Siapa
yang tidak pernah ditimpa masalah dalam hidup? Bahkan hidup ini telah
diumpamakan oleh sesetengah ahli falsafah sebagai “tempat untuk menyelesaikan
masalah”. Justeru, apabila berdepan dengan masalah, segeralah dapatkan
kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran untuk menyelesaikannya.
Bagaimana?
Ya, dengan mengadu kepada Allah yang “memberi” masalah itu. Ketika itu, jangan
hanya dilihat “sebab” tetapi lihatlah pada “penyebab” segala sebab. Insya-Allah,
jika kita mengadu dan merayu kepada Allah, Allah pasti akan mendengar dan
memberi jalan penyelesaiannya. Sama ada semua masalah kita akan
diselesaikan-Nya ataupun Allah akan menjadikan hati kita tabah dan gagah untuk
menghadapinya.
Dengan
kekuatan itu kita tidak akan terus mengutuk kegelapan, tetapi kita akan terus
berusaha mencari cahaya. Kita tidak akan berterusan mengharapkan ikan, tetapi
kita akan berusaha sedaya upaya memiliki jorannya! Ingatlah, apabila Rasulullah
SAW menyuruh Sayidina Bilal RA mengumandangkan azan, Baginda akan berkata:
“Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad). Menerusi permintaan
itu, Rasulullah menegaskan bahawa solat sebenarnya memberi suatu kerehatan bagi
orang yang mendirikannya.
Diriwayatkan
daripada Sayidina Huzaifah: “Apabila Rasulullah mengalami suatu kesulitan,
Baginda akan segera mengerjakan solat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud). Tindakan
Rasulullah ini selaras dengan anjuran Allah yang bermaksud: “Dan pintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.” (Surah al-Baqarah 2: 45). Tentu
sahaja dalam solat itu, Rasulullah menemui ketenangan dan kekuatan. Bayangkan,
betapa kukuh dan teguhnya jiwa Rasulullah. Baginda dibantu oleh wahyu dan
diperkuatkan oleh mukjizat, namun Baginda masih mencari kekuatan dengan solat. Lalu
siapakah diri kita yang begitu lemah, tetapi terus angkuh daripada mendapat
bantuan Allah menerusi solat?
Marilah
mencari kerehatan dengan solat. Mudah-mudahan:
i)
Hati tenang menghadapi ujian - Solat ialah sebesar-besar dan seutama-utama
zikrullah. Firman Allah mafhumnya: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
(Surah Taha 20: 14) Hati yang mengingati Allah akan mendapat ketenangan. Ini
dapat dilihat dalam firman Allah yang lain, mafhumnya: “Ketahuilah dengan
mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28). Ketenangan
itulah kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Kita menghadapi
ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal, tetapi dengan kekuatan hati. Hati
yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah apabila
berdepan dengan kegagalan, kesakitan, kekurangan dan kekalahan dalam hidup.
ii)
Mendapat jagaan Allah - Dalam solat juga, seseorang akan mendapat penjagaan
Allah hasil daripada menjaga hukum Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Jagalah
Allah, Allah akan menjaga kamu.” (Riwayat Ahmad). Abdullah bin Salam pula
pernah berkata: “Sekiranya keluarga Rasulullah SAW ditimpa sebarang kesempitan,
Baginda akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membacakan ayat Allah
berikut (mafhumnya): ‘Dan perintahkan keluargamu (serta umatmu) mengerjakan
solat dan hendaklah engkau tekun dan sabar mengerjakannya. Kami tidak meminta
rezeki kepadamu, (bahkan) Kami yang memberi rezeki kepadamu. Dan ingatlah
kesudahan yang baik bagi orang yang bertakwa.’” (Riwayat al-Tabarani).
Sekian
lama kita menagih simpati dari ‘benda’ dan manusia. Ya, lumrah hidup, setiap
manusia pasti menghadapi tekanan dalam hidupnya. Apa yang mereka biasa lakukan?
Mengikut pendapat pakar psikologi, jika seseorang ditimpa masalah, dia perlu
meluahkan masalah itu kepada pihak kedua dan jangan sekali-kali dipendamkan. Bagaimana?
•
Tulisan - Luahkan dan tumpahkan semua masalah itu dalam bentuk perkataan dan
ayat. Dengan menulis, seseorang akan menjadi lebih rasional dan jelas tentang
apa yang sedang dihadapinya. Secara beransur-ansur, emosi yang tertekan dan
menggelegak akan menjadi reda apabila fikiran mencari kata dan fakta, kemudian
menyusunnya membentuk ayat bagi menterjemahkan rasa hati.
•
Luahan - Cari orang yang paling dipercayai dan luahkan segala masalah itu
kepadanya. Jangan diharapkan sebarang penyelesaian, tetapi cukup sekadar
meluahkan. Dengan bercerita dan berkongsi segala yang terpendam di jiwa bersama
orang yang dipercayai, kita merasakan tidak keseorangan dalam menghadapi
masalah tersebut. Ini memberi kelegaan buat jiwa. Mengikut kajian pakar
psikologi, manusia memerlukan manusia lain untuk mendengar segala rintihan dan
kesusahan hatinya, sama seperti mereka memerlukan makanan. Tanpa makanan, badan
akan lemah. Begitulah, tanpa didengar masalahnya manusia akan tertekan dan
lemah jiwanya.
•
Aktiviti Lain - Mengikut pakar perubatan, mereka yang memiliki binatang
kesayangan seperti kucing, ikan dan burung dapat mengurangkan stres berbanding
mereka yang tidak. Begitu juga seseorang yang memiliki hobi tertentu umpamanya,
membaca buku, memanjat bukit, berkebun dan sebagainya. Dengan melihat, memegang
dan mendengar sesuatu yang menyeronokkan melalui binatang kesayangan dan hobi
yang diminati ini, tekanan yang dihadapi dapat diminimumkan.
Itulah
tiga cara untuk mendapatkan kelegaan dan ketenangan jiwa. Namun, bagaimana
hebat dan bijak sekalipun kaedah yang mampu difikirkan manusia, ia tidak dapat
menandingi kaedah yang telah ditetapkan Allah. Kaedah yang ditetapkan itu ialah
solat! Dalam solat, seluruh elemen dalaman dan pancaindera lahiriah diarahkan
untuk berhubung dengan Allah. Sebab itulah, ada ulama yang menyatakan solat itu
satu bentuk hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya. Bayangkan, solat
umpama “wayar” yang menyambungkan diri seorang hamba yang lemah, jahil, hina,
miskin dan tidak berdaya dengan Allah; Tuhan yang Maha Perkasa, Maha
Mengetahui, Maha Mulia, Maha Kaya dan Maha segala-galanya.
Solat
itu umpama “talian hayat” buat seorang hamba apabila berdepan dengan segala
kekusutan, kekeliruan dan kesusahan dalam hidupnya. Jika kita punya hajat,
solatlah dua rakaat, solat hajat. Pintalah kepada Allah segala yang diingini.
Yakinlah akan janji Allah ini: “Pintalah, nescaya akan Aku kabulkan.” (Surah
al-Mu’min 40: 60). Jika pada suatu masa dan keadaan, kita keliru untuk membuat
keputusan dan melakukan pertimbangan, maka dirikan solat istikharah. Insya-Allah,
Allah akan berikan ketenangan emosi dan kestabilan fikiran untuk membuat
keputusan. Kita akan dipandu ketika memilih kebaikan di tengah-tengah ribuan
kecelaruan. Jika yang kita ingini rezeki, maka dirikan solat Duha, solat yang
menjadi kunci pembuka rezeki dari langit dan bumi! Namun, paling utama dan
pertama ialah solat fardu. Itulah tiang agama, tonggak jiwa untuk menghadapi
segala.
Hati
manusia umpama bateri telefon bimbit yang mesti dicas selalu untuk berfungsi.
Jika bateri telefon perlu dicas dua atau tiga hari sekali, maka hati manusia
perlu dicas dengan solat sebanyak lima kali sehari. Hati manusia yang tidak
solat umpama bateri yang kosong. Maka manusia yang tidak solat, umpama telefon
yang sudah kehabisan bateri. Apabila hati “mati”, tidak berguna wajah yang
tampan dan badan yang sasa pada seseorang manusia, seperti tidak ada gunanya
telefon bimbit yang canggih dan cantik tanpa bateri!
Di
manakah kita meluahkan segala rasa hati? Dengan siapa? Hakikatnya “pemberi”
masalah dan “pemegang” hatilah yang berkuasa memberi ketenangan hati dan
membantu menyelesaikan masalah. Siapa pilihan kita?
Allah:
Pendengar Tanpa Jemu - Apabila seseorang sedang solat, dia sebenarnya sedang
mengadu, merayu dan meminta bantuan Allah. Seorang ulama bernama al-Hakim
berkata: “Jika kamu ingin mendengar kata-kata Allah kepadamu, bacalah al-Quran.
Sebaliknya, jika kamu ingin berkata-kata dengan Allah, dirikanlah solat.” Dengan
membaca al-Quran, kita mendengar ayat-ayat yang diturunkan kepada kita untuk
mengurus dan mengatur kehidupan. Manakala dengan mendirikan solat pula, kita
memuji Allah, merayu dengan menyebut apa-apa yang kita inginkan dan meluahkan
segala kelemahan.
Bayangkan,
sekiranya kita meluahkan masalah di atas kertas, kepada orang yang dipercayai,
melihat rupa dan mendengar suara haiwan peliharaan, pun sudah mendapat
ketenangan apatah lagi jika kita meluahkan segala-galanya kepada Allah.
Ketenangan yang kita dapati hasil berhubung dengan Allah melalui solat ialah
ketenangan yang hakiki. Kualitinya berganda-ganda daripada ketenangan yang
didapati dengan cara yang lain. Menulis masalah di dalam buku catatan, kadangkala
meletihkan. Menceritakan masalah kepada seseorang ada kalanya dikecewakan.
Manusia, walau bagaimana baik sekalipun, pasti bosan sekiranya diperdengarkan
masalah secara berulang-ulang dan berterusan. Haiwan peliharaan, walau
bagaimana comel, cantik dan merdu pun siulannya, lama-kelamaan akan membosankan
hati. Begitu juga hobi, ada masanya tidak dapat menyelesaikan soal hati. Maka
pada siapa lagi kita hendak mengadu?
Mengadulah
kepada Allah dalam solat. Allah tidak pernah jemu. Perdengarkan masalah kita
berulang-ulang, hatta masalah yang sama, Allah sentiasa sudi mendengarnya.
Tuhan tidak pernah kecewa dengan kerenah manusia kerana Tuhan mencipta manusia
dan Dia menjaga ciptaan-Nya itu dengan penuh kasih sayang. Allah sentiasa dekat
dengan kita selagi kita tidak menjauhi-Nya. Jika kita bertanya tentang-Nya,
Allah menjawab: “Jika manusia bertanya tentang-Ku, katakan Aku dekat, dan Aku
memenuhi permintaan orang yang meminta.” Jika kita berasa kecewa dan hampir
putus asa, Allah memujuk: “Tidak ada yang putus asa melainkan orang kafir.”
Apabila
kita berasa dihina dan dipinggirkan, Allah mengingatkan: “Jangan berasa hina
dan takut, kamu adalah orang yang tinggi martabatnya jika kamu beriman.” Dan
apabila kita terasa keseorangan, kesepian dan mula gementar menghadapi segala
ujian dan gelombang kehidupan, Allah memberi harapan dengan firman-Nya yang
bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”. Selagi kita
bersama Allah, selagi kita menunaikan solat, kita akan kuat menghadapi apa-apa
jua cabaran. Lalu, tunggu apalagi, marilah berehat dengan solat!
No comments:
Post a Comment