Kita
perlu menghitung dosa yang kita lakukan, bukan sibuk menghitung banyaknya
pahala. Sekali-kali kita tidak akan masuk syurga dengan banyaknya amal kebaikan
kita. Dan janganlah sangka, orang lain yang masih bergelumang dengan dosa
mereka hari ini, memang akan masuk neraka. Tidak sekali begitu. Boleh jadi,
mereka yang hari ini, tidak hidup dengan cinta terhadap kebaikan, hari esok
kalau mereka berubah, mereka mungkin lebih baik dari kita. Boleh jadi juga,
kita yang hari ini hidup dalam kebaikan, suka buat yang baik, tiba-tiba esok
kita berubah menjadi lebih teruk dari mereka. Kemungkinan-kemungkinan yang kita
tidak dapat jangkakan. Maka, apakah yang masih menjadikan kita rasa tak puas
hati, marah dan geram bila orang lain tidak melakukan sama sepeti apa yang kita
lakukan?
Tidak
ada apa yang sepatutnya menimbulkan lagi rasa tidak puas hati dalam diri kita
terhadap orang lain. Bila kita sibuk memikirkan betapa banyaknya dosa kita, dan
betapa sikitnya kebaikan kita dibandingkan dengan dosa yang kita lakukan, maka
tidak ada ruang untuk kita sibuk dengan perasaan tidak puas hati kita terhadap
kebaikan yang tidak dilakukan oleh orang lain. Bila kita sibuk memikirkan
betapa kita, masih banyak dosa yang belum dibersihkan, maka tidak ada kebencian
terhadap manusia yang tidak lakukan kebaikan sama seperti apa yang kita
lakukan. Teruskanlah dengan kebaikan yang telah kita lakukan. Jangan rasa lelah
bila melihat orang lain tidak melakukannya kerana Allah sentiasa ada memerhatikan.
Kalau
empat perkara berikut mampu kita lakukan dengan keikhlasan dan kejujuran
dihati, maka yang lain dengan mudah dapat kita lakukan dengan redha Allah SWT.
Memberi
maaf ketika marah
Rasulullah
SAW bersabda, "Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah
orang yang dapat mengalahkan nafsunya di waktu marah dan orang yang paling sabar
di antara kamu semua ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain
padahal ia berkuasa untuk membalasnya." (Riwayat Ibnu Abidunya dan Baihaqi).
Pernah berlaku, Sayidina Ali dalam satu peperangan, sudah
berjaya menjatuhkan musuh, tiba-tiba musuh meludah mukanya. Lalu Sayidina Ali tidak
jadi membunuh musuh tersebut. Bila ditanya mengapa tidak dibunuh musuh itu,
beliau menjawab, aku bimbang jika ku bunuh juga musuh itu, bukan lagi kerana
Allah, tetapi kerana marahkan ludahan orang itu.
Bukanlah
mudah memberi kemaafan ketika marah, kerana itu marah itu perlu dikawal. Sabda
Rasulullah SAW lagi, "Sesungguhnya marah itu datangnya dari syaitan, dan
syaitan itu dijadikan dari api, dan yang dapat memadamkan api itu hanyalah air,
maka apabila seorang dalam keadaan marah, hendaklah segera berwudhuk".
(HR. Ahmad, Abu Dawud)
Bersedekah
ketika kesempitan
Amat
susah juga bersedekah ketika kesempitan. Jika kita dalam kesenangan, ramai yang
boleh bersedekah, tetapi amat sedikit yang boleh berbuat demikian ketika sedang
susah. Perkara ini dapat dilihat dalam kehidupan Sayidina Ali. Pernah Siti Fatimah,
isteri Sayidina Ali didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Sayidina Ali
mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di
pertengahan jalan, Sayidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh
Sayidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Sayidina Ali menyuruh
pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah
memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu. Hebatnya kedua suami isteri yang
telah dididik Rasulullah SAW.
Senyum?
Benar senyum itu satu sedekah..tetapi perkara semudah itupun ramai yang masih
gagal berbuat, apatahlagi bersedekah harta dalam masa sedang kesempitan. Tetapi
Sayidina Ali dan Fatimah telah buktikan, hingga habis apa yang ada
disedekahkan, kerana mereka amat yakin Allah Maha Pemberi Rezeki dan menjamin
rezeki mereka.
Dalam
kisah yang lain, datang seorang hamba Allah berjumpa Sayidina Ali dengan
membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan
untanya. Maka tanpa berlengah Sayidina Ali menyatakan kesanggupan untuk
membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar
harga unta itu dalam masa beberapa hari. Dalam perjalanan pulang, Sayidina Ali
berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang
lebih tinggi daripada harga asal. Dia pun menjualkan unta kepada orang itu.
Setelah mendapat wang, Sayidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual
unta.
Beberapa
hari kemudian, Rasulullah SAW berjumpa Sayidina Ali lalu bertanya "Ya Ali,
tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Sayidina
Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan
yang membelinya ialah Mikail.
Menjauhi
perkara haram ketika seorang diri
Menjauhi
perkara haram ketika seorang diri juga amat susah dilakukan. Kalau kita dapat
menjauhi perkara haram ketika ramai, itu biasa, kerana malukan manusia, tetapi
jika dapat menjauhi perkara haram ketika seorang diri, itulah sifat taqwa.
Hasil rasa kehambaannya kepada Allah, dia merasa takutkan Allah, dan merasai
Allah SWT sentiasa mengawasinya. Ramai yang boleh menjauhi perkara haram ketika
ramai, kerana malukan manusia, tetapi alangkah baiknya jika rasa malu itu dapat
dikekalkan di hadapan Allah SWT, maka itulah benteng dari berbuat maksiat.
Daripada
Abu Mas’ud ‘Uqbah ‘Amir: “Sesungguhnya antara yang didapati manusia daripada
ucapan Nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun
yang engkau mahu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan betapa
tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja kerana tidak takut
seksaan Allah. Tidak merasai Allah ada, malah tidak rasa Allah sentiasa
mengawasi dan melihatnya. Dia seolah-olah orang yang tidak beriman, kerana malu
juga satu cabang daripada iman. Abdullah bin ‘Umar pernah mengatakan: “Malu dan
iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya,
hilang pula yang lainnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Malulah
kepada Allah jika ingin berbuat yang haram ketika berseorangan. Tetapi
bagaimana hendak malu kepada Allah jika Allah itu tidak dikenali?
Berkata
benar kepada orang yang ditakuti atau orang yang selalu menolong.
Berkata
benar amat dituntut kerana Allah SWT berfirman: Kebenaran itu datang dari
Rabbmu,maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang-orang yang ragu."
(Al-Baqarah:147)
Sabda
Rasulullah SAW: "Katakan yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar
cercaan orang yg mencerca" (HR.Al-Baihaqi). Firman Allah dan Al Hadis di
atas adalah sebagai asas menyatakan kebenaran, dan pastinya akan ada orang yang
menolak kebenaran itu, khususnya orang-orang munafik dan tidak beriman. Maka
kita di suruh berkata benar sekalipun pahit, sama ada kepada orang yang zalim
(orang yang kita tidak suka), ataupun berkata benar dalam menegur orang yang
kita sayangi.
Dan
ada sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Jihad yang utama ialah berkata
benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (Riwayat At-Tirmizi & Ibn Majah). Maka
kita diajar cara untuk berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim, dalam
firman Allah SWT: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Firaun),
dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut kepada-Ku.
Mereka berdua (Musa dan Harun) berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami
takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau dia akan melampau batas. Allah
berfirman: Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku
mendengar dan melihat segala-galanya. " (Thaha: 20: 44-46)
Mampukah
kita memperkata kebenaran terhadap pemerintah yang zalim atau orang yang
ditakuti mendatangkan mudharat kepada kita? Sekiranya mampu, lakukanlah dengan
baik dan betul caranya. Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang hendak
menasihati pemerintah dengan suatu perkara maka janganlah ia tampakkan di
khalayak ramai. Akan tetapi hendaklah ia mengambil tangan penguasa (raja)
dengan empat mata. Jika ia menerima maka itu (yang diinginkan) dan kalau tidak,
maka sungguh ia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia dan pahala
baginya (orang yang menasihati).” (Hadis Imam Ahmad, Abu Nu’aim)
Kerana
itu banyak kisah-kisah ulama dahulu menasihati pemimpin, agar sentiasa ingat
dan berada di landasan yang betul. Tidak kurang juga mereka terpenjara dan
diseksa hanya kerana berani menyatakan kebenaran.
Sebagai
tambahan, elok kisah ini kita hayati. Seorang lelaki telah datang ke istana
Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, untuk menasihati Khalifah. Di hadapan Harun
al-Rasyid, orang itu mengucapkan kata-kata yang kasar dan pedas. Orang itu
berkata, "Wahai Harun al-Rasyid, selama ini tuan sudah melakukan begini
dan begitu". Ia menyebutkan keburukan-keburukan Harun al-Rasyid. Setelah
selesai mendengarkan perkataan orang itu, Harun al-Rasyid menjawab, "Duhai
saudaraku, apakah kamu lebih baik dari Musa AS?"
Orang
itu menjawab, "Tentu saja, tidak".
Harun
al-Rasyid kembali bertanya, "Apakah saya lebih jahat dari Firaun?"
Orang
itu menjawab, "Tentu saja, tidak".
Harun
al-Rasyid berkata, "Kalau begitu, selama kamu tidak lebih mulia dibanding
Musa AS dan saya tidak lebih jahat dibanding Firaun, maka tidakkah kamu
perhatikan bahwa Allah SWT berfirman kepada Musa, "Kemudian hendaklah kamu
berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat
atau takut kepada-Ku. (Thaha:20:44). Begitulah
jawaban Harun al-Rasyid kepada orang yang menasihatinya.
Bagaimana
pula berkata benar kepada orang yang selalu menolong kita atau yang kita
sayangi? Sebenarnya perkara ini lebih sulit lagi untuk dilakukan. Hanya
orang-orang yang ikhlas dipermudahkan Allah untuk melaksanakannya. Terutama
seorang pemimpin, selalu gagal kepemimpinannya kerana gagal menasihati
pembantu-pembantunya atau pengampu-pengampunya. Lebih-lebih lagi jika telah
terhutang budi. Tetapi bagi mereka yang bertaqwa, takutkan Allah, dipermudahkan
Allah. Sebagaimana kisah Sayidina Umar menegur isterinya yang menerima hadiah
kalung emas dari isteri pembesar Romawi.
Suatu
ketika isteri Khalifah Umar bin Al Khattab mendapat hadiah seutas kalung emas
dari isteri pembesar Romawi. Tetapi ketika kalung itu dipakai, khalifah nampak
tidak senang."Dari mana kalung ini?" tanya Khalifah Umar. "Inikan
hadiah dari isteri pembesar Romawi yang semalam datang ke mari bersama
suaminya...," jawab isterinya. "Kalau begitu kau tidak berhak
memakainya. Hadiah itu harus menjadi milik negara!" sahut Khalifah Umar,
tegas. "Mengapa demikian? Bukankah kalung ini dihadiahkan oleh isteri
pembesar itu untukku dan bukan untuk negara?" jawab isteri khalifah. "Apakah
kalau seandainya aku bukan khalifah, kau juga akan diberi hadiah olehnya?
Tidak! Berapa banyak wanita di Madinah ini. Tetapi tidak seorangpun diberi
hadiah olehnya. Jadi hadiah ini ada hubungan dengan soal kenegaraan...,"
jawab khalifah.
Mendengar
jawapan yang bernas itu, isteri khalifah segera melepaskan rantai emas dari
lehernya. Lalu dengan tersenyum rantai itu diberikan kepada suaminya agar
diserahkan kepada baitulmal.
Marilah
kita renungkan dan muhasabah diri untuk mencari keredhaan Allah SWT dalam
menuju ke penghujung kehidupan dunia berlandaskan yang baik, benar dan betul…
Insyaallah.
No comments:
Post a Comment