Ketika saya budak-budak dahulu, saya sering ke surau yang terletak
berhampiran dengan rumah. Jika ada ustaz yang menyampaikan kuliah, saya akan
duduk sama mendengar bersama jemaah yang lain. Saya teringat satu kuliah yang
disampaikan oleh seorang ustaz yang menceritakan berkenaan dengan doa.
Jika kita boleh memilih kehendak kita sendiri, pasti kita akan memilih
yang terbaik. Jika kita berkuasa ke atas kehidupan kita, pasti kita akan
menjadikan segala-galanya menurut keinginan dan kemahuan kita. Kita akan
jadikan perjalanan hidup kita hanya yang indah-indah belaka. Tetapi mampukah
kita berbuat demikian, tidak mungkin. Apalah daya kita, kerana kita adalah
hamba, sifat hamba adalah lemah dan tidak memiliki. Kehidupan kita semuanya
ditentukan menurut kehendak Tuan yang memiliki. Kita amat mengharap belas dan
kasihan Allah SWT. Justeru itu, apa yang dapat kita lakukan adalah berdoa
selain dari berusaha. Kerana Allah jua yang mengetahui apa yang terbaik buat
hamba-Nya.
“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dialah juga yang memiliki.
Dan mereka tidak mempunyai pilihan (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah
dan Maha Tinggilah keadaan-Nya. Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan
hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.” (Al-Qashah: 68-69)
Sebaiknya seorang hamba yang tidak mengetahui apa yang akan terjadi
mengakui akan kelemahan dirinya. Maka apabila Tuhan Yang Maha Mengetahui
memilih untuknya sesuatu, hendaklah dia redha dan berlapang dada menerimanya.
Walaupun seolah-olah pada pandangannya apa yang ditakdirkan itu tidak baik
baginya, pahit dan pedih menelannya. Tetapi percayalah itu adalah pilihan Allah
yang terbaik.
“Mungkin kamu membenci sesuatu sedangkan itulah yang terbaik bagi kamu,
dan mungkin kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik bagi kamu. Dan Allah
yang mengetahui kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).
Nah, tidakkah kita merasa tenang setelah membaca ayat ini. Patrikanlah
di dalam diri kita bahawa apa sahaja yang ditakdirkan Allah kepada kita adalah
yang terbaik untuk kita. Dan itu merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada kita.
Jangan jemu berdoa
Kadang-kadang kita merasakan telah lama kita meminta dan merintih kepada
Allah. Setiap masa kita berdoa memohon dari-Nya. Namun tidak juga
diperkenankan. Apakah yang ada di benak kita. Adakah doa kita tidak didengar
oleh Allah atau kita merasakan rintihan dan tangisan kita disia-siakan? Jangan
begitu.
Mengapa manusia terlalu cepat berputus asa dalam berdoa? Alangkah
ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu dan merasakan doanya tidak
diperkenankan. Jangan putus harapan.
“Dah lama aku berdoa, tapi sampai sekarang tak makbul pun. Allah tak
sayangkan aku ke?”
“Sampai bila aku nak berdoa, kalau apa yang aku minta tak dapat.”
“Hari-hari aku berdoa, tapi hidup susah juga.”
Nasihat saya, jangan begitu.
Tidakkah kita pernah mendengar kisah Nabi Musa dan Nabi Harun yang
berdoa kepada Allah, supaya dibinasakan Fir`aun. Maka Allah memakbulkan doa
mereka berdua setelah 40 tahun.
Empat puluh tahun!
“Dan Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah
memberi kepada Fir`aun dan kaumnya perhiasan dan harta benda dalam kehidupan
dunia. Wahai Tuhan kami! (Pemberian itu) mereka pergunakan untuk menyesatkan
(manusia) dari jalan-Mu. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan
tutuplah hati mereka. Maka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang
berat.” (Yunus: 88)
Maka setelah 40 tahun doa dua orang Rasul itu diperkenankan. Maka
siapalah kita ini untuk memaksa Allah mempercepatkan permohonan doa kita. Sabar
dan terus berdoa.
Diriwayatkan daripada Abu Sa`id al-Khudri ra. bahawa Rasulullah saw
bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya
itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, melainkan
Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga
macam. Adakalanya Allah segera memperkenankan doanya. Adakalanya Allah
menjadikan doanya sebagai pahala yang tersimpan di akhirat. Dan adakalanya
Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana)
daripada orang itu sesuai dengan doanya.”
Berkata seorang sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan
doa!” Rasulullah saw bersabda: Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih).
Daripada hadis ini jelas kepada kita setiap doa yang bersungguh-sungguh
pasti akan dimakbulkan, kecuali dalam perkara dosa dan memutuskan tali
silaturrahim. Oleh itu, tidak sedikit pun kerugian jika kita sentiasa
memanjatkan doa, memohon kepada Allah SWT. Apa yang perlu kita ingat ialah
menuruti adab-adab berdoa agar ianya tidak menjejaskan doa tersebut.
Kata Syeikh Ibn Atho`illah: Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan
kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah
harapan, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia
kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya,
bukan pada waktu yang engkau tentukan.”
Oleh itu, teruskan meminta dan mengharap kepada Allah. Sematkan di dalam
hati kita keyakinan yang mantap bahawa doa kita pasti dimakbulkan. Itulah
sebaik-baik pengharapan.
Ayuh sahabat sekelian, teruskan berdoa!
Ehsan dari Abu Ikhwan
2 comments:
In shaa allah...sy akan sentiasa terus berdoa bersungguh2...walau pun doa sy belum diperkenankan lagi...tapi sy percaya allah itu maha mendengar serta maha memberi...dan allah itu tidak akan zalim pada hambanya...sy juga percaya allah akan mengabulkan permintaan sy...sy akan tetap berdoa bersungguh2...in shaa allah...
Insya Allah.. saya akan terus berdoa tanpa jemu
Post a Comment