DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, December 11, 2012

Hargai Suami


Mesej kepada isteri2 dan juga bakal isteri….
SAYANGI DAN BERSYUKURLAH DENGAN KEHADIRAN SEORANG YANG BERGELAR SUAMI !!!!

SUATU PERJALANAN
“Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan.”

Teringat pesan ayah di suatu petang..; “Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Bandar cari nasi goreng kampong. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati,”

Ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak. Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.

SILAP ISTERI
Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud: “Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka” Seorang wanita lalu bangun bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?”

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:
1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.”

Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah.. Marah marak menyala benci.

YANG LEBIH, YANG KURANG
“Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa,” luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata. “Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap,” jawab saya supaya dia buka mata.
“ Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia.” pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ‘memandang tinggi’ kehadiran seorang suami.

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU
“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi..” Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi. Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, “Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini.”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

“The only real mistake is the one from which we learn nothing…”

Monday, December 10, 2012

Berkenalan dengan Imam Syafie


Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Muttholib ibn Abdu Manaf.
Nasab keturunan dengan Nabi Muhammad SAW: melalui datuk baginda Abdu Manaf dan melalui nasab ibu kepada Imam Syafie, Fatimah binti Abdullah ibn Hasan ibn Hussin ibn Ali ibn Abi Talib. Hubungan nasab ini diakui jumhur ulamak.

Lahir: Tahun 150 H di Ghazzah, Palestin.

Kehidupan: Beliau membesar di dalam keluarga yang fakir di Palestin. Bapanya meninggal ketika Imam Syafie kecil lagi. Ketika berumur 2 tahun ibunya telah membawa ke Kota Makkah untuk berjumpa dengan saudara mara beliau dari keturunan yang dihormati.

Ketika Imam Syafie berumur 7 tahun, beliau telah pun menghafaz Al Quran dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah SAW. Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa Arab fushah. Di usia mudanya, beliau menuntut ilmu dari ramai fuqaha' di Makkah sehinggakan beliau diminta untuk memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah agama. Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah di ceritakan bahawa setiap malam beliau membahagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Imam Syafie kerap berhijrah ke luar negara untuk mengutip mutiara ilmu dari ramai ulamak yang tersohor pada masa itu. Beliau pergi ke Madinah Al Munawwarah untuk berjumpa dengan Imam Malik dan tinggal bersamanya sehingga ke penghujung hayat Imam Malik. Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 H.

Setelah itu Imam Syafie menyibukkan diri dengan ilmu agama dan beliau bertugas di Yaman. Ketika beliau di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau. Imam Syafie masuk ke Baghdad sebanyak 3 kali. Kali pertama pada tahun 183 H ataupun sebelum Khilafah Harun Ar Rashid. kali kedua pada tahun 195 H dan tinggal di Baghdad selama 2 tahun. Kali ketiga pada tahun 198 H.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, kerana golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Justru, di mana sahaja kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh. Satu kali dating surat khalifah dariBaghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya. Jika urusan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan keBaghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa beliau termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah. Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan seorang demi seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dibunuh dengan dipenggal leher tahanan tersebut. Agar darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak ia dialas dengan kulit binatang.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, memohon dari Allah SWT. Beliau dipanggil ke hadapan khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amir al-Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Saya tidak mengucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud: “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas, Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Tuanku dengan baik bila saya masih dirantai begini. Jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu. Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Tuanku itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan Tuankulah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana Tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.Baginda Harun ar Rasyid menundukkan kepalanya. Ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”
Beliau menjadi masyhur di kalangan umat Islam pada ketika itu. Setelah itu beliau berhijrah ke Mesir. Imam Syafie keluar masuk Mesir terlalu kerap sehinggakan tidak diketahui berapa kali. Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
KETIGA : HAK KEPADA KUBUR iaitu : membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) iaitu : menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) iaitu : membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu : menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)iaitu : redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW iaitu : berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu : mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Sehingga pada tahun 199 H Imam Syafie masuk semula ke Mesir dan meninggal dunia di Mesir pada malam Jumaat yang penuh barakah. Beliau dikebumikan selepas Asar pada hari Jumaat bertarikh 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820 M.

Monday, December 3, 2012

Mengurus Kemarahan


Kebanyakkan kita tidak mampu mengawal minda yang sihat dan agamanya disebabkan kemarahan. Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan, “Marah itu bagai binatang buas. Bila engkau membebaskannya, ia akan menerkamu”. Mengapa? Kerana kemarahan dapat memisahkan peranan akal dan agama dalam kehidupan manusia, sehingga tidak mampu memandang, berpikir dan memilih dengan baik. Malah kemarahan dapat menjadikan pelakunya buta dan bisu dari segala nasihat dan peringatan yang disampaikan padanya. Kemudian lahirlah perbuatan-perbuatan yang tidak terkawal dan kita akan bertindak seperti orang tidak waras dan diluar batas kemanusiaan. Seandainya manusia itu melihat keadaan dirinya ketika marah, ia akan menampakkan bentuk dan mukanya yang tidak menyenangkan. Dalam keadaan seperti ini, akan keluar darinya perkataan dan perbuatan haram yang tidak mampu dimaafkan jika dilakukan ketika reda rasa marahnya. Bahkan terkadang mampu sampai merosakkan dan membinasakan kehidupan dunia dan akhiratnya, sebagaimana seekor binatang buas yang memangsa kawanannya sendiri.
Imam Muslim meriwayatkan, dari Imran bin Husain RA berkata: “Suatu ketika para sahabat sedang bersama Rasulullah SAW ketika dalam perjalanan, beliau mendengar ada seorang wanita Anshar yang sedang memaki dan melaknati binatang tunganggannya. Ketika mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda, “Ambilah barang-barangmu dari atas punggung unta itu dan tinggalkanlah ia, kerana ia terlaknat”. Wanita tersebut kehilangan seekor untanya dikeranakan satu ucapan yang terlontar ketika sedang marah. Rasulullah SAW tidak menganggap kecil persoalan ini dan beliau sangat bimbang jika seluruh rombongan terkena kecelakaan, kerana di dalamnya ada seekor binatang yang sudah terlaknat (dengan satu ucapan). Kemudian Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar tidak mendoakan kecelakaan untuk diri, anak, keluarga maupun hartanya. Kerana mampu jadi doanya bertepatan dengan waktu dikabulkannya doa, lalu doanya pun terkabul, sehingga terjadilah bencana kerana satu kalimat saja.

Perlu diingat apa yang terjadi dengan lisan sewaktu marah berupa cacian, kata-kata kotor, ucapan talak dan sumpah terlarang, seperti seorang yang bersumpah untuk tidak masuk kerumah ibunya atau memutuskan tali persaudaraannya dan sebagainya merupa satu doa juga yang kalau termakbul maka terjadilah keadaan itu. Oleh kerana itu, takutlah kita kepada Allah dan bersungguh-sungguhlah untuk selalu menjaga lisan dari hal-hal ini, khususnya di saat marah. Ketahuilah, jika kita mampu untuk menahan lisan, tangan dan diri kita ketika marah, bermakna kita telah menjadi seorang yang betul-betul kuat, sebagaimana kesaksian Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang kuat itu bukanlah orang yang pandai berjuang atau bertempur, hanya saja orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya”.

Tips Menahan Kemarahan

1. Jangan mudah marah - Usahakan agar diri kita selalu berakhlak baik, seperti dermawan, berhemah, lemah lembut, malu, rendah hati, sabar, menahan diri dari kejumudan, lapang dada, pemaaf, selalu menampakkan senyum, berwajah manis dan sebagainya. Kerana jika jiwa kita memiliki akhlak-akhlak seperti ini dan mampu menjadi suatu kebiasaan niscaya hal itu akan dapat menahan marah ketika sebab-sebabnya terjadi. Hal ini sesuai dengan kaedah bahawa kepatuhan akan memperkuat hati dan memecahkan benteng besar dalam hati yang dipenuhi dengan sifat marah dan selalu menyuruh kepada kebiadapan. Bahkan seiring dengan waktu dan kesabaran, jiwa yang selalu menyuruh pada keburukan dapat berubah menjadi jiwa yang tenang.
2.Hendaknya marah seorang muslim hanya timbul kerana Allah SWT - Yang demikian dalam langkah membela agama dan sebagai wujud pembalasan bagi siapa saja yang membangkang terhadap Allah dan Rasul-Nya. Nabi Muhammad SAW tidak pernah membalas orang lain ketika hak-hak dirinya dilanggar. Namun bila ada larangan-larangan Allah yang dilanggar, maka tidak ada halangan apapun yang dapat menghentikan kemarahan beliau. Apabila menyaksikan atau mendengar sesuatu hal yang dibenci Allah SWT, beliau akan marah dan menyatakan langsung serta tidak membiarkannya.

3.Mengenali diri bahwa kita tidak berhak untuk marah dan balas dendam - Kerana hal itu merupakan keutamaan diri dengan keredhaan dan kemarahan untuk Penciptanya. Oleh kerana itu, kalau jiwa dibiasakan marah dan redha kerana Allah SWT secara lansung kita akan terlepas dari marah dan redha kerana kepentingan diri sendiri. Hendaklah diketahui bahawa sifat rela dan marah hanyalah kerana Allah SWT. Keduanya termasuk prioriti dari realisasi kalimat La Ilaha illallah, sedangkan balasan dari di sisi Allah SWT sangatlah besar. Allah SWT berfirman dalamsurat Ali-Imran: 134 : “(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”. Imam As-Sa’di RA berkata, “Maksudnya bila mereka mendapat kesakitan yang mengharuskan ia untuk marah, yaitu hatinya merasa sesak sehingga ia ingin membalas, baik dengan ucapan maupun perbuatan. Mereka tidak memperturutkan tuntutan tabiat manusia. Namun mereka manahan kemarahan di dalam hatinya dan memaafkan manusia serta setiap orang yang menyakitinya, baik dengan perkataan maupun perbuatan”. Kemaafan lebih terasa dibandingkan dengan menyimpan dendam. Kerana pemberian maaf adalah dengan meningalkan sikap hendak membalas diiringi dengan sikap toleransi atas suatu tindak kejahatan. Ini semua hanya ada pada orang yang memiliki akhlak yang indah lagi baik dan tidak akan dimiliki oleh seorang yang berakhlak buruk.

4.Berdoa - Kerana keredhaan sebahagian besar manusia telah memasukannya ke dalam kebatilan dan kemarahannya telah mengeluarkannya dari koridor kebenaran serta menjerumuskannya kepada hal batil. Oleh kerana itu, marilah kita memohon kepada Allah SWT untuk mendapatkan perkataan yang benar, baik dalam keadaan redha maupun marah. Imam Ahmad, An-Nasa’I dan Ibnu Hibban meriwayatkan doa dari Ammar bin Yasir RA: “Aku mohon kepada-Mu dan kalimat yang hak dalam keadaan marah maupun redha”. Abu Hurairah RA juga meriwayatkan, “Abu Bakar RA bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku suatu amalan yang dapat aku baca di pagi dan petang hari!’. Maka beliau bersabda, “Katakanlah: “Ya Allah, yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata! Wahai Rabb pencipta langit dan bumi, Rabb segala sesuatu dan yang merajainya. Aku bersaksi bahwa tidak ada tuhan yang berhak diibadahi kecuali Engkau. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan diriku, syaitan dan bala tentaranya”. Beliau bersabda, “Bacalah ia ketika masuk waktu pagi dan petang dan bila engkau hendak berbaring (tidur)”. Kita membaca doa ini setiap pagi dan petang hari untuk berlindung dari kejahatan syaitan dan kejahatan jiwa. Terlebih lagi ketika kita dalam keadaan marah. Doa ini diulang sebanyak 10 kali sehari dengan syarat menghadirkan hati, kerana Allah SWT tidak akan mengabulkan doa yang bersumber dari hati yang malas dan lalai.
Ketika Kemarahan Terlanjur Membara

Ketika marah hadir, janganlah memperturutkan apa yang dituntut kemarahan kita. Berusahalah untuk menahan diri dari melakukannya dan redakan rasa marah tersebut, namun paksalah diri kita untuk tidak menuruti tuntutan kemarahan kita dan apa-apa yang diperintahkannya. Dengan demikian, akibat buruk dari kemarahan kita akan mampu dihindarkan atau bahkan kemarahan kita akan reda dan hilang dengan seketika, sehingga ketika itu seakan-akan kelihatan tidak pernah marah. Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk menghilangkan sebab yang dapat memancu kemarahan, meredakannya dan mencegah nampak buruknya. Diantaranya :

