DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, March 1, 2012

Menghadapi Dugaan

Dugaan adalah satu ujian yang Allah SWT turunkan kepada hambaNya melalui dua bentuk samada dalam dua bentuk, kesenangan dan kesengsaraan. Sebagai manusia, kita memang tak lepas dari diduga. Dugaan ni datang dari macam-macam jenis. Ada yang diduga dari segi kesihatan, kematian, kewangan, kerjaya, perhubungan, kaya miskin, senang susah, sibuk lapang, takut berani, gembira sedih, rendah gemuk kurus, sihat sakit, muda tua, cinta kasih sayang benci dendam, jauh dekat, rindu, marah seronok lucu seram, mewah melarat, sunyi, besar kecil tinggi, buta celik  malah berbagai lagi yang kita hadapi bila berkata tentang dugaan. Sepertimana firman Allah dalam (Q.S. 29 al-Ankabut:2-3) "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta".
Mari kita nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT. Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus. Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Kita hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Allah meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan malapetaka. Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45).

Ujian membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang Dugaan datang bersama hikmah. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara. Ujian dan dugaan menjadikan diri sentiasa menghargai apa yang sudah dimiliki. Ia mengingatkan manusia agar tidak cepat lupa dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Nasihat sabar dalam keimanan adalah kata-kata terbaik yang perlu diungkapkan dengan mengingatkan mereka tentang perjalanan penuh cabaran manusia-manusia bergelar nabi dan rasul pilihan Allah, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 4: Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.

Mereka yang iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat. Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Maknanya manusia di dunia ini tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi dugaan yang datang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”
Disuarakan oleh bijak pandai: “Adalah lebih baik menjadi orang beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji. Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi orang pemarah sedang diuji.” Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu, sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Tidak semua orang memiliki sabar, lantaran itu sikap sabar dianggap mahal dan tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji. Lantaran itu, Allah memerintahkan supaya berlaku sabar dalam firman yang bermaksud: “Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (Surah ali-Imran, ayat 200)

Seperti pepatah sahabat: “Bala adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.” Pada prinsipnya, sabar harus diterap dalam setiap aspek kehidupan sama ada kehidupan rumah tangga, tugas kepemimpinan, hidup selaku petani, nelayan, usahawan, guru, pengarang atau penyiar. Semua memerlukan kesabaran, justeru setiap medan pekerjaan dan perjuangan ada tentangan serta ujiannya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: “Sangat mengagumkan keadaan seorang Muslim kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi demikian kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan baginya.”
Berikut beberapa tips untuk kita halusi dan fikir bila berhdapan dengan dugaan:

(1) Kehidupan perlu diteruskan- Apabila sehingga tiada lagi titisan airmata yang mampu dikeluarkan, kita perlu berfikir adakah ini bermakna pengakhiran untuk hidup ini. Pasti tidak, kerana kita tahu walau bagaimana sukar sesuatu dugaan itu, hidup perlu diteruskan. Seseorang tidak akan berjaya untuk menghadapi sesuatu dugaan selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk cuba menghadapinya.

(2) Jangan biarkan emosi terus mengawal diri kita- Sekiranya seseorang terlalu sedih atau selalu mengingatkan tentang kesukaran dugaan hidup yang dialami, ia pasti akan lebih menyukarkan. Kita perlu mencari jalan untuk keluar daripada zon tersebut. Jangan sesekali biarkan diri kita terus dikawal oleh emosi.

(3) Inilah kehidupan- Kita perlu tahu bahawa setiap manusia didunia ini mempunyai dugaan hidup yang tersendiri. Sekiranya kita merasakan apa yang dilalui adalah amat sukar, kita juga perlu ingat bahawa ada manusia lain yang sebenarnya menghadapi dugaan yang lebih sukar berbanding diri kita. Kerana dugaan itulah sebenarnya membawa makna kehidupan untuk seseorang.

(4) Ketentuan Allah SWT- Kita perlu tahu bahawa segala baik atau buruk yang berlaku pada diri kita semua datang dariNYA. Kita tidak ada daya sedikit pun untuk mengubahnya. Sekiranya kita percaya dan berpegang teguh terhadap konsep ini, pasti segala dugaan hidup yang kita alami dapat diharungi dengan lebih tabah. Setiap perkara yang berlaku pasti ada makna disebaliknya.

Hidup kita sepatutnya makin lama makin matang. Ujian yang datang pun makin lama makin hebat tapi kita juga akan jadi makin kuat dengan adanya setiap dugaan tu. Tempuhlah rasa kecewa kita terhadap sesuatu dengan tenang. Jangan kelam kabut, jangan emosi. Cari punca masalah dan carilah jalan penyelesaiannya dengan baik. Jangan juga terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Kita kan ada Allah. Jahat mana pun kita, percayalah Allah Maha Mendengar setiap keluhan yang dilalui hamba hambanya. Soal takdir kita, itu semua di tangan Allah. Tapi kan ada dalam Al Quran, Allah takkan mengubah nasib seseorang sehinga kita mengubah nasib kita sendiri. Jadi, lalui kekecewaan dengan doa dan usaha. Anggaplah kekecewaan itu sebagai ubat untuk kita rasa bahagia di akhir masa nanti.

Dalam pada itu kita kumpulkan kekuatan untuk menghadapi dugaan-dugaan yang akan mendatang. Kita tak tahu bagaimana rupa cabaran yang akan kita temui nanti. Mungkin ada cabaran yang senang, mungkin ada yang susah, mungkin ada juga yang cukup susah. Walau apapun rupanya nanti, kita kena bersedia. Moga artikel ini memberi suntikan motivasi buat diri kita. Mari bersama-sama memasang tekad mahu menjadikan hari-hari yang seterusnya hari yang terbaik buat kita – di hari ini kita memasang tekad berfikir yang baik-baik, bersangka yang baik-baik, berkata hanya yang baik-baik supaya dengan itu urusan kita dipermudahkan, permasalahan kita dikurangkan. “La yukalli fullahu nafsan illa wu’aha” - Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Surah Al-Baqarah ayat 286). beruntunglah bagi manusia yang diuji itu kerana ini bermakna Allah sangat sayangkan dirinya

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdirnya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya. Dan ingatlah, andaikata kita diduga, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika ditimpa dugaan. Demikianlah, mereka yang tinggi nilai taqwa dan keimananya, tidak mengeluh apabila ditimpa dugaan. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila ditimpa dugaan kita mudah sangka buruk dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan dugaan kepada kita.

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153).

9 comments:

Anonymous said...

thanks

Anonymous said...

Menyedar dan menginsafkan saya

Anonymous said...

Nice :)

Anonymous said...

Thanks.

Dzahirul Haq said...

Terima Kasih...

Che Aminuddin said...

��

Anonymous said...

HILANG SEDIH SAYA BILA BACA ARTIKEL INI.SAYA KINI SEDANG MENGHADAPI UJIAN DARI ALLAH.KINI FAHAM AKAN MAKNA SABAR, TABAH, BARKAT. MOGA ALLAH HILANGKAN KESEMPITAN DAN MASALAH YANG SEDANG SAYA HADAPI INI.

- CEMPAKA MERAH -

Anonymous said...

Terima kasih kerana memberi semangat melalui artikel yang penuh manfaat nie. Saya diuji dgn kegagalan dlm peperiksaan walaupun tak sehebat mana, saya berasa kecewa dgn diri. Tapi inshaAllah Allah akan bantu saya. Moga Allah mempermudahkan urusan saya dan semua.

Ahmad Irshad said...

Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta anak-anak yang kasihi, bertuahnya kita menjadi umat islam juga pengikut Rasulullah SAW, terlalu banyak kelebihan yang diberikan, gunakan dan amalkan Insyaallah kita akan selalu berada dalam rahmahNya dan kasih sayangNya. Boleh ikut FB saya mohdsoud@facebook.com byk benda yg saya kongsikan disana..