DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, July 21, 2010

Pesanan buat anak-anakku

(Buat Nur Munirah, Nur Fadilah, Ahmad Ashraf, Nur Syahirah dan Nur Zahirah)
Salam buat anak-anakku yg tersayang,

Alhamdullillah sampai saat ini bertuah sungguh abah rasa mempunyai anak-anak seperti kamu semua. Tak dapat abah luahkan dengan kata-kata yang kamu semua anak-anak yg hebat. Tak sia-sia selama ini, setiap kali lepas solat lima waktu abah berdoa agar dikurniakan anak-anak yang baik. Walau pun masih ada kekurangan yang perlu diperbetulkan namun abah anggap bukanlah perkara yang susah kerana kamu semua mudah untuk menerima teguran dan nasihat. Kadangkala juga ada perbezaan pendapat namun kita dapat selesaikan secara terbuka dan berlapang dada. Terima kasih semua anak-anakku.

Sudah jauh abah berjalan meniti, menapak, melangkah malah berlari mengejar impian abah untuk membina keluarga bahagia. Acapkali abah terlajak dan tersasar melalui bebagai halangan namun abah rempuh juga demi kalian semua. Jiwa abah menjadi kuat bila melihat kalian semua yang sanggup bersama dalam segala keadaan. Terima kasih juga pada emak kamu yang tak pernah serik, lelah dan mengalah menjadi isteri abah dan emak kalian. Dengan penuh tanggungjawab dan taat setiap masa emak kamu bekerja keras memastikan kamu semua mempunyai apa saja yang diperlukan seharian. Tiada hadiah yang paling beharga buat emak kamu selain cinta abah dan kasih sayang dari kamu semuga dia terus berada dalam kesihatan yang baik. Hargailah pengorbanannya sampai bila-bila. Benar kata pepatah, “Syurga itu dibawah tapak kaki ibu”. Abah memohon kepada kalian semua andainya masa abah sudah sampai, jagalah emak sebaik mungkin sebab jiwanya mudah tersentuh. Emak kamu selalu merahsiakannya dari kalian. Hanya abah yang tahu kesedihannya bila saat kalian tersasar berkata. Jangan ragut hati emak yang redha kerana bila hati emak disakiti hidup tak akan diberkati sehingga emak berkata ‘Aku memaafkan’. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah berkorban nyawa.

Anak-anakku,
Bukan mudah menjadi ayah kalau tiada jiwa yang kental dan hati yang tabah. Menjadi ayah bukan sekadar menyediakan keperluan harian malah memastikan kalian semua berada dilandasan yang betul dan diberkati Allah. Abah tak mahu kalian menjadi seperti abah dahulu yang selalu dambakan kasih sayang ayah yang boleh dikira berapa kali atuk kamu berikan. Bukan niat nak mengungkit bahkan nak mencemuh tetapi abah tak pernah merasakan apa yang kalian rasai hari ini, boleh didapati masa abah dulu. Walau apa pun yang atuk lakukan pada abah, tak pernah sekali pun abah membenci atuk mau pun berdendam, mungkin ada sebab yang tertentu. Adakala abah rasa macamlah abh ni bukan anaknya. Sampai sekarang masih tersemat dalam hati abah kenapa atuk berlaku begitu pada abah. Sayang abah pada atuk terus kekal sampai kini. Dah lebih 10 tahun atuk pergi meninggalkan kita. Sebab tu abah jarang berkata-kata sebab pedih bila hati terguris. Malah abah berhenti merotan bila satu hari abah merotan abang dengan hati yang marah. Abah menyesal sampai sekarang, rasanya kalau boleh mahu kembali kesaat itu atau putar kembali sejarah agar tidak berlaku kejadian itu. Tidak mungkin berlaku kan. Selepas tu abah buat solat sunat dan memohon maaf pada kalian semua yang abah berjanji tak akan mengulangi lagi. Abah tahu betapa sakitnya rotan kena dikaki sakit lagi hati didalam. Abah mohon maaf sekali lagi dari hati yang tulus agar jiwa abah bebas dari kepedihan itu.

Kini kalian sudah besar dan sudah boleh membuat keputusan sendiri. Rasa macam tak percaya yang abah sudah ada anak-anak yang remaja. Cepat betul masa berlalu, rasa baru semalam kalian bertungkus lumus belajar ketika abah jauh diperantauan. Belum puas bermain dengan kalian untuk menebus kembali hari-hari yang abah berjauhan dari kalian. Abah terpaksa berjauhan demi memenuhi tuntutan hidup dalam mencari rezeki. Tugas yang abah sandang memaksa abah berada jauh dari kamu semua. Abah rasa kagum dengan emak kamu kerana dapat melakukan tugas sebagai emak dan ayah sekaligus malah dalam kesunyian tanpa abah disisinya dia tetap tabah. Walau pun berada jauh dari kamu semua, belum pernah satu malam pun abah tak talipon mak kamu bertanyakan keadaan kalian semua. Abah nak pastikan yang kalian sentiasa berada dalam situasi yang baik dan sentiasa terurus disamping itu dapat juga abah melepaskan rindu pada emak kamu. Apa lagi yang abah patut lakukan untuk menebus kesemua itu, tak lain hanya memastikan kalian semua sentiasa yang terbaik.

Hari ini abah menoleh kembali perjalanan yang pernah abah lalui untuk sampai ketahap apa kita ada sekarang amat menginsafkan abah sebagai insan makhluk Allah. Melalui perjalanan berliku, mendaki dan apa saja yang abah tempuhi bukan suatu yang mudah, hampir saja abah putus asa kerana kepayahan dan kegetiran yang datang namun bila mengingatkan kalian semua jiwa abah jadi kuat dan degil. Bak kata pepatah “dimana ada kemahuan disitu ada jalan”, sungguh, yang penting yakin pada diri yang mana usaha tak kenal putus asa mencapai kejayaan. Abah tak mahu kalian dalam kesusahan macam abah dahulu segala-gala atas nasib. Apa yang abah mahu kalian belajarlah semampu yang boleh dan capai kejayaan setinggi yang mampu supaya akan mudah melayari kehidupan yang bakal dilalui nanti. Ingat tanpa ilmu kita akan sesat didunia ni dan tanpa amal kita akan sesat diakhirat jadi carilah kedua-duanya demi bekalan masa depan. Jangan lepas setiap saat dari mulut kamu ucapkan “Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil”. Inilah yang selalu abah ucapkan bila abah dalam kesusahan, keraguan dan kesedihan. Tanpa mereka berdua (atuk dan uwan) abah tiada didunia ini. Walau abah melalui pengalaman pahit tapi abah bangga dengan mereka kerana mengajar abah hidup dengan lebih bermakna. Apa yang dapat abah lakukan demi membalas jasa mereka dengan sentiasa berdoa semuga berada bersama para solihin. Sebenarnya dalam setiap tapak kita melangkah kita akan diuji dengan ujian yang bergantung dengan kemampuan. Allah itu adil kepada hambanya. Jangan kalah malah hadapi dengan hati yang tawadduk semuga keimanan kita bertambah. Abah begitu kagum dengan atuk kamu kerana dapat membesarkan adikberadik abah 10 orang sedangkan kalian ada lima orang sahaja abah rasa begitu berat. Mungkin abah inginkan yang terbaik untuk kalian semua. Abah sanggup lakukan apa saja demi kejayaan hidup anak-anak. Itu sebab abah kerap bertanya status pelajaran kalian. Susah payah kita bersama Alhamdullillah sudah menampakkan hasil yang abah idamkan. Tahniah anak-anakku.

Wahai anak-anakku,

Abah ingin berpesan sebagai muslim sejati jangan lupa solat. Sebagus mana kita, setinggi mana pun kita berada, sekaya mana sekali pun malah siapa pun kita tak SOLAT tak bemakna hidup ini. Maka sia-sia saja apa yang kita lakukan selama ini. Solat itu tiang pada kehidupan. Ia berhubung kait dengan yang telah pergi. Maksud abah anak yang soleh akan memudahkan kehidupan ibubapa yang telah pergi buat selamanya dan dia akan mendapat rahmah dari Allah selagi solatnya dipelihara. Bila solat kita tak tinggal secara otomatik yang lain akan kita turut dengan mudah. Itu sebab abah kata solat itu penting. Alhamdullillah setakat kalian semua masih memelihara solat. Abah cukup bangga punya anak-anak yang taat perintah Allah. Usia abah dah sampai ke penghujung, harapan apa yang abah bekalkan kepada kalian semua peliharalah sebaik mungkin supaya tak sesat kejalan pulang nanti. Ingatllah dimana saja abah berada belum pernah sesaat pun abah lupa siapa anak-anak abah. Abah terlalu sayangkan kalian semua, andai nyawa sebagai taruhan abah sanggup melakukannya. Sentiasalah berbaik-baik antara kamu adik beradik, bantu membantu dan hormat menghormati supaya ikatan yang ada tetap kekal sampai bila-bila. Akhirkata abah memohon dari hati yang tulus sejuta kemaafan andai ada perkara yang membuat kalian terasa atau yang membuat kalian marah pada abah. Bagi abah memaafkan sentiasa ada dalam diri abah untuk anak-anaknya. Bukan ke kemaafan suatu dendam yang terindah. Salam sayang buat semua.

[Juga buat anak-anakku yg hebat Raimi, Fadzly, Haziq dan Firdaus - hargailah ayah dan ibu kamu]

Monday, July 19, 2010

Perjalananku

Menjelang November nanti maka genaplah setengah abad saya hadir kedunia dan bermulalah fasa terakhir perjalanan kehidupan ini. Masih merasakan banyak kekurangan yang harus dicari, digapai dan dimanfaatkan untuk bekalan terakhir nanti. Saya merasakan masa yang ada tidak mencukupi untuk kesemua ini yang sepatut untuk bermudahan perjalanan hari tua. Rasa saya tidak mampu mencapai tahap kesempurnaan seorang pengabadi yang bakal menghadapi Tuannya yang Maha Berkuasa. Saya pasrah menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal hadir saban masa , hari, minggu, bulan dan tahun untuk ketempuhi kebarangkalian kepayahan, kekalutan, kemenangan mau pun apa saja. Pengalaman mengajar saya segala erti kesabaran dan ketabahan dalam hidup. Saya bersyukur memiliki mereka yang saya sayangi memahami kedudukan saya disaat ini walau adakala bertembung dengan ketidakseimbangan aliran pemikiran dam pemahaman yang akhirnya satu persefahaman dapat dilaksanakan dikongsi bersama. Bertuah saya merasakannya dan berharap biarlah keadaan ini sampai mata tertutup rapat.

Saya tidak dapat mengingati alam bayi atau kanak-kanak kerana tiada apa yang menarik ketika itu dan apa yang dapat mengingatinya saya begitu rapat dengan kakak yang sulong. Segala keperluan semua diuruskan oleh beliau (terima kasih tak terhingga kerana saya tak mampu nak membalas hanya doa semuga beliau sentiasa dirahmati Allah). Masuk alam persekolahan dan remaja barulah saya mengenal dunia baru selain dunia disekililing rumah. Menarik, seronok, berkobar-kobar dan ada juga menduga kekuatan hati (sudah saya cerita dibab yang lalu). Cukup berbeza dengan alam persekolahan sekarang, segala-galanya dipermudahkan. Adakala terfikir dibenak kepala apakah anak-anak sekarang mampu menghadapi dugaan yang datang kerana terlalu gobal dan penuh dengan cerita dalam cerita, andaikata kalau tiada kekuatan dalam, iman yang tebal dan ilmu yang tinggi rasanya akan tewas atau tersungkur sebelum senja berlabuh. Ya Allah aku bermohon dengan penuh tawadduk dan rendah diri hindarilah mereka yang aku sayangi dari segala kekalutan dan kecelaruan hidup, anugerahi mereka dengan jalan yang mudah serta rahmah, taufiq dan hidayah agar tak sesat dijalan pulang. Amin Yarabbulalamin.

Masuk alam dewasa adalah sesuatu yang amat berbeza dan bermulalah alam yang penuh cabaran dan dugaan. Adakala aku hampir tewas dengan ujian-ujian yang mendatang. Segalanya aku tempuh dengan semangat ingin berjaya dan mencari kehidupan yang lebih bermakna. Diperli, dicaci, dihina, dipulau menjadi mainan hidup dan ianya berlaku hampir keseluruhan alam pekerjaan yang saya lalui. Saya tak tahu kenapa saya menjadi degil dalam menghadapi percubaan ini tidak pernah rasa serik. Tanpa berfikir untuk kembali kejalan asal saya terus menempuhi dengan niat mungkin suatu hari ada hari yang bahagia akan Allah kurniakan. Tak pernah menyesali mau pun mengeluh walau dalam hati terasa pahit untuk ditelan. Pernah satu ketika hanya tinggal 5 sen didalam poket, dan sekiranya tiada rezeki Allah hadir hari tersebut maka bermalamlah saya dipejabat seperti mana yang pernah saya buat sebelum ini. Atas kesabaran yang tinggi serta tabah, janji Allah itu benar maka dapat juga rezeki disebelah petang (duit gaji). Setelah mempunyai 3 anak kedudukan kewangan agak mencabar kerana memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Apa saja peluang saya ambil agar ada jalan keluar dari kewangan yang meruncing. Masih menyewa rumah dan pernah diminta keluar dalam masa 2 minggu kerana tuannya memerlukan kembali rumah tersebut. Bayangkan kesukaran yang kami hadapi tetapi saya reda (saya perlu kuat menghadapi semua ini supaya isteri dan anak-anak tidak hilang keyakinan walau pun payah). Saya perlu berusaha dgn lebih kuat untuk memilik rumah sendiri. Berkat kesabaran serta degil untuk menghadapi apa rintangan, beban dan peluang, akhir saya dapat keluar dari kepayahan tersebut (Akan saya ceritakan dilain masa apa yang menyebabkan saya berjaya pada hari ini)

Dugaan tak pernah berakhir dalam hidup ini, sesungguhnya mengajar aku erti tabah, yakin dan pasti bahawa pengalaman itu akan mendewasakan kita. Setelah keluar dari kepompong kepayahan saya mampu memilik rumah sendiri. Terasa betapa bernilainya pengorbanan yang telah saya lalui berbayar kembali. Rupanya setiap tempat yang kita berada perlu melalui ujian demi ujian. Lagi hebat kita lagi besar ujian yang dihadapi hanya pengalaman dan ilmu yang berguna dapat kita atasi dengan bijaksana. Kita tidak boleh memiliki kesenangan dan kemudahan 100% kerana ianya menjadikan kita sombong, takbur malah angkuh jesteru itu bersyukur atas apa nikmat yang dikurnia disamping jangan menindas yang lain.

Akhirnya saya sampai ke kemuncak kejayaan. Alhamdullillah saya boleh dapat apa yang saya mahukan tetapi saya menggunakan rezeki yang Allah kurniakan untuk kebaikan yang lain juga. Saya masih lagi belajar memperbaiki diri dan mencari jalan dari keredhaan Allah. Bak kata pepatah ‘Tuntutlah ilmu dari semenjak buaian hingga ke liang lahad’. Betul seperti kisah dibawah ini mempunyai banyak persamaan yang saya lalui.

[Suatu hari, seorang pemuda berjumpa seorang guru tua lantas memintanya nasihat dan mengajar petua bagaimana hendak mencapai jejayaan dalam kehidupan. 'Apakah petua dan rahsia untuk berjaya?' Guru itu lantas bersuara: Cuba anakku daki gunung itu sehingga kepuncaknya. Mudah mudahan anakku dapat mempelajari rahsia bagaimana untuk menjadi seorang yang berjaya.

Guru tua itu membekalkan anak muridnya dua biji labu, sekotak mancis dan sebilah pisau. esok nya pergilah pemuda itu mendaki gunung sambil membawa 2 biji labu. Setelah lama mendaki, si pemuda mula keletihan. Dua biji labunya tadi menjadi beban. Dia tidak dapat bergrak bebas semasa mendaki. Si pemuda menyoal dirinya. : Apakah rahsia yang dapat dipelajarinya dengan hanya membawa dua biji labu ini? Biarpun keletihan, tetapi pemuda teruskan juga pendakian sehingga sampai ke puncak gunung. Hari kian gelap, malam pun menjelma. Dek kelaparan si pemuda memasak sebiji labu dan memakannya. Setelah itu si pemuda tertidur dalam kesejukan yang amat sangat.

Keesokannya si pemuda terjaga. Dia tergamam seketika. Gunung yang didakinya menjulang tinggi sehingga pemandangan dibawah kelihatan terlalu kecil. Tapi, apakah iktibar yang dapat dipelajarinya semasa berada di puncak gunung? Setelah puas memikirkannya, si pemuda masih tidak dapat jawapan yang pasti. Beberapa ketika berada di puncak gunung, si pemuda membuat keputusan turun semula. Si pemuda meninggalkan sebiji labu yang dibawanya di puncak. Perjalanan turunnya dirasakan begitu mudah dan pantas. Tidak ada lagi beban yang digalasnya dan halangan yang ditempuhi seperti mula mula mendaki.

Sebaik tiba dibawah, pemuda lantas menceritakan pengalaman dan halangan yang terpaksa ditempuhinya semasa mendaki. "Tapi, apakah maknanya semua ini guru?" soal si pemuda tidak sabar. Lalu guru menerangkan bahawa untuk memulakan sesuatu pekerjaan itu amatlah sukar. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi. Usaha berterusan tanpa jemu amat penting untuk berjaya. 'Perumpamaannya, amat sukar untuk kita menjawat jawatan tinggi tetapi amat mudah pula untuk kita meninggalkannya', kata tok guru. Si pemuda mengangguk tanda paham. Si guru tua menyoal lagi, 'Di puncak gunung tadi, apa yang kamu nampak?' 'Tak ada apa apa. Hanya nampak rumah rumah kecil, pepohon pula nampak berbalam.' jawab si pemuda tadi. "Begitulah hakikat kehidupan ini wahai anakku. Apabila kamu sudah berada di puncak, kadang kadang kita lupa orang di bawah. Kita hanya pandang sebelah mata sahaja. Kita tidak peduli lagi kesusahan dan kesengsaraan orang lain.

Hanya satu nasihat hamba, apabila sudah berjawatan tinggi, keluarga dan sahabat jangan dilupa. Ingatlah jasa orang yang telah membantumu sehingga berjaya mendaki ke puncak kejayaan. Ucap tok guru lagi. Guru itu bertanya lagi, bagaimana keadaan semasa di puncak? "Tak ada apa apa tok guru selain sejuk, malam yang dingin, lapar dahaga dan digigit nyamuk sehingga susah nak tidur, jawab si pemuda. Inilah perumpamaannya apabila anak ku sudah berjawatan tggi. Kamu hanya duduk di dalam pejabat yang berhawa dingin. Kamu perlu memakai baju tebal, kot dan tali leher yang segak. "Tapi apabila berada di puncak kuasa bukanlah mudah anakku. Setiap masalah kena hadapi sendiri. Semakin tinggi kamu berada semakin sukarlah situasi kamu hendak mengekalkan kedudukan dan kuasa. Jika tersilap langkah buruklah padahnya', nasihat tok guru. Si pemuda mengangguk-ngangguk. Barulah dia paham rahsia kejayaan yang diburunya selama ini. "Err, mana dua biji labu yang dibekalkan?" soal si guru. "Sebiji telah dimakan, sebiji lagi ditinggalkan di atas puncak. jawab si pemuda. Si pemuda memberitahu dua biji labu itu menjadi beban dan sukar hendak mendaki gunung. "Bukan kah anak ku boleh membawa labu dengan guni supaya mudah dibawa? Anakku juga boleh mengisi labu dalam bakul dan kendong di belakang.

"Jadi tangan boleh bergerak bebas menebas semak samun dengan pisau yang diberi, beritahu tokguru tersenyum. Sekarang barulah si pemudah sedar, pengalamannya yang menjadi guru, penunjuk jalan dan penentu kejayaan atau kegagalan dalam hidup seseorang]
Wahai anak-anakku semua yang abah sayangi, nak berjaya bukan semudah yang disangka, ianya tidak datang mengolek mau pun melayang tetapi harus kita hadapi dengan semangat yg kental, tidak putus asa, berkeyakinan dan mampu menghadapi apa saja ujian yang mendatang. Jangan kita lupa dari mana kita datang, jangan angkuh, sombong dan takbur. Jangan lupa solat, hormati ibubapa dan mereka yang lebih dewasa. Jangan juga menghina pada mereka yang susah. Doa mereka yang terinaya mudah makbul. Berpijaklah dibumi yang nyata bahawa apa kita milik bukannya kekal selamanya. Andai abah sudah tiada lagi didunia jadikan ini pendoman untuk hadapi apa saja kemungkinan yang tiba. Sentiasa tabah, reda, sabar dan terima ketentuan yang ada. Abah sentiasa berdoa untuk kesemua anak-anak abah semuga Allah sentiasa memberi taufiq dan hidayah disamping petunjuk kejalan yang benar. Ketahuilah dalam hati ini hanya ada kamu semua, kasih sayang abah tetap utuh walau nyawa bercerai dari badan. Semuga berbahagia.. Wassallam..