1.Mengubah posisi dari berdiri ke duduk atau dari duduk menjadi berbaring - Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang diantara kamu marah, sedangkan ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk agar hilang kemarahan darinya. Bila tidak, maka berbaringlah”. Tindakan ini ditujukan untuk menjauhkan diri dari sikap mendendam. Demikian berkah dari mengikuti Nabi SAW serta buah menjalankan perintahnya. Dari Abu Said Al-Khudhri RA, dalam salah satu khutbahnya Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa marah adalah bara yang dinyalakan pada lubang mulut anak Adam. Tidakkah kamu melihat matanya yang merah dan uratnya yang menegang? Oleh kerana itu, bila kalian mendapati sesuatu darinya, maka duduklah ditanah; duduklah!”. Maksudnya hendaklah ia menahan kemarahan dalam diri dan janganlah ia melampiaskanya pada orang lain dengan hinaan dan atau perbuatan lainnya. Itu semua merupakan jalan menuju melapangkan dada.

2.MembacaTa’awwudz - Maksudnya memohon perlindungan dan berdoa kepada Allah SWT dari godaan syaitan. Sulaiman bin Shurad RA berkata, “Suatu ketika aku duduk di sisi Nabi SAW ketika itu ada dua orang yang sedang bertengkar. Salah seorang diantara mereka wajahnya menjadi merah dan urat nadi lehernya menegang kerana marah, maka Nabi SAW bersabda, “Aku ajari kalian suatu kalimat. Seandainya ia mau mengucapkannya, niscaya akan hilang apa yang dirasakan. Ucapkanlah : “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan”. Niscaya hilang apa yang dirasakan”. Kebanyakan manusia pada hari ini ketika marah kemudian membacata’awwudz, namun kalimat itu tidak ada pengaruhnya bagi mereka. Bererti isti’adzah mereka tidak ada gunanya. Lalu apa maksud dari semua ini? Jawabannya bahawa beristi’adzah harus disertai dengan pemahaman terhadap maksudnya disertai kembali dengan segera kepada Allah SWT dengan diiringi ucapan ta’awwudz tersebut. Apabila diucapkan hanya sebatas lisan tanpa adanya amalan hati, tidak berpengaruh bagi yang mengucapkannya.

3.Selalu mengingat bahwa balasan itu sesuai dengan amalan yang dikerjakan - Allah SWT berfiman dalam surat An-Nur: 22: “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka mema'afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah hanya menyayangi hamba-hamba-Nya yang penyayang”. Demikian juga bila marah tersebut belum meledak. Ia juga harus mengingat bila ia membiarkan kemarahannya terus berkobar, niscaya ia juga tidak akan merasa aman dari kemarahan Allah SWT pada hari kiamat, hari ketika ia sangat mengharapkan keampunan-Nya. Harus menerima tuntutan dari orang yang dimarahi dan dimusuhinya, juga kesombongannya untuk menghancurkan kehormatan orang yang dimarahinya dan kegembiraan atas musibah yang menimpa orang yang dimusuhinya.

4.Selalu mengingat bahwa syaitan senantiasa berkehendak untuk mengoda dan menghalangi manusia dari kebaikan - Ketika perbuatan baik semakin bermanfaat bagi manusia dan semakin dicintai oleh Allah SWT, maka syaitan akan semakin dahsyat lagi dalam mengodanya. Oleh kerana itulah, menahan marah bererti telah mengumpulkan kebaikan dan meningalkan kecelakaan. Setelah itu syaitan akan mengoda manusia dengan mengirimkan pasukan pejalan kaki dan pasukan kudanya. Ia juga akan melemparkan anak panahnya untuk merosak perancangan serta melemahkan semangat orang yang beriman dan menjadikannya berputus-asa dalam menahan marah, emosi pelampiasan dan kekerasan. Ia pun berbisik, “Ini sudah merupakan cara kamu, kamu tidak perlu berusaha dan menyusahkan dirimu, kerana hal itu tidak ada manfaatnya bagimu”. Jadi seorang mukmin yang berkeinginan untuk tidak marah perlu mengetahui pintu-pintu masuk syaitan agar ia mampu menghalangi dan menahannya, yaitu dengan selalu memohon pertolongan kepada Allah SWT.

5.Meningalkan perdebatan dan memilih sikap diam - Syaikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di ra berkata, “Diantara hal bermanfaat yang harus kita fahami adalah bahawa penghinaan orang lain kepada Anda, khususnya yang berupa kata-kata yang menyakitkan, tidak akan merugikan kita. Sebaliknya hal itu akan menyebabkan kerugian bagi mereka (orang-orang yang menghina kita). Kecuali jika kita menganggapinya, lalu membiarkan hal itu menguasai perasaan kita, maka pada saat itulah hal itu akan memberi mudarat kepada kita. Dan juga jika kita tidak memasukan penghinaan tersebut kedalam hati kita, maka sedikit pun hal itu tidak akan merugikan kita”.
6.Wudhu - Diriwayatkan dari Athiyah Sa’di ra Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan merupakan makhluk yang diciptakan dari api, sedangkan api akan padam dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang di antara kalian sedang marah, hendaklah ia berwudhu”. Dan diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri meriwayatkan secara marfu’: “Ketahuilah sesungguhnya kemarahan merupakan bara api dalam hati setiap anak Adam. Apakah engkau tidak memperhatikan merahnya mata dan tegangnya urat leher orang sedang marah? Oleh kerana itu, barangsiapa sedang marah, hendaklah ia bersegera untuk mengambil wudhu”.

Marah Boleh Kelihatan Pada Jasad

Marah dapat mempengaruhi saraf dan mengeluarkan horman adrenalin. Hormon ini merupakan inti dari kumpulan lemak yang ada di pinggang bahagian atas dan berfungsi sebagai lapisan penyerapan tubuh, serta menyediakan untuk menerima pengaruh-pengaruh goncangan saraf, diantaranya ketika marah. Hormon tersebut bergerak menuju ke saluran pankreas untuk menghentikan insulin dan akan menambah kadar gula dalam darah, sehingga akan menaikkan produktivitas gula dalam organ produksi minyak dalam tubuh, juga protein. Kemudian akan berpengaruh terhadap jantung, bahkan mampu mengakibatkan berhentinya detik jantung, hingga terjadilah kematian. Ia juga dapat menjadikan detik jantung bertambah cepat dan kuat, menepam lebih banyak darah, mengeluarkan banyak cairan keringat dan mempercepat denyut nadi serta meninggikan tekanan darah. Itulah yang disebut Nabi SAW dengan istilah serangan jantung. Maka cukuplah hal ini iaitu penyakit gula dan penyakit jantung sebagai peringatan bagi orang mukmin untuk selalu menahan marah atau meminimanya semampu mungkin dan hendaklah mempertimbangkan maslahat (nampak positif) dan mafsadat (nampak negatif) dari rasa marah.

Lihatlah  peringatan Allah SWT terhadap orang-orang beriman. Bila mereka tidak menjawab panggilan Allah dan Rasul-Nya, sungguh Allah akan menghalangi hatinya untuk dapat memahami kebenaran. Kalaupun memahami, maka ia tidak dapat merealisasikannya. Oleh kerana itu bersegeralah, untuk selalu mengambil manfaat dan bersungguh tanpa mengenal putus asa, hingga kita menang dengan mendapatkan semua kebaikan. Syahwat adalah api. Ketika kita menyalakannya, ia akan menjilat dan membakar kita. Sedangkan kemarahan adalah binatang buas, apabila kita membebaskannya keluar, niscaya ia akan memakan kita. Sedangkan orang mukmin yang bertakwa, jika ada rombongan syaitan yang merayunya untuk memperturutkan syahwat dan kemarahannya, penasihat dari Allah yang ada di dalam hatinya akan mengingatkannya agar tidak menempuh jalan-jalan yang penuh bahnagnya  api yang akan membakarnya, iaitu menuruti syahwat. Juga agar tidak melalui jalan yang dilewati binatang buas yang akan memangsanya, iaitu rasa marah. Ketika  itulah, seorang mukmin yang bertakwa akan ingat. Seolah-olah ia melihat syaitan hendak membinasakannya dengan memerangkapnya di suatukawasan yang lapang yang hijau dengan perangkap terkaman binatang buas. Oleh kerana itu, ia akan segera kembali dan berlindung kapada Allah SWT.

Saturday, December 1, 2012

Adap Menghadapi Pesakit


Motivasi Pesakit - Firman Allah SWT: Maksudnya: “Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” [Al-Mulk: 1-2]. Tulisan ringkas ini membincangkan beberapa ayat dan hadis yang menyebut tentang kedudukan sakit dan adab-adab menghadapinya serta Adab ketika Menziarahi Orang Sakit;
1) Makna sakit (Al-Mard- المرض): - Menurut Kamus Dewan: Menderita sesuatu (demam, pening dan lain-lain) yang menyebabkan tubuh atau bahagiannya tidak segar, tidak sihat atau uzur. Sakit samada terkena kepada tubuh badan, ia juga terkena kepada agama (Ad-Din).

2) Kesabaran pesakit serta mengharapkan pahala dari Allah SWT. - Para pesakit hendaklah sentiasa bersabar serta mengharapkan pahala yang dijanjikan Allah SWT terhadap mereka yang bersabar. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” [Az-Zumar: 10]. Dari Suhaib RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka.” [Hadis riwayat Muslim: 2999]

Dari Abi Sa’id Al-Khudri ra dan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiada seorang Muslim pun yang mengalami penderitaan, kesiksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan atau kesedihan, walaupun hanya terkena satu tusukan duri, melainkan dihapuskan olah Allah (kerana kesusahan tersebut) sebahagian daripada kesalahannya.” [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 1283, Muslim: 926]. Dari Abdillah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiada seorang muslimin yang menanggung derita kesakitan atau yang selainnya, melainkan Allah menggugurkan dosanya sebagaimana gugurnya daun daripada pokoknya.” [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 5647, Muslim: 2571]. Dari Anas RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba-Nya, disegerakan baginya kesusahan (balasan) sewaktu di dunia lagi. Sebaliknya jika Allah menghendaki kejahatan bagi seorang hamba-Nya, ditangguhkan pembalasan ke atasnya sehingga hari Kiamat.” [Hadis riwayat At-Tirmizi: 2395, “Hadis Hasan”, Sahih Al-Jami’ As-Saghir: 308]

Dari Anas RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada kepada besarnya kesusahan. Apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diduga dengan kesusahan. Sesiapa yang redha dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah, dan sesiapa yang tidak redha, dia akan menerima kemurkaan Allah.” [Hadis riwayat At-Tirmizi: 2396, Ibnu Majah: 4031, “Hadis Hasan”, As-Silsilah As-Sahihah: 146]
3) Orang muslim sentiasa memohon kemaafan dan afiat (kesejahteraan) di dunia juga di akhirat, mereka tidak meminta bala. Abbas bin Abdul Mutalib RA berkata: Wahai Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah SWT. Baginda bersabda: “Pohonlah dari Allah kesejahteraan”. Berlalu beberapa hari kemudian aku pergi kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah. Baginda bersabda kepadaku: “Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah, pohonlah dari Allah kesejahteraan di dunia dan di akhirat”. [Hadis riwayat At-Tirmizi: 3514, “Hadis Sahih”, As-Silsilah As-Sahihah: 1523]

Abdullah bin Umar RA berkata, di antara doa Rasulullah SAW ialah: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat yang telah Engkau kurniakan, daripada terjejasnya kesihatan yang Engkau kurniakan, daripada bencana yang tidak disangka-sangka dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu”. [Hadis riwayat Muslim: 2739] Abu Hurairah RA meriwayatkan, “Nabi SAW memohon perlindungan (dengan Allah) daripada qadha’ yang buruk, ujian dan cubaan yang berat, celaan musuh-musuh dan kesengsaraan yang pedih”. [Hadis riwayat Muslim: 2707]

4) Bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada waktu sihat, agar mendapat pahala yang sempurna ketika lemah dan sakit. Dari Abu Musa Al-Asy‘ari RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila seorang hamba sakit atau musafir, dituliskan (pahala kebajikan) seperti apa yang diamalkan sewaktu tidak bermusafir dalam keadaan sihat”. [Hadis riwayat Al-Bukhari: 2996]

5) Kelebihan ziarah orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga. Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah ini: Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari & Muslim]

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim] Daripada Ali RA, bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]
6) Adab Ziarah - Antara adab-adab menziarahi pesakit ialah;
a- Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah SAW.
b- Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.
c- Bertanyakan tentang ibadatnya; solat dan lain-lain, sekiranya dia tidak mampu ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai.
d- Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya.
e- Pendek dan jarakkan waktu ziarah, jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya. (kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya).
f- Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.
Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar dia cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan; “Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. [HR Bukhari]

“Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”. [HR Bukhari] Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau”. (7 Kali). [HR At-Tirmizi dan Abu Daud] Doa Jibrail kepada Nabi SAW ketika Baginda sakit: “Dengan Nama Allah aku menjampikan mu dari semua perkara yang menyusahkanmu…” [HR Ibn Majah]
g- Bacaan dan perbuatan apabila tubuh merasa sakit; “Letak tangan di tempat sakit kemudian baca: “Bismillah” 3 kali, dan baca 7 kali: “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaanNya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti” [HR: Muslim].
h- Jika ditakdirkan pesakit itu berada dalam kecemasan, tenat atau sedang menghadapi nazak, maka berdoalah kepadanya; “Ya Allah, bantulah dia di atas sakarat al-maut”.
i- Ajaran kepada orang yang sedang nazak; La ilaha illallah! “Sesiapa yang akhir ucapannya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”, dia akan dapat masuk syurga”. [HR Abu Daud 3/190. Lihat: Sahih Al-Jami' 5/432].
Semoga risalah ringkas ini dapat membantu muslimin dan muslimat dalam menghidupkan sunnah Rasulullah SAW ketika menziarahi orang sakit atau menghadapi kesakitan. Sekian.

Ehsan dari Abu Anas Madani.

Sunday, November 25, 2012

Berhenti Menyalahkan Orang Lain


Sifat tercela yang ada di dalam diri manusia adalah suka menyalahkan orang lain atas pilihan, tindakan dan kekurangan diri sendiri. Kita, manusia sememangnya suka  menyalahkan orang lain. Kita menyalahkan semua orang dan semua perkara kecuali diri sendiri. Kita menyalahkan ibu bapa, anak anak, makanan, kereta, lalu lintas, majikan, kerajaan dan termasuklah cuaca. Apa yang kita perolehi sekarang adalah hasil dari pilihan  yang telah dilakukan atau gagal dilakukan pada masa lalu. Kehidupan sekarang mencerminkan cara anda memberi respon dan bertindakbalas atas apa yang berlaku. Ia bukan hasil dari tindakan orang lain.
Alasan adalah satu pembohongan yang kita beritahu kepada diri sendiri dan mahukan orang lain mempercayainya. Sekiranya lewat sampai pejabat, kita boleh keluar lebih awal dari rumah supaya tidak lambat sampai ke pejabat. Kita tidak perlu menyalahkan keadaan cuaca atau kesibukan lalu lintas. Kita semua mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dan kita bertanggungjawab membuat pilihan yang tepat.Kita mempunyai kemampuan untuk memburukkan lagi keadaan. Kita juga mempunyai kemampuan untuk melakukan yang lebih baik.

Propaganda Diri - Kadangkala apabila kita membuka internet, dan laman web yang terpampar di depan mata kita adalah sebuah laman hiburan yang penuh dengan pembukaan aurat, kita dengan cepat memberi pendapat: ‘Inilah dia kerja kerajaan, menyokong propaganda Yahudi, kerja orang nak sesatkan umat Islam.’ Memang benar, tetapi kita ada kuasa untuk mengawal semua itu. Kuasa yang paling kuat ialah dengan tidak membuka sebarang laman web yang boleh merosakkan pemikiran kita. Bukankah kita diberi akal oleh Allah SWT untuk menyaring mana yang baik dan mana yang buruk. Dalam internet bukan semua laman webnya buruk, ada juga yang baik dan berfaedah. Pilihlah laman web yang baik, yang boleh menjana minda kita menjadi orang yang baik. Kita juga jangan terlalu fokus kepada ‘apa yang orang hulurkan kepada kita’, kadangkala ia boleh menenggelamkan potensi diri kita yang sebenar, iaitu mengatasi perbuatan tersebut. Masaalahnya kita pun hanyut sama.

Budaya Burung Bangau - ‘Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?’ ‘Macamana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.’ Penudingan jari disebabkan bangau kurus saja, akhirnya berterusan hinggalah kepada punca masaalah iaitu ular yang nak makan katak. Akhirnya tiada siapa yang untung. Mungkin ular saja yang untung sebab dia boleh baham saja katak. Tetapi disebabkan semua pihak, terutama bangau yang tidak boleh fikir jauh sikit, bila ikan tak nak timbul, tak ada cara nak rasa ikan di lubuk lain, atau di kawasan lain, sedangkan ia boleh terbang. Mungkin disebabkan bangau malas nak berusaha, malas nak cari, malas nak terbang, maka jalan pintas ialah salahkan ikan. Ikan pula salahkan rumput. Rumput salahkan kerbau... dan begitulah seterusnya menyalah orang lain kerana ketidakmampuan diri sendiri menghadapai sesuatu perkara. Adakah kita masih mahu menjadi seperti burung bangau?
Lari Dari Tanggungjawab - ‘Siapa buat ni?’ tanya seorang ibu kepada anaknya yang menangis. ‘Amin terhantuk dinding ni..’ jawab di anak dalam tangisan. ‘OOoooo nakal ye dinding, mari ibu pukul dinding ni!’ ujar si ibu sambil membuat aksi memukul dinding. Perkara ini biasa terjadi, kan? Mungkin benda ini kecil saja. Ibu nak diamkan anak jadi cari objek lain untuk dimarahi. Itulah sebenarnya yang menjadi budaya kita sampai bila-bila. Sejak kecil ibu suka mencari objek lain untuk disalahkan bila anak menangis. Bila anak besar, dia pula cari objek lain untuk dipersalahkan bila hidupnya susah. Secara tidak langsung dia dapat lari dari menanggung dan menjawab. Bila ada benda tak kena, tuding jari kepada orang lain. Mudah saja kan? Sedangkan semasa dia kecil dulu, kalau dia tak lari laju-laju, takkan terhantuk pada dinding. Sepatutnya ibu nasihatkan anaknya supaya berjalan dengan perlahan dan berhati-hati supaya tak terlanggar dinding lagi, bukan salahkan dinding. Dinding tak bersalah apa-apa, dan tak ada perasaan pun. Cuma sikap menyalahkan benda lain saja yang ditanam dalam diri anaknya.

Siapa Yang Memandu Kehidupan? - Seorang lelaki berjalan seorang diri di hutan setelah terpisah dari kumpulannya selepas selesai menjalani perkhemahan di sebuah kawasan air terjun. Namun dia tidak terlalu panik kerana di tangannya ada peta dan kompas. Di dalam perjalanan, dia terlihat seorang lelaki yang sedang membawa gulungan rotan. Fikirnya itu mesti orang tempatan. Dia menegur dari jauh, ‘Nak ke mana bang?’ ‘Keluar ke jalan, peraih sedang menunggu!’ jawab orang itu. Di satu persimpangan, mengikut kompas dan petanya, jalan keluar adalah ke kiri, namun pencari rotan di hadapannya menghala ke kanan. Lelaki ini berfikir mesti orang ini tahu jalan pintas, lantas tanpa banyak soal dia terus mengekori pencari rotan itu. Sehinggalah hari hampir petang namun mereka belum sampai lagi. ‘Kenapa kau ikut aku?’ soal si pencari rotan setelah menyedari lelaki itu asyik mengekorinya. ‘Saya nak keluar ke jalan, saya ingat abang tahu jalan pintas,’ jawab lelaki itu. ‘Aku sesatlah…’ jawab si pencari rotan. Bila kita tiada pendirian sendiri dan cuma mengikut orang sahaja, akhirnya merugikan diri kita juga. Tambahan kalau kita tidak ada pengetahun langsung. Dalam dunia ini, semua orang ada masaalah masing-masing, dan hampir tak ada orang yang sanggup nak tumpang masaalah kita, melainkan dia memang kerja dalam bidang kebajikan atau sukarelawan.

Takkan Mengubah Nasib Kita - ‘Aku dengar di kilang ais batu tu ada lori babi masuk!’ ‘Ayam goreng di kedai AGB ni tak sembelih la!’ ‘Makanan dalam tin ni ada gelatin haram, tau!’ ‘Roti ni ada lemak babi, tau!’ Tapi kita masih juga menggunakan barang-barang di atas, disebabkan tidak ada alternatif, atau tidak ada alternatif terdekat. Kalau tak ada orang antara kita yang mengusahakan sesuatu, sampai bila-bila pun dialog itu akan terus kedengaran. Atau mungkin saja ia cuma propaganda untuk menjatuhkan jemana berkenaan, tapi masalahnya kalau itu pun, kita terus-terusan ