DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, January 2, 2013

Bila Hati Buta


Kalau kita sakit seperti demam, batuk dan sebagainya kita akan mencari ubat di farmasi, klinik, homeopati atau hospital. Tapi kalau hati kita sakit, apa pula rawatannya. Pernahkah kita rasa hati kita sakit? Kalau hati sakit, apa akan jadi? Kata Imam al Ghazali, hati adalah raja. Hatilah penentu kecerdasan iman dan takwa kita. Pada diri manusia terdapat tiga kekuatan yang dibekalkan Allah untuk menghadapi kerasnya ujian di dunia. Selain akal fikiran yang cerdas, tubuh badan yang sihat dan hati yang berfungsi sebagai pengeluar bermacam-macam perasaan, ada benci, rindu, kasih sayang, dendam, sedih, gembira yang kesemuanya mengawal gerak tubuh manusia. Kecerdasan akal tidak akan sempurna tanpa hati yang cerdas. Berapa banyak orang cerdik pandai jadi sampah masyarakat kerana ilmu yang dimiliki dikawal oleh hati yang rosak sehingga dengan ilmunya ia banyak memudaratkan orang. Demikian juga kekuatan tubuh badan tidak akan sempurna kecuali dengan hati yang kuat. Jika hati sihat nescaya tidak ada fenomena penganggur yang berbadan sihat. Betapa berpengaruhnya hati pada diri manusia.
Allah SWT amat memberikan perhatian kepada hati. Al Quran menggunakan istilah qalb (hati) sebanyak 132 kali, makna dasar kata itu ialah membalik, kembali, berubah atau naik-turun. Sesuai dengan latar belakangnya hati mempunyai sifat yang selalu berubah, sebab hati adalah nukleus dari kebaikan dan kejahatan, kebenaran dan kesalahan. Hati kita unik, boleh jadi kuat, dinamik, juga boleh sakit dan menjadi buta. Firman Allah SWT: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj:46)

Inilah yang menjadi masalah kepada hati manusia tatkala hatinya sudah menjadi buta. Tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Maka amat penting bagi kita untuk sentiasa menjaga dan merawat hati kita agar jangan sampai buta. Cuba kita pejamkan sebentar mata kita. Apa yang kita nampak? Gelapkan? Sekarang cuba berjalan ke hadapan. Apa perasaan kita? Takut tersungkur atau terlanggar sesuatu? Susah bukan apabila mata buta. Selama ini boleh melihat dan memandang, tapi bila gelap kita akan rasa tidak selesa. Sekarang bayangkan kalau hati kita pula yang buta? Tidak mendapat petunjuk, hidayah dan kasih sayang Allah. Agaknya jika terus berjalan dalam keadaan hati buta, sudah banyak mana peraturan dan perintah Allah telah kita langgar? Makin parah walaupun hatinya sudah buta dan tersungkur di pintu neraka, dia masih tidak dapat merasai apa-apa pun. Bahkan dia terus berjalan dengan kesombongan dan keegoan menghimpun dosa-dosanya. Agaknya bagaimana pula keadaan kita apabila hati kita bukan sahaja buta, tetapi sudah mati?

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah Kami sediakan untuk penghuni neraka dari golongan jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah, mereka mempunyai mata, tetapi tidak dipergunakan untuk melihat, mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak , bahkan lebih sesat lagi. Mereka adalah orang-orang yang alpa (tidak berzikir)” (Al-A’raf:17 ) “Sesiapa yang buta di dunia buta juga di akhirat”.(Surah Bani Israil, ayat 72).

Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat. Firman Allah: “Bukan matanya yang buta tetapi hatinya yang di dalam dada”. (Surah Hajj, ayat 46). Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuat seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilam terhadap hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilam ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.
Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu dia perlu menyucikan dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan usaha dan keberanian, melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya. Hanya selepas itu baharu kita ingat akan kediaman kita yang sebenar yang darinya kita datang. Kemudian kita akan ada rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada diri kita akan menyatu dengan-Nya.

Hati mempunyai dua mata, satu yang sempat dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempat seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak. Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam kehidupan ini kita mestilah membersihkan diri kita daripada sifat-sifat keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kita mengembara di dalam kenaikan kita ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana kita mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri kita.

Pernahkah kita berfikir mengapakah kadang kala kita rasakan sangat susah hendak mengikut apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.Mengapakah kita sangat susah hendak menghafal ayat-ayat Quran dan kalau dapat hafal,kita mudah pula lupa.Inilah tanda-tanda hati kita yang lemah atau masih samar bahkan boleh dikatakan buta.Apakah pula yang menyebabkan jadi begini. Allah berfirman: Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan padamu dari tuhanmu itu benar-benar sama dengan orang buta?Hanyalah orang yang berakal sahaja dapat mengambil pelajaran - Ar Raad ayat 19

Dalam hati mereka ada bintik-bintik hitam. Akhirnya bintik-bintik hitam itu akan menutup hati.Merekalah orang yang hatinya,pendengaran dan penglihatan telah dikunci mati oleh Allah dan mereka itulah orang yang lalai. An Nahl ayat 108 Hadis dari Umar Al Khatab Nabi bersabda: Cap menutup hati tergantung di kaki Arasy, maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati itu lalu pelanggar dikenakan cap itu.
Bila hati telah buta,telah dikunci oleh Allah,seseorang itu tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menerima kebenaran dari Allah. Begitulah hati orang-orang kafir dan orang-orang munafik yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Umat Islam juga ada yang masih buta hati.Umpamanya orang yang masih melakukan dosa.Orang yang membuat dosa ialah orang yang tidak takut pada Allah dan orang yang tidak takut pada Allah ialah orang yang tidak mengenal Allah dan orang yang tidak mengenal Allah ialah orang yang hatinya telah buta. Bila hati telah buta,timbullah berbagai penyakit hati seperti riak, sombong, pemarah , hasad dengki, dendam, buruk sangka dan lain-lain. 

Langkah pertama untuk mengubat penyakit buta hati ini ialah dengan meneliti hadis Rasulullah: Hati ditempa dengan apa yang dimakan. Hati kita adalah seketul darah yang mengandungi sel darah merah dan zat-zat yangasalnya dari makanan.Jika bersih makanan kita maka akan bersihlah hati tersebut.Sebaliknya jika makanan itu dari sumber yang haram atau syubahat maka hati juga menjadi kotor. Sabda Rasulullah: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging.Bila baik daging itu,maka baiklah seluruh anggotanya dan seluruh jasadnya.Jika buruk dan jahat daging itu maka akan jahatlah seluruh jasad.Ketahuilah itulah hati. Firman Allah: Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kita beriman kepadanya. - Al Maidah. Marilah kita menjaga hati kita dengan mengelak dari memakan makanan yang haram. Antara langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah: 

1. Jangan makan makanan yang zatnya haram seperti arak,atau makanan yang dicampur arak,makanan yang mengandungi bahan yang haram seperti gelatin dan lesitin yang diperolehi dari kulit binatang terutama babi dan sebagainya.

2. Jangan makan benda yang bernajis sama ada sifatnya najis atau kerana cara mencuci yang tidak betul menyebabkan ia bernajis.Contohnya daging yang baru disembelih yang bercampur darah dan najis yang terus direbus tanpa mencucinya terlebih dahulu.

3. Janganlah makan makanan terutama daging yang diragui sembelihannya seperti ayam yang dijual oleh orang bukan Islam di supermarket.Ini kerana orang kafir tidak peduli hal haram halal dan tidak peduli najis atau tidak.Tanda halal yang mereka perolehi mungkin hanya sebagai perakuan sahaja tetapi hakikatnya tidak halal.

4. Janganlah makan makanan yang dibeli dari wang yang haram.Wang yang haram adalah seperti dari sumber rasuah, curi, tipu, hasil perjudian, wang bunga atau faedah bank yang bukan dan sebagainya.

Untuk dapat memiliki kecerdasan dan kekuatan hati yang sentiasa menyala hendaklah dipastikan agar pintunya selalu terbuka untuk mendapat hidayah Allah. Ada hidayah Allah yang dicurah pada tasik hati manusia. Jika mereka menutup pintunya maka hidayah itu tidak dapat meresapi dasar hati

Pertama, Buka pintu hati ketika ilmu Allah datang. Jangan tutup pintu hati ketika ilmu datang, terimalah kebenaran itu dengan sikap ketaatan mutlak kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Amalkanlah apa yang kita pelajari kerana ilmu Allah itu bukan untuk makanan otak sahaja tetapi ia lebih diperlukan oleh hati orang beriman, kerana tanpanya hati akan mati. Jangan beralasan bahawa belum masanya kita berubah, kenapa biarkan hati terhijab oleh nafsu dan kepentingan diri? Allah SWT berfirman: ” Tidaklah patut orang yang beriman apabila datang ketentuan Allah dan Rasul-Nya mereka mengambil hukum yang lain daripada itu

Kedua, Buka pintu hati ketika sahabat yang salih dan salihah ingin berkenalan.
Jangan memisahkan diri dengan orang yang mengingatkan kita kepada Allah. Terimalah nasihat orang-orang yang salih dengan hati terbuka

Ketiga, Buka pintu Hati ketika gerak taubat semakin kuat, jangan ditunda lagi. Ilmu yang merupakan hidayah dari Allah dan sahabat yang menguatkan iman kita rupanya belumlah cukup untuk memperbaiki diri kita selagimana dorongan hasrat tidak benar-benar kuat. Orang yang menunda taubat biasanya berfikir masih ada modal untuknya menyelamatkan diri iaitu masa.
Hati yang cerdas dan kuat adalah hati yang memiliki sensitiviti yang tinggi dengan dosa dan maksiat. Perasaan bersalah dan kemurungan akan berlaku apabila berbuat dosa. Sedih bila terlepas sembahyang subuh, murung apabila tidak sempat membaca al-Quran. Risau apabila terlepas lidah mengumpat kawan, takut dengan dosa hari ini dan pilu dengan amal yang sedikit.
Begitulah kata hati yang sihat dan selamat sesuai dengan firman Allah SWT: ”Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak kecuali siapa yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih). (Al-Syuara: 88-89)

No comments: