Sebagai
tatapan betapa benar dan halusnya didikan manusia teragung. Semoga kelak,
berjaya diamalkan. Insya-Allah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta
para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat
yang dirahmati Allah, Di dalam kehidupan kita seharian ada perkara yang perlu
kita segerakan untuk dilaksanakan dan ada pula perkara yang perlu dijauhi dan
ditinggalkan. Setiap perkara yang ditegah atau dilarang sebenarnya terdapat
beberapa hikmah dan kebaikan sama ada berbentuk luaran, (fizikal) atau dalaman
(hati dan jiwa). Terdapat 20 perkara yang patut dijauhi. Perkara tersebut
adalah seperti berikut :
Pertama:
Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau
tertidur akan dimaafkan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Yang membezakan
(seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat”. (Hadis
Riwayat Muslim). Firman Allah SWT, maksudnya: “Kecelakaanlah bagi orang yang
solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4-5).
Kedua:
Jangan masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut
kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita. Perlu biasakan
memakai selipar atau terompah apabila masuk ke dalam tandas atau bilik air
untuk menjaga kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil wuduk, supaya
najis tidak dibawa keluar daripada bilik air.
Ketiga:
Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia
membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman. Di
dalam kitab Sunan Abu Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri RA bahawa
dia mengkhabarkan: “Rasulullah SAW melarang minum dari bahagian cawan yang
pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum.” Jika cawan atau pingan kita
retak , pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja dan jangan digunakan
lagi.
Ini
termasuk etika yang diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum, sebab minum
melalui bahagian cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa bahaya:
1.
Kotoran yang biasanya ada di permukaan air, akan berkumpul di bahagian cawan
yang sumbing. Kerana tidak ikut dibersihkan ketika dicuci, tidak sebagaimana
cawan yang masih baik.
2.
Boleh mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau
pecah tidak boleh dilakukan dengan baik.
3.
Bahagian yang sumbing adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu bahagian
yang paling tidak bagus hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang
masih baik, sebab bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada
kebaikannya.
4.
Boleh jadi bahagian yang pecah itu mempunyai belahan atau bahagian yang runcing
yang boleh melukai mulut orang yang minum melalui bahagian tersebut.
Adapun
bernafas dalam air ketika minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada
air minum yang tidak disukai orang lain. Umumnya, nafas orang yang minum akan
bercampur ke dalam air tersebut. Justeru, Rasulullah SAW menggabungkan antara
larangan meniup air dan larangan bernafas dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan
dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas bahawa ia mengkhabarkan: “Rasulullah
melarang meniup air dan bernafas dalam air minum.”
Keempat
: Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak dibasuh. Makruh dan
mewarisi kepapaan. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan
bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisa-sisa makanan yang
dibiarkan di dalam bekas makanan semalaman tanpa dibersihkan adalah menjadi
habuan syaitan, kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk. Islam
menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan menjauhkan diri
daripada perkara yang boleh mendatangkan penyakit. Dari ‘Amr bin Syu’aib:
‘Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas
kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan
kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis
Riwayat Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)
Kelima:
Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu
membuka pintu rezeki dan keberkatan). Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah
melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, “Bangun!
Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?”. Rasulullah SAW tidak
tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang
berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi: (Ya Allah, berkatilah umatku yang
berpagi-pagi). Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat Subuh.
Telah
thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati
umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg
empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang
sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda: “Wahai anakku,
bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan
orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara
terbit fajar hingga terbit matahari.” (Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)
Berkata
Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath: “Berpagi-pagilah
(subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan
kejayaan.” Oleh itu para fuqaha’ menetapkan makruh tidur selepas solat Subuh,
dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat
Subuh dan Asar.
Keenam:
Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita akan
dikongsi syaitan. Dari ‘Amr bin Abu Salamah radhiallahu ‘anhuma, katanya:
“Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan
tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu.” (Muttafaq
‘alaih). Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi RA, katanya: “Rasulullah SAW (pada
suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak
mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap
saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya,
tiba-tiba dia mengucapkan: ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu.’ Kemudian Nabi
SAW. ketawa lalu bersabda: “Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama
orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah
membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah
ada dalam perutnya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Nasa’i)
Ketujuh:
Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati
dalam perjalanan dengan niat yang tidak baik. Membaca doa bila hendak keluar
daripada rumah. “Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa
billah”. Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak
ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan
Nasai). Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah,
serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan
niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.
Kelapan:
Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai
sebelah sahaja. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Jika engkau memakai kasutmu,
mulailah dengan kaki kanan. Jika engkau menanggalkan kasutmu, mulailah dengan
kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan sebelah kiri mula
menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut. Tanggalkan
kedua-duanya atau pakai kedua-duanya” (Silsilah as-Shahihah Albani)
Kesembilan:
Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa. Allah
SWT berfirman maksudnya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar
mereka menundukkan pandangan mata (terhadap wanita), dan memelihara akan
kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah
amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita
yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya,
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak
daripadanya.”( Surah An-Nur ayat 30-31 )
Kesepuluh:
Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai
mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat
Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Kesebelas:
Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila
masa. Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada
Allah: “Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu
mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa
kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu
dengan-Nya, (dengan) memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah).” Justeru itu
bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT perlulah dibuat secara
berterusan tanpa henti.Taubat haruslah diperbaharui dari semasa ke semasa. Ini
kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, sama ada besar atau
kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak dalam menunaikan
hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu
pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.
Kedua
belas: Jangan ego (sombong) untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah. Sifat orang mukmin akan sentiasa meminta maaf dan
merendahkan diri terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa memberi khidmat terbaik
terutama apabila mereka menjangkau usia tua yang uzur. Begitu juga sifat orang
mukmin yang suka meminta maaf kepada siapa sahaja orang lain yang dirasakan
bersalah. Di dalam surah al-Isra’, firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu
telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika
salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka
(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uf”, dan janganlah engkau
menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang
mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)
Dari
Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang
menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang
mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari
sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan
memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya
wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia
mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan
aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak
mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta
dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Ketiga
belas: Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan dan
hilang bahagia. Dari Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah bersabda
yang bermaksud, “Tahukah kamu apakah ghibah? Jawab sahabat, “Allah dan Rasul
yang lebih mengetahui. ” Maka Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , “Ghibah itu
jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu
disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghibah.” Lalu
Rasulullah SAW ditanya,” Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? “Jawab
Rasulullah SAW ” Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghibah. Tetapi
jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang
lain).
Keempat
belas: Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita
sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula. Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada
Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
(Surah al-Thalaq ayat 3).
Kelima
belas: Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah
SWT dan kematian yang buruk. Rasulullah SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil
lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Hadis Riwayat Al
Khatib). Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Sungguh sedekah itu akan
memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul
khatimah).” (Hadis Riwayat al-Tirmizi). Dari Abu Hurairah RA, bahwa
sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda: “Apabila mati anak adam maka
terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan
anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”(Hadis Riwayat Bukhari).
Nabi
SAW bersabda maksudnya: “ Sesiapa yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya
daripada api neraka hendaklah ia bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma,
dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan
yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)
Keenam
belas: Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa. Suatu ketika, Rasulullah SAW
berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda
yang bermaksud: “Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika
kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit
ketawa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah). Dalam hadis lain, Rasulullah
SAW mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda baginda yang bermaksud: “Terlalu
banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita.”
Ketujuh
belas: Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan
menghilangkan kasih orang kepada kita. Rasulullah S.A.W. bersabda kepada
Sayyidina Ali k.wajhah. yang bermaksud: “Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun
hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat
di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu
kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari.”
Nabi
SAW. bersabda maksudnya: “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat
perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya
salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi
amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia
mungkiri dan apabila berdebat ia curang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459,
3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash RA)
Kelapan
belas: Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya
cepat dimakbulkan Allah SWT. Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi difitnah
sungguh mustajab di sisi Allah SWT. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya: “Hendaklah
kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir.
Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh
Allah.”(Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan) Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW
bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi.
Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke
udara.”(Hadis riwayat Hakim – sanad sahih)
Kesembilan
belas: Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama
dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya. Ingatlah! Dunia tempat
menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menuai memanglah susah, tidak semudah
waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati
kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu
menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Anggaplah kesukaran di dunia adalah
bersifat sementara dan jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah.
Allah
SWT. berfirman yang bermaksud: “… dan janganlah kamu berputus asa daripada
rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat
dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf, ayat 87). Sabda
Nabi SAW maksudnya; “Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan,
diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak
menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh
dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya. “
Kedua
puluh: Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya
untuk keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba
ciptaanNya. Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu
juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita
hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga
terjerumus ke lembah kebinasaan.
Rasulullah
SAW bersabda, maksudnya: “Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada
Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil ketika suka dan
marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang
membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang
dengan dirinya sendiri.”(Hadis Riwayat Abu Syeikh)
Marilah
sama-sama kita tinggalkan dan jauhi 20 perkara keburukan semata-maat untuk
mencari keredaan Allah SWT. Hidup di dunia adalah sementara dan akhiratlah kehidupan
yang kekal abadi. Pertingkatkanlah amal-amal soleh kita dan jauhi kemugkaran,
maksiat, perkara syubhat dan makruh supaya kita menjadi mukmin yang bertakwa
dan dikasihi oleh Allah SWT.
Dipetik dari lukisanduniaku
No comments:
Post a Comment