Pernah
tak dalam hidup, kita berhutang dengan orang lain? Mesti pernah kan walaupun
sekali. Sama ada dalam jumlah yang kecil atau pun yang besar. Pada dasarnya,
Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dengan orang lain. Hal ini adalah
kerana, hutang boleh menimbulkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di siang
hari. Terasa sukar untuk melelapkan mata di malam hari kerana memikirkan beban
hutang yang belum langsai. Siang hari pula menanggung malu bila terpaksa
berhadapan dengan si pemberi hutang yang tidak pernah jemu meminta hutang.
Hutang
wajib di bayar, walaupun kita hanya berhutang 10 sen dengan orang lain. Hutang
tetap hutang! Tak kisah lah berapa jumlahnya. Ianya bukan hak kita. Perlu
dikembalikan kepada yang berhak. Sehinggakan harta orang yang sudah meninggal
dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum
diagihkan kepada waris.
Ingatlah
bahawa ayat yang paling panjang dalam Al-Quran ialah mengenai hutang: "Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang
piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah
kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di
antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis
enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia
menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang
itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan
janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang
berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan
(isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan
hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian
kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua
orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika
yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat
diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila
mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang
yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian
itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan
saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali
perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka
tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu
berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan
kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian
adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar
kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah:
282)
Ini
menunjukkan betapa pentingnya perkara hutang piutang dalam Islam. Betapa
seriusnya hal hutang piutang ni. Islam selaku agama yang sempurna telah
menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat
hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis
yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan
penganiayaan.
Bagi
orang yang berhutang, sekiranya dia berniat untuk membayar balik hutang
tersebut, Insya Allah akan dipermudahkan urusannya oleh Allah. Sebaliknya, jika
berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam
perhitungan-Nya sepertimana dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan
oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar
balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat
menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ‘Allah akan
membayarkan’ di sini adalah Allah akan memudahkan rezeki seseorang itu agar dia
dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.
Bagi
orang yang berhutang, cepat-cepatlah membayar hutang apabila berkemampuan.
Sebabnya mungkin si pemberi hutang juga berada dalam kesusahan dan memerlukan
duit. Sesetengah orang yang berhutang bukannya tidak mampu menjelaskan hutang
mereka. Tetapi mereka lebih suka mengambil sikap berlengah-lengah. Sikap ini lah
yang sebenarnya menyakitkan hati pihak yang memberi hutang. Kadang-kadang
sampai boleh bermasam muka dan menimbulkan perbalahan. Mana taknya, dah banyak
kali si pemberi hutang meminta balik hutang, tapi si penghutang buat-buat tak
tahu. Sedangkan dia mampu bayar.
Situasi
ini bukan sahaja akan semakin mengeruhkan keadaan tetapi akan merosakkan imej
si penghutang sekaligus menghilangkan kepercayaan orang terhadapnya. Jadi, agak
sukar untuk orang memberikan bantuan di lain hari sekiranya dia memerlukannya. Sebaik-baiknya,
janganlah sampai pemberi hutang yang terpaksa menagih kembali hutang daripada
kita. Sepatutnya, kita sebagai pihak yang berhutang perlu tahu tanggungjawab
kita. Iaitu melunaskan hutang tanpa perlu ditagih.
Bagi
pihak pemberi hutang pula, mereka berhak untuk menagih hutang yang diberikan.
Jadi, jangan merasa marah apabila si pemiutang datang meminta hutang daripada
kita. Sebab itu adalah haknya untuk meminta hutang. "Dari Abu Hurairah r.a
katanya:”Sesorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah SAW lalu ditagihnya
secara kasar. Oleh sebab itu para sahabat tidak senang terhadap orang tersebut.
Maka bersabda nabi SAW,: “Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia
seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!”. Berkata para sahabat: “Tidak ada
unta muda ya Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada
untanya.”Sabda baginda:”Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya
sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang." (HR Muslim)
Islam
menggalakkan si pemberi hutang untuk menghalalkan hutangnya sekiranya si
penghutang tidak mampu melunaskan hutangnya. Allah ada berfirman dalam
Al-Quran: "Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka
berilah tenggang waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Dan jika kamu
menyedekahkannya, itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Al-Baqarah:
280) Tapi sebagai pihak yang berhutang, kita tidak lah boleh selalu
mengharapkan orang untuk menghalalkan hutang-hutang kita. Tidak semua orang
akan bermurah hati untuk menghalalkan hutang-hutang mereka. Lebih-lebih lagi
jika besar jumlahnya. Jadi, berusahalah sehabis boleh untuk melunaskan
hutang-hutangmu.
Sekiranya
kita sudah tahu tidak mampu membayar balik hutang, janganlah berhutang dari
awalnya. Setiap individu Muslim seharusnya mengamalkan sifat 'qanaah' iaitu
bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak
melebihi kemampuan. Dengan ini, hutang dapat dielakkan. Saidina Umar ada
berkata, "Jika meminum seteguk air ketika sangat dahaga itu akan
menjatuhkan harga diriku.. nescaya aku tidak akan meminumnya." Jadi,
seboleh-bolehnya bebaskan diri kita dari hutang melainkan jika benar-benar
terpaksa. Hidup tanpa hutang itu lebih aman dan tenang kan?
“Ya
Allah! Aku berlindung kepada Mu daripada kedukaan dan kesusahan, dan berlindung
daripada lemah dan malas dan berlindung daripada takut dan bakhil dan
berlindung daripada bebanan hutang dan penindasan orang.” InsyaAllah, amalkan
doa ini untuk melepaskan diri daripada beban hutang.
Bolehkah
kita melalui kehidupan yang sementara ini tanpa berhutang? Adakah manusia di
dunia ini yang tidak pernah berhutang? Namun persoalan yang lebih penting ialah
adakah kita TELAH MELUNASKAN semua hutang-hutang kita? Hutang kepada ibu, ayah,
adik-beradik, rakan taulan, institusi kewangan dan lain-lain pemberi pinjaman
lagi...
Kita
berada dalam golongan yang mana sebagai penghutang?
Golongan
1.
Orang
yang bertanggungjawab terhadap hutang-hutangnya. Tahu yang hak dan yang batil.
Beriltizam dan komited untuk melunaskan segala hutang-hutangnya. Sanggup
berjimat-cermat, memenuhi keperluan hidup sekadar yang ada dan tidak
berlebih-lebihan dalam kehidupan demi untuk melunaskan hutang-hutang yang ada.
Golongan
2.
Orang
yang memandang remeh tentang hutang-hutangnya. Sanggup melengah-lengahkan
urusan membayar hutang sehingga menjejaskan kehidupan si pemberi hutang. Tidak
mementingkan keberkatan dalam menjalankan kehidupan diri, isteri/suami dan
anak-anak.
Golongan
3.
Orang
yang berhutang tetapi memang tidak berniat untuk membayar atau melunaskan
hutang-hutangnya padahal dia mampu untuk melakukannya. Tidak mempedulikan halal
haram apa yang dimakan oleh dirinya, suami/isterinya dan anak-anaknya. Suka
menganggap “Hangus/Burnt” terhadap hutang-hutangnya terutama hutang-hutang
terhadap keluarga terdekat seperti ibu, ayah, adik-beradik dan saudara-mara
kerana menganggap “tidak apa, mereka ahli keluarga, lambat laun mereka akan
halalkan hutang saya.”
Golongan
4.
Orang
yang berhutang tetapi memang tidak mampu untuk melunaskan hutang-hutangnya.
Hutang sini sana, gali lubang untuk tutup lubang. Sepanjang hayat hidup
dibebani dengan hutang.
Renung-renungkanlah.
Alhamdulillah, sekirannya berada dalam golongan 1. Dukacita sekirannya kita
termasuk dalam golongan 2, 3 dan 4 kerana kita berada dalam kerugian. Pelbagai
raut wajah dipaparkan, senyuman manis diberi sebagai pujukan, muka kasihan
ditonjolkan agar orang simpati, janji bayar balik yang berkobar-kobar untuk
meyakinkan si peminjam. Tetapi apabila tiba untuk membayar hutang, pelbagai
alasan diberi. Bila hutang mula ditagih, pelbagai masalah dijadikan alasan.
Banyak tanggungan, pendapatan tidak seberapa, banyak komitmen kepada yang lain,
adakalanya sanggup mengalirkan air mata palsu untuk mengelak diri daripada
membayar hutang. Dalam pada masa yang sama mampu pula memiliki rumah dan
kereta, mampu membeli barangan keperluan seperti peralatan elektrik, perabot
dan pakaian yang berjenama. Mampu pergi melancong bersama suami/isteri dan
anak-anak dua atau tiga kali setahun. Tetapi dalam soal membayar hutang? Tidak mampu?
Hutang
dengan institusi kewangan dibayar tepat pada masanya, kalau tidak tindakan
mahkamah akan diambil. Tahu takut kalau tidak membayar hutang. Tetapi, kalau
hutang itu kepada ibu, ayah, suami atau isteri, adik-beradik atau
sanak-saudara, dilengah-lengahkan atau dilupakan sahaja. Tingginya nilai yang
diletakkan kepada institusi kewangan berbanding nilai ibu, ayah, adik-beradik
dan sanak-saudara. Nescaya golongan ini tidak akan beroleh keberkatan dalam
hidup.
KETAHUILAH
TENTANG HUKUM DAN PANDANGAN ISLAM DALAM HAL HUTANG
Kepenting
dalam urusan melunaskan hutang boleh kita nilaikan berdasarkan sabda Nabi
Muhammad SAW: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid
kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" (Riwayat Muslim, 6/38)
Lebih
buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk
tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barangsiapa
yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan
mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat
ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" (Riwayat Al-Bukhari, 2/83)
Rasulullah
SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang: Ya
Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya:
Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ;
Baginda menjawab: "Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila
berjanji ia mengingkari" (Riwayat Al-Bukhari, 1/214)
Terdapat
juga dalam sebuah hadith lain: “Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan
hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, "Apakah engkau menyamakan
kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ?; "Benar" Jawab
Rasulullah" (Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad, 3/38 ; Al-Hakim berkata
Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani: Dhoif)
Berlandaskan
dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa berhutang adalah amalan yang
kurang baik menurut pandangan Islam. Terlebih lagi pentingnya dalam urusan
hutang ini ialah keperluan dan kewajiban untuk melunaskan hutang-hutang yang
ada. Justeru, kita sewajarnya kita menjauhi hutang semampu yang boleh. Beberapa
panduan di bawah perlu difikirkan untuk memastikan tanggungan dan beban hutang
kita dapat dikurangkan dan seterusnya dilunaskan.
Seseorang
yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang
dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan
pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.Rasulullah SAW bersabda: “Penundaan
hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari –
41/585)
Menurut
rasulullah SAW, orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan
pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera
adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah SAW dalam
sabdanya: “Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah
suatu kezaliman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)
Dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda:
“Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk
membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan
hukumannya.”
Antara
ikhtiar yang disarankan oleh agama Islam untuk umatnya bagi menjauhi amalan
berhutang termasuklah berdoa. Kenapa kita selalu diminta berdoa? Jawapannya
ialah kerana kita hanyalah hamba-Nya yang lemah dan sentiasa mengharapkan
bantuan daripada ALLAH SWT. Doa adalah senjata kita. Segala yang berlaku di
dunia ini adalah atas kehendak Allah. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar
bersunguh-sungguh . Setelah berusaha dan berikhtiar barulah kita disarankan
untuk berdoa dan berserah kepada Allah jua.
Doa
yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini khusus supaya kita dilindungi daripada
keadaan duka dan keluh kesah, dijauhi sifat malas, takut dan bakhil, jauh
daripada beban hutang dan juga penindasan orang. Mulakanlah usaha anda untuk
melangsaikan hutang-hutang anda dengan mengamalkan doa yang dipaparkan di awal
tulisan ini. InsyaAllah, bila kita istiqomah, Allah SWT akan membantu kita
meringankan beban hutang kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penyayang.
Wallahu’alam.