Taubat
adalah jalan kembali kepada Allah SWT. Apabila manusia melakukan dosa dia
tercampak jauh dari sisi Allah SWT. Jika dia tidak bertaubat dia tetap tinggal
jauh dari Allah SWT. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan maka dia berbuat
baik dalam keadaan jauh dari Allah SWT. Dia boleh melakukan suruhan syariat
tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Allah SWT. Hamba yang melakukan kesalahan sangat
perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal
salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak
berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih
itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Allah SWT.
Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan
sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di
dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang
salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata lagi. Banyak
daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak
bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.
Bani
Adam memiliki tabii keadaman. Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan.
Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan
dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad SAW yang suci bersih pun sering
bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia
yang tidak berupaya melakukan perintah Allah SWT dengan sempurna.
Ramai
manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum
mereka memasuki pintu taubat. Adam A.S yang diciptakan khusus untuk menjadi
khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau melalui pintu taubat dan menerima keampunan
dari Allah SWT. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang
seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat.
Orang yang bertaubat dan Allah SWT mengampunkan dosanya, kesuciannya kembali
kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Allah SWT. Manusia
yang rohnya kembali kepada taraf amr Allah SWT akan memperolehi keselamatan di
dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu
mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani
Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga
boleh kembali kepada Allah SWT dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.
Taubat
yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang
dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil
langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan
kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak
terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama
memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam
tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang
yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan
tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada
punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang
di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.
Taubat
luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Taubat dalaman adalah
penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri
daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina,
bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun
tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam A.S yang telah
melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah
bertaubat beliau tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang
menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak
jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.
Orang
yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan
faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi
perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada
kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah SWT. Jihad membuang nilai-nilai buruk
daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar
dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran
daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat
awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang
berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk
dikeluarkan daripada daerah nafsu suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan
sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan
penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang
benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang
salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah
melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.
Dalam
perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu
kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu
kehaiwanan hanya inginkan makanan, minuman, pakaian, tidur, melakukan yang
sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego
yang jahat seperti takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain
penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian
nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu
berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang
muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya,
memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.
Syariat
mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia
melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan.
Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan segenap tubuh boleh
menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi
pintu dosa. Dosa adalah
umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi
dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam
tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh
tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan
lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan,
pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.
Syahwat
yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa
itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti
dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk
dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar
air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu
lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa
kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus
oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang
ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi
penyakit aids.
Kecelakaan
menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja
yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar
daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk
menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api
neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia
memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan
kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak
tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak
mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai
mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.
Fikiran
dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang
dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah
kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu
orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang
diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu
dan bom nukliar untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan
dan anggota yang berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam dunia daripada memberi
kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah
yang mengheret dunia kepada kiamat.
Ulama
zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri
daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada
ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang
ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang
kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik
terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum
arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersolat?
Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung
uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih
tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak. Kaum Muslimin memainkan peranan yang
penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada
ketidak-stabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat
mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai
keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang
mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Allah SWT Yang
Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin
menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat
merupakan kurniaan Allah SWT yang besar kepada orang-orang yang beriman demi
faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti
disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di
akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat
sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat solat dan lain-lain. Mereka
mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Allah
SWT di dalam solat.
Taubat,
sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek
zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir.
Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat
yang berada dalam batin. Amalan
zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu
yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang
membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fiqah dan
tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w
semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam.
Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah
mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia
menghadap Allah SWT dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang
cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai
persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang
membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan
tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan
memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki
oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh
menghadap kepada Allah SWT dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh
tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah
tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi
bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang
dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan solat.
Taubat
yang benar menggabungkan cara fiqah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat
melakukan solat sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan
yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar
hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia
tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi
kesalahan kepada orang lain dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.
Taubat
yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan
taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut
kepada Allah SWT. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas
kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Allah SWT memohonkan keampunan-Nya.
Dia takut dicampakkan jauh daripada Allah SWT. Dia takut ‘kehilangan’ Allah SWT
yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan
keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Allah SWT Melihat dan Mendengar segala
perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Allah SWT yang
sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Allah SWT
memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan
takutkan Allah SWT itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat
itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya
suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima
pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang
hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.
Orang
arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang
telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar
balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi
masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif
berjalan menurut Sunah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza
daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang.
Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil
orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi
menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul
diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan
kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru
kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada Sunah Rasulullah SAW, mendakwa
dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan
kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang
dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian
mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan
manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan
peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW
melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka.
Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan
darah daging.
Dalam
masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir
syariat iaitu ilmu fiqah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin
iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang fikah lebih bersifat umum.
Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai
dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu
orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab
itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan
muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh
jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan
khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya
menuju matlamat dengan selamat.
Adam
A.S, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami
syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada
melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba
menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan.
Adam A.S mengakui kesalahannya dan merujuk kembali kepada Allah SWT, memohon
agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup
kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun
Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam A.S beberapa kalimat, iaitu cara
bertaubat. Adam A.S bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT
yang mengajarkan Adam A.S bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan
kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam A.S kepada Allah SWT as-Salam, Yang
Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh Adam A.S adalah taubat yang
disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih. Taubat yang demikian
menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.
Iblis,
jin yang pertama diciptakan Allah SWT, telah melakukan kesalahan. Kesalahan
Adam A.S adalah lupa kepada pesanan Allah SWT. Kesalahan iblis pula adalah
engkar kepada perintah Allah SWT. Adam A.S mengakui kesalahan dan bertaubat.
Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Adam A.S yang
bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat
menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT. Adam A.S kembali kepada Allah SWT
dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak jauh dari Allah SWT dan hilang peluang
untuk kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam a.s kembali kepada syurga
dan iblis pula akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling
buruk dan paling azab
Ehsan - Alhakiki
No comments:
Post a Comment