DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, April 15, 2012

CARA BERFIKIR - Reaktif, Rasional dan Proaktif

BERFIKIR REAKTIF
Reaktif bermaksud tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku. Sesuatu yang berlaku menyebabkan manusia terusik dan melakukan tindakbalas. Tindak balas yang berlaku selalunya bersifat spontan tanpa pemikiran dan kajian yang mendalam. Sikap reaktif selalunya berkait rapat dengan keadaan emosi seseorang.
Sekiranya emosi seseorang tidak stabil, tindak balas akan menjadikan keadaan atau sesuatu itu tidak stabil. Kalau emosinya resah dan kacau jalan berfikirnya penuh dengan kekacauan. Faktanya mungkin tidak lengkap. Analisisnya tidak tepat. Kesimpulan yang diambil juga tidak membayangkan adanya pemikiran yang mendalam terhadap sesuatu isu atau perkara.

Berfikir reaktif boleh membawa kepada kegopohan. Berfikir dalam suasana gopoh boleh menyebabkan kesilapan berlaku. Orang yang berfikir reaktif cepat membuat kesimpulan. Kadang-kadang mengambil pendekatan menghukum lebih daripada pendekatan memahami mengapa ia berlaku, bagaimana mengatasinya dan faktor-faktor apa yang boleh memberikan alternatif terhadap isu atau masalah yang berbangkit.

Berfikir reaktif menjadikan sesuatu keputusan yang dibuat dalam keadaan tidak masak atau separuh masak. Ia kadang-kadang membudaya pada diri seseorang. Bila menghadapi sesuatu masalah, mendepani sesuatu isu, mengalami sesuatu kebuntuan, ia tidak berfikir secara kritikal, strategik ataupun kreatif sebaliknya melakukan sesuatu berasaskan apa yang terlintas pada minda dan emosi dan kadang-kadang ledakan minda dan emosi menyebabkan keadaan menjadi lebih bercelaru.

Dalam tradisi Islam kestabilan minda dan celik emosi adalah asas yang sangat penting bagi seseorang manusia. Cerdas akal saja tidak cukup. Ia memerlukan kecelikan emosi (emotionally literate) untuk mengenal, memahami, membuat pertimbangan yang terbaik supaya penyelesaian kepada masalah dan jawapan terhadap isu berada di tahap yang terbaik. Ajaran Islam memberitahu kita sekiranya kita mendapat perkhabaran daripada orang yang fasik, sila periksa terlebih dahulu sama ada perkhabaran itu benar atau salah.

Rasulullah s.a.w. apabila menerima perintah Allah untuk berpindah dari Mekah ke Madinah, baginda tidak bersifat emosional atau reaktif. Sebaliknya Rasulullah merancang strategi bijaksana hingga akhirnya baginda selamat sampai ke Madinah.

Para remaja pada tahap umur muda berada dalam tahap kesuburan emosi yang tinggi dan idealisme yang hebat. Kesuburan emosi yang tidak diimbangi dengan ilmu dan pengalaman boleh menyebabkan remaja bersikap reaktif dan kadang-kadang melampaui batas. Idealisme yang hebat kadang-kadang menjadikan remaja mendekati sesuatu isu secara hitam putih. Lalu jalan mudah adalah menghukum dan melakukan labelling atau mengecap seseorang dengan sesuatu yang jelik. Kepuasan emosi yang sifatnya amarah menjadi kepuasan baginya tetapi jelik bagi orang lain.

Tidak salah remaja membina idealisme dalam hidupnya. Hasil berfikir, membaca dan memerhati, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada bersikap ideal. Jiwa berontak yang ada pada remaja kadang-kadang menuntut jalan keluar dan alternatif yang gopoh. Tetapi idealisme yang ada pada remaja harus diimbangi dengan keupayaan memahami realiti. Realiti adalah medan sebenar remaja membaca masalah, mengkaji isu, meneliti sebab-musabab dan memikirkan jalan keluar yang terbaik dan bijaksana. Remaja tidak hanya bersikap reaktif lalu keputusan yang dibuat selalunya bersikap melulu dan membawa akibat yang sebaliknya.

Menjadikan idealisme sebagai sumber memahami faktor-faktor dalam realiti sebagai asas memahami masalah, ia membolehkan remaja bersikap matang dan dewasa. Kematangan dan kedewasaan di sini merujuk kepada kekuatan ilmu, analisis yang tepat dan keputusan yang berwibawa. Menjadikan realiti sebagai asas tanpa didukung oleh idealisme, ia boleh menyebabkan keputusan kehilangan arah.
Ibarat bunga kiambang
Idealisme dan realiti ibarat bunga kiambang yang cantik di permukaan tetapi akarnya tidak terjunam pada lumpur. Bila ditolak arus ia mungkin hanyut. Pemikiran remaja yang reaktif juga boleh berlaku sedemikian. Idealisme yang tinggi tanpa pedoman memahami realiti boleh mendorong para remaja berfikir emosional dan gopoh.

Para remaja harus menjadi seorang yang idealis sekali gus realis, baru pedoman terbaik dalam pemikiran memandu remaja ke arah memahami realiti. Hal yang sama juga perlu dalam konteks seorang remaja yang realis atau terpikat dengan aliran realiti yang harus juga memiliki idealisme yang baik supaya ia memiliki pedoman dan arah.

Para remaja adalah tenaga yang berpotensi untuk membangun negara. Salah satu cabaran yang bakal dihadapi oleh remaja adalah menghubungkan nilai-nilai baik dengan realiti yang serba bejat atau pincang. Remaja tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi faktor hidup dan kehidupan yang dinamik berubah. Remaja juga adalah tenaga modal insan yang amat berpotensi bagi menentukan hala tuju pembangunan umat yang lebih terarah.

Reflektif terhadap kehebatan tamadun silam semata-mata tidak memadai untuk membuat kesimpulan mengapa umat Islam hari ini tidak menjadi hebat seperti yang berlaku pada masa yang lalu. Kalau dulu boleh mengapa hari ini tidak boleh. Lalu, para remaja cuba menggunakan berfikir reaktif iaitu menghukum realiti hari ini dengan mengambil contoh masa silam.

Contoh masa silam memenuhi prasyarat yang diperlukan untuk membina tamadun. Ketika puncak tamadun silam, ulama dan umara’ (pemimpin) melakukan sinergi atau kerjasama erat, ilmuan meneroka dan membangunkan ilmu yang sifatnya integratif, tradisi pengkaryaan berkembang dalam keadaan yang luar biasa dan keterbukaan untuk belajar daripada sumber-sumber tamadun yang bermanfaat daripada orang lain.

Tetapi realiti hari ini dalam dunia Islam tidak begitu. Berfikir reaktif terhadap apa yang ada dengan menghubungkan kekuatan silam yang memenuhi prasyarat tamadun menyebabkan kita mengambil pendekatan hitam putih dan ia tidak membawa kita ke mana- mana.

Para remaja harus mempersiapkan diri dengan ilmu. Ilmu Barat dan Timur yang berkembang harus dipelajari. Ada faedah berbanding yang boleh diambil daripada sumber-sumber tersebut. Islam tidak mengambil sikap anti-Barat semata-mata kerana mereka adalah Barat. Umat Islam harus hati-hati tentang proses pembaratan yang sedang berjalan. Berfikir reaktif menyebabkan apa saja yang berlaku di Barat menjadi contoh kepada kita. Ia meletakkan diri kita sebagai umat pengguna bukan umat penyumbang. Berfikir reaktif di kalangan remaja menjadikan ukuran Barat sesuatu yang hebat.

Pakaian cara Barat melambangkan kemajuan dan kemodenan. Hiburan cara Barat boleh menghilangkan resah dan tekanan diri. Malah terdapat remaja yang menganggap Islam sebagai kolot, menyekat kemajuan dan tidak maju seperti Barat maju. Untuk menjadi maju, remaja mesti berfikiran liberal, harus memerdekakan diri dari belenggu agama supaya hidup lepas bebas menjadikan remaja maju. Ini sikap reaktif melulu yang menyebabkan remaja Islam terus terjebak dengan perangkap pembaratan dalam pelbagai bentuk dan dimensi.

Tidak celik hati
Memberi reaksi terhadap sesuatu perkara adalah baik. Ramai di kalangan remaja pada hari sudah mewarisi penyakit mati rasa dan tidak celik hati. Akalnya mungkin cerdas tetapi hatinya tidak celik. Ia menyebabkan sebahagian dari remaja membina gaya hidup dengan mengikut arus, dibelenggu oleh perkembangan fesyen, memperagakan bakat dan kebolehan secara negatif dan akhirnya tidak menyumbang apa-apa untuk pembangunan diri dan juga masyarakat. Sebahagiannya menjadi beban kepada negara.

Reaktif terhadap sesuatu mestilah diikuti dengan pemahaman yang baik terhadap punca, sebab dan jalan mengatasinya. Pendekatan sebegini boleh menjadikan remaja tidak gopoh dalam membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan.

Mereka juga sentiasa dipandu oleh data dan fakta, pemahaman yang baik antara idealisme dan realiti, memiliki pemikiran strategik dan reflektif mendekati sesuatu masalah dan akhirnya mempunyai perancangan yang rapi dan teliti bagaimana sesuatu isu dapat ditangani dengan bijaksana dan sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik. Inilah asas pemikiran proaktif yang patut dikembangkan di kalangan remaja.
BERFIKIR RASIONAL
Perkataan rasional berasal dari akar kata ratio yang merujuk kepada akal atau minda. Fungsi akal dihubungkan dengan proses mengingat, berfikir, taakulan, kefahaman dan darinya diperolehi data, maklumat, pengetahuan, fakta yang dijadikan asas dalam membina konsep, rumusan, hipotesis dan teori.

Hasil pemerhatian, cerapan, uji kaji, pengalaman dan penelitian membolehkan akal manusia mengetahui tentang sesuatu dan menyebabkan aktiviti manusia berlaku dalam menghubungkan diri dengan orang dan diri dengan persekitaran.

Berfikir rasional bermakna berfikir menggunakan akal untuk mendapat jawapan atau pedoman tentang sesuatu perkara. Ikhtiar yang dilakukan, pertimbangan yang diberi, keputusan yang dibuat, andaian yang dirumuskan mengambil pertimbangan akal sebagai sumber rujukan. Faktor-faktor seperti agama, kepercayaan dan faktor-faktor ghaib yang lain dianggap sebagai sesuatu yang irrational atau tidak masuk akal dan dikaitkan sebagai tahyul atau dogma.

Dalam tradisi Islam, akal tidak ditolak sebagai alat mendapatkan maklumat, pengetahuan, data, fakta dan ilmu. Tetapi faktor akliah saja tidak memadai sekiranya faktor naqliah atau wahyu dikesampingkan. Banyak perkara-perkara yang di luar penglihatan, pendengaran dan pengalaman akliah dan rohaniah manusia yang memerlukan pedoman pencipta.

Al-Quran terkandung hikmah yang memberikan sumber maklumat, pengetahuan, petunjuk dan pengajaran tidak sahaja kepada yang nyata tetapi juga kepada yang ghaib. Oleh itu, konsep rasional dalam erti kata yang luas tidak sahaja merujuk kepada fungsi akal manusia tetapi bagaimana sumber wahyu memandu akal berfikir secara logik, saintifik dan sistematik.

Para remaja Islam amat memerlukan asas rasional yang tidak sahaja merujuk kepada benda yang nyata, wujud dan maujud tetapi harus mampu menghubungkan faktor-faktor yang wujud dengan faktor ghaib atau faktor yang tidak wujud pada pandangan mata atau pendengaran telinga.

Bumi ciptaan Allah ini tidak wujud dan bergerak dengan sendiri. Ia bergerak dalam suatu sistem. Sistem solar di mana bumi berada juga beroperasi dalam sistem-sistem yang lain. Terdapat sistem-sistem dalam alam ini yang di luar kemampuan manusia mengetahuinya.

Para saintis menggunakan pemikiran rasionalnya cuba mengkaji fenomena, kejadian dan takdir tentang sesuatu. Yang diketahui oleh manusia masih sedikit sedangkan alam yang luas terbentang ini terkandung khazanah ilmu, maklumat, data dan fakta yang boleh membantu remaja mengetahui tentang hikmah penciptaan dan menjadikan remaja lebih dekat dengan penciptanya.

Remaja Islam jangan hanya membaca al-Quran sekadar untuk mendapatkan fadilat atau pahalanya sahaja. Al-Quran terkandung isi dan makna, ilmu dan tafsir, pedoman dan petunjuk terhadap yang nyata apalagi yang ghaib. Perspektif rasionaliti yang harus ada pada remaja tidak hanya yang bersifat akliah tetapi mesti diwajarkan dengan faktor naqliah iaitu wahyu.

Dalam surah al-Baqarah ayat 164, secara naqliah Allah menyebutkan tentang kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, kapal-kapal yang belayar membawa muatan yang bermanfaat, air hujan dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan berbagai jenis binatang, peredaran angin dan awan yang terapung antara langit dan bumi tunduk atas ketentuan Allah. Semua tanda itu adalah bukti nyata tentang kebesaran, keesaan, kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi mereka yang menggunakan akal fikiran.

Meskipun ayat-ayat di atas adalah mukjizat Allah yang turun kepada seorang Nabi yang ummi ia bernilai rasional dan saintifik. Rasional bermaksud pada ayat tersebut terkandung maklumat yang saintifik. Kajian saintifik pasti akan membuktikan bahawa semua yang dinyatakan oleh sumber nakliah itu adalah benar. Ia bukan dogma atau khayalan.
Epistemologi
Kekuatan ulama dan ilmuan terdahulu menjadikan faktor naqliah tersebut sebagai pedoman untuk melakukan tadabbur atau kajian serta penyelidikan yang telah menyebabkan ilmu tentang astrofizik, astronomi atau angkasa lepas dapat dikaji dan dijadikan ilmu-ilmu yang saintifik dan akhirnya menjadi rujukan Barat dan Timur untuk membangunkan epistemologi ilmu atau teori ilmu masing-masing.

Para remaja harus melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang dikembangkan hasil pemikiran manusia dan ilmu-ilmu yang dipedomankan oleh al-Quran supaya asas rasionaliti tidak saja diambil dari sumber pemikiran yang sifatnya terbatas tetapi menjadikan sumber wahyu sebagai sumber yang mengembangkan upaya berfikir. Rasionaliti antara asasnya ialah sesuatu yang masuk akal atau diterima oleh akal. Maklumat al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 164 itu ternyata masuk akal dan boleh diterima terutama bagi orang yang berfikir. Tidak timbul bahawa maklumat dari al-Quran adalah tidak benar, tidak logik, tidak rasional dan tidak saintifik.

Rasional atau tidaknya sesuatu itu perlu dihubungkan dengan maksud yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut. Maksud yang dinyatakan dalam ayat itu adalah jelas dan kajian saintifik juga membenarkan apa yang disebutkan dalam ayat-ayat tersebut.

Rasional dalam tradisi berfikir Islam tidak saja dihubungkan dengan faktor aqliah tetapi juga selari dengan faktor naqliah. Sekiranya kekuatan akal digunakan untuk mengetahui sesuatu dan manusia tidak dapat menemui hikmah di sebalik sesuatu kejadian, tidak bermakna bahawa ia tidak rasional.

Manusia cuba memperlihatkan sedikit keupayaan mengetahui tentang rahsia alam dan perjalanannya dan menyebabkan wujudnya kesombongan dengan menolak konsep penciptaan dan kewujudan pencipta. Sedangkan manusia amat insaf dan sedar bahawa rahmat dan nikmat Allah yang diketahuinya adalah amat sedikit. Ini digambarkan bagaimana rahmat dan nikmat Allah itu tidak ada batas tepinya. Sekiranya air lautan dijadikan dakwat untuk menulis seluruh rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan nescaya kering air lautan itu, rahmat dan nikmat Allah tidak akan tertulis oleh manusia.

Jika manusia menginsafi bahawa ada kekerdilan pada diri insan, maka sudah tentu manusia akan menjadi hamba yang taat dan patuh. Inilah asas kekuatan rasionaliti dalam Islam, tidak hanya berpegang kepada sumber akal yang terbatas tetapi menjadi wahyu sebagai suluh dan pertunjuk supaya logik dan kebenaran harus dilihat menerusi jendela berfikir yang Qurani.

Jendela berfikir yang Qurani ibarat suluh yang menerangi jalan berfikir manusia supaya manusia tidak saja menatap perkara yang nyata dan bersifat benda tetapi benda yang tidak nyata dan bersifat bukan benda iaitu tanda-tanda kebesaran-Nya yang membuktikan ada pencipta-Nya.

Berfikir bagi remaja tidak hanya suatu kemahiran tetapi berfikir bagi remaja ialah menuju kepada kebenaran. Keterbatasan akal tidak akan sampai membimbing remaja kepada kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakiki tidak dapat dilihat hanya dengan mata biasa dengan hanya menatap sesuatu yang nyata, tetapi kebenaran hakiki menerima suluh dari mata hati menghubungkan yang nyata dengan faktor-faktor yang ghaibiyyah. Allah s.w.t. adalah faktor ghaibiyyah yang amat utama.

Oleh itu, tanda-tanda kebesaran-Nya seperti adanya langit dan bumi, terjadinya silih gantian siang dan malam adalah tanda-tanda yang amat nyata tentang kewujudan dan keperkasaan-Nya. Tanpa-Nya tidak mungkin benda itu ada dan berlaku kerana rasional akal manusia tidak mampu menciptakannya apa lagi mentadbir perjalanannya.

Para remaja dalam membina upaya berfikir harus selalu menghubungkan faktor-faktor yang Qurani sama ada dari sudut kandungan, metodologi, prinsip, kisah dan ibrah semuanya memberi fokus kepada remaja untuk mengetahui hubungan dirinya dengan pencipta, dirinya dengan alam sekitar dan dirinya dengan orang lain.

Sekiranya asas ilmu yang didapati, pendekatan dalam hidup yang diambil, aktiviti kehidupan yang berlaku mengambil kira faktor akal dan wahyu ia bakal memandu remaja ke arah jalan berfikir yang seimbang. Keseimbanganlah sebenarnya menjadi pelengkap dalam pemikiran rasional remaja yang bakal membimbing ke jalan hidup yang lebih sempurna, terarah dan berpedoman
BERFIKIR PROAKTIF
Berfikir proaktif ialah suatu kemahiran berfikir secara positif yang melibatkan perancangan teliti dan rapi supaya hasilnya menjadi. Berfikir proaktif tidak saja respons kepada sesuatu masalah yang dihadapi tetapi difikirkan bagaimana sesuatu masalah itu dapat dileraikan dan jalan keluarnya dicari. Sesuatu masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah, ia dikaji dan diteliti sebab-musababnya, dicari jalan keluarnya dan diberi alternatifnya.

Seorang remaja umpamanya, mengalami masalah kenakalan, merosakkan harta awam adalah remaja yang bermasalah. Berfikir proaktif membawa seseorang mendekati remaja itu, melakukan komunikasi dan nasihat, mendengar masalah dan rintihannya, menawarkan jalan keluar, berkawan dengannya dan akhirnya remaja itu mungkin kembali semula ke jalan yang baik.

Seorang pelajar yang bosan untuk belajar kerana perpecahan dalam keluarga didekati oleh rakan yang prihatin, memberikannya galakan dan nasihat, membantunya dalam kerja-kerja sekolah, berkawan dengannya dan akhirnya pelajar itu yakin semula tentang pentingnya ilmu dan pendidikan.

Seorang remaja lain yang baru belajar menghisap rokok, didampingi oleh sahabat baiknya dengan nasihat yang berterusan supaya menghentikan rokok dengan menyatakan akibat buruk merokok secara perlahan-lahan dapat diselamatkan akibat terpengaruh dengan rakan yang lain.

Semua perbuatan baik yang dinyatakan di atas adalah langkah proaktif yang dilakukan supaya suatu keadaan yang mulanya tidak baik bertukar menjadi baik semula. Berfikir ke arah sesuatu yang positif, pembaikan dan penyelesaian dikatakan sebagai berfikir proaktif.

Dalam tradisi Islam, berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan. Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah awalnya di Mekah, mendekati bapa saudaranya Abu Talib untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam sebagai agama tauhid.

Rasulullah tidak saja melihat bapa saudaranya sebagai seseorang yang mempunyai hubungan darah tetapi yang lebih utama bagaimana bapa saudaranya boleh kembali menganut ajaran yang benar dan diredai Allah.

Tugasnya sebagai daie atau pendakwah adalah tanggungjawab yang utama, Pemberi hidayah adalah kerja yang Maha Berkuasa. Ikhtiar adalah usaha manusia, membukakan hatinya untuk menerima Islam adalah kerja Allah s.w.t.

Muaz bin Jabal apabila ingin dihantar oleh Rasulullah sebagai Gabenor ke Yaman ditanya oleh baginda tentang bagaimana urusan kenegaraan dapat dilakukan dengan baik.

Muaz bin Jabal mengatakan bahawa akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama. Kalau tidak ada di dalam al-Quran, ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w. dan kalau tidak ada sunah Rasulullah, ia akan mengggunakan ijtihad. Rasulullah amat berpuas hati dengan kenyataan Muaz itu. Itulah pemikiran proaktif yang dimiliki oleh seorang Gabenor dalam mengurus negara Yaman.

Remaja Islam harus memiliki upaya berfikir secara proaktif yang tinggi. Para remaja hari ini sering berdepan dengan berbagai cabaran sama ada yang berkaitan dengan cita-cita, perasaan, tekanan hidup, keremajaan, pergaulan apalagi percintaan. Berfikir proaktif boleh membimbing remaja supaya tidak hilang pedoman apabila berdepan dengan cabaran dan masalah, bersikap positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah.
Berfikir
Tanpa memiliki upaya berfikir yang proaktif, para remaja boleh buntu dalam berdepan dengan sesuatu masalah, hilang pedoman bila menghadapi kebuntuan atau melakukan sesuatu tanpa banyak pertimbangan hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk. Jalan keluar kepada sesuatu masalah tidak ada dan akhirnya kebinasaan yang ditempa.

Sebelum melakukan sesuatu remaja harus terlebih dahulu memikirkan buruk baiknya sesuatu. Ada ketikanya akibat dorongan naluri dan nafsu remaja melakukan sesuatu kerana ingin mencuba, hasrat yang meluap-luap, terpengaruh dengan rakan sebaya atau ingin melepaskan rasa kekecewaan dan kehampaan terhadap sesuatu.

Akhirnya para remaja terjebak dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan yang lepas bebas. Akibatnya para remaja hilang arah dan buntu mencari jalan kembali. Bila ini berlaku remaja merasa lazat dan seronok yang sementara dan akhirnya timbul ketagihan yang berkekalan dan akan membawa akibat buruk terhadap diri remaja.

Sebelum mengambil dadah atau terjebak dalam pergaulan yang lepas bebas, remaja harus berfikir dulu tentang baik-buruknya perbuatan tersebut.

Banyak bukti dan banyak musibah yang boleh disaksikan tentang betapa bahayanya dadah dan pergaulan yang lepas bebas. Sebab itulah para remaja Islam perlukan asas agama dan akhlak supaya mereka memiliki benteng dan sempadan memilih yang buruk atau pun yang baik. Tanpa asas agama dan pertimbangan akhlak para remaja mudah terjebak dengan amalan salah laku.

Berfikir proaktif harus dikaitkan dengan nilai syarak. Maksud kepada peraturan syarak ialah untuk menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta dan juga keturunan.

Sekiranya remaja kita berfikir secara syarie iaitu mematuhi hukum-hakam Allah, ia berkait rapat dengan maslahah atau kepentingan remaja sendiri. Islam tidak menyekat para remaja untuk bergaul.

Berfikir secara syarie dan proaktif membawa remaja berfikir bahawa ditahap remaja yang nafsunya meluap-luap, tanpa batasan pergaulan boleh mendorong perkara-perkara yang tidak baik.

Islam mengambil pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sekiranya sesuatu telah terjadi, selalunya payah untuk dihentikan atau diubati. Nafsu-nafsi sudah menguasai diri dan pertimbangan akal tidak memberi makna apa-apa. Yang dipentingkan ialah kesedapan dan kelazatan yang sementara.

Berfikir proaktif secara syarak boleh membawa remaja berfikir di sebalik batasan hukum dan halangan syarak ada hikmah besar iaitu bagi menjaga maslahah remaja supaya tidak terjebak dengan perangkap nafsu nafsi yang kadang-kadang tidak mengenal batasan akibat.

Remaja Islam yang berfikir proaktif sentiasa mengatur jalan hidupnya secara terancang. Apabila bercita-cita tinggi ia membangunkan cita-citanya dengan usaha dan kesungguhan, dengan perancangan dan persiapan dan akhirnya cita-cita itu dapat dipenuhi.
Cabaran
Apabila berdepan dengan cabaran, ia tidak mudah putus asas. Dicarinya jalan bagaimana cabaran dapat diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui. Apabila bertemu kegagalan, ia tidak putus harap sebaliknya terus berusaha memperbaiki keadaan, membina strategi bijaksana supaya cita-cita tetap dipenuhi.

Remaja yang berfikir proaktif akan sentiasa mempunyai jalan keluar dalam hidup. Ia tidak mudah buntu dalam menghadapi kerenah hidup. Ia tidak mudah putus asa apabila menghadapi kegagalan.

Kerenah hidup baginya adalah pengalaman yang berguna dan kegagalan adalah ujian yang perlu dilalui. Sikap proaktif menjadikan remaja tetap yakin bahawa dihujung terowong akan ada cahaya yang menanti.

Dihujung setiap usaha akan ada hasilnya. Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya. Tanpa berfikir proaktif remaja akan tewas sebelum perjalanan sampai dan remaja akan terjebak dalam belitan hidup sehingga tidak mampu melepaskan diri lagi. Berfikir proaktiflah yang boleh membantu remaja memilih jalan yang baik atau sebaliknya.

Oleh - PROF. DR. SIDEK BABA (Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak)

No comments: