Motivasi
Pesakit - Firman Allah SWT: Maksudnya: “Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah
segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati
dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik
amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” [Al-Mulk: 1-2]. Tulisan
ringkas ini membincangkan beberapa ayat dan hadis yang menyebut tentang
kedudukan sakit dan adab-adab menghadapinya serta Adab ketika Menziarahi Orang
Sakit;
1)
Makna sakit (Al-Mard- المرض): - Menurut Kamus Dewan: Menderita sesuatu (demam,
pening dan lain-lain) yang menyebabkan tubuh atau bahagiannya tidak segar,
tidak sihat atau uzur. Sakit samada terkena kepada tubuh badan, ia juga terkena
kepada agama (Ad-Din).
2)
Kesabaran pesakit serta mengharapkan pahala dari Allah SWT. - Para pesakit
hendaklah sentiasa bersabar serta mengharapkan pahala yang dijanjikan Allah SWT
terhadap mereka yang bersabar. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya hanya
orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”
[Az-Zumar: 10]. Dari Suhaib RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Pelik sekali
keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu
kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka
syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka
sabar itu baik bagi mereka.” [Hadis riwayat Muslim: 2999]
Dari
Abi Sa’id Al-Khudri ra dan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiada
seorang Muslim pun yang mengalami penderitaan, kesiksaan, kebimbangan,
dukacita, kemelaratan atau kesedihan, walaupun hanya terkena satu tusukan duri,
melainkan dihapuskan olah Allah (kerana kesusahan tersebut) sebahagian daripada
kesalahannya.” [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 1283, Muslim: 926]. Dari Abdillah
bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiada seorang muslimin yang
menanggung derita kesakitan atau yang selainnya, melainkan Allah menggugurkan
dosanya sebagaimana gugurnya daun daripada pokoknya.” [Hadis riwayat:
Al-Bukhari: 5647, Muslim: 2571]. Dari Anas RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika
Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba-Nya, disegerakan baginya
kesusahan (balasan) sewaktu di dunia lagi. Sebaliknya jika Allah menghendaki
kejahatan bagi seorang hamba-Nya, ditangguhkan pembalasan ke atasnya sehingga
hari Kiamat.” [Hadis riwayat At-Tirmizi: 2395, “Hadis Hasan”, Sahih Al-Jami’
As-Saghir: 308]
Dari
Anas RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung
kepada kepada besarnya kesusahan. Apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, mereka
akan diduga dengan kesusahan. Sesiapa yang redha dengan kesusahan itu akan
mendapat keredhaan Allah, dan sesiapa yang tidak redha, dia akan menerima
kemurkaan Allah.” [Hadis riwayat At-Tirmizi: 2396, Ibnu Majah: 4031, “Hadis
Hasan”, As-Silsilah As-Sahihah: 146]
3)
Orang muslim sentiasa memohon kemaafan dan afiat (kesejahteraan) di dunia juga
di akhirat, mereka tidak meminta bala. Abbas bin Abdul Mutalib RA berkata: Wahai
Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah SWT. Baginda
bersabda: “Pohonlah dari Allah kesejahteraan”. Berlalu beberapa hari kemudian
aku pergi kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah, ajarilah saya
sesuatu untuk dipohon kepada Allah. Baginda bersabda kepadaku: “Wahai Abbas,
wahai bapa saudara Rasulullah, pohonlah dari Allah kesejahteraan di dunia dan
di akhirat”. [Hadis riwayat At-Tirmizi: 3514, “Hadis Sahih”, As-Silsilah
As-Sahihah: 1523]
Abdullah
bin Umar RA berkata, di antara doa Rasulullah SAW ialah: “Ya Allah, aku
berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat yang telah Engkau kurniakan,
daripada terjejasnya kesihatan yang Engkau kurniakan, daripada bencana yang
tidak disangka-sangka dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu”. [Hadis riwayat
Muslim: 2739] Abu Hurairah RA meriwayatkan, “Nabi SAW memohon perlindungan
(dengan Allah) daripada qadha’ yang buruk, ujian dan cubaan yang berat, celaan
musuh-musuh dan kesengsaraan yang pedih”. [Hadis riwayat Muslim: 2707]
4)
Bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada waktu sihat, agar mendapat pahala yang
sempurna ketika lemah dan sakit. Dari Abu Musa Al-Asy‘ari RA, Rasulullah SAW
telah bersabda: “Apabila seorang hamba sakit atau musafir, dituliskan (pahala
kebajikan) seperti apa yang diamalkan sewaktu tidak bermusafir dalam keadaan
sihat”. [Hadis riwayat Al-Bukhari: 2996]
5)
Kelebihan ziarah orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah sunat dan
digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwah
sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga. Amalan ziarah sesama Islam
dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit
sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda
Baginda Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah ini: Abu Hurairah RA
meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kewajiban seorang muslim
terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam,
menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi
jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari & Muslim]
Sabda
Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit,
seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda
ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?”
Rasulullah SAW bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan
yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim] Daripada Ali RA, bahawa
Rasulullah SAW. bersabda: “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara
se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya
untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya
pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat
Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga
yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]
6)
Adab Ziarah - Antara adab-adab menziarahi pesakit ialah;
a-
Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah SAW.
b-
Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.
c-
Bertanyakan tentang ibadatnya; solat dan lain-lain, sekiranya dia tidak mampu
ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai.
d-
Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan
menguatkan jiwanya.
e-
Pendek dan jarakkan waktu ziarah, jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya.
(kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya).
f-
Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.
Hendaklah
kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar dia cepat sembuh
dan bersabar dalam menghadapi kesakitan; “Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya,
wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada
kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak
meninggalkan sebarang penyakit”. [HR Bukhari]
“Tidak
mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”. [HR Bukhari] Rasulullah
SAW bersabda: “Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum
sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan
penyakitnya itu: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang
agung, supaya menyembuhkan engkau”. (7 Kali). [HR At-Tirmizi dan Abu Daud] Doa
Jibrail kepada Nabi SAW ketika Baginda sakit: “Dengan Nama Allah aku
menjampikan mu dari semua perkara yang menyusahkanmu…” [HR Ibn Majah]
g-
Bacaan dan perbuatan apabila tubuh merasa sakit; “Letak tangan di tempat sakit
kemudian baca: “Bismillah” 3 kali, dan baca 7 kali: “Aku berlindung dengan
Allah dan kekuasaanNya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti” [HR:
Muslim].
h-
Jika ditakdirkan pesakit itu berada dalam kecemasan, tenat atau sedang
menghadapi nazak, maka berdoalah kepadanya; “Ya Allah, bantulah dia di atas
sakarat al-maut”.
i-
Ajaran kepada orang yang sedang nazak; La ilaha illallah! “Sesiapa yang akhir
ucapannya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”, dia akan dapat
masuk syurga”. [HR Abu Daud 3/190. Lihat: Sahih Al-Jami' 5/432].
Semoga
risalah ringkas ini dapat membantu muslimin dan muslimat dalam menghidupkan
sunnah Rasulullah SAW ketika menziarahi orang sakit atau menghadapi kesakitan.
Sekian.
Ehsan dari Abu
Anas Madani.
No comments:
Post a Comment