Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ
اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia
Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat
yang dirahmati Allah, Setiap manusia akan melalui lima fasa alam, bermula
daipada alam roh, alam kandungan ibu, alam dunia, alam barzakh dan alam
akhirat. Semasa di dalam alam roh (alam arwah) Allah SWT berfirman dalam Surah
al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka
menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'." Kesemua roh makhluk telah membuat
pengakuan kepada Allah SWT bahawa mereka semuanya mengakui bahawa Tidak ada
Tuhan lain melainkan Allah SWT.
Selepas
berada di alam arwah, roh manusia pula di turunkan kebumi melalui perut kandungan
ibu. Seperti hadis di bawah:
Dari
‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada
kami sedang baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya-
sabdanya: 'Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya
selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian
dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat
untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya,
rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”.
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari)
Firman
Allah SWT maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari
“pati” (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air
mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi
segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian
Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut
tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia
menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan
ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”. (Surah al-Mukminun ayat 12-14).
Apabila
manusia dilahirkan di dunia ini maka bermulalah tanggungjawab manusia kepada
Allah apabila mencapai umur akil baligh. Manusia dilahirkan dalam keadaan
fitrah ibu bapanyalah yang akan membentuk anak tersebut samaada menjadi Yahudi,
Nasrani, Majusi atau Islam. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Anak itu
dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menyahudikannya, atau
menasranikannya atau memajusikankannya."
Manusia
dilahirkan kedunia adalah untuk menyembah Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya
: "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah
kepada-Ku" (Surah az-Zariyat ayat 56). Setelah manusia faham bahawa hidup
di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kemudian manusia
melaksanakan pula tanggungjawabnya sebagai khalifah dimuka bumi ini iaitu
memakmurkan muka bumi Allah SWT ini dengan kebaikan.
Allah
SWT berfirman tentang kriteria khalifah-Nya yang bermaksud: "Allah telah
berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan beramal soleh
(kebaikan), bahwa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah di bumi,
Sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah.
Sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, yang telah diredai-Nya
untuk mereka, serta Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka menjadi aman
setelah mereka ketakutan. Mereka akan menyembah-Ku dan tidak menyekutukan
apapun dengan-Ku. Dan barang siapa kafir setelah itu, maka mereka adalah
orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur ayat 55).
Pada
ayat tersebut, jelas sekali Allah berjanji akan menjadikan hamba-hamba-Nya
sebagai khalifah yang akan menguasai dan memimpin dunia. Tetapi janji itu akan
ditepati-Nya bagi manusia yang beriman dan beramal kebaikan. Dengan demikian
dapat disimpulkan, bahwa kriteria lain dari seorang khalifatullah adalah iman
dan amal soleh. Terdapat 14 ciri-ciri kebaikan di dunia ini yang dikurniakan
Allah SWT kepada orang-orang mukmin sebagai bekalan untuk dia melaksanakan
fungsi sebagai khalifah Allah (pemimpin) di dunia ini dengan adanya kebaikan
ini akan menjadi bekalan untuk dua alam lagi iaitu alam barzakh dan hari
akhirat. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
1.
Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT.
Orang
yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh Allah
untuk mengamalkan Islam. Islam bererti selamat. Orang Islam kalau kekal
mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat di dunia dan akhirat. Sabda
Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam…"
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari
Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadis qudsi) "Firman Allah SWT:
'Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku
jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua maka janganlah berlaku zalim
sesama sendiri.
Wahai
hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang yang mendapat
petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan.
Wahai
hamba-hamba-Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat
makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.
Wahai
hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku
berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan.
Wahai
hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah
pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan
ampunkan...'." (Hadis Riwayat Muslim)
2.
Diberi kefahaman dalam agama.
Untuk
amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang Islam
juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi
kefahaman tentang Islam oleh Allah SWT akan mengamalkan apa yang disangkanya
dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tak akan
benar-benar selamat dan tidak mampu menyelamatkan orang lain. Sabda Rasulullah
SAW maksudnya : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia
akan menjadikannya faham dalam agama." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3.
Dapat berbuat amalan soleh.
Dengan
kefahaman agama yang Allah SWT beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh.
Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan
tidak terumbang-ambing. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: 'Hai
hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang
berbuat baik di dunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu
adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan
pahala mereka tanpa batas'." (Surah Az-Zumar ayat 10)
4.
Mendapat ilmu yang bermanfaat.
Ilmu
yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara baik
dan selamat. Sebab itu Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud : "Ya Allah ya
Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari apa-apa Engkau ajarkan kepadaku dan
ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku." (Hadis Riwayat
at-Tabrani). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang
berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan
akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya
maka hendaklah ia berilmu." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Ilmu
pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan
adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama
lain. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan
persediaan untuk kehidupan di akhirat. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu
naqliyah (fardu ain) yang berteraskan wahyu seperti akidah, syariah dan akhlak
dan ilmu akliyah (fardu kifayah) iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh
akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini
bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredaan Allah SWT. Islam
menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari
kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas
yang dibenarkan oleh Islam.
5.
Mendapat isteri yang solehah.
Kebahagiaan
hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di
rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di
situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu
seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Itulah antara kebaikan di dunia
buatnya. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Empat dari tanda-tanda
kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh),
teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri."
(Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)
Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan
hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut
perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau
tiada di rumah.”(Hadis Riwayat Thabrani) Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya: "Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya reda
kepadanya, maka ia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn
Majah)
Islam
telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah
bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk
mentaati perintah suami. Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala
syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh
kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan
dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketaatan
isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan
terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan
kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan
dihormati isteri.
Kunci
kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam
telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan
wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya,
berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang
solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga
dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.
Setiap
wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh
syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi
mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri
yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman.
Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia. Dalam sebuah hadis
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa
kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan
kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Namun
ada juga orang yang Allah SWT beri kebaikan walaupun tidak mendapat pasangan
hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah SWT kurniakan pahala sabar
dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah pasangannya.
6.
Mendapat zuriat penyejuk hati.
Betapa
sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa tiga
perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan tinggi yang
dibangga-banggakan pada anak. Anak yang soleh (baik) akan terus memberi manfaat
setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita terus mengalir
kepada kita dan kita juga menerima kebaikan dari doa mereka. Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka
terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang
bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Untuk
melahirkan anak-anak yang soleh dan penyejuk hati perlulah kepada empat elemen
iaitu isteri yang solehah (menjadi ibu yang solehah mendidk anak-anak) , rumah
yang luas (susana tarbiah berlaku dirumah), jiran yang baik (akan mempengaruhi
peribadi anak-anak) dan kenderaan yang baik (keselesaan dalam kehidupan
harian). Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan
oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen di atas
seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud:"Empat perkara yang membawa
kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan
kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Wanita
yang solehah-iaitu isteri yang baik juga akan menjadi ibu yang solehah yang
dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna. Rumah yang luas
yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak
di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang. Jiran yang baik
kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan
keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat
sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang
kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain. Kenderaan
yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
Antara
tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan
kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering
disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu. Kemewahan
hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada
suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa,
suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
7.
Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.
Nabi
SAW bersabda maksudnya: “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan
orang yang buruk adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan
tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh
membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan
tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar,
paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari
Abu Musa.) Perkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan.
Sahabat yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik.
Sahabat yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat.
Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan
kejayaan.
Rasulullah
SAW bersabda, maksudnya, "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang
yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh
Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan
daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan
orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan
hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini
selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk
membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya di dalam hatinya pada hari
Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk
menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan
tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang
buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu." (Hadis Riwayat
Ibnu Abi Dunya)
Berbuat
baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan
balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan
hidup di dunia dan akhirat. Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang
itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala
tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya
dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
8.
Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan.
Dengan
kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini. Orang
mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan sebelum
datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup.
Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud : "Ya Allah, ‘afiatkanlah tubuh badanku
dan ‘afiatkanlah pendengaranku." (Hadis Riwayat Ibnu Syaibah) Daripada
Abdullah ibn Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Dua jenis
nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan
kelapangan." (Hadis Riwayat Bukhari)
Seseorang
itu hendaklah menjaga kesihatan yang mana kesihatan itu adalah satu nikmat
daripada Allah, hendaklah digunakan masa sihat itu dengan amal kebajikan dan
amalan saleh sebelum sakit. Seseorang itu janganlah mensia-siakan masa
lapangnya terbiar begitu sahaja, ianya hendaklah digunakan untuk melakukan
semua perintah Allah yang diredai. Kedua nikmat sihat dan kelapangan itu adalah
cubaan Allah SWT ke atas manusia. Oleh itu hendaklah digunakan masa sihat dan
lapang itu untuk memerangi hawa nafsu. Sesiapa yang berjaya pasti akan mendapat
kemenangan begitu juga sebaliknya.
9.
Panjang umur di dalam ketaatan.
Setiap
orang muslim diantara kita tentu menginginkan berumur panjang supaya bertambah
kebaikannya. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW tatkala baginda
ditanya: Siapakah orang yang paling baik itu? Baginda menjawab: “Iaitu orang
yang panjang umurnya dan baik amalannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad). Hampir
setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling
baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang
umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada Abdullah
dari bapanya)
Rasulullah
SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan
taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali
dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam
keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan
keadaan yang mendukacitakannya." (Hadis Riwayat Jabir r.a.)
10.
Mendapat rezeki yang halal.
Rasulullah
SAW menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia akan
memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki
yang halal itu satu jihad. Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu
ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Hadis Riwayat al-Hakim). Dari
Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa
cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang
diberikan-Nya." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah
SAW telah menasihatkan kita agar melihat kepada orang yang di bawah. Jangan
melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang demikian
itu akan membuatkan kita menjadi tidak bersyukur. Namun itulah masalahnya yang
berlaku pada setiap daripada kita. Sentiasa mengejar peluang yang lebih baik.
Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Tetapi ini bukan pula bererti bahawa kita
tidak boleh mengejar yang lebih baik. Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka
bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita
tanpa ada keizinan daripada-Nya.
11.
Beroleh keimanan dan ketakwaan.
Dengan
iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi manusia. Siapa
yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
"Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara
kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Baginda juga bersabda yang
bermaksud : "Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia merangkumi semua
kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Ya’ala)
Sabda
Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya
yang bersifat takwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri
walaupun berpangkat tinggi)." (Hadis Riwayat Muslim). Yang dimaksudkan
dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang
dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka
ia dikasihi oleh Allah SWT ialah :1.Bertakwa, 2. kaya jiwa (berakhlak mulia)
dan 3. tidak menonjolkan diri.
Setiap
umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan
menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat. Islam
menyuruh umatnya supaya bertakwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang
mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang
boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.
12.
Banyak mengingati Allah SWT.
Nikmat
paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan. Orang
mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan. Firman-Nya:
"...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingat Allah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah itu, hati akan
menjadi tenteram (tenang)." (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28). Sabda Rasulullah
SAW maksudnya: "Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah,
kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi."
(Hadis Riwayat ad-Dailami)
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia yang akan diberi
perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan
perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang
sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan
masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya
berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita
rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku
takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu
menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang
dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat
yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Orang
yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa
keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan
keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya. Dalam riwayat
yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tanda cintakan
Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan tanda Allah SWT murka
kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." (Hadis Riwayat
Baihaqi). Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu
adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam
menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.
Antara
sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu
mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya
sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas
apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati
Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah. Sesungguhnya orang yang selalu
mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan
daripada Allah SWT, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan
hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada
mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.
13.
Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah.
Hidup
tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci, keluh-kesah
dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan, orang yang bersih
hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan di dunia.
Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah. Misalnya
jika ada orang terganggu dengan turunnya hujan pada waktu hujan itu ‘tak
diperlukan’, dia sentiasa mencari hikmah di sebaliknya. Bila dapat nikmat pula,
dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah. Firman Allah SWT maksudnya :
"Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan)
jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)
14.
Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah).
Ini
merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah SWT :
"….demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang dimatikan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan
mengatakan (kepada mereka) Salamun ‘Alaikum." (Surah An-Nahl, ayat 32).
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu
berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah."
(Hadis Riwayat Abu Na’im)
Para
ulama yang beramal dengan ilmunya melihat sesuatu dengan mata hati. Oleh itu,
dalam senarai kebaikan di dunia yang mereka turunkan di atas, tidak ada
perkara-perkara berbentuk nikmat zahir semata-mata. Misalnya mereka tidak kata
kebaikan di dunia itu ada pada rumah besar, kedudukan tinggi, isteri cantik,
duit banyak, nama popular, kenderaan mewah dan lain-lain yang sering kita buru
hari ini. Semua ini tidak ada dalam senarai para ulama. Bermakna, mendapat
semua itu belum bererti mendapat kebaikan yang hakiki. Kebaikan di dunia itu
sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat – hamba yang lebih utamakan
akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl ayat 122 dinyatakan bahawa Allah telah
mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. hasanah (kebaikan) di atas kehidupan
dunia.
Ayat
ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan beri kepada
hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan akhirat, Allah akan
dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di dunia lagi. Dan segala
kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka. Firman Allah SWT maksudnya :
"Maka di antara manusia ada yang berdoa : 'Ya Tuhan kami, berilah kami
(kebaikan) di dunia', dan di akhirat dia tidak memperoleh bahagian apa pun. Dan
di antara mereka ada yang berdoa: 'Ya
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan
peliharalah kami dari siksa neraka' ." (Surah al-Baqarah ayat
200-201)
Sahabat
yang dikasihi,
Marilah
kita sama-sama kita jadikan kebaikan hidup di dunia ini untuk mencapai
kebahagiaan kita di hari akhirat. Kita tidak mahu berbahagia semata-mata di
dunia sahaja, kerana kehidupan yang sebenarnya dan kehidupan di hari akhirat
yang mendapat balasan syurga.
No comments:
Post a Comment