang yang tertindas.
d.
Memberikan khabar gembira.
Ini
sepertimana yang pernah dikatakan oleh Abu Sufyan bin Harits, salah seorang bapa
saudara Nabi menjelang wafatnya: “Janganlah kamu menangisi aku, kerana sejak masuk
Islam aku tidak pernah melakukan dosa.”
IKHLAS
DI JALAN DAKWAH
Jika
kita berada di jalan dakwah, maka keikhlasan itu memiliki definasinya yang tersendiri
sepertimana yang disampaikan oleh Imam Hasan Al Banna: “Ikhlas adalah bila seorang
pejuang Muslim yang mengorientasikan perkataannya, amalnya dan jihadnya semuanya
untuk Allah swt dan mengharapkan ridhanya dan kebaikan pahalanya tanpa melihat kepada:
1.
Perolehan harta.
2.
Manfaat.
3.
Penampilan.
4.
Kedudukan.
5.
Kemasyhuran.
6.
Kemajuan.
7.
Kemunduran.
Agar,
ia menjadi seorang yang ikhlas, menjadi bala tentera fikrah (ideologi) dan aqidah
(keyakinan), bukan bala tentera keinginan atau manfaat.”
MELANGKAH
TERUS
Berjalan
dan melangkahlah terus dan jangan berhenti. Mungkin sahaja ada kebahagiaan dan kenikmatan
yang dapat menyenangkan kita di sini, namun itu tidak boleh menyimpangkan niat dan
tujuan kita di sini bahkan kita disuruh meluruskannya hanya:
Untuk
Allah SWT.
Untuk
ridhaNya.
Untuk
dakwahNya.
Ketika
kita melangkah, berlari, diam dan berbahagia di jalan ini, maka semuanya itu adalah
untuk dan kerana Allah SWT.
Lalu:
Jika
ada aral dan batu di jalan ini yang mengganggu langkah.
Jika
ada cuaca dan suasana jalan ini terasa menekan hati untuk berhenti.
Jika
ada peristiwa yang boleh melelehkan airmata dalam hati, kedukaan atau luka di jalan
ini.
Tetaplah
berjalan dan jangan berhenti.
Kita
akan terus berjalan di sini agar, hanya Allah yang tahu semua kepahitan dan luka
itu adalah sebahagian dari persembahan, pengabdian, pengorbanan untukNya dan di
jalanNya. Hanya dengan itulah, kesulitan dan kepahitan akan menjadi nikmat dan kebahagiaan
kerana kita di sini adalah keranaNya dan untukNya bukan untuk siapa-siapa. Semoga
kita ikhlas menerima dan menjalani semuanya.
Ya
Allah tetapkanlah keikhlasan di dalam hati kami walaupun ianya digoncang oleh badai
was-was syaitan dan keinginan hawa nafsu kerana kami tidak tahu amal manakah yang
benar-benar diterima olehMu di akhirat nanti. Kuatkanlah jiwa kami supaya kami tidak
terpedaya dengan perasaan bahwa kami lebih banyak beramal berbanding saudara-saudara
kami yang lain. Sesungguhnya Engkau hanya menerima amal yang ikhlas tanpa dikotori
dan dicemari oleh perasaan ‘ujub dan riya’. Amiin Ya Rabbal Alamiin
No comments:
Post a Comment