DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, January 25, 2012

Kenapa Perlu Istiqamah

Definasi istiqamah itu jika ia dilihat pada struktur Bahasa Arab, ia bermaksud terus diminta berdiri, manakala dalam Bahasa Melayu boleh diistilahkan sebagai sentiasa teguh berdiri dan didalam Bahasa Inggeris, bermakna sebagai ‘standing up consistently’. Ada dua unsur penting pada definisi permulaan ini, iaitu berterusan dan kekal di dalam suatu keadaan, dan unsur keduanya pula ialah berdiri.. iaitu kondisi diri yang aktif lagi dinamik. Berterusan dalam keadaan sedar dan aktif terhadap suatu pegangan dan mahu pun amalan

Bila berkata tentang istiqamah, ramai antara kita akan memikir perkara yang menjurus kepada soal ibadah sahaja namun melalui definasi diatas ianya melingkupi banyak perkara samada jasmani atau rohani. Istiqamah adalah satu proses penting dalam melakukan apa saja perkara termasuk beribadat. Lalu persoalan bagaimana mahu istiqamah. Ramai dikalangan kita gagal melakukan istiqamah, ini disebabkan konsep istiqamah itu sendiri kurang difahami malah ada yang hanya mengikut tapi tidak tahu apa yg mereka nak lakukan. Sebelum kita melakukan istiqamah kita perlu mendidik sikap dan hati kita menjadi insan yang berbudi pekerti tinggi dan sikap mulia. Berikut beberapa tips untuk kita fahami dalam agar istiqamah yang bakal kita lakukan akan mencapai tahap kesempurnaannya;

1. Memperbaiki hati (ikhlas kerana Allah) – Nawaitu kita hanya kerana Allah bukan atas sebab seseorang atau sesuatu keadaan yang berlaku kepada kita. Ikhlas disini bermaksud kita berserah pada Allah segala-galanya

2. Berdoa kepada Allah. Ini kerana doa merupakan kunci segala kebaikan di dunia dan di akhirat. - Orang yang tidak mahu berdoa kepada Allah adalah orang yang sombong. sebab itu kita ada bermacam-macam doa harian untuk melahirkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan segala nikmat dalam kehidupan. Dengan doa itulah Allah ingin beri kita rahmat dan kasih sayang kepada kita menjadi nikmat, taqwa dan syukur dan sebagainya

3. Tidak panjang angan-angan. - Angan-angan ialah perbuatan yang menyebabkan seseorang itu tidak berada di alam realiti dan ianya hanya berada di alam fantasi, iaitu alam yang tidak kesampaian disamping ianya juga membazir masa semata-mata. Dan angan-angan juga adalah racun dan musibah kehidupan yang tidak ada manfaatnya

4. Mempelajari dan mengetahui keutamaan istiqamah dalam diri dan teguh ketika berada di jalan Allah. - Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran ayat 103)

5. Memperhatikan dan menghayati isi-isi yang terkandung dalam al-Quran. - Firman Allah SWT dalam surah Yunus, ayat 57: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."

6. Merenungi akibat buruk sekiranya melakukan dosa. - Muhasabah (Menghisab diri) sebagai satu pesan ini dari hadis Rasulullah SAW di atas, sangatlah penting dilakukan oleh setiap muslim. Dengan sering melakukan muhasabah, ia akan mengetahui berbagai kelemahan, kekurangan, dosa dan kesalahan yang dilakukan. Dengan itu, ia akan terdorong untuk selalu melakukan perbaikan diri. Dengan itu pula, dari tahun ke tahun, dari bulan ke bulan, dari hari ke hari, bahkan dari waktu ke waktu ia menjadi semakin baik. Imannya semakin kuat; ketaqwaan nya semakin kukuh; solatnya semakin khusyuk; amal solehnya semakin bertambah dan dosa-dosanya semakin berkurang kerana semakin jarang ia bermaksiat; semangat dakwahnya semakin bergelora; pengorbanannya untuk ALLAH SWT dan Rasulnya semakin besar; akhlaknya semakin terpuji- ia semakin ikhlas, semakin tawaduk, semakin wara’, semakin menjaga amanah dan semakin Taqarrub (dekat diri) kepada ALLAH SWT
7. Membiasakan diri mengerjakan amalan kebaikan dan mengamalkan perintah Allah. - " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

8. Memilih teman yang baik supaya dapat membantu berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. - Teman yang baik adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Teman yang baik penunjuk jalan, penguat langkah dan azam, pendamping yang akan selalu mengingatkan kita untuk berusaha bersungguh-sungguh mencari bekal ke negeri abadi. Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman, untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengingatkan kala terleka, untuk menemani kala beramal ibadat agar lebih bersungguh-sungguh, teman berkasih sayang kerana Allah, berpimpin tangan memimpin beban dakwah yang amat berat ini, demi bersama meraih syurgaNya. Justeru, kita memerlukan teman dan sahabat. Berdoalah agar kita memiliki teman dan sahabat yang baik, bukan sekadar baik budi, tetapi baik sehingga ke syurgawi. Kita memerlukan sahabat dan teman dalam perjalanan ini.

9. Berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh mengundang fitnah kesesatan dan kebatilan. - Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. MAKA SIA-SIALAH SEGALA AMAL IBADAT SEMBAHYANG, PUASA, BERZAKAT, DLL

10. Membaca sejarah hidup para Nabi, sahabat-sahabat Nabi dan generasi selepasnya yang berdakwah menyebarkan agama Allah - Kemunculan novel sejarah Islam banyak membantu anak-anak muda terutama pelajar minat serta memahami sejarah. Pembacanya dari pelajar sekolah rendah hingga university. Malah dibaca juga oleh ahli-ahli akademik. Ada yang berkata dulu tidak minat sejarah tetapi setelah membaca novel sejarah mereka jadi minat. Ada ibu bapa yang berkata sejak anaknya membaca novel sejarah pahlawan Islam sudah jadi semakin baik, jika sebelumnya malas sembahyang setelah minat membaca kisah pahlawan Islam sudah rajin sembahyang. Ada pula pembaca yang mengatakan perasaan cinta terhadap Islam dan para sahabat itu semakin mendalam setelah membacanya.

Setelah kita dapat memperbaiki perkara-perkara diatas, rohani juga perlu disuburkan dengan rasa kehambaan disamping meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri kita dengan Allah. Kesucian dan ketakwaan yang ada dalam jiwa harus sentiasa dipertahankan oleh setiap muslim. Hal ini disebabkan kesucian dan ketakwaan ini akan mengalami pelarutan, bahkan akan hilang jika tidak dijaga. Terdapat beberapa tips yang ingin dikongsikan bersama bagi seorang muslim untuk mempertahankan nilai ketakwaan dalam jiwanya, bahkan mampu meningkatkan kualiti ibadah kita.

1) Muraqabah
Muraqabah adalah perasaan seorang hamba akan kekuasaan Ilahi dan pendekatan dirinya kepada Allah. Hal ini dapat ditamsilkan dengan mentaati seluruh perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya, serta memiliki rasa malu dan takut, apabila menjalani hidup yang bertentangan dengan syariat-Nya.

2) Mu’ahadah
Mu’ahadah yang dimaksudkan adalah iltizamnya seseorang individu atas nilai-nilai kebenaran Islam. Hal ini dilakukan kerana ia telah berjanji dengannya dan berikrar di hadapan Allah SWT.
3) Muhasabah
Muhasabah adalah usaha seorang hamba untuk melakukan perhitungan atas segala perbuatannya, samada sebelum mahupun sesudah melakukannya.

4) Mu’aqabah
Mu’aqabah merupakan pemberian atau balasan bagi seseorang muslim terhadap dirinya sendiri atas setiap perkara yang dilakukannya.

5) Mujahadah
Mujahadah yang dimaksudkan adalah kesungguhan dalam beribadah dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Firman Allah s.w.t, " Hai orang beriman bertakwalah kepada Allah dan carilah kepada-Nya wasilah. Dan berjuanglah di jalan Allah, semoga kamu berjaya. " ( Surah al-Maidah : 35 )

Kajian juga membuktikan kepandaian seseorang dan pengetahuannya hanya menyumbang tiga peratus kepada kejayaan. Selebih 97 peratus lagi ditentukan sikap dan tindakannya. Oleh itu, tiada yang mustahil dalam mencapai sesuatu kejayaan jika kita mengamalkan nilai istiqamah. Istiqamah mampu memberikan pulangan positif kepada hati, akal dan gerak laku. Apabila kita terus menerus melakukan kerja baik ia melatih tubi hati untuk bersabar, kuat semangat, sentiasa positif dan yakin kepada hasil yang dicapai. Bagi akal, istiqamah mampu berfungsi ibarat batu asah menajamkan daya fikiran yang sentiasa digerakkan ke arah pencapaian matlamat, manakala bagi gerak laku fizikal pula, istiqamah menjadikan kerja sukar bertambah mudah dan ringan apabila biasa dilakukan.

Ketiga-tiga hasil inilah yang melahirkan kepakaran dan kemahiran bekerja. Pendek kata, istiqamah mampu menjadikan sesuatu itu sebati dengan jiwa dan raga sehingga menjadi hobi menyeronokkan dan apabila tidak dilakukan pula akan berasa canggung atau bersalah. Oleh kerana pentingnya istiqamah dalam setiap urusan kehidupan, maka amalan wajib yang diperintahkan kepada umat Islam termasuklah solat, puasa, zakat dan haji, sifatnya juga berterusan. Justeru, marilah kita bertekad bekerja untuk kebaikan secara istiqamah kerana langkah beribu bermula dari yang satu dan langkah yang satu tidak akan menjadi beribu ke hadapan jika tanpa gerak kaki berterusan.

No comments: