DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, January 1, 2013

Mengorak Langkah


Semestinya untuk melakukan sesuatu perubahan kearah kebaikkan adalah sukar apatah lagi untuk meng'istiqamah'kan kebaikkan tersebut. Ianya sangat-sangat sukar dan memerlukan pengorbanan yang cukup signifikan bagi merealisasikan perkataan mujahadah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Illahi, kerana tidak putus-putus dihadirkan peringatan untuk membangunkan diri. Dalam menghadapi realiti kehidupan, pelbagai ujian yang akan bertandang. Adakala senang, adakala susah, terlalu sukar sekali untuk kita melupakan waktu getir dalam kehidupan. Sudah sunnatullah begitulah aturan kehidupan. Setiap hari ada sahaja perkara baru terjadi dan setiap hari juga kita tinggalkan setiap yang baharu kita tempuhi. Justeru, sudahkah digerakkan azam-azam yang kita taburkan. Ini peringatan untuk diri kita semua. Tahun Baru Masihi menjelang lagi, apakah kita masih berazam atau sudah melaksanakan azam. Sungguh ini satu peringatan apakah kita masih leka dengan azam yang akhirnya tinggal azam dan kita tetap ditahap yang sama seperti sebelumnya
 
Apa yang kita tunggu dan tangguh lagi? Ayuh bergerak !!! Saat ini, capailah sehelai kertas mahupun diari peribadi. Tulislah azam kita. Biar dihitam putihkan. Senang untuk kita menilai sejauh mana pelaksanaannya. Barulah kita dapat mengukur kejayaan. Setiap azam dan cita-cita perlu ada cara mengerakkan dan menguruskannya. Langkah-langkah yang perlu ada antaranya ialah, merancang, melaksanakan dan akhirnya penilaian. Tanpa ketiga-tiga langkah ini, sia-sia kita berazam. Ingat, hidup ini perlu ada penyusunan dan perancang! Strategi itu penting untuk membawa diri kepada matlamat yang diimpikan. Azam itu biarlah 'relevant' dan mampu untuk dicapai, selagi mana ada jalan, di situ ada peluang.

Merancang kehidupan untuk menjadi insan yang dikasihi Allah dan disayangi seluruh makhluk di langit dan di bumi sudah pasti menuntut pengorbanan dan perubahan. Dan dari situlah, bermulanya sebuah perjuangan. Pertembungan nafsu dan Iman. Firman Alla SWT: "Dan diantara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha penyantun pada hamba-hamba-Nya" (Al-Baqarah:207)

Mengapa nafsu dan Iman? Cuba kita lihat dan perhati. Saat kita ingin belajar, ingin benar menjadi pelajar cemerlang, kita dilanda kemalasan yang bersangatan. Itu bisikan nafsu bukan, mahu bersenang-lenang. Saat kita ingin beribadah, ingin menunaikan solat, ingin membaca Al-Quran, saat itulah kita lebih enak memilih tidur. Liat sungguh untuk bangun dari mimpi indah. Saat diajak ke usrah, saat itulah hati berat untuk pergi kerana masih banyak filem dan drama yang perlu ditontoni. Itulah pertembungan nafsu dan iman. Hakikatnya inilah ragam dan pertembungan yang berlaku. Akhirnya penyesalan yang tiada makna melanda diri akibat perbuatan dan pilihan sendiri.
Sebelum kaki jauh mengorak langkah, apa kata kita menyelusuri terlebih dahulu definisi mujahadah. Erti mujahadah menurut bahasa adalah perang, menurut aturan syara’ adalah perang melawan musuh-musuh Allah, dan menurut istilah ahli hakikat adalah memerangi nafsu amarah dan memberi beban kepadanya untuk melakukan sesuatu yang berat baginya yang sesuai dengan aturan syara’ (agama). Sebagian Ulama mengatakan : "Mujahadah adalah tidak menuruti kehendak nafsu”, dan ada lagi yang mengatakan: “Mujahadah adalah menahan nafsu dari kesenangannya”.

Intipati yang dapat kita petik dari definisi tersebut mujahadah adalah satu peperangan. Atau dengan kata lain, berperang dengan hawa nafsu kita sendiri. Justeru itu, mujahadah bukanlah sesuatu yang mudah sebagaimana mudahnya dilafazkan dibibir. Apatah lagi dilafazkan oleh lidah yang tidak bertulang. Kendati pun begitu, mujahadah tidaklah begitu sukar sekiranya kita memahami konsepnya terlebih dahulu dan mengambil langkah yang betul sebelum memulakan tindakan. Bak kata pepatah ‘yang pipih tidak akan datang melayang, yang bulat tidak datang menggolek’.

Idealnya, mujahadah dapat diimplementasikan dengan melaksanakan rukun-rukun mujahadah;

1. Ber’uzlah - Beruzlah bermaksud menyendiri. Walaubagaimanapun menyendiri di sini bukanlah bermaksud menjauhkan diri daripada masyarakat sepertimana yang dilarang di dalam Islam. ‘Uzlah di sini bertujuan bersendirian dan memuhasabah diri untuk membersihkan jiwa dan hati dari segala noda-noda hitam yang bertapak dalam hati. Iaitu merenung kembali segala dosa-dosa dan kesilapan yang dilakukan. Dan menginsafi akan dosa-dosa tersebut.

2. Diam - Dari Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bertemu Abu Zar RA Baginda SAW telah bersabda: “Abu Zar! Mahukah aku khabarkan kepadamu dua perkara yang mana mengamalkannya adalah terlalu mudah dan sangat berat pada neraca timbangan berbanding amalan lain?” Abu Zar RA telah berkata: “Ya Rasulullah SAW khabarkanlah.” Baginda SAW bersabda: “Biasakanlah diri untuk berakhlak mulia dan berdiam diri. Demi zat jiwa Muhammad SAW ditangannya! Tidak ada amalan yang dilakukan oleh semua makhluk yang sebaik kedua-dua amalan ini.”[Hadis riwayat Baihaqi] Ini kerana semakin lantang kita berbicara semakin banyak hati yang terluka. Semakin rancak kita bercakap makin terbilang kesilapan kita. Namun, berbicara yang dimaksudkan disini adalah omong-omong kosong. Tanpa ada matlamat dan tujuan yang jelas.
3.Menahan Lapar - Sabda Rasulullah SAW: “Ke atas kamu semua(digalakkan) dengan kesedihan sesungguhnya dengan kesedihan itu membuka (menyedarkan) hati. Maka mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah sedih itu? Bersabda nabi SAW: “Tundukkan jiwa kamu semua dengan berlapar dan dahaga.”[Hadis riwayat At-Tabrani] Sekilas imbas, bagaimanakah keadaan kita disaat kita berpuasa? Penat? Lesu? Tak bermaya? Sesungguhnya dalam keadaan kita berpuasa badan kita menjadi kurang bertenaga selari jualah dengan nafsu kita. Oleh itu, dalam keadaan kita tidak terlalu kekenyangan, kita mampu menjinakkan nafsu-nafsu kita yang liar. Walaupun mungkin tidak seratus peratus tetapi sekurang-kurangnya dapat meminimakan keaktifannya.

4.Berjaga malam - “Sesungguhnya bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan.”[Surah Al-Muzzammil:6] Apabila batin kita terisi dengan cintaNya In Shaa Allah! Pasti jalan mujahadah kita dapat berjalan dengan lancar dan mudah. Ini kerana, sehebat mana pun kita, siapa pun kita… andainya lupa untuk bersujud kepadaNya. Maka tidak akan berguna sama sekali. Walhal kita merancang dengan hebat tetapi tanpa memohon kepadaNya maka semua itu tidak akan berlaku.

Sebagai kesimpulannya, benar! bukan mudah untuk mujahadah. Bukan mudah untuk berperang dengan bisikan nafsu syaitan. Pelbagai ujian perlu ditempuh. Namun begitu, susah tidak bermakna kita tidak mampu. Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya dengan sesuatu yang tak sanggup kita hadapi. Allah lebih mengetahui tentang diri kita. Allah selalu beri yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

No comments: