Berdoa
merupakan suatu usaha kita untuk meminta bantuan Allah SWT. Segala permintaan
mestilah dipanjatkan kepada-Nya dalam keadaan penuh kesyukuran dan kerendahan
diri, seperti firman Allah SWT dalam surah al-'Araaf ayat ke-55: "Berdoalah
kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan (suara) yang perlahan..." Berikut
amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana InsyaAllah, merupakan jalan yang
baik untuk kita memohon pertolongan Allah SWT. Segala apa yang ada di sini
adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis,
dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.
Waktu-waktu
Mustajab Doa
Satu
pertiga malam
Iaitu
di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana,
di dalam hadis Imam Muslim, Nabi SAW. bersabda, maksudnya: Allah SWT turun dari
Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam,
seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah
di antara hamba-Ku yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku
yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga
malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa
kepada Allah SWT.
Sewaktu
hujan turun
Ketika
ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas. Doa ketika hujan turun... "Allahumma shoyyiban naafi’an"
(“Ya Allah, jadikanlah hujan ini hujan yang membawa manfaat.” - Hadith Riwayat
Bukhari)
Waktu
di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat
Sepertimana
yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan
doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara
individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah
masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai
hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.
Sewaktu
membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat
Oleh
itu nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di
sini, yang akan penulis garapkan di bawah.
Tempoh
masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat,
dan sewaktu masuk ke dalam saf.
Setiap
sujud di dalam setiap waktu solat
Nabi
Muhammad SAW. menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai
sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu
dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat.
Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa
kepada Allah SWT.
Adapun
jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain
bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab
akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk
As-Syafi'e rahimahullah.
Waktu
Dhuha
Waktu
Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat,
dari selepas solat subuh sehingga waktu:
1)
Menurut Nabi Muhammad SAW., bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2)
kKta orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih
kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.
Malahan
di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. InsyaAllah...
Amalan-amalan
Yang Memustajabkan Doa
1.
Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan
amalan-amalan yang wajib.
2.
Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang
penulis jelaskan di atas.
3.
'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.
Seperti
yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik
untuk solat Tahajjud, iaitu, "Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang
Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya,
dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan
kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru
kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun
beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada
kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang
berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau
janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami
pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran
3:192-194] Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah
beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan
doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat
yang terperangkap di dalam gua.
4.
Menghulurkan pertolongan. Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat
dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi SAW,
"Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan
kamu".
5.
Sabar. Sabar dalam menghadapi ujian Allah SWT. Doa orang yang bersabar sangat
didengari Allah SWT.
Doa-doa
Yang Mustajab
1.
Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk
dibacakan ketika memohon pertolongan Allah SWT. Salah satu daripadanya: "Allahumma
inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta,
al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad",
("Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya
aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah
melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan
Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun.")
Doa
ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah SAW. lalu baginda
bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah SWT dengan tauhid-Nya, yang
mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." (Hadis
Hasan riwayat Imam Ahmad)
2.
Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran: "Rabbisyrah
li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy",
bermakna: ("Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku,
dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku.")
3.
Membaca nama-nama Allah SWT, yang berkaitan dengan doa kita. Sebagai contoh, ar-Raazik
(Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur(Maha Pengampun) jika
memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar
(Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain. Bahkan afdhal juga
jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana
sabda nabi SAW, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang
menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan
itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.
4.
Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa
'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa
min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya: ("Ya Allah ya
tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung
denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang
hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal")
Sungguh
jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang
terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada
mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita
tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa
ibadah baginda SAW. adalah ibadah yang paling sempurna. Penulis mengharapkan
agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi SAW., dan kembali
mengikuti cara dan saranan baginda di dalam beribadah, agar doa kita tergolong
di dalam doa-doa yang mustajab.
- Artikel iluvislam
No comments:
Post a Comment