DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Monday, January 27, 2014

Makanan dan Hikmahnya dalam Islam

Senarai Makanan Dan Hikmahnya
Roti (khubz)
Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila memakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi SAW. pernah bersabda "Jangan potong roti dengan pisau. hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu".

Jintan Manis (anisun)
Jintan manis banyak khasiatnya ianya melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Ianya juga boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu disekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.

Epal (tuffah)
Epal yang masam lebih sejuk daripada yang manis. Ianya juga boleh menguatkan organ hati.

Asparagus (hiyawn)
Asparagus berkhasiat bagi membuka sekatan pada buah pinggang dan memudahkan kelahiran anak.

Pisang (mawz)
Pisang boleh menyejukkan badan dan ianya boleh dimakan dengan madu lebah.
Barli (sya'ir)
Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah SAW pernah memberi sup barli kepada orang yg mengidap demam.

Selasih (manis rayhan, Basil)
Selasih berkhasiat untuk menguatkan organ hati, memudahkan tidur dengan cara menyapu kepala dengan basil yang dicampurkan air.

Mentega (zubdah)
Mentega khasiatnya memanas dan melembapkan. Baik untuk menghilangkan sembelit. Mentega yang dicampurkan dengan kurma dan madu sejenis makanan yang menghilangkan rasa mengidam pada perempuan hamil.

Bunga kubis (qunnabit)
Sayuran ini sukar dihadam dan bahaya untuk penglihatan.

Chamomile (babunaj – sejenis tea)
Kegunaan chamomile ialah melancarkan aliran haid dan kencing. Ianya juga sangat berguna untuk memanaskan badan.

Lobak merah
Kegunaannya memanaskan badan. Ianya juga melancarkan aliran haid dan air kencing.
Biji kopi (qahwah)
Sebagai ubat penyakit buang air besar berdarah, menghilangkan dahaga dan dikatakan menimbulkan kebijaksanaan.

Biji hitam (habb al sauda)
Dilaporkan bahawa Nabi SAW. pernah bersabda "Jadilah seperti biji habb al sauda kerana biji ini ubat semua penyakit kecuali kanser dan mati". Adalah dilaporkan juga bahawa Allah Taala menunjukkan bahawa "ia" itu ialah hab al sauda menghapuskan angin dalam usus dan demam. Baik untuk merawat 'leukoderma' dan membuka saluran urat yang halus. Berguna untuk menghilangkan penyakit selesema.

Ayam (dajaj)
Memudahkan penghadaman. membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Walau bagaimanapun jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam betina yang tidak bertelur.

Kulit kayu manis (darchini)
Kulit kayu manis juga merupakan pemanas badan. Minyaknya sebagai penawar untuk menghapuskan rasa tidak hadam. Ia merupakan campuran (rempah ratus) yang digunakan dalam resepi masakan hampir tiga suku penduduk dunia.
Limau kulit tebal, warna kuning pucat, kurang mengandungi asid (utrujj)
Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda, "Limau ini adalah seperti mukmin: bagus dirasa dan bagus dihidu". Limau ini menguatkan organ hati serta dapat menjauhkan kesedihan dan bintik-bintik pada kulit, menghapuskan kelaparan dan melambatkan pengaliran dalam hempedu.

Timun (qitta')
Yang masak menghilangkan panas dan menggalakkan pembuangan air kecil. Makan kurma dengan timun muda menambahkan berat badan.

Jintan putih (kammun)
Jintan putih khasiatnya untuk memanaskan badan. Jintan putih yang direndam di dalam air dan diminum adalah baik untuk mengubat perut yang memulas.

Tamar kering (tamr)
Nabi SAW. pernah bersabda, "Rumah yang tiada tamar atau kurma adalah rumah yang tiada bermakanan". Nabi SAW. sendiri pernah menanam kurma atau tamar. Kurma hendaklah dimakan dengan badam untuk menghapuskan parut yang tidak diingini.

Terung (badhijan)
Terung hitam menyebabkan keluarnya hempedu. Kecenderungan benda ini mengeluarkan hempedu dapat dibetulkan dengan memakannya bersama daging.

Telur (baydah)
Khasiat telur yang paling baik boleh kita dapati daripada telur ayam (setengah masak atau masak) bukan direbus keras. Putih telur melegakan apabila kita melecur atau kulit terbakar dan menghilangkan parut pada kulit.

"Endive" (hindiba, salad bunga)
Khasiat hindiba berubah mengikut musim. Hindiba' pada awal musim adalah yang paling baik dan yang dipenghujungnya sudah tidak berkhasiat lagi. Hadith menyatakan "makanlah hindiba dan janganlah bersendawa kerana sesungguhnya tidak ada satu hari pun titisan air syurga tidak jatuh ke atas hindiba".
Fenugreek (Hulbah, Halba)
Nabi SAW. pernah bersabda "jika umatku tahu apa yang ada pada hulbah, mereka pasti membeli dan membayarnya dengan emas". Antara khasiat hulbah membantu pengaliran haid dan berguna untuk menyembuhkan sakit perut(memulas).

Buah Ara fig (fin, Buah Tin)
Fin kering adalah yang terbaik. Di antara khasiatnya ialah untuk memanaskan badan dan rasanya enak. Nabi SAW. pernah bersabda, "Jika anda kata ada buah datang dari syurga maka itulah fin kerana sebenarnya inilah buah syurga". Oleh itu makanlah buah fin kerana khasiatnya menyembuhkan penyakit buasir dan pirai.

Ikan (samak)
Khasiat ikan air tawar lebih baik terutama yang makan tumbuh tumbuhan, bukan yang makan lumpur dan benda-benda seni dalam air. Ikan yang tidak dimasak sukar dihadam dan mengeluarkan ketidak seimbangan badan

Bawang putih (thum)
Bawang putih juga elok untuk memanaskan badan. Khasiatnya membuang gas dan menggalakkan pengeluaran air mani. Baik untuk pembawakan sejuk, untuk mencairkan balgham. Minyaknya digunakan untuk merawat gigitan serangga dan Nabi SAW pernah bersabda "Sesiapa yang memakan pohon ini maka janganlah dia mendekati kami dan janganlah sembahyang bersama bersama kami."

Minyak sapi (samn)
Minyak sapi mengandungi banyak lemak. Ia dianggap sebagai penawar racun. Campurkan dengan manisan lalu dimakan dan ianya dipercayai ubat pada makanan.

Halia (zanjabil)
Halia disebut dalam ayat alQuran (ayat 17, Surah Al Insan) firman Allah Taala yang bermaksud "Dan mereka dalam Syurga itu,diberi dari sejenis minuman yang campurannya dari zanjabil". Khasiatnya membantu penghadaman dan memanaskan badan.

Inai (hinna)
Terdapat banyak khasiat pada inai. Antaranya menghilangkan bekas calar-calar atau lebam pada badan, menghilangkan sakit kepala, sakit dalam kaki, sakit kuku dan mengelokkan rambut. Inai bersifat sangat panas dan menerbitkan perasaan cinta. Wangian yang terbaik ialah yang diperbuat dari bunga inai.Memakai inai pada kuku, tangan dan kaki menjadi biasaan masyarakat di Timur terutama bagi pengantin baru.

Madu lebah(a'sal)
Madu lebah mempunyai berbagai-bagai khasiat. Madu atau manisan lebah ini apabila dicampur dengan air panas boleh mengubati penyakit cirit birit. Sabda Nabi SAW., "Demi Allah yang aku dalam genggaman Nya, minumlah madu. Malaikat akan memohon rahmat pada penghuni rumah yang ada madu di dalamnya. Jika seseorang itu makan madu, seribu ubat masuk keperutnya dan sejuta penyakit keluar darinya." Rasulullah sendiri mengamalkan meminum madu, dengan meminum segelas air yang dicampurkan dengan madu setiap pagi ketika perut kosong. Madu dianggap ibu segala makanan, minuman dan ubatan. Madu yang paling berkualiti ialah madu yang dikeluarkan dalam musim bunga (spring), seterusnya dalam musim panas (summer) dan yang kurang berkualiti adalah madu yang dihasilkan dalam musim sejuk (winter).

Kekacang (a'das)
Semua kekacang mengeluarkan kekeringan. Jenis-jenis kekacang hendaklah dimakan sedikit kerana kalau dimakan dengan banyak ianya tidak baik untuk perut. Ada hadith mengatakan bahawa sesiapa memakan kekacang akan menerbitkan hati yang simpati, mata berair dan menghapuskan kesombongan.

Salad (khass)
Meskipun ianya sejuk, ia dianggap sayuran yang baik untuk dimakan. Ia melembutkan tubuh yang keras dan membantu menyembuhkan penyakit gangguan mental. Salad melemahkan tenaga batin dan terlalu banyak memakannya juga melemahkan penglihatan.
Daging (lahm)
Daging mengandungi banyak khasiat. Dikatakan bahawa orang yang memakan daging selama 40 hari berturut turut tidak akan mendatangkan kebaikan. Dan orang yang tidak memakan daging selama 40 hari berturut-turut juga tidak akan mendatangkan kebaikan. Dengan kata lain makanlah daging secara sederhana. Daging yang paling baik ialah daging kambing. Ianya bersifat panas dan lembab. Daging kambing yang paling baik ialah daging kambing jantan yang berumur satu hingga dua tahun. Terdapat pertelingkahan pendapat mengenai daging kuda sebagai makanan biasa. Ibnu Sina berpendapat bahawa daging unta, kuda, keldai adalah tidak baik dimakan sebagai makanan biasa. Syariat juga melarang memakan daging binatang pemangsa. Dilarang memakan daging binatang pemangsa yang kukunya mencengkam dan menyangkuk.

Sumber: Association of Malaysian Students at University of Southern California

Tuesday, January 21, 2014

Empat Belas Kebaikan di Dunia yang Perlu di Miliki Oleh Orang Mukmin - Abu Basyer

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah, Setiap manusia akan melalui lima fasa alam, bermula daipada alam roh, alam kandungan ibu, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Semasa di dalam alam roh (alam arwah) Allah SWT berfirman dalam Surah al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'." Kesemua roh makhluk telah membuat pengakuan kepada Allah SWT bahawa mereka semuanya mengakui bahawa Tidak ada Tuhan lain melainkan Allah SWT.

Selepas berada di alam arwah, roh manusia pula di turunkan kebumi melalui perut kandungan ibu. Seperti hadis di bawah:

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami sedang baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: 'Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari “pati” (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”. (Surah al-Mukminun ayat 12-14).

Apabila manusia dilahirkan di dunia ini maka bermulalah tanggungjawab manusia kepada Allah apabila mencapai umur akil baligh. Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah ibu bapanyalah yang akan membentuk anak tersebut samaada menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi atau Islam. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menyahudikannya, atau menasranikannya atau memajusikankannya."

Manusia dilahirkan kedunia adalah untuk menyembah Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya : "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku" (Surah az-Zariyat ayat 56). Setelah manusia faham bahawa hidup di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kemudian manusia melaksanakan pula tanggungjawabnya sebagai khalifah dimuka bumi ini iaitu memakmurkan muka bumi Allah SWT ini dengan kebaikan.

Allah SWT berfirman tentang kriteria khalifah-Nya yang bermaksud: "Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan beramal soleh (kebaikan), bahwa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah di bumi, Sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah. Sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, yang telah diredai-Nya untuk mereka, serta Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka menjadi aman setelah mereka ketakutan. Mereka akan menyembah-Ku dan tidak menyekutukan apapun dengan-Ku. Dan barang siapa kafir setelah itu, maka mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur ayat 55).

Pada ayat tersebut, jelas sekali Allah berjanji akan menjadikan hamba-hamba-Nya sebagai khalifah yang akan menguasai dan memimpin dunia. Tetapi janji itu akan ditepati-Nya bagi manusia yang beriman dan beramal kebaikan. Dengan demikian dapat disimpulkan, bahwa kriteria lain dari seorang khalifatullah adalah iman dan amal soleh. Terdapat 14 ciri-ciri kebaikan di dunia ini yang dikurniakan Allah SWT kepada orang-orang mukmin sebagai bekalan untuk dia melaksanakan fungsi sebagai khalifah Allah (pemimpin) di dunia ini dengan adanya kebaikan ini akan menjadi bekalan untuk dua alam lagi iaitu alam barzakh dan hari akhirat. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT.
Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh Allah untuk mengamalkan Islam. Islam bererti selamat. Orang Islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam…" (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadis qudsi) "Firman Allah SWT: 'Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.

Wahai hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan.

Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan...'." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Diberi kefahaman dalam agama.
Untuk amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah SWT akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tidak mampu menyelamatkan orang lain. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Dapat berbuat amalan soleh.
Dengan kefahaman agama yang Allah SWT beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas'." (Surah Az-Zumar ayat 10)

4. Mendapat ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara baik dan selamat. Sebab itu Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud : "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari apa-apa Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku." (Hadis Riwayat at-Tabrani). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah (fardu ain) yang berteraskan wahyu seperti akidah, syariah dan akhlak dan ilmu akliyah (fardu kifayah) iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredaan Allah SWT. Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

5. Mendapat isteri yang solehah.
Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Itulah antara kebaikan di dunia buatnya. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri." (Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Hadis Riwayat Thabrani) Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya reda kepadanya, maka ia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami. Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Namun ada juga orang yang Allah SWT beri kebaikan walaupun tidak mendapat pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah SWT kurniakan pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah pasangannya.
6. Mendapat zuriat penyejuk hati.
Betapa sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang soleh (baik) akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima kebaikan dari doa mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan penyejuk hati perlulah kepada empat elemen iaitu isteri yang solehah (menjadi ibu yang solehah mendidk anak-anak) , rumah yang luas (susana tarbiah berlaku dirumah), jiran yang baik (akan mempengaruhi peribadi anak-anak) dan kenderaan yang baik (keselesaan dalam kehidupan harian). Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen di atas seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud:"Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Wanita yang solehah-iaitu isteri yang baik juga akan menjadi ibu yang solehah yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna. Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang. Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain. Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu. Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
7. Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang buruk adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa.) Perkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan. Sahabat yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik. Sahabat yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat. Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan.
Dengan kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini. Orang mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup. Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud : "Ya Allah, ‘afiatkanlah tubuh badanku dan ‘afiatkanlah pendengaranku." (Hadis Riwayat Ibnu Syaibah) Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Seseorang itu hendaklah menjaga kesihatan yang mana kesihatan itu adalah satu nikmat daripada Allah, hendaklah digunakan masa sihat itu dengan amal kebajikan dan amalan saleh sebelum sakit. Seseorang itu janganlah mensia-siakan masa lapangnya terbiar begitu sahaja, ianya hendaklah digunakan untuk melakukan semua perintah Allah yang diredai. Kedua nikmat sihat dan kelapangan itu adalah cubaan Allah SWT ke atas manusia. Oleh itu hendaklah digunakan masa sihat dan lapang itu untuk memerangi hawa nafsu. Sesiapa yang berjaya pasti akan mendapat kemenangan begitu juga sebaliknya.
9. Panjang umur di dalam ketaatan.
Setiap orang muslim diantara kita tentu menginginkan berumur panjang supaya bertambah kebaikannya. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW tatkala baginda ditanya: Siapakah orang yang paling baik itu? Baginda menjawab: “Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad). Hampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya." (Hadis Riwayat Jabir r.a.)

10. Mendapat rezeki yang halal.
Rasulullah SAW menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia akan memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad. Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Hadis Riwayat al-Hakim). Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW telah menasihatkan kita agar melihat kepada orang yang di bawah. Jangan melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang demikian itu akan membuatkan kita menjadi tidak bersyukur. Namun itulah masalahnya yang berlaku pada setiap daripada kita. Sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Tetapi ini bukan pula bererti bahawa kita tidak boleh mengejar yang lebih baik. Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada keizinan daripada-Nya.
11. Beroleh keimanan dan ketakwaan.
Dengan iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi manusia. Siapa yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Baginda juga bersabda yang bermaksud : "Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia merangkumi semua kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Ya’ala)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat takwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)." (Hadis Riwayat Muslim). Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah SWT ialah :1.Bertakwa, 2. kaya jiwa (berakhlak mulia) dan 3. tidak menonjolkan diri.

Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertakwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

12. Banyak mengingati Allah SWT.
Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan. Orang mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan. Firman-Nya: "...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenteram (tenang)." (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28). Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi." (Hadis Riwayat ad-Dailami)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya. Dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tanda cintakan Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan tanda Allah SWT murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." (Hadis Riwayat Baihaqi). Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah. Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah SWT, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah.
Hidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci, keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan, orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah. Misalnya jika ada orang terganggu dengan turunnya hujan pada waktu hujan itu ‘tak diperlukan’, dia sentiasa mencari hikmah di sebaliknya. Bila dapat nikmat pula, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah. Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)

14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah).
Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah SWT : "….demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang dimatikan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun ‘Alaikum." (Surah An-Nahl, ayat 32). Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah." (Hadis Riwayat Abu Na’im)
Para ulama yang beramal dengan ilmunya melihat sesuatu dengan mata hati. Oleh itu, dalam senarai kebaikan di dunia yang mereka turunkan di atas, tidak ada perkara-perkara berbentuk nikmat zahir semata-mata. Misalnya mereka tidak kata kebaikan di dunia itu ada pada rumah besar, kedudukan tinggi, isteri cantik, duit banyak, nama popular, kenderaan mewah dan lain-lain yang sering kita buru hari ini. Semua ini tidak ada dalam senarai para ulama. Bermakna, mendapat semua itu belum bererti mendapat kebaikan yang hakiki. Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat – hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl ayat 122 dinyatakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. hasanah (kebaikan) di atas kehidupan dunia.

Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan beri kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan akhirat, Allah akan dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di dunia lagi. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka. Firman Allah SWT maksudnya : "Maka di antara manusia ada yang berdoa : 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia', dan di akhirat dia tidak memperoleh bahagian apa pun. Dan di antara mereka ada yang berdoa:  'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka' ." (Surah al-Baqarah ayat  200-201)

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita sama-sama kita jadikan kebaikan hidup di dunia ini untuk mencapai kebahagiaan kita di hari akhirat. Kita tidak mahu berbahagia semata-mata di dunia sahaja, kerana kehidupan yang sebenarnya dan kehidupan di hari akhirat yang mendapat balasan syurga.

Thursday, January 16, 2014

Indahnya Berselawat

Selawat ialah bahasa Arab yang ertinya "doa",rahmat dari Tuhan,memberi berkat dan ibadat". Kalau selawat itu diamalkan oleh hamba kepada Allah,maka maksudnya bahawa hamba itu menunaikan ibadat atau berdoa (memohon kepadaNya). Tetapi kalau Allah berselawat atas hambanya,maka selawat dalam ini ertinya adalah bahawa Allah mencurahkan rahmatNya-Allah melimpahkan berkatNya. Pengertian "Berselawat atas nabi SAW ialah "Mengakui kerasulannya serta memohon kepada Allah melahirkan keutamaan dan kemuliaan nya" Pengertian selawat malaikat kepada Nabi SAW adalah memohon kepada Allah supaya mencurahkan perhatianya kepada Nabi (kepada perkembangan agama).
Kesimpulannya:
Kalau selawat dari Allah - Allah memberi rahmat:
Kalau selawat dari malaikat - meminta keampunan 
kalau selawat orang mukmin - berdoa supaya diberi rahmat sepertri perkataan " Ya Allah limpahkan rahmat atas Nabi Muhammad SAW"
DALIL AL QURAN DAN HADIS NABI
Surah Al-Ahzab ayat: 56 maksudnya, “sesungguhnya Allah dan malaikat malaikatNya berselawat untuk Nabi . Hai orang orang yang beriman ,berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya". Hadis hadis nabi SAW maksudnya: Berselawatlah kamu kepadaku,kerana selawat itu menjadi zakat(penawar jiwa pembersihan dosa) bagimu" (diriwayatkan Ibnu Murdawaih). "Setiap doa adalah terlarang,sehingga berselawat atas nabi SAW"(diriwayatkan ad dailami). “Bahawasanya seutama utama manusia (orang yang terdekat)dengan aku pada hari kiamat ada lah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku" (diriwatkan an -Nasai dan ibnu Hibban)

FAEDAH-FAEDAH BERSELAWAT
1 Dapat memperolehi limpahan rahmat dan kebajikan dari Allah
2 Dapat memperolehi kebajikan mengangkat darjat dan menghapuskan kejahatan dan kesalahan.
3 Memperolehi pengakuan kesempurnaan iman,jika kita membacanya 100 kali
4 Menjauhkan kerugian,penyesalan dan digolongkan kedalam golongan orang orang yg soleh.
5 Mendekatkan diri pada Allah
6 Memperolehi pahala seperti pahala memerdekakan budak
7 Dapat memperolehi syafaat
8 Memperolehi penyertaan dari malaikatur Rahman
9 Memperolehi hubungan yang rapat dengan nabi (salam itu akan disampaikan oleh malaikat kepada nabi)
10 Membuka kesempatan berbicara dgn nabi
11 Menghilangkan kesusahan,kegundahan dan melapangkan rezki
12 Melapangkan dada
13 Menghapuskan dosa
14 Menggantikan sedekah bagi orang yg tidak sanggup bersedekah 
15 Melipat gandakan pahala yang diperolehi
16 Mendekatkan kedudukan kepada rasulullah SAW di hari kiamat
17 Dapat melepaskan diri dari kebingungan di hari kiamat.
18 Menjadi kan sebab sebab doa kita dapat diterima oleh Allah
19 Memenuhi satu hak nabi.
20 Di Padang masyar sebagai seorang yang mencintai Nabi
21 Di kabul segala hajat keperluannya.
42 Kelebihan selawat ke atas nabi SAW
Al-Sheikh Abdul Qadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisasirruhu menyatakan kelebihan berselawat ke atas nabi di dalam kitabnya Al-Safinah al-Qadiriyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata “Berselawat kepada nabi Muhammad SAW itu mempunyai empat puluh dua kelebihan. Perkara ini tertulis dalam kitabnya Hadaiq Al-Anwar”
1. melaksanakan perintah Allah SWT
2. bersamaan dengan selawat Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
3. mendapat ganjaran 10x selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah SWT. bererti Rahmat)
4. bersamaan dengan selawat para malaikat
5. dikurniakan oleh Allah SWT 10x dari darjat atas setiap satu-satu selawat
6. dituliskan oleh malaikat 10x kebaikan atas setiap selawat
7. dihapuskan oleh Allah SWT 10x kejahatan atas setiap selawat
8. segala doa akan diperkenankan oleh Allah SWT.
9. mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.
10. mendapat keampunan Allah SWT. dan akan ditutup segala keaiban
11. Allah SWT. akan menutupi segala dukacita
12. dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah SAW.
13. mendapat darjat al-sidq
14. ditunaikan segala hajat
15. selamat sejahtera pada hari kiamat
16. Allah SWT dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat
17. mendapat khabar gembira daripada Allah SWT dengan balasan syurga
18. selamat sejahtera pada huru-hara hari kiamat
19. Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan
20. mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa
21. mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu
22. tidak akan merasai fakir
23. terpelihara dari dihinggapi sifat bakhil
24. mendapat kesejahteraaan daripada doa Rasulullah SAW
25. selawat akan menjemput setiap pengucapnya ke jalan syurga
26. menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan rasulNya atau daripada majlis-majlis lagha
27. berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah SWT. apabila disebut “Alhamdulillahirabbil’alamin” di dalam doa, maka akan disambut selepas itu dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
28. selamat melintasi titisan sirat al-mustaqim pada hari kiamat
29. terpelihara daripada sifat kasar dan gelojoh
30. disambut oleh Allah SWT pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak
31. mendapat keberkatan Allah
32. mendapat kesempurnaan iman
33. kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.
34. mendapat hidayah daripada Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah SWT.
35. setiap selawat yang dibaca akan dibentagkan di hadapan Rasulullah SAW. secara langsung
36. teguh pendirian dengan kebenaran
37. berselawat bererti kita menunaikan sebahagian daripada hak-hak Rasulullah SAW. keatas diri kita. di samping itu ia dianggap mensyukuri nikmat Allah SWT yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita.
38. berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengiktiraf segala nikmat yang dikurnikan oleh Allah SWT.
39. mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah SWT.
40. berselawat bereti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah SWT ke atas Rasulullah SAW dan kepada diri sendiri
41. antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah SAW dalam jiwanya
42. dikurniakan oleh Allah SWT. maqam seorang Syeikh dan Murabbi.
Kisah Kelebihan Berselawat
Sufyan As Sauri menceritakan: Bila bertawaf mengelilingi kaabah, saya melihat seorang laki-laki, ia membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Saya mendekatinya lalu bertanya: "Mengapa anda meninggalkan bacaan tasbih,tahmid dan tahlil justeru hanya membaca selawat sahaja? Adakah sesautu berlaku kepada diri anda? Siapakah anda ini? Tanya orang itu. Saya Sufyan As Sauri" Jawab saya. Baiklah akan aku ceritakan." Aku meninggalkan ayahku untuk mengerjakan haji.

Ketika dalam perjalanan, ayahku sakit dan sakitnya itu membawa kematian. Aku bersedih dengan kematiannya. Wajah ayahku yang tampan itu telah bertukar menjadi hitam legam, aku menutup wajahnya dengan kain. Aku berasa sedih sekali, dan malu jika orang mengetahuinya, sedang ayahku adalah seorang ahli ibadah. Aku terus bertafakur dan tertidur. Dalam tidurku aku bermimpi seakan-akan melihat sinar yang semakin mendekati tempatku itu, dan ternyata sinar itu bersumber dari seorang yang sangat gagah lagi tampan. Pakaiannya bersih,wajahnya bersinar terang, baunya harum sekali. Aku tidak pernah melihat orang ini sebelumnya, dan aku belum mengenalinya.

Dia terus menuju kepadaku. Satu-satu langkahnya sehinggalah dia berada disisiku. "Ada apa kesusahanmu?" tanyanya. "Ayahku telah meninggal dunia," aku menangis. Dan belum sempat aku bercerita seterusnya, dia berkata. "Jangan menangis semua manusia mesti mati." "Tapi wajahnya" kataku "Wajahnya hitam legam. Tolonglah aku" aku merayu-rayu terus mengharapkan bantuan sesuatu. Tanpa berbicara apapun lagi, dia terus membuka kain yang menutup wajah ayahku itu, lalu mengusap telapak tangannya pada wajah ayahku. Ajaib sekali, aku hampir tidak percaya apa yang telah berlaku. Wajah ayahku kembali semula putih bersih, dan lebih bercahaya dari asalnya. Apa penawarnya? Sampai perkara yang cukup ajaib ini dapat berlaku.

Dia kemudian mengambil kain tadi dan menutup semula wajah ayahku itu. Kemudian iapun hendak kembali semula dari arah yang ia datang tadi. Melihat ia akan pergi, dan aku belum lagi tahu siapa orang ini, maka aku segera memegang bajunya seraya bertanya, siapakah tuan yang telah menolong ayahku ini? Dia tersenyum dan kelihatan nur dan cahaya bersinar dari senyumannya. Wajahnya seperti bulan purnama. "Aku ini Muhammad" jawabnya. "Muhammad siapa"? aku meminta penerangan lagi. "Muhammad, Rasulullah. Akulah pembawa Al Quran" jelasnya. Aku terduduk dan terpinga-pinga untuk menikmati wajahnya yang mulia. Inilah dia Rasulullah, aku berkata dalam hatiku, lisanku kelu, tidak berkata apa-apapun.

"Ayahmu ini terlalu banyak membuat sia-sia didalam hidupnya, namun begitu dia selalu membaca selawat dan salam kepadaku. Ketika ia mengalami hal buruk ini, ia memohon kepada ku untuk membantunya, maka aku datang ini untuk membantunya, dan aku selalu menolong orang yang selalu membaca selawat dan salam kepadaku" jelasnya.
Pada saat itulah aku terkejut dari mimpiku itu, dan aku terus teringat apa yang telah berlaku di dalam mimpi itu. Aku terus membuka kain yang menutupi wajah ayahku itu, dan betullah seperti yang berlaku di dalam mimpi tadi, bahawa wajah ayahku telah kembali putih bersih dan bercahaya lebih dari mulanya.

BERKAT SELAWAT UNTUK AMALAN KITA BERSAMA SUPAYA KITA SAMA-SAMA MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT.

"Au zubillah himinashsyaitan nirrajim ... bismillahirrahmannirrahim" (Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.)

Dalam satu cerita yang lain mengenai perkara selawat juga, bahawa seorang wanita telah bermimpikan anaknya yang baru mati. Dilihatnya anaknya sedang disiksa dengan amat berat sekali. Maka wanita itu sangat sedih ketika mengingatkan mimpi yang dilihatnya, dan dia terus menangis dan menangis memohon Allah agar diampunkan dosa anaknya itu. Sekali peristiwa sedang dia berada di kuburan anaknya itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang compang-camping keadaannya. Dia berdiri dihadapan kubur-kubur itu, lalu berselawat keatas Nabi SAW, sebanyak-banyaknya kemudian dia menghadiahkan pahalanya kepada sekalian ahli kubur di situ, dan dia pun pergi.

Pada malamnya, wanita itu bermimpi lagi akan anaknya, dan kali ini mimpinya agak berlainan sedikit. Iaitu dilihatnya anaknya sedang dalam cahaya dan bahagia mengecap segala kenikmatan Allah. Maka wanita itu bertanya kepada anaknya tentang perubahan nasib yang diterimanya sekarang, apa sebabnya? Lalu anak itu memberitahu bahawa semua itu ialah kerana berkat selawat orang soleh yang baru datang ke kuburan itu, yang telah berselawat ke atas Nabi SAW, lalu dihadiahkan pahala selawatnya itu kepada sekalian ahli kubur, dan nasibnya dari pahala itulah telah mendapat segala kebahagian yang di kecapi sekarang ini.

Moral: Marilah kita perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah agar mendapat syafaatnya di dunia dan di akhirat, Insyaallah.

SYAFAAT UNTUK MALAIKAT UNTUK AMALAN KITA BERSAMA SUPAYA KITA SAMA-SAMA MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT.

"Au zubillah himinashsyaitan nirrajim ... bismillahirrahmannirrahim" (Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.)

Pada saat Rasulullah SAW dimikrajkan, beliau melihat berbagai macam keanihan. Di antaranya baginda melihat satu malaikat yang dibakar oleh Allah SWT. Nabi bertanya kepada Jibril as, "Mengapa ia dibakar?" Dijawab oleh Jibril as, "Allah mengutus dia ke sebuah negeri untuk menghancurkan penduduknya. Tetapi ia tidak jadi melakukannya kerana merasa hiba dan sedih terhadap seorang bayi yang masih menyusui di negeri itu. Allah lalu menghukumnya." "Tahukah kau wahai Jibril, apakah dia boleh bertaubat," tanya Rasul lagi. "Bukankah Allah menurunkan ayat kepadamu, bahawa Dia Maha Pengampun bagi sesiapa saja yang bertaubat," demikian jawab Jibril as.
Selesai mendengar jawapan Jibril as, Nabi lantas memohon taubat kepada Allah untuk malaikat itu. Dan Allah menjawab bahawa malaikat itu harus membawa selawat 10 kali kepada Rasulullah, barulah ia dilepas dari hukuman. Di langit, para malaikat gempar mempercakapkan bahawa Allah SWT telah merahmati malaikat Karubiyyun berkat selawat kepada Rasul-Nya Muhammad SAW.

KELEBIHAN SELAWAT
"Au zubillah himinashsyaitan nirrajim ... bismillahirrahmannirrahim" (Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.)

Kelahiran Rabiatul Adawiah - Pada malam Rabiah dilahirkan, ayahnya tidak mempunyai setitik minyak pun untuk menerangi rumah. Ia juga tidak mempunyai kain selimut untuk menyelimut Rabiah. Ayah Rabiah mempunyai 3 orang puteri dan Rabiah merupakan puterinya yang keempat. Dalam keadaan dingin di waktu malam, ayanya telah bermimpi melihat Nabi SAW. Nabi SAW berkata, "Janganlah engkau bersedih hati kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan itu adalah ratu kaum wanita dan akan menjadi penegah bagi 70 ribu orang diantara kaumku. Esok pergilah engkau mengadap Isa Az Zadan gabenor Basrah. Di atas sehelai kertas, tuliskan kata-kata berikut ini; setiap malam engkau mengirimkan selawat seratus kali kepadaku dan setiap malam jumaat empat ratus kali. Kelmarin adalah malam jumaat tetapi engkau lupa melakukannya. Sebagai penebus kelalaian mu itu berikanlah kepada org ini 400 dinar yang telah engkau perolehi secara halal."

Ketika terjaga dari tidur, ayah Rabiah menangis. Ia pun bangkit dan menulis seperti yang telah dipesankan Nabi SAW kepadanya dan mengirimkannya kepada gabenor melalui pengurus rumahtangga istana. "Berikanlah dua ribu dinar kepada orang-orang miskin, kata gabenor tersebut setelah selesai membaca surat itu. "Dan berikan 400 dinar kepada orang ini, katakan padanya bahawa aku harap engkau datang kepadaku supaya aku dapat melihat wajahmu. Namun demikian, tidak wajarlah engkau mengadapku sepatutnya akulah yang datang berjumpa denganmu."

Dipetik dari buku berjudul "Wasiat Orang Soleh"