DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, March 20, 2015

Kita mungkin sudah jauh tersasar

Ramai antara kita yang terleka, menilai kehidupan ini adalah untuk selama-lamanya dan ada juga yang menilai hidup sesudah mati bukan urusannya kerana sudah mati, apa lagi yang perlu dirisaukan dan yang paling teruk bila lansung tidak menilai apa-apa pun hanya mengikut arus kehidupan didepannya. Tiada siapa yang tahu atau menyedari bahawa detik-detik yang berlalu sebenarnya sedang menghampirkan kita semua pada saat pemergiaan dari dunia yang penuh kesibukan yang tidak tahu apa yang kita sibukkan. Pergi yang tidak akan mungkin menghadirkan kita kembali disini buat kali keduanya. Seperti syair Arab, Berapa ramai anak-anak muda yang sedang bermain pagi dan petang, sedangkan kain-kain kafannya dah mula dikoyakkan orang tetapi dia tidak tahu? Berapa ramai anak kecil yang diharapkan lahir menjadi orang yang terhebat tetapi mati sejurus selepas dilahirkan? Dan berapa ramai gadis yang dihias indah pada malam pengantinnya, rupa-rupanya pada keesokan harinya orang datang untuk menguruskan jenazahnya.
Kita akan tinggalkan seluruh cinta kita yang tercurah dibumi yang penuh dengan seribu satu ujian dan dugaan. Kita akan terus melangkah pergi tanpa sempat pun berpaling lagi buat kali yang terakhir. Itu hakikatnya kehidupan sementara ini. Ikhtibarnya... berapa ramai yang membuka mata dari terus terlena. Apa yang terlihat di gambaran masa kini hanyalah kelalaian demi kelalaian yang terjadi. Tiada diambil ikhtibar. Hidup seolah tidak akan bertemu mati. Menabur cinta pada duniawi yang akan lenyap yang tiada abadi. Gelisah jika tercampak ke belakang dari arus duniawi. Tapi, tidak kisah langsung dengan sedikit hayat yang masih berbaki. Oleh sebab itu, kita perlu menyegerakan taubat kerana masih hidup itu ialah kesempatan yang boleh hilang secara tiba-tiba. Abdullah bin Umar mengingatkan: "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu hanya menunggu tiba waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu hanya menunggu tiba waktu petang. Dan ambillah kesempatan masa sihatmu untuk persiapan masa sakitmu, dan masa hidupmu untuk persiapan untuk persiapan kematianmu. (Riwayat al-Bukhari).

Ramai yang lebih memilih dan mengharapkan kematian apabila ditimpa sesuatu musibah yang rasanya tidak tertanggung oleh hati dan perasaan. Ketahuilah bahawa kematian bukan penamat segalanya, tetapi permulaan kepada sebuah perjalanan baru. Tempat dipertanggungjawaban segala amalan yang terlaku ketika hidup di atas dunia dulu. Jangan seenaknya menyatakan bahawa kematian akan membungkus segala-galanya bersama jasad tertanam di bawah tanah. Sebaliknya, kematianlah akan membongkar segala-galanya. Manusia akan di adili di mahkamah Allah yang disitu tidak akan ada lagi rasuah untuk membebaskan diri. Tanggunglah segala apa yang kita perbuat selama ini. Firman Allah SWT, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)” (Surah Az-Zalzalah: 7-8). Kita telah diberi peringat demi peringatan, namun kita sengaja membiarkan dan menganggap tiada yang akan perasan, padahal Allah lah yang menciptakan penglihatan dan Dia maha melihat segala sesuatu yang nyata ataupun tersembunyi.
Gambaran-gambaran hari pembalasan seringkali menjadi topik ceramah-ceramah oleh ustaz-ustazah. Namun, lumrahnya insan tersedar dan akhirnya terlupa. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dari Aisyah ra dijelaskan: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Semua manusia di kumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.” Aisyah bertanya : “Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?” Rasulullah SAW bersabda “Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal yang seperti itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Bayangkanlah bagaimana ketakutan yang hinggap dihati-hati manusia sehinggakan mereka sudah tidak menghiraukan keadaan disekelilingnya. Pada hari itu juga, bumi dan seluruh isinya akan menjadi saksi atas segala yang manusia lakukan dahulu ketika masih menetap di dalamnya. “Dari Abu Hurairah beliau berkata: Rasulullah SAW membaca ayat: “Yauma idzin tuhadditsu akhbaraha?” Para sahabat pada waktu itu menjawab, bahawa Allah dan Rasulullah SAW yang lebih tahu.” Rasulullah SAW bersabda: “Maksudnya ialah bahawa bumi akan menjadi saksi terhadap seseorang hamba baik lelaki atau perempuan atas apa yang dilakukannnya dipermukaannya. Bumi akan berkata: “Dia melakukan ini dan itu”. Sekarang silakanlah melakukan larangannya andai kita masih merasakan kita mampu bersembunyi dari kesalahan itu. Siapa lagi yang akan berpihak kepada kita jika kita dilumuri dosa dan noda. Silakan katakan, siapa yang akan membantu kita menewaskan saksi-saksi ini? Tidak akan ada yang boleh menidakkannya. Allah maha mengetahui.

Sebuah kisah yang perlu kita renungkan. Tersebutlah sebuah kisah seorang lelaki ahli ibadah yang tinggal sendirian beruzlah (Menyendiri) di tengah hutan.Ahli ibadah itu seorang yang sangat taat dan takut kepada Allah SWT. Suatu malam yang gelap ketika beliau sedang sibuk beribadah pada ketika itu hujan telah turun dengan lebatnya,berdekatan dengannya ada sebuah pelita yang digunakan untuk menerangi malamnya setiap hari.Ketika beliau khusyuk berzikir dan bermunajat tiba-tiba beliau telah mendengar pintu rumahnya diketuk dengan kuat. "ahhh siapa pulak datang kerumah ku pada waktu-waktu begini" katanya di dalam hati. lantas beliau membuka pintu rumahnya.Alangkah terkejutnya dia apabila didapati ada seorang gadis yang cantik jelita berdiri di hadapan pintu rumahnya.

Ahli Ibadah : "Siapa kamu dan apakah tujuan mu kemari?" tanya ahli ibadah itu.

Gadis : "Maafkan aku kerana mengganggu mu, sebenarnya aku adalah puteri kepada raja negeri ini, aku telah tersesat ketika asyik mengikut ayahanda ku pergi berburu. Di dalam keadaan gelap dan hujan semakin lebat,aku tidak punya arah untuk dituju bolehkah aku tumpang bermalam di rumah mu ini sementara menunggu hari siang?"
Ahli Ibadah : "Maaf tidak boleh,di rumah ini aku hanya tinggal seorang sahaja.Lagipun kamu perempuan dan aku adalah lelaki tidak manis jika diketahui orang " ujarnya

Gadis : "Tolonglah saya tuan, ke mana lagi saya hendak pergi dalam keadaan gelap gelita dan hujan lebat ini?Tumpangkanlah saya sehingga siang hari sahaja!" rayu wanita itu

Ahli ibadah : "Baiklah,tapi sampai esok pagi sahaja ya. Masuklah!"

Gadis: "Terima kasih tuan"

Setelah dibenarkan gadis itu masuk, ahli ibadah itu menunjukkan tempat untuk gadis itu berehat disebabkan rumah ahli ibadah itu kecil. Beliau telah menyuruh gadis itu tidur di tempatnya manakala dia membelakangi gadis itu. Akibat terlalu letih, gadis itu pun terlena dengan nyenyaknya.

Tiba-tiba datanglah bisikan syaitan datang membisikkan niat jahat ke telinga ahli ibadah itu.

Syaitan : "Hai kawan, lauk sudah terhidang apa lagi yang kamu nak tunggu? Dalam keadaan hujan yang lebat dan cuaca yang sejuk begini alangkah baiknya kalau ada tempat untuk memanaskan badan" bisik syaitan

Ahli Ibadah : "Astaghfirullahal'azim.... Allah SWT telah menegah ku dari melakukan zina dan pasti aku akan mematuhinya " Tegas ahli ibadah itu di dalam hatinya

Syaitan : "Apalah kau ini, bodoh. Bukannya ada sesiapa pun di sini lagipun dia tidur sangat nyenyak sudah pasti dia tidak akan sedar apa yang kau lakukan terhadapnya!" kata bisikan syaitan itu

Ahli Ibadah : "Tidak, aku takut akan Allah SWT"

Syaitan : "Alahhhh... ianya bukan ambik masa yang lama pun. Setelah engkau puas menjamah tubuhnya engkau kembalilah ke tempat ibadat mu " bisik syaitan lagi

Ahli Ibadah: "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari kelingkingnya. Beliau sedaya upaya menahan bakaran api tu pada jarinya, setelah tidak tahan menahan panas beliau berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari api di dunia ini?"

Syaitan : " Dia cantik, muka dia ayu, kulitnya gebu masakan engkau tidak teringin untuk memegangnya?"

Ahli Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari manisnya. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya. setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia,api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"

Syaitan : "Jika waktu ini engkau tidak ambik peluang bila lagi? aku tahu engkau pun suka juga kan?"

Ahli Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari hantunya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya selama yang mungkin setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia,api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"

Syaitan : "engkau ini memang menolak tuah, lauk sudah terhidang di depan mata engkau menolak, alangkah ruginya diri kerana peluang sebegini sudah pasti tidak akan kau temui lagi"

Ahli Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!! aku tidak mahu" lantas beliau membakar jari telunjuknya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya. setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"

Syaitan : "Engkau ini asyik beribadah tidak pernah memperdulikan nafsu mu, apalah salahnya jika kau ambik peluang ini untuk menganugerahkan diri mu dengan menjamah tubuh wanita itu? Kalau aku sudah pasti aku tidak melepaskan peluang keemasan yang sebegini" hasut syaitan lagi

Ahli Ibadah : “Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar ibu jari tangannya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya.setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"
Ahli ibadah itu menangis dan berdoa "Wahai Allah, peliharalah diriku dari hasutan syaitan dan runtunan nafsu ku. Aku berlindung kepada mu dari zina dan kemungkaran. Bantulah aku seperti mana engkau membantu Nabi Yusuf ketika baginda di rayu oleh zulaikha "

Setelah itu, beliau pun tertidur dan terjaga setelah sekali lagi terdengar pintu rumahnya diketuk. Beliau pun lantas membuka pintu dan mendapati hari sudah siang dan rumahnya telah di kelilingi dengan pengawal.

Pengawal :"Kami sedang mencari seorang puteri raja yang telah hilang semalam adakah kamu ada melihat sesiapa sejak semalam?"

Ahli Ibadah : "Ya, ada! Aku tumpangkannya bermalam di rumah ku"

Pengawal : "Owh jika begitu engkau telah menculiknya ya??"

Ahli Ibadah : "Demi Allah, aku tidak menculik semalam semasa keadaan gelap gelita dan hujan lebat dia datang ke rumah ku untuk tumpang berteduh"

Tiba-tiba tuan puteri telah bangun dari tidurnya dan berlari ke arah pengawal

Gadis : "pengawal... Jangan apa-apakan dia kalau tak kerana dia sudah tentu aku akan semakin tersesat di dalam kegelapan atau mungkin aku sudah dimakan binatang buas!"

Pengawal : "Baginda raja telah menitahkan kami untuk membawa tuan puteri pulang ke istana"

Setelah mengucapkan berbanyak terima kasih tuan puteri pun beredar dan pulang ke istana.Tidak beberapa hari kemudian ahli ibadah itu telah di datangi oleh rombongan di raja. Kali ini tuan puteri datang bersama ayahandanya.

Raja : "Apakah benar kamu yang menjaga puteri beta ketika anakanda beta itu tersesat di dalam hutan ini?"

Ahli Ibadah : "Maafkan patik tuanku, patik hanya menumpangnya sahaja tapi patik tidak berbuat apa-apa kepadanya"

Raja : "Wahai pemuda,janganlah kamu khuatir puteri beta telah menceritakan segala-galanya kepada beta engkau adalah manusia yang jujur dan taat kepada Allah sememangnya orang seperti kamulah yang beta cari selama ini untuk menjadi pasangan kepada putri beta. Adakah kamu bersetuju dengan tawaran beta ini?

Ahli Ibadah : "Patik bersetuju tuanku"

Raja :"Bendahara dan sekelian yang ada! beta akan kahwinkan puteri beta dengan pemuda yang soleh ini jadi persiapakanlah segala kelengkapan untuk hari bahagia anakanda beta ini"
Apa akan jadi sekiranya ahli ibadah itu mengikut pujukan syaitan itu?sudah pasti ahli ibadah itu akan ditangkap atau dibunuh.Tepuk dada tanyalah iman. Rasulullah SAW bersabda: “ Tangisan dikirim untuk ahli neraka, maka menangislah mereka sehingga air matanya kering, kemudian mereka menangis dengan air mata darah sehingga di wajah-wajah mereka nampak ada parit-parit. Seandainya di parit-parit itu diletakkan kapal, pasti kapal tersebut akan dapat belayar. (HR Ibnu Majah). Nauzubillahiminzalik, tak tercapai akal fikiran kita yang sempit ini membayangkan semuanya. Tiada yang mampu menanggung sakit perit ini walau hanya dalam bayangan. Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah untuk menjadikan segala sesuatu sekelip mata. Renungkanlah sedetik melangkaui alam ini, tentang azab neraka yang sejelasnya ada, tentang nikmat syurga yang jua wujud dan nyata. Cuba tempatkanlah diri kita yang masih bernyawa ini menghadapi detik-detik ini sekejap cuma. Dan sedarkan minda yang masih berfungsi ini untuk segera melakukan perubahan andai dirasa diri sudah jauh tersesat jalan. Kerana ini waktu kita untuk berubah, sebelum jasad di kandung tanah. Kesempatan ini tidak lama, bila-bila masa waktu kita akan tiba. Saat di rasakan hidayah Allah menyapa, sambutlah segera. Kerana kita yang melengah-lengahkan kebaikan selamanya tidak akan mempunyai masa.

No comments: