DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, April 26, 2012

Mencari Keberkatan Rezeki

Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya. Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan
Selalunya manusia itu apabila berkaitan dengan berkah (berkat, barakah) menjuruskan kepada rezeki dan menilai disegi banyaknya keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya mereka beranggapan tiada keberkatan daripada Allah SWT apabila rezeki yang mendatang itu sedikit sedangkan usaha yang dikeluarkan cukup banyak dan berlipat ganda, namun kepada kedua kedudukan tersebut manusia selalu terlupa dan tidak mahu bersyukur kepada Allah. Kehidupan yang berkat itu sebenarnya akan sentiasa mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan keberkatan didalam kehidupan. Apabila mempersoalkan amaun banyak atau sedikit, bererti manusia itu tidak pernah puas sehinggakan tidak tahu mereka bersyukur, maka tiadalah keberkatan dari Allah  didalam kehidupan. Sesungguhnya segala yang dimiliki oleh manusia diatas muka bumi ini walau sebanyak mana atau sangat sedikit, mahu pun mungkin tidak punya suatu apa, sebenarnya segala itu adalah kurnia daripada Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah yang Maha Luas KurniaNya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang diberikan. Barang siapa yang redha dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki baginya dan barang siapa yang tidak redha nescaya rezekinya tidak diberkati” {HR Ahmad} Nabi Muhammad SAW melalui Sabda Baginda diatas sekali gus menjelaskan bahawa keberkatan dari Allah SWT itu tidak ditentukan amaun banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi. Keberkatan Illahi itu terletak diatas rasa keredhaan hamba Allah keatas apa sahaja bentuk mahu pun jumlah kurniaanNya. Sebaliknya rezeki itu sendiri merupakan perujian daripada Allah SWT kepada manusia sejauh mana mereka benar benar bertaqwa dan berserah diri kepadaNya. “Wahai orang orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar benar takqwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati melainkan dengan berserah diri” {3:102}

Dalam kita memahami pengertian rezeki yang berkat, kita tidak boleh membataskan rezeki itu hanya pada wang ringgit tetapi meliputi kesihatan. Ilmu,sahabat, masa lapang, idea dan berbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki. Bila kita dapat memahami makna rezeki yang berkat secara tidak lansung kita sudah menambahkan rezeki dengan meluaskan pengertian rezeki itu sendiri.
Memanjangkan ikatan silarurrahim juga merupakan cabang rezeki. Ini kerana selain kita mengekalkan ikatan yg sedia ada, menambahkan juga amat digalakkan malah yang paling utama menghubungi kembali mereka yang terputus hubungan oleh berbagai sebab seperti berdendam, menghilangkan diri atau rasa benci. Dalam menambah keberkatan rezeki terutama dalam perniagaan, rasa ukhwah amat penting kerana selain ramai kenalan, kita juga dapat mempromosikan dan menjual produk melalui rangkaian hubungan berasaskan Jemaah. Rasulullah sendiri ada bersabda yang bermaksud: *Sesiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, hendaklah dia mengeratkan hubungan silaturahim.* Islam memuji mereka yang mahu menyambung hubungan silaturahim, bahkan Allah SWT akan memanjangkan umur dan melimpahkan rezeki kepadanya

Bersedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Ini kerana setiap pemberian Allah akan mengandakan  dengan 700 kali ganda. Setiap harta yang dibelanjakan pada jalan Allah diumpamakan akan menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai akan membuahkan 100 biji, ertinya rezeki kita bertambah 700 kali ganda. Ini kerana Allah menambahkan keberkatan rezeki pada mereka yang memberi pada jalan Allah. Kita merasa rezeki yang berkat bilamana kita merasakan sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan, manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup dan banyaknya tidak puas. Umpama kita meminum air laut semakin diminum semakin dahaga. Tiada siapa dapat menduga apa yang Allah sediakan pada mereka yang sentiasa memberi atau bersedekah.
Menuntut ilmu yang baik itu satu keperluan atau fardu kifayah. Bila kita menuntut atau memperlajari tentu ada yang mengajar atau memberikan ilmu. Ia berbeza dari wang kerana ilmu jarang orang merebutnya tetapi ilmu itu lebih penting dari mata wang. Kerana melalui ilmu kita boleh mendalami atau mempelajari bagaimana untuk mendapat rezeki yang berkat dan bertambah

Seterusnya perlu bersyukur pada Allah atas rezeki yang dikurniakan. Melalui ucapan Alhamdullillah (segala puji bagi Allah) kita bersyukur dengan hati kerana merasakan rezeki yang dikurniaan Allah bukan usaha dan kepandaian kita. Kerana apa yang kita dapat kita amalkan kemudian sampaikan. Allah berikan semua itu pada kita untuk membantu yang lain dengan hibah dan zakat. Allah berikan kesihatan untuk kita berlaku taat kepadaNya. Kita melakukan segalanya kerana Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat. Bukan mudah untuk kita bersyukur kerana orang yang bersyukur, hatinya sentiasa lapang dan berasa cukup pada apa yang dia ada. Rasa begini akan menarik rezeki menghampiri kita, rezeki yang baik biasanya hadir pada kebaikan kerana hukum law of attraction menyatakan yang baik akan menarik yang baik. Sama juga dengan islam, kalau kita bersyukur Allah akan tambah lagi rezeki kita yang ada. Surah Ali Imran: 145, “Dan Kami akan memberikan ganjaran untuk orang yang bersyukur.” Surah Ibrahim: 7, “Kalau kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan kepadamu.”
Kesimpulannya cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'
Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui. Banyak lagi yang kita perlu tahu untuk mendapat keberkatan seperti doa-doa yang mustajab, mujarab solat sunat Dhuha, berkatnya zakat …. Dan berbagai lagi. Semuga kita dapat menfaatkan artikel ini dan bersyukur atas nikmat yang kita dapati.

1 comment:

Winstshop Enterprise said...

Subhanallah artikel yang hebat.terima kasih.