Apapun yang terjadi, Berjalanlah tanpa henti, Air mata tertahan, Waktu untuk dijatuhkan, Nanti kita kan tahu, Betapa bijaknya hidup, Sepahit apapun ini, Pelajaran yang bererti
DOA
‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'
Bila kita
memikirkan tentang bahagia, timbul diminda kita hidup yang penuh ceria, serta
kesempurnaan, fikiran kita menjadi lapang dan tidak berserabut. dada tidak
sempit dan pernafasan lancar, segala-galanya teratur dan aman. Saat kita
bahagia, jiwa akan tenang, damai dan mendamaikan. Kita mampu membuat keputusan
dengan matang dan bijaksana. Menguruskan segala urusan dengan sebaik-baiknya,
menjaga dan mendidik keluarga dengan penuh jiwa dan keinsafan, menjadi insan
terbaik untuk suami atau isteri tercinta. Perlu kita ketahui hakikat bahagia,
tidak semestinya hanya apabila kita dapat apa yang kita mahu atau yang kita
hajati sahaja, rasa bahagia ini mampu hadir walau kita dalam kemelut masalah
yang bertimpa-timpa dan menjalani kehidupan yang teruk, jauh dari impian. Makna
bahagia sebenarnya jauh lebih dalam dan besar dari semua itu.
Untuk mencipta bahagia terlebih
dahulu kita harus menguruskan diri dengan menjauhi sifat mazmummah. Antara
mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :
1. Pemarah - paling mudah dikesan
atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang
mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang. Ini disebabkan sikapnya membuat
orang menjauhi kerana tiada kelembutan dijiwanya.
2. Pendendam - tersembunyi iaitu
ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari
peluang untuk membalas dendam dengan secara apa sekali pun walau yang
sekecil-kecil seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu.
Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.
3. Hasad dengki - amalanya hangus
akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. Didalam diri
sentiasa penuh dengan sifat iri malah tidak suka melihat ada yang lebih darinya
4. Bakhil - sentiasa merasakan orang
lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya
sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok
dikongsi bersama..- sedekah) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah
tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya
itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah
beri melalui makhluk.
5. Tamak - orang yang tidak puas
dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini
ibarat meminum air laut walau berapa banyak yang diminum tetap tak abis juga
lagi pun org tamak selalu rugi. Ingat, yang dikatakan harta atau rezeki kita
bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan,
itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ)
Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.
6. Tidak sabar - andainya perkara
yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh
itu perbanyakkanlah bersabar bila hadapi dugaan)
7. Ego - ibu segala mazmummah jadi
ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini
pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.pasal semua orang ada egonya
sendiri.. cuma tinggi/rendah tahap keegoan tersebut
8. Riak - terseksa sendiri kerana
sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun di depan orang.
Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan
mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dengan apa yang
kita ada
9. Cinta dunia - tidak dapat
menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berharta
tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. bila mati
cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah. Cinta dunia merupakan
"neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan
barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu
di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati
Apabila kita dapat membersih hati
kita dari sifat-sifat diatas maka kita sudah meletakkan diri ini dilandasan
yang betul. Kita perlu istiqamah dalam membenteras sikap negatif ini supaya
keimanan kita bertambah menjadikan kita taqwa kepada Allah.
Dalam mencari bahagia dihati selain
membersihkan diri kita juga berhadapan dengan insan-insan lain yang kadang kala
mengugat diri dalam memperoses meningkatkan keimanan. Jesteru untuk mendidik
hati supaya berterusan mencipta kebaikan demi mencapai bahagia dihati, perlu
kita tangani pada 4 perkara berikut supaya kita menjadi muslim yang sempurna
malalui kehidupan seterusnya;
INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Setiap
kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan
rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam
banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang
paling berjasa kepada kita iaitulah Allah SWT. Hitunglah betapa baiknya Allah
kepada kita. Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka
pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya. Tidak mahukah kita
mengucapkan terima kasih kepadanya. Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang
penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk
mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu
kepada kehidupan ini.
LUPA 1
Di samping
mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan
diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu
menyakiti.“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal)
sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti,
seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana
hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat.” (Al-Qur’an Al-Kariim, Surah Al-Baqarah, ayat 264) Dan
jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya. Segala-galanya terlalu
halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah
dikurniakan-Nya kepada diri ini.
INGAT 2 Setelah
bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.Ingat-ingatlah
keburukan dan kesalahan yang
pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur
kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada
pelajaran yang diambil darinya. Kenangkan ia, ingatkan selalu. Bukan untuk
menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Dalam banyak-banyak keburukan yang
pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah
itulah yang paling melata, setiap detik dan masa. Istighfar selalu…
kenang-kenangkan salah kita kepada Dia. Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya
ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek
satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita. Ingat-ingatlah kekurangan diri
ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk
menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
LUPA 2
Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada
kita, lupa-lupakanlah ia. Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang
gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul
beban sepanjang masa. Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira
hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam
diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi. Deritanya hidup jika gagal memberi
maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.
MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF
Mengapa harus
kita segera menjadi pemaaf. Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan
ampun dari-Nya. Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang
pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. Ya Allah,
sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan
dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan
setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku. Semata-mata
kerana aku dambakan ampunan-Mu. Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana
al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa. Maafkan aku, hamba
yang berdosa. Moga ada sinar bahagia, di hari muka.
Bila
dapat kesemua fasa diatas, Insyaallah, kitalah dikalangan orang-orang yang mendapat
kebahagiaan dunia dan akhirat, segala permasaalah dapat kita lalui dengan
tenang, maka jadilah kita dikalangan hamba yang menerima rahmah dan kasih
sayangNya … Insyaallah
Taubat
adalah jalan kembali kepada Allah SWT. Apabila manusia melakukan dosa dia
tercampak jauh dari sisi Allah SWT. Jika dia tidak bertaubat dia tetap tinggal
jauh dari Allah SWT. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan maka dia berbuat
baik dalam keadaan jauh dari Allah SWT. Dia boleh melakukan suruhan syariat
tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Allah SWT.Hamba yang melakukan kesalahan sangat
perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal
salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak
berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih
itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Allah SWT.
Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan
sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di
dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang
salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata lagi. Banyak
daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak
bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.
Bani
Adam memiliki tabii keadaman. Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan.
Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan
dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad SAW yang suci bersih pun sering
bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia
yang tidak berupaya melakukan perintah Allah SWT dengan sempurna.
Ramai
manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum
mereka memasuki pintu taubat. Adam A.S yang diciptakan khusus untuk menjadi
khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau melalui pintu taubat dan menerima keampunan
dari Allah SWT. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang
seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat.
Orang yang bertaubat dan Allah SWT mengampunkan dosanya, kesuciannya kembali
kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Allah SWT. Manusia
yang rohnya kembali kepada taraf amr Allah SWT akan memperolehi keselamatan di
dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu
mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani
Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga
boleh kembali kepada Allah SWT dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.
Taubat
yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang
dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil
langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan
kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak
terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama
memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam
tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang
yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan
tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada
punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang
di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.
Taubat
luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Taubat dalaman adalah
penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri
daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina,
bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun
tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam A.S yang telah
melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah
bertaubat beliau tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang
menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak
jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.
Orang
yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan
faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi
perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada
kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah SWT. Jihad membuang nilai-nilai buruk
daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar
dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran
daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat
awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang
berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk
dikeluarkan daripada daerah nafsu suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan
sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan
penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang
benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang
salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah
melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.
Dalam
perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu
kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu
kehaiwanan hanya inginkan makanan, minuman, pakaian, tidur, melakukan yang
sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego
yang jahat seperti takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain
penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian
nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu
berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang
muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya,
memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.
Syariat
mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia
melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan.
Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan segenap tubuh boleh
menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi
pintu dosa.Dosa adalah
umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi
dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam
tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh
tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan
lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan,
pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.
Syahwat
yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa
itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti
dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk
dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar
air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu
lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa
kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus
oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang
ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi
penyakit aids.
Kecelakaan
menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja
yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar
daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk
menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api
neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia
memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan
kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak
tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak
mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai
mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.
Fikiran
dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang
dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah
kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu
orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang
diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu
dan bom nukliar untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan
dan anggota yang berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam dunia daripada memberi
kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah
yang mengheret dunia kepada kiamat.
Ulama
zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri
daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada
ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang
ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang
kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik
terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum
arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersolat?
Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung
uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih
tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak.Kaum Muslimin memainkan peranan yang
penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada
ketidak-stabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat
mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai
keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang
mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Allah SWT Yang
Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin
menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat
merupakan kurniaan Allah SWT yang besar kepada orang-orang yang beriman demi
faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti
disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di
akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat
sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat solat dan lain-lain. Mereka
mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Allah
SWT di dalam solat.
Taubat,
sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek
zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir.
Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat
yang berada dalam batin.Amalan
zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu
yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang
membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fiqah dan
tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w
semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam.
Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah
mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia
menghadap Allah SWT dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang
cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai
persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang
membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan
tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan
memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki
oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh
menghadap kepada Allah SWT dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh
tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah
tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi
bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang
dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan solat.
Taubat
yang benar menggabungkan cara fiqah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat
melakukan solat sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan
yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar
hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia
tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi
kesalahan kepada orang lain dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.
Taubat
yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan
taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut
kepada Allah SWT. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas
kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Allah SWT memohonkan keampunan-Nya.
Dia takut dicampakkan jauh daripada Allah SWT. Dia takut ‘kehilangan’ Allah SWT
yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan
keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Allah SWT Melihat dan Mendengar segala
perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Allah SWT yang
sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Allah SWT
memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan
takutkan Allah SWT itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat
itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya
suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima
pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang
hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.
Orang
arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang
telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar
balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi
masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif
berjalan menurut Sunah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza
daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang.
Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil
orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi
menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul
diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan
kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru
kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada Sunah Rasulullah SAW, mendakwa
dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan
kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang
dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian
mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan
manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan
peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW
melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka.
Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan
darah daging.
Dalam
masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir
syariat iaitu ilmu fiqah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin
iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang fikah lebih bersifat umum.
Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai
dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu
orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab
itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan
muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh
jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan
khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya
menuju matlamat dengan selamat.
Adam
A.S, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami
syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada
melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba
menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan.
Adam A.S mengakui kesalahannya dan merujuk kembali kepada Allah SWT, memohon
agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup
kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun
Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam A.S beberapa kalimat, iaitu cara
bertaubat. Adam A.S bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT
yang mengajarkan Adam A.S bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan
kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam A.S kepada Allah SWT as-Salam, Yang
Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh Adam A.S adalah taubat yang
disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih. Taubat yang demikian
menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.
Iblis,
jin yang pertama diciptakan Allah SWT, telah melakukan kesalahan. Kesalahan
Adam A.S adalah lupa kepada pesanan Allah SWT. Kesalahan iblis pula adalah
engkar kepada perintah Allah SWT. Adam A.S mengakui kesalahan dan bertaubat.
Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Adam A.S yang
bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat
menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT. Adam A.S kembali kepada Allah SWT
dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak jauh dari Allah SWT dan hilang peluang
untuk kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam a.s kembali kepada syurga
dan iblis pula akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling
buruk dan paling azab
Kehidupan
dalam zaman yang serba mencabar menuntut manusia untuk sentiasa berdaya saing,
kedepan, sering menggoda jiwa dan fikiran kita supaya sentiasa mahu merasa
lebih atau setidak-tidaknya setanding dengan orang di sekeliling. Kita tidak
pernah merasa puas dengan apa yang kita ada kerana jiwa dan fikiran kita
sentiasa melihat kelebihan orang lain. Orang lain itu begini, untungnya dia. Orang
lain itu begitu, untunglah dia. Kita tidak lagi berminat untuk menjadi diri
sendiri. Sebaliknya, sentiasa mengikut arus perdana orang lain. Perasaan serba
kekurangan pada diri menyebabkan jiwa tidak damai dan tenang. Sangat ramai di kalangan manusia sibuk berfikir bagaimana
hendak mendapat yang diidamkan. Tetapi sangat sedikit manusia yang berfikir,
bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dengan apa yang
dimiliki
Kita
jarang sekali cuba menghitung nikmat-nikmat Allah Ta’ala kepada kita kerana
kita dapat melakukannya seperti firman Allah, “Dan jika
kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkaan kepada kamu), tiadalah kamu
dapat menghitungnya satu persatu…” – An Nahl : 18. Apa yang
kita sering hitung adalah apa yang bukan milik kita. Kita tidak memberi
kesempatan kepada diri sendiri untuk menghargai apa yang telah dianugerahkan
dalam hidup ini. Apa jua yang kita tidak perolehi sering kita ungkit-ungkit.
Sedangkan apa saja yang ada pada kita yang mungkin tiada pada orang lain, tidak
pernah kita hitung dan hargai.
Diantara
nikmat-nikmat Allah SWT yang tak terhitung, dianugerahkan ada lima nikmat yang
paling besar untuk kita renungkan dan fikirkan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : " Rebutlah lima
perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit.
Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).
Ketiga masa lapang sebelum tiba masa sibuk.
Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan
Kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat
al-Hakim dan al-Baihaqi). Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa
Rasulullah SAW begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian
kerana mengabaikan kelima-lima peluang atau nikmat yang patut mereka
bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh
menyebabkan mereka ditimpa penyesalan. Sikap mengambil mudah ini menyebabkan
begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu
hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi
oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu. Manusia mudah
leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga
sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak
lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu
menyiksakan.
Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan
menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi
keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak
saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak
yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat
apabila telah cukup haul dan nisbahnya.
Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit.
Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang
dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan
kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini
pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian
berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah SWT.
Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja
kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih
berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua Tidakkah kita akan
menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu.
Seterusnya Rasulullah SAW menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum
datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal
fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti
yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah
mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan
hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah SWT. Bukan
semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu
dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan
tumbuhan seperti bunga.
Perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati.
Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang
tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air
darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah
untuk mengerjakan solat sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana
sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah SWT. Kenapa
Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat. Masa mati adalah masa
untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan
buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup
adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.
Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, kita perlu
mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah SAW yang amat penting seperti
yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu
dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh
dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita
bangkit di Mahsyar nanti. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang
bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan
berpusu-pusu dengan kesabaran."
Sebenarnya,
kedamaian jiwa akan kita perolehi apabila kita cuba untuk bersyukur dan merasa
puas dan berbangga dengan apa sahaja nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita
walaupun sedikit. Sebagai contoh, kesihatan kita. Alangkah indahnya bila kita
cuba berusaha untuk menghargai nikmat kesihatan dengan jasad ini dikerah untuk
mengerjakan perintah Allah SWT. Kerana, di luar sana, ada orang yang terlantar
di katil melalui hari-hari dengan kesakitan. Menanti ketentuan Allah SWT. Ada
orang, yang merintih dan merungut kerana rupa paras tidak cantik jika
dibandingkan dengan kawan-kawan yang ada di sekelilingnya. Tapi cubalah
berfikir, di luar sana ada orang lain yang lebih buruk rupa paras dan tidak
sempurna tubuh badan mereka akibat kecacatan semulajadi atau akibat kemalangan.
Jiwa
hanya akan menjadi tenang apabila dalam hidup ini, kita tidak bandingkan diri
dengan orang lain, jika itu hanya mendatangkan sifat kufur. Kita wajib bersyukur kerana dengan bersyukur kita
mendapat jaminan pertambahan dan gandaan. Yang menjamin ini datang daripada
Tuhan Yang Maha Kaya lagi Berkuasa iaitu Allah. Firman Allah bermaksud:
"Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur
sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." Jika kita perhatikan, zaman sekarang
mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil,
sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan. Tetapi
Allah, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bil seperti
udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah
semuanya tidak kena bayar. Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya
timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu
Allah. Itulah namanya bersyukur. Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam
Islam. Tetapi jika tidak bersyukur jadi kufur.
Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut
kita lakukan? Sebenarnya ada lima bentuk syukur nikmat perlu kita renungkan.
Pertama: Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.
Kedua: Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan,
pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucap saja 'alhamdulillah'
(segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.
Ketiga: Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat.
Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru
dan ibu ayah.
Keempat: Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan
mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur
ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa
dan negara. Mereka yang menjadi guru dan mempunyai ilmu patut berkhidmat dengan
ikhlas untuk umat.
Kelima: Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain.
Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi
dalam bab ini, kita mesti berhati-hati, kerana dibimbangi mengundang riya'.
Sesungguhnya
di dalam setiap nikmat duniawi itu terkandung suatu bencana sekalipun ianya
dihiaskan dengan rupa yang begitu indah dan mempersonakan bagi setiap manusia. Nikmat
dan kurniaan Allah terhadap hamba-hambaNya adalah sebagai satu anugerah yang
wajib disyukuri, sekalipun nikmat tersebut akan berubah menjadi suatu musibah,
ianya juga wajib disyukuri. Sebagai contoh ; seseorang yang dalam kemiskinan
dan kesakitan, mungkin itu lebih baik untuk dirinya daripada ia dikurniakan
kesihatan, kerana barangkali jika kemewahan dan kesihatan diberikan kepadanya,
maka dia akan membuat kederhakaan dan penyelewengan daripada batas agama. Jika
dipandang daripada sudut zahir, sesuatu yang ditarik daripada nikmat, ia akan
dianggap kesusahan, manakala nikmat yang dihamparkan ianya dianggap sebagai
anugerah terbaik, sedangkan kedua-dua keadaan tersebut itu, samada baik ataupun
buruk dikira sebagai Nikmat, jika keduanya tidak disyukuri maka manusia akan
menyalahi nikmat dengan malampaui segala batasan yang telah dianugerahkan
kepadanya. Seharusnya kita sebagai hamba, hendaklah pandai mengurus nikmat yang
dianugerahkan kepada kita. Di samping itu, kita diajar agar sentiasa merasa
cukup dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita daripada nikmat ataupun
sebaliknya agar kita sentiasa berada di dalam batasan.
Apakah
ruang untuk rasa bersyukur itu hanya akan ada apabila manusia menerima
kenikmatan dan mengecap bahagia dengannya, tapi mengapa pula ruang bersyukur
itu tertutup apabila manusia menerima cubaan yang bertentangan dengan kehendak
dirinya. Walhal, cubaan yang Allah SWT datangkan itu sebenarnya adalah kesan
dari perbuatan manusia itu sendiri. Cubaan itu Allah berikan untuk membersihkan
diri manusia, malahan!
Kenapa
ya, manusia memilih situasi untuk bersyukur? Manusia lebih cenderung akan
belajar mengenai rasa bersyukur kepada Allah SWT apabila berada dalam keadaan
yang susah. Tapi manusia akan cenderung menjauh daripada Allah jika berada
dalam kesenangan. Kata orang, cepat lupa daratan, tapi bukan semua manusia
begini. Kebanyakannya sahaja. Bila fikir kembali, kerana manusia itu angkuh
untuk merendahkan diri dan tunduk kepada Allah SWT setiap masa. Kerana, ada
manusia yang akan tunduk setunduk-tunduknya kepada Rabb apabila dirinya ditimpa
masalah sahaja. Dengan izin Allah, Allah hilangkan masalah tersebut, dia
kembali lupa kepada kerendahan dirinya sebagai hamba Allah SWT. Malah, ada juga
yang berpaling dari-Nya sesudah itu!
Kita
renung kembali lembaran kehidupan yang telah dilalui. Atau kita menoleh sejenak
melihat kehidupan silam. Kita pasti, mesti ada saat-saat yang suka,
membahagiakan. Tidak kurang juga saat-saat duka, yang menyedihkan jiwa. Siapapun
sangat wajib mensyukuri apabila memimbas lembaran kehidupan silam. Walau seluka
manapun pun kita pada masa yang lalu, sepahit manapun pengalaman lalu, Kita
masih hidup sehingga hari ini. Ada manusia, yang berdendam dengan setiap
manusia yang terlibat dengan masa lalunya, termasuk berdendam kepada Allah SWT
kerana dia merasakan ketidakadilan seringkali berlaku dan nasib yang baik tidak
menyebelahinya sepanjang hidup. Tapi sebenarnya, dia lupa untuk melihat diri
sendiri. Kehidupannya hari ini adalah kerana kehidupan yang sangat dibencinya
pada masa silam. Mungkin, dia terlepas pandang bahawa, apa yang telah
dikecapinya pada hari ini adalah kerana hal itu Allah SWT yang membenarkan. Dan
bukannya terjadi sendiri. Kalau pun kerana usahanya sendiri, usahanya itu juga Allah
SWT yang telah benarkan, kerana hakikatnya kudrat kekuatan seorang manusia itu
datangnya dari Allah SWT
Kita
manusia, memang begitu, penuh dengan kelemahan walaupun memperlihatkan segala
kekuatan. Lihat diri sendiri pada alam. Maksud, bukan melihat pada alam
semulajadi sahaja, tapi lihat diri kita pada alam serta isinya sekali; manusia
dan makhluk Allah SWT yang lain. Jangan lihat kekurangan diri kita pada mereka.
Tapi lihat apa yang kita ada, tapi mereka tiada. Selepas itu, lihatlah apa yang
kita tiada, ada pada mereka. Jangan melihat dengan keangkuhan. Lihatlah dengan
kerendahan hati. Sangat pasti, jika kita melihat sesuatu dengan kerendahan
hati, Allah SWT tidak mensia-siakan usaha kita. Malah, Allah turut membantu
kita.
Walaupun
sebenarnya kehidupan silam kita tidak seindah dan seteratur kehidupan orang
lain, ia bukan sesuatu yang perlu kita sedihkan, selepas itu kita berdendam
dengannya. Sesekali mengimbas kembali kehidupan yang penuh perit itu akan mengundang
airmata tanpa sedar. Tapi, kerana keperitan itulah kita ada dan masih hidup sehingga
hari ini. Buktinya, Allah Ta’ala tidak membiarkan kita mati sia-sia pun dengan
ujian itu. Setiap rasa syukur yang manusia buat dengan redha, Allah tetap
berikan ganjaran. Allah Maha Penyayang. Dan Allah tidak pernah menzalimi
hamba-hambaNya. Sebaliknya, kita inilah yang selalu menzalimi diri sendiri. Dan
Allah SWT datangkan cubaan untuk membuka mata hati kita, agar tidak
terus-menerus menzalimi diri sendiri yang hanya akan membawa kerugian di
akhirat kelak Allah SWT berfirman, “Jika kamu bersyukur
pasti akan aku tambah (nikmat-Ku) untukmu dan jika kamu kufur maka sesungguhnya
siksa-Ku amat pedih.” – Ibrahim : 7
Ingatlah,
semua manusia pun masih dan akan terus belajar. Marilah kita pula belajar dan
mendidik diri untuk bersyukur kepada Allah SWT. Syukur itu, banyak cara. Kata
pada diri kita yang kita berjiwa hamba yang mahukan kebaikan. Senyum. Tak perlu
kata apa-apa ….. Subhanallah
Dugaan
adalah satu ujian yang Allah SWT turunkan kepada hambaNya melalui dua bentuk
samada dalam dua bentuk, kesenangan dan kesengsaraan. Sebagai manusia, kita memang tak lepas
dari diduga. Dugaan ni datang dari macam-macam jenis. Ada yang diduga dari segi
kesihatan, kematian, kewangan, kerjaya, perhubungan,
kaya miskin, senang susah, sibuk lapang, takut berani, gembira sedih, rendah
gemuk kurus, sihat sakit, muda tua, cinta kasih sayang benci dendam, jauh dekat,
rindu, marah seronok lucu seram, mewah melarat, sunyi, besar kecil tinggi, buta
celikmalah berbagai lagi yang kita
hadapi bila berkata tentang dugaan. Sepertimana firman Allah dalam (Q.S. 29 al-Ankabut:2-3) "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami
telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami
telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah
mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang
yang dusta".
Mari
kita nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah
SWT. Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus.
Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai
hikmah. Kita hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang
melimpah ruah. Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda,
bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah
memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah
SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada
kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang
yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi
Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka
itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Allah
meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan
malapetaka. Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)
dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah
berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45).
Ujian
membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah
tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang Dugaan datang bersama hikmah.
Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara. Ujian
dan dugaan menjadikan diri sentiasa menghargai apa yang sudah dimiliki. Ia
mengingatkan manusia agar tidak cepat lupa dan sentiasa bersyukur dengan apa
yang ada. Nasihat sabar dalam keimanan adalah kata-kata terbaik yang perlu
diungkapkan dengan mengingatkan mereka tentang perjalanan penuh cabaran
manusia-manusia bergelar nabi dan rasul pilihan Allah, sebagaimana disebutkan
dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 4: Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam
kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.
Mereka
yang iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh
kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada
hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat. Hakikatnya,
inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati
terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan
muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu
satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Maknanya manusia di dunia ini
tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana
tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi
dugaan yang datang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu
ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan
itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih
bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan
baginya.”
Disuarakan
oleh bijak pandai: “Adalah lebih baik menjadi orang
beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji.
Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi
orang pemarah sedang diuji.” Setiap ujian yang menimpa pasti
terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu,
sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan. Firman Allah
yang bermaksud: “Sesungguhnya kami akan beri
percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh
dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.”
(Surah Muhammad, ayat 31)
Tidak
semua orang memiliki sabar, lantaran itu sikap sabar dianggap mahal dan tinggi
nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji. Lantaran itu, Allah
memerintahkan supaya berlaku sabar dalam firman yang bermaksud: “Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu
dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (Surah
ali-Imran, ayat 200)
Seperti
pepatah sahabat: “Bala adalah pelita bagi orang
arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan
orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia
ditimpa bala, rela dan bersabar.” Pada prinsipnya, sabar harus
diterap dalam setiap aspek kehidupan sama ada kehidupan rumah tangga, tugas
kepemimpinan, hidup selaku petani, nelayan, usahawan, guru, pengarang atau
penyiar. Semua memerlukan kesabaran, justeru setiap medan pekerjaan dan
perjuangan ada tentangan serta ujiannya.
Sabda
Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: “Sangat mengagumkan keadaan
seorang Muslim kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi
demikian kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu
adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan
baginya.”
Berikut beberapa tips untuk kita
halusi dan fikir bila berhdapan dengan dugaan:
(1) Kehidupan perlu diteruskan- Apabila sehingga tiada lagi titisan airmata yang
mampu dikeluarkan, kita perlu berfikir adakah ini bermakna pengakhiran untuk
hidup ini. Pasti tidak, kerana kita tahu walau bagaimana sukar sesuatu dugaan
itu, hidup perlu diteruskan. Seseorang tidak akan berjaya untuk menghadapi
sesuatu dugaan selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk cuba menghadapinya.
(2) Jangan biarkan emosi terus mengawal diri kita- Sekiranya
seseorang terlalu sedih atau selalu mengingatkan tentang kesukaran dugaan hidup
yang dialami, ia pasti akan lebih menyukarkan. Kita perlu mencari jalan untuk keluar
daripada zon tersebut. Jangan sesekali biarkan diri kita terus dikawal oleh
emosi.
(3) Inilah kehidupan- Kita perlu tahu bahawa setiap manusia
didunia ini mempunyai dugaan hidup yang tersendiri. Sekiranya kita merasakan
apa yang dilalui adalah amat sukar, kita juga perlu ingat bahawa ada manusia
lain yang sebenarnya menghadapi dugaan yang lebih sukar berbanding diri kita. Kerana
dugaan itulah sebenarnya membawa makna kehidupan
untuk seseorang.
(4) Ketentuan Allah SWT- Kita perlu tahu bahawa segala baik
atau buruk yang berlaku pada diri kita semua datang dariNYA. Kita tidak ada
daya sedikit pun untuk mengubahnya. Sekiranya kita percaya dan berpegang teguh
terhadap konsep ini, pasti segala dugaan hidup yang kita alami dapat diharungi
dengan lebih tabah. Setiap perkara yang berlaku pasti ada makna disebaliknya.
Hidup kita sepatutnya makin lama makin matang. Ujian
yang datang pun makin lama makin hebat tapi kita juga akan jadi makin kuat
dengan adanya setiap dugaan tu. Tempuhlah rasa kecewa kita terhadap sesuatu
dengan tenang. Jangan kelam kabut, jangan emosi. Cari punca masalah dan carilah
jalan penyelesaiannya dengan baik. Jangan juga terlalu mengharapkan sesuatu
yang tidak pasti. Kita kan ada Allah. Jahat mana pun kita, percayalah Allah
Maha Mendengar setiap keluhan yang dilalui hamba hambanya. Soal takdir kita,
itu semua di tangan Allah. Tapi kan ada dalam Al Quran, Allah takkan mengubah
nasib seseorang sehinga kita mengubah nasib kita sendiri. Jadi, lalui
kekecewaan dengan doa dan usaha. Anggaplah kekecewaan itu sebagai ubat untuk
kita rasa bahagia di akhir masa nanti.
Dalam pada itu kita kumpulkan kekuatan
untuk menghadapi dugaan-dugaan yang akan mendatang. Kita tak tahu bagaimana
rupa cabaran yang akan kita temui nanti. Mungkin ada cabaran yang senang,
mungkin ada yang susah, mungkin ada juga yang cukup susah. Walau apapun rupanya
nanti, kita kena bersedia. Moga artikel ini memberi suntikan motivasi buat diri kita. Mari
bersama-sama memasang tekad mahu menjadikan hari-hari yang seterusnya hari yang
terbaik buat kita – di hari ini kita memasang tekad berfikir yang baik-baik,
bersangka yang baik-baik, berkata hanya yang baik-baik supaya dengan itu urusan
kita dipermudahkan, permasalahan kita dikurangkan. “La yukalli
fullahu nafsan illa wu’aha” - Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai
dengan kesanggupannya (Surah Al-Baqarah ayat 286). beruntunglah
bagi manusia yang diuji itu kerana ini bermakna Allah sangat sayangkan dirinya
Sekiranya
kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita.
Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah
merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa
kita. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana
apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita
ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah
sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan
redha dengan takdirnya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan
harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Begitulah
Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya. Dan ingatlah, andaikata kita
diduga, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang
Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika ditimpa dugaan.
Demikianlah, mereka yang tinggi nilai taqwa dan keimananya, tidak mengeluh
apabila ditimpa dugaan. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni,
apabila ditimpa dugaan kita mudah sangka buruk dengan Allah dan berdendam
dengan orang yang mendatangkan dugaan kepada kita.
Wahai
orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan
solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153).