DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Monday, April 23, 2012

Solat Sunat Dhuha

Solat Dhuha itu magnet rezeki, pembuka rezeki, penarik rezeki dan bermacam-macam lagi istilah digunakan untuk menunujukkan bahawa Solat Dhuha itu sebagai salah satu cara untuk murah rezeki dan juga alat penghubung supaya Allah bermurah hati untuk menambahkan rezeki buat hamba-Nya. Namun begitu, bukan senang bagi mereka yang tidak pernah melakukan solat ini apatah lagi waktunya itu adalah masa ketika kita baru hendak memulakan pekerjaan di awal pagi. Namun, apabila kita membaca kelebihan-kelebihan solat Dhuha ini, mungkin kita akan lebih bermotivasi untuk mengamalkan solat ini, kalau pun tidak setiap hari, mungkin seminggu sekali.
Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad) Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi

Kelebihannya

1.    Dia tergolong dikalangan orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah
2.    Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga
3.    Diberikan ketenangan dalam hati dan kepuasan dalam setiap pekerjaan.
4.    Menarik rezeki dan menolak kepapaan.
5.    Diberikan rezeki ( bukan sahaja dalam bentuk kemewahan wang ringgit sahaja ) tetapi rezeki anak yang soleh, isteri atau suami yang bertanggungjawab dan menenangkan jiwa, pekerjaan yang halal dan diberkati.
6.    Allah memudahkan segala urusan
7.    Diberikan rezeki sihat tubuh badan
8.    Diberikan rezeki keturunan yang soleh dan dihormati.
9.    Diberikan rezeki rakan sekerja, jiran-jiran, sanak saudara dan orang sekeliling yang baik budi pekerti.
Waktunya
Dari setelah matahari meninggi sejengkal , lebih kurang jam 8.00 pagi hinggalah sebelum matahari menegak, iaitu tengahhari. Tidak boleh dilakukan sebelum dan sesudah batas waktu tersebut.

Rakaatnya
Dari paling sedikit dua rakaan dan mengikut riwayat yang sah paling banyak 12 rakaat. Tidak boleh dilakukan kurang daripada dua rakaat.

Tatacaranya
Setelah pasti masuknya waktu Dhuha, maka lakukanlah dalam keadaan berwuduk. Dilakukan dua rakaat dan ditutup dengan salam atau boleh juga dilakukan dengan empat rakaat satu kali salam.

Rakaat Pertama
1. Niat dalam hati dengan berkata, ” Sahaja Saya Solat Dhuha dua rakaat kerana Allah ”
2. Takbir
3. Baca Doa Iftitah
4. BacaTa’awwudz
5. Baca Surah al-Fatihah
6. Baca apa-apa sahaja surah dipilih (Mana-mana surah berikut - As- Syam, Ad-Dhuha, AlKafirun, Ayat Kursi)
7. Takbir dan rukuk
8. Iktidal dan bacaannya
9.Sujud dan bacaannya
10. Duduk dan Bacaannya
11. Sujud dan bacaannya
12. bangun rakaat kedua dengan takbir.

Rakaat kedua
1. Baca surah al-Fatihah
2. Baca apa-apa ahaja surah yang dipilih (Mana-mana surah Ad-Dhuha, Al Ikhlas)
3. Takbir dan rukuk
4. Iktidal dan bacaannya
5. Sujud dan bacaannya
6. Duduk dan bacaannya
7. Sujud dan bacaannya, kemudian dibaca dalam hati doa dibawah juga doa yang kita mahukan dan hajatkan
8. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
9. Salam Penutup

Kemudian kalau di kehendaki, ditambah dua rakaat lagi dengan mengulangi cara tertera di atas dan seterusnya hingga 12 rakaat semuanya. Pada sujud yang terakhir pada setiap dua rakaat kita sebutkan segala doa dan hajat kita, kita boleh sujud berapa lama dan meminta sebanyak doa yang di khendaki. Solat Sunat Dhuha adalah antara solat individu yang tidak boleh dilakukan secara berjemaah.

Doa Solat Dhuha

Selesai solat, bolehlah dibacakan doa berikut, dan dibawah adalah pengertiannya:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh

Dengan sedikit pendedahan tentang rahsia solat Dhuha ini, dapat membuka hati kita untuk mula menjadikan dhuha itu amalan harian. Insyallah…

Kelebihan:

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
” Barangsiapa yang melakukan solat Dhuha membaca rakaat pertama surah Al-Fatihah dan ayat Kursi 10 kali, dan pada rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 10 kali, nescaya ia mendapat kerelaan Allah Yang Maha Besar.” (HR. Anas B Malik). ” Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan.” (HR Tirmizi)
Rasullullah S.A.W bersabda: setiap pagi masing-masing persendian/ruas tulang daripada kamu sedekah, dan setiap bertasbih sedekah dan setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) itu sedekah, dan setiap ucapan takbir itu sedekah, dan menyeru dalam kebaikan sedekah, dan melarang dari perbuatan jahat itu sedekah, dan sebagai ganti semua itu, cukuplah dengan mengerjakan solat Dhuha dua rakaat.” (HR Ahmad, Muslim dan Daud)

2 comments:

Raiyan Raif said...

Terima kasih berkongsi ilmu dan memberi penjelasan mengenai solat dhuha. Juga terima kasih kerana mendoakan setiap pembaca blog saudara. Semoga ALLAH SWT sentiasa merahmati saudara sekeluarga dengan kebahagiaan, kesihatan dan kesejahteraan di dunia hingga ke akhirat. Insya' ALLAH.

ahmad said...

Raiyan Raif - Sekadar berkongsi ilmu kepada sesiapa yang mahu berkongsi dan mengamalkannya.... Mendoakankan orang lain salah satu sunah Rasul jadi saya mengikut apa yang dibuat oleh Baginda, terima kaseh juga mendoakan saya.