DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, January 16, 2013

Mencari Khusyu'


Ibadah yang tertinggi adalah solat. Ia penentu kualiti hidup seorang Muslim. Solat itu sangat susah untuk dilakukan kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ hatinya dan sabar sifatnya. Tidak munafikkah kita setiap kali solat menyebut “Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam..” sedangkan fikiran melayang kepada yang lain.
“Solat yang khusyu’ itu adalah apabila kita merasa manisnya sujud itu lebih enak dari tidur. Ingatlah Allah tidak menerima solat kecuali kita menghadhirkan hati kita kepadaNya dalam solat yg khusyu’” Rasa malu dengan Allah, rasa kesal, rasa takut, rasa gelisah, semua bercampur-baur mengenangkan kualiti solat yang telah dilakukan selama ini. “Jangan cari khusyu’ tetapi carilah Allah, kita akan menemui khusyu’ itu. Allah berada sangat hampir dengan kita. Kita saja yg menjauhkan diri dariNya. Pada saat kita merasa Dia ada, di situlah datangnya khusyu’.

Air wudhu’ adalah haidrotrapi yang mujarab menyegarkan sel-sel otak apabila kepala disiram sebagaimana pokok yang layu menerima air. Rasa dingin air di kepala yang keletihan punya kesan yang menakjubkan yang hanya diberikan kepada orang Islam.

Mengangkat tangan dalam takbir tanda penyerahan total kepada Allah sambil mata tunduk ke bawah tanda pengakuan yang hamba Allah ini sedia menerima apa saja arahan dari Penciptanya. Setiap nadi dan sel setia bertasbih kepada Allah. Dalam solat khusyu jiwa kembali mengikut fitrah sebenarnya iaitu sama-sama bertasbih kepada Allah. Waktu ini roh dan jasad dalam keadaan sama rentak sama irama bertasbih kepada Pencipta Yang Maha Hebat. Kerana kasihNya Allah kepada ummat Muhammad SAW. kita diberikan surah AlFatihah yang tidak diberikan kepada ummat yang lain untuk dibaca setiap rakaat. Setiap ayat yang dibaca dijawab sendiri oleh Allah. Bagaimana mungkin kita sanggup menyia-nyiakan anugerah sebesar ini kecuali mereka yang tidak merasa manisnya solat.

Setiap permulaan gerakan solat dilakukan thama’ninah sebagai persiapan untuk mempersembahkan sebutan yang terbaik dan sempurna sebagaimana layaknya ucapan hamba kepada Khaliqnya, tidak tergopoh gapah tidak terburu-buru mengejar urusan dunia.

Saat ruku’, otak, paru-paru, jantung dan perut dalam kedudukan sejajar. Hati yang bersih membawa fikiran yang bersih ke otak. Ia dibantu oleh jantung yang mengepam darah beroksigen ke badan dan otak dan mengambil darah yang sudah digunakan bagi mengeluarkan karbon dioksida melalui paru-paru. Pengepaman darah membantu menolak kekotoran salurnya. Sistem saraf tunjang dalam keadaan sempurna menghubungkan impuls dari anggota badan kepada sistem otak. Waktu itu kita ucapkan,”Maha suci Tuhanku Yang Maha Agung….” dengan rasa takjub atas ciptaan Allah yang tidak lalai walau sesaat pun mengatur alam dari pergarakan zarah yang sangat halus sehingga ciptaanNya yang besar di angkasa raya. Pandangan mata yang lemah ini tidak dapat melihat semua itu, tetapi kita punya mata hati untuk memerhatikannya tanpa had. Ucapan itu disebut perlahan-lahan supaya hati dapat merasa getaran makna ucapan itu.

Rasulullah SAW solat dengan menyempurnakan setiap gerakan solat sehingga para sahabat yang menjadi makmum dibelakang pernah menyangka Rasulullah SAW terlupa untuk bangun dari ruku’ dan sujud dan untuk sujud apabila berdiri kerana masa yang lama baginda gunakan untuk setiap satunya. Baginda menjawab rasa hairan sahabatnya dengan berkata, ”Bagaimana aku mahu sujud sedangkan aku belum sempurna mempersiapkan diriku untuk sujud kepada Tuhanku. Bagaimana aku mahu bangun sedangkan aku belum sempurna sujud kepada Tuhanku.”
Waktu sujud otak yang biasa berada paling atas turun berada di tempat paling bawah bagi melatih rasa zuhud dengan membuang segala perasaan hebat diri yang merosakkan nilai seorang hamba. Seluruh jiwa dan raga diserahkan sepenuhnya kepada Pencipta Yang Maha Tinggi. Pada saat itu kita merayu untuk diiktiraf sebagai hamba yang amat memerlukan Tuhannya. Kita tidak punya apa-apa upaya tanpa bantuan dan kasih sayangNya.

Sewaktu duduk antara sujud, Allah dengan sifatNya yang penuh dengan rahmah menyuruh kita meminta apa saja dan Rasullullah mengajarkan doa, ” Ya Allah, ampunilah daku…Rahmatilah daku….kayakan daku… angkatlah darjatku di sisiMu…berikan aku rezeki… .berilah aku hidayah. Sihatkanlah daku dan Maafkanlah akan daku.” Ia dibaca dengan tenang, satu-persatu, penuh harapan dan yakin bahawa Allah sedang mendengar doa kita.

Gerakan yang betul dalam solat boleh menyembuhkan penyakit termasuk penyakit kronik namun itu bukanlah matlamat solat. Solat untuk medekatkan diri pada Allah dan sebagai bonus untuk jasad kita diberikan ganjaran kesihatan. Rasulullah SAW. pernah suatu ketika merasa amat letih lalu memanggil Bilal, “Laungkanlah azan wahai Bilal. Aku mahu merehatkan diriku dengan solat.”

Solat khusyu’ mendidik jiwa membelai jasad agar keduanya berjalan seiring mengikut fitrah asalnya. Nikmat solat kita sia-siakan dan kita mencari yang lain untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Setelah memerhatikan semua itu hati kita mengakui; SUBAHANALLAH! Tiada lagi nikmat Allah yang mampu kita nafikan kini”
Solat – amalan hati – melaksanaan penyempurnaan dan mencari khusyu’ yang hakiki;
- Kata Al Ghazaly – Orang yang tidak khusyu’ di dalam solat adalah sia sia belaka kerana tidak merasa gerun ketika melakukan keji dan mungkar. Solat adalah munajat ( berbisik) seseorang dengan Allah.
- Seseorang yang tidak khusyu’ samalah seperti seseorang yang mengigau dalam tidur.
- Khusyu’ dalam solat adalh roh kepada solat. Tanpa khusyu’ seumpama menyembahkan sesuatu yang tidak bernyawa kepada Allah. Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. iaitu mereka yang khusyu didalam solat mereka.

Mencari khusyu’ - Secara ringkasnya ada enam perkara ;
01. Hudhur al Qalbi (hadhir hati)
02. Tafahhum ( Memahami bacaan).
03. Atta’zim ( Membesarkan Allah)
04. Al Haibah ( Gerun dengan kehebatan)
05. Al Khauf wa Arraja’ (Takut dan Mengharap)
06. Alhaya’ ( Malu)

a)Sebelum solat.- Bersedia dan menanti menunaikan solat.- Menyahut seruan azan seumpama dipaksa hadhir ketika panggilan perhimpunan mahsyar. - Berwudhu dengan sempurna- elakkan pembaziran.

b) Ketika solat - Berdiri dengan kehinaan- Bayangkan berdiri di mahsyar.penuh kehinaan.
- Takbiratul ihram dengan membesarkan Allah. Buangkan ingatan perkara lain kerana mengingati perkara lain beerti membesarkan selain Allah.
- Hanifan Musliman dalam Iftitah- Pengakuan sebagai muslim yang menghadap seluruh hidup sebagai ibadah.
- Himmah (kemahuan/ semangat) dalam solat.
- Fatihah – dialog dengan Allah.
- Membatasi pandangan.
- Solat dalam keadaan merasa diri bersalah.
- Ruku’ dan sujud dalam keadaan penyerahan diri yang bersalah.Mengingati asal kejadian dari tanah ketika sujud.
- Mengulangi tasbih agar hati lembut sambil memahami ungkapan tasbih.
- Sujud sebagi sujud terakhir dalam hidup.
- Membayangkan Rasulullah di hadapan ketika tasyahhud- Salam ke atas nabi.Tajrid atau mengosongkan selain dari memberi ruang Rasulullah hadir didalam hati sebagai sesuatu yang lebih penting.
- Solat seumpama meninjau negeri akhirat.

c) Selepas Solat- Mengharapkan dapat hidup untuk solat yang seterusnya.

SEMOGA KITA DIKURNIAKAN SOLAT YANG KHUSYU’

No comments: