Sedar atau tidak, kita selalu merungut
dengan setiap ujian hidup yang dihadapi dan rezeki yang diberikan pada kita.
Ada je yang kita berasa tidak puas hati. Merungut tanpa henti. Seolah-olah kita
sahaja yang 'bernasib malang'. Mula nak membandingkan diri dengan insan lain.
Kemudian cemburu dengan 'nasib baik' mereka. Sedangkan kita terlupa yang setiap
manusia tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari berhadapan dengan ujian
hidup dan rezeki. Cuma ujian yang dihadapi berbeza keadaannya. Itu lumrah
kehidupan yang nyata
Ujian Hidup
Sepanjang kehidupan sebagai seorang
manusia, kita akan melalui 2 fasa ujian hidup yang pasti menguji kekuatan iman.
Ujian kesenangan dan ujian kesusahan. Mampu atau tidak untuk kita berhadapan
dengan kedua-duanya? Allah takkan sesekali menguji hamba-hambaNya dengan ujian
yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Setiap ujian yang diberikan pasti
bertepatan dengan kemampuan kita. Itu janji Allah
Ujian kesenangan. - Hidup mewah, bijak belajar, tidak menghidap
sebarang penyakit berbahaya, rumahtangga bahagia, bekerjaya hebat, berpangkat
dan dikenali ramai. Itulah antara ujian-ujian kesenangan kurniaan Allah kepada
hambaNya. Allah selalu memberikan ujian kesenangan ini kepada insan yang
terpilih untuk menguji seteguh mana iman mereka. Selalunya iman pasti akan
goyah kerana menjadi terlalu leka dan lupa diri. Sehingga semakin jauh tersasar
dan lupa bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah itu. Lalai dengan kesenangan hidup
yang diberikan.
Ujian kesusahan. - Hidup merempat tidak berharta, tidak bijak
belajar, menghidap pelbagai penyakit kronik, rumahtangga berantakan, tidak
bekerjaya, tidak berpangkat dan selalu dicemuh orang. Inilah antara ujian-ujian
kesusahan yang Allah turunkan kepada hambaNya untuk menguji dan menyedarkan
mereka tentang hakikat kehidupan di dunia. Yang mana tidak semua akan mendapat
kesenangan semasa kehidupan mereka di dunia. Bagaimanapun, mereka yang menerima
ujian kesusahan ini seharusnya menjadi semakin 'tunduk' dan menyedari akan kelemahan
diri sebagai hambaNya yang kerdil.
Samada ujian kesenangan atau ujian
kesusahan yang dialami, kita wajib bermuhasabah diri setiap masa. Setiap ujian
pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Jadi janganlah selalu merungut. Sebaiknya
kita mohon petunjuk dari Allah supaya sentiasa membimbing kita dengan jalan
yang betul untuk kuat mengharungi setiap ujian yang menimpa.
Sesungguhnya ujian kesenangan lah yang
paling perlu ditakuti kerana kita akan mudah hanyut dan lupakan Tuhan.
Sedangkan ujian kesusahan akan menjadikan kita lebih dekat dengan Tuhan. Itulah
lumrah kehidupan manusia yang mudah alpa. Bila 'senang' Allah dilupakan, bila
'susah' Allah yang dicari.
Ujian Rezeki
Setiap dari kita ada rezeki yang
tersendiri. Namun dalam urusan rezeki ini juga ada ujian yang Allah turunkan. Murah
rezeki dan berat rezeki. Itu perumpamaan yang dicanangkan oleh orang-orang
lama. Seperti 'Ujian Hidup' inilah 2 fasa dalam Ujian Rezeki. Harta, kerjaya, jodoh dan anak adalah antara contoh
rezeki yang paling dekat dengan kita.
Bagi yang diuji dengan 'murah rezeki',
maka segala yang diinginkan pasti mudah untuk dikecapi dan dipermudahkan Allah.
Rezeki harta - sudah kaya bertambah kaya. Rezeki kerjaya - senang dinaikkan
pangkat dan gaji. Rezeki jodoh - urusan mencari pasangan hidup berjalan lancar.
Rezeki anak - dikurniakan zuriat yang ramai. Tapi berapa ramaikah yang
bersyukur dengan nikmat ujian 'murah rezeki' ini? Realitinya, ramai yang terlupa
untuk bersyukur.
Bagi yang diuji dengan 'berat rezeki'
pula, terpaksa menerima hakikat dan redha dengan ketentuan dan ujian yang
diberikan oleh Allah. Rezeki harta - tetap hidup miskin. Rezeki kerjaya - sukar
mendapatkan pekerjaan. Rezeki jodoh - urusan mencari pasangan hidup menjadi
sangat sukar. Rezeki anak - tidak dikurniakan zuriat. Namun, ujian-ujian ini
sepatutnya menjadi pemangkin untuk terus berusaha memperbaiki diri. Terus
berdoa kepada Allah, bertawakal dan cari jalan terbaik untuk cuba merungkai
ujian 'berat rezeki' tersebut. Bukannya hanya berteleku mengharapkan keajaiban
berlaku.
Sesungguhnya Allah akan 'membuka
jalan' yang lebih luas untuk mereka yang sentiasa bersyukur dan berusaha.
Rezeki adalah rahsia dan kurniaan dari Allah. Dengan kehendakNya tidak mustahil
mereka yang 'murah rezeki' akan diuji dengan 'berat rezeki' dan begitulah
sebaliknya. Jadi kita perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang
boleh berlaku.
Pendek kata, ujian hidup dan rezeki
kita adalah ketentuan dari Allah. Walau bagaimanapun, jika kita berusaha untuk
mengubah diri dan kehidupan kepada yang lebih baik, pasti Allah akan
mempermudahkan segalanya. Yang penting kita tidak pernah lupa untuk memohon
petunjuk dariNya dan mensyukuri setiap kurniaan ujian yang diturunkan.
Jadi, janganlah selalu sangat merungut
jika ditimpa ujian hidup dan rezeki kerana itu adalah peringatan Allah buat
kita. Dan jangan sesekali membandingkan diri kita dengan orang lain. Tak betul
langsung tu. Membandingkan hanya akan membuatkan kita jadi putus asa dan tidak
redha dengan ujian dari Allah. Lagipun ujian hidup dan rezeki kita adalah
berbeza. Sentiasalah bermuhasabah diri. Itulah
yang terbaik.
Peringatan
buat diri sendiri juga yang kadang-kadang selalu 'termerungut'
Ehsan Dari Shahadah Fauzi
No comments:
Post a Comment