Sekiranya
inginkan perubahan dalam kehidupan, kenali potensi diri. Jangan biarkan ia
terpendam dan berlalu tanpa digilap. Namun, mengapa mesti berkaitan dengan
potensi diri? Dan kenapa perlu untuk mengenali potensi diri? Apa kaitan potensi
diri kita dengan sebuah kehidupan? Jawapannya mudah, kerana dengan mengenali
potensi dirilah kita dapat mengukur tahap kekuatan dan kelemahan diri yang
dimiliki tanpa diketahui orang lain. Dan tanpa kita sedar, dengan mengenali
potensi diri sendiri juga sebenarnya dapat membantu orang lain untuk mengenali
potensi diri mereka. Apabila telah mengenal potensi diri, maka barulah dapat
mengatur strategi untuk sebuah perubahan diri.

Setiap
insan dilahirkan dengan potensi diri sendiri. Walaupun kehadiran seseorang ke
dunia kurang sempurna seperti insan lain, namun tetap mempunyai kemampuan dan
kelebihan yang tersendiri. Semua insan di'pasang-siap' dengan komponen yang
sama. Seakan-akan sama namun tidak serupa dan itulah yang dinamakan akal dan
potensi diri. Kemilauan sinarnya tidak terserlah andai tidak dicanai dengan
baik. Sesungguhnya Allah SWT memuji kemampuan ciptaan-Nya yang terulung iaitu
Adam AS kerana mampu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Para malaikat AHS
turut terpegun sedangkan pada peringkat awal mereka menentang penciptaanya.
Segalanya tercatat di dalam Al-Quran, Mukzijat teragung nabi kita Muhammad SAW.
Namun
Dialah yang Maha Bijaksana, mengajar dan menyediakan segala keperluan Adam AS
dan anak keturunannya. Allah SWT mengetahui makhluk manusia memiliki kemampuan
untuk memahami dan melaksana perintah dan larangan-Nya kelak. Walaupun
ciptaan-Nya yang lain lebih hebat tetapi manusia jua menjadi pilihan untuk
melaksanakan syariat di alam dunia. Kemampuan ini ternyata tidak dimiliki
makhluk lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami
telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan
kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang
baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah
Kami ciptakan" (Surah al-Isra' ayat 70)
Langkah
pertama untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan adalah mengenal diri sendiri.
Siapakah diri kita? Apakah kemampuan kita? Kenapa kita dijadikan dan siapa yang
menjadikan kita? Manakala ahli falsafah Islam telah merumuskan bahawa barang
siapa yang kenal dirinya nescaya kenallah ia akan Tuhannya. Saidina Ali RA pula
pernah berkata: “Dirimu ini hanyalah kecil sahaja, tetapi dalam diri yang kecil
ini engkau dapat melihat alam yang besar”. Alam adalah manusia besar,dan
manusia adalah alam kecil”. Akhirnya dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh
Ibni Hajar al-Asqalani, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Tidak ada
seorang pun hamba di dunia mahupun di syurga akan menjadi mukmin yang sebenar
melainkan apabila dia hampir dengan Allah SWT. Dia tidak akan hampir dengan
Allah SWT melainkan lidah dan tangannya selamat dari menyakiti orang lain. Dia
juga tidak akan menjadi muslim yang sebenar melainkan dia adalah seorang yang
berilmu (alim). Dia bukanlah seorang alim yang sebenar melainkan dia
mengamalkan ilmunya. Dia bukanlah pengamal ilmu yang sebenar melainkan dia
seorang yang zahid. Dia tidak akan mencapai taraf zahid melainkan dia seorang
yang warak. Dia tidak akan mencapai tahap warak melainkan apabila dia benar-benar
mengenali dirinya. Dan dia bukanlah seorang yang benar-benar mengenali dirinya
melainkan dia tahu apa yang diperkatakannya.”
Mengenali
Hakikat Kejadian Manusia.
Manusia
selalunya dikatakan mempunyai 3 unsur penting di dalam dirinya iaitu jasmani,
aqli dan rohani. Setiap unsur–unsur ini mempunyai makanannya. Bagi melahirkan
manusia yang seimbang, unsur-unsur ini hendaklah disuap dengan makanan yang
telah ditetapkan oleh Penciptanya iaitu Allah SWT. Manusia akan menjadi rosak
binasa sekiranya unsur-unsur ini diracuni dengan pengisian yang memudaratkan.
1.Jasmani
(Fizikal).
Iaitu
tubuh badan yang sihat dan bersih. Ia merangkumi bahagian manusia yang dapat
dilihat oleh pandangan mata kasar dan bahagian yang tersembunyi di dalamnya. Makanan
bagi fizikal ialah keperluan lahiriah merangkumi makanan yang sihat dan berzat,
pakaian yang bersih dan menutup aurat, persekitaran yang nyaman dan harmoni, tempat
tinggal yang selesa dan aktiviti yang cergas. Islam menutup keperibadian dalam
mendidik fizikal kita. Justeru, Islam menuntut disiplin kehidupan dengan
menuntut pemakanan yang halal dan bersih, berpuasa di bulan Ramadhan dan
sebagainya. Ini kerana penjagaan tubuh badan memberi kesan kepada kedua
unsur-unsur iaitu mental dan rohani. Justeru, Islam mengharamkan arak kerana ia
boleh merosakkan mental dan merangsang manusia melakukan maksiat. Pemakanan yng
halal memastikan darah daging yang bersih bagi memberi kesan kepada rohani yang
bersih,mental yang sihat dan zuriat yang baik. Ini disebut di dalam sebuah
hadith yang bermaksud: “Dari Abu Hurairah RA berkata,Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah SWT itu baik,tidak Ia terima melainkan yang baik. Dan
sesungguhnya Allah memerintah orang-orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan
kepada sekalian Rasul. Maka Allah SWT berfirman :”Hai sekalian Rasul? Makanlah
dari segala yang baik-baik yang telah direzekikan kepada kamu”.Kemudian ia
menyebut seorang lelaki yang menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa):
“Hai Tuhanku!Hai Tuhanku! Padahal makanannya haram,dan (mulutnya) disuapkan dengan
yang haram; maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya!”. (Hadith Riwayat
Muslim)
2.
Akal Dan Mental.
Iaitu
minda yang baik dengan pemahaman dan pemikiran yang baik. Ia bukan sahaja
dilihat daripada kemampuan otak yang cerdik dan cerdas IQ-nya, tetapi akan yang
mempunyai firasat dan pemahaman yang berlandaskan pemikiran dan pemahaman Islam
yang sebenarnya. Maka, ia memerlukan pengisian yang keilmuan yang tinggi dan
seimbang dari segi ilmu fardhu ‘ain dan ilmu-ilmu lain. Justeru, proses ta’lim
dalam menuntut ilmu diperlukan bagi mendidik akal manusia supaya mampu
mengimbangi unsur-unsur fizikal dan rohani. Rasulullah SAW telah bersabda dalam
menunjukkan kepentingan ilmu kepada manusia: “Sesiapa yang mahukan dunia maka
hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat maka hendaklah dengan ilmu,
dan sesiapa yang mahukan keduanya maka hendaklah dengan ilmu.”
3.
Rohani (Hati)
Unsur
ini merupakan unsur yang terpenting dan menjadi pemimpin kepada unsur lain
dalam mentadbir haluan manusia. Dari hati ia akan menyelaraskan jasmani yang
bersih, emosi yang stabil dan pemikiran yang waras. Hati yang dimaksudkan ialah
hati yang mampu berkata-kata mengerakkan segala pancaindera dan mempunyai makna
diri manusia itu sendiri. Bagi mendidik roh ia memerlukan tarbiyyah. Tarbiyyah dilakukan
dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT dalam erti kata melaksanakan segala
suruhan dan meninggalkan segala larangannya dengan sebenar-benar penghayatan. Bagi
menambah nilai kerohanian yang wujud ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah
SWT melalui amalan-amalan sunat serta melakukan kebajikan. “Dari Abu Hurairah
An-Nu’man bin Basyir RA katanya,aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; Sesungguhnya
yang halal itu nyata dan haram itupun nyata dan diantara keduanya adalah
perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Maka
barangsiapa memelihara diri dari perkara kesamaran, sesungguhnya ia memelihara
agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang jatuh di dalam kesamaran
jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala di sekeliling
kawasan larangannya. Ketahuilah!Bahawa larangan Allah SWT ialah segala yang
haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia
baik,baiklah badan seluruhnya dan apabila rosak,rosaklah
sekaliannya.Ketahuilah! Itu yang dikatakan hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Sesungguhnya
Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap hambaNya akan dikurniakan
kelebihan dan kebaikan yang berbeza dan bertahap. Justeru, perlu bagi kita
untuk mencari kelebihan dan kebaikan itu untuk dimanfaatkan. Samada untuk diri
sendiri atau kepada manusia yang berada di sekelilingnya. Demikianlah juga
dengan potensi diri yang ada pada diri. Perlu digali dan dikaji. Semakin ia
dikaji maka semakin pula kita mudah mengenali dan memahami diri kita sendiri.
Semakin kita memahami diri sendiri, insyaAllah kita akan dapat membantu insan
di sekeliling kita untuk mengetahui dan mengenal potensi diri mereka pula.
Seterusnya akan dapat mengubah diri kita dan orang lain ke arah yang lebih
baik.
Kesimpulannya,
berjaya atau tidak terletak pada diri sendiri berserta dengan izin daripada
Allah SWT. Seandainya potensi diri sendiri diyakini dan disertai dengan
kegigihan tanpa mengenal erti susah payah, kejayaan yang didambakan pasti
menjadi kenyataan. Demikianlah pepatah arab ada mengatakan, "Sesiapa yang
bersungguh-sungguh, maka dia akan berjaya"
Cara menjadikan diri cerdik
iman minda emosi dan jasmani
1.
Mengambil wudhu
2.
Ikhlaskan niat & matlamat
3.
Istighfar Tsawwuz dan Basmallah
4.
Makanan berkat lg halal
5.
Elakkan makanan yg tak berkhasiat
6.
Jauhi rokok
7.
Hormati guru bawa kejayaan
8.
Berkawan dgn org positif
9.
Pelihara hubungan sesama manusia
10.
Riadah
11.
Ibadah menggangkat darjat
12.
Berbakti kpd ibu bapa
13.
Tawakkal kpd Allah
No comments:
Post a Comment