DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, December 21, 2012

Solat Itu Tiang Agama


Sekiranya solat seseorang itu tidak diterima disebabkan kelalaiannya semasa hidup di dunia dengan sengaja mengabaikan solat fardu maka dia merupakan manusia paling rugi dan celaka kerana semua amalan yang lain tidak akan diterima. Betapa pentingnya solat fardu yang hanya diwajibkan lima kali dalam sehari. Tapi alangkah mengecewakan kerana kita generasi pada hari ini memandang remeh dan begitu mudah mengabaikan kewajipan ini tanpa rasa takut dan gerun dengan azab Allah yang sedang menunggunya di akhirat. Pelabagai alasan yang diberikan bila mereka tidak menunaikan solat fardu. Amat-amat tidak bermoral dan sungguh tidak bersyukur dengan jutaan nikmat dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan percuma.
Begitu juga dengan solat-solat sunat yang tidak kurang pentingnya kerana ia mampu menampung kekurangan yang terdapat dalam solat fardu. Oleh itu kita hendaklah memperbanyakkan solat-solat sunat sama ada solat sunat rawatib, tahajjud, taubat, dhuha, tasbih, hajat dan sebagainya. Semoga Allah sentiasa membimbing dan menjadikan kita serta anak keturunan termasuk dalam golongan yang menegakkan solat dengan sempurna.

Firman Allah SWT: Dan mereka yang tetap memelihara solatnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Al-Mu'minun 9,10,11)

1. Solat itu tiang Agama. Penghulu segala amal yang lain. Syarat sah untuk diterima yang lain. Yang pertama akan dihisab. Tidak ada alasan bagi sesiapapun untuk meninggalkannya. Jika sakit tak mampu menunaikan dengan berdiri, boleh ditunaikan dengan duduk. Tak dapat duduk boleh secara berbaring. Tak dapat juga dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tak ada air boleh tayammum. Terlupa habis waktu, wajib ganti. Jika musafir, boleh dijama’ (dihimpunkan). Pendek kata ibadah solat mestilah ditunaikan dalam keadaan apapun juga dan dimanapun kita berada.

2. Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat ini merupakan kes jenayah yang paling berat, kerana ia tonggak segala urusan agama ini. Kerana ia hubungan dari seorang hamba dengan Tuan Penciptanya. Baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat, kefahaman dan lalu penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji. Hal ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam tiap individu. Firman Allah SWT: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya). (Al-'Ankabuut 45) Sabda Nabi SAW: Tonggak urusan (agama) adalah Islam, dan tiang utamanya adalah solat. (Sunan at-Tirmidzi no. 2559. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan Sahih)
3. Solat adalah ibadat yang sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw lagi. Dalam Al-Quran diceritakan yang Nabi Ibrahim as berdoa kepada Allah untuk dirinya dan zuriatnya agar mendirikan solat sebagaimana Firman Allah SWT: Wahai Tuhanku! jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 40) Begitu juga Nabi Ismail AS: Dan ia menyuruh ahlinya untuk bersolat dan menunaikan zakat. (Maryam 55) Firman Allah SWT sewaktu berkata-kata dengan Nabi Musa AS: Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Aku. Maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat-Ku. (Thaahaa 14). Allah SWT berpesan kepada Nabi Isa AS: Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup. (Maryam 31)

4. Demikianlah perintah solat merupakan suatu perkara yang telah diwajibkan telah berkurun lamanya. Merupakan syiar seorang hamba yang patuh dan tanggungjawab penting yang telah diwajibkan juga kepada seorang Rasul pilihan Allah. Hinggalah kepada kita sampai hari ini. Sabda Nabi SAW: Ajarkanlah anak kamu supaya menunaikan solat apabila sudah sampai umurnya tujuh tahun, dan pukullah jika sudah memasuki 10 tahun. (Hr Abu Daud dan at-Tirmidzi. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan). Disuruh dalam hadis ini ialah kepada walinya. Daripada Imran bin al-Hushain ra, katanya: Aku ada penyakit bawasir, maka aku bertanya Nabi saw tentang bagaimana dengan solat. Lalu Nabi saw bersabda: Solatlah berdiri, jika tak mampu dalam keadaan duduk, jika tak mampu dalam keadaan berbaring. (Hr Bukhari). Yang pertama dihisab dari hamba dihari kiamat dari amalnya ialah solat. Jika baik, maka dia telah berjaya, lulus. Dan jika rosak, maka dia telah gagal, rugi. Jika ada sesuatu yang kurang dari solatnya, lihatlah adakah ada padanya amal sunat, maka disempurnakan apa yang kurang dari solat tadi. (Hr at-Tirmidzi, Hasan). (Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat. (Hr Muslim).

5. Sama-sama kita melaksanakannya dengan penuh kesempurnaan, ingatkan diri, keluarga, sanak saudara, teman-teman akan betapa pentingnya solat. Sentiasa berdoa memohon hidayah dan rahmat-Nya. Sama-sama kita pelihara sebaiknya solat kita, hanya 5 kali sehari. Masukkan dan jadikan dalam rutin kerja yang memang wajib bagi diri kita. Ada waktu yang khusus untuk solat dengan sempurna. Usaha jangan biar jadi hal yang membebankan. Firman Allah SWT: Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. (At-Tahrim 6). Inilah kejayaan yang kita inginkan, dunia dan akhirat yang berkekalan kelak. Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. (Taha 132)
6. Dalam keadaan macam mana sekalipun, peliharalah sungguh-sungguh hal solat ini. Saat terlalu lemah dan malas sangatpun, tak mampu yang lain, jangan dibiar terabai solat kita. Jika solat sudah awal lagi tak ditunai, memang tiada guna hidup kita. Kita rasa malas dan berat kerana belum memahaminya dan dosa yang banyak masih diselangi dan dibiasai. Kita tak ingin bersedia untuk menjadi hamba yang taat. Berada dalam rahmat dan redha Allah. Janganlah diremehkan dan masih dianggap biasa dalam sering menangguh dan tidak bersedia itu.

“Marilah sama-sama awasi selalu bagaimanana dengan solat kita. Ini pengikat hubungan kita dengan Allah, yang menhidupkan kita”

Ehsan Dr Abdul Basit

No comments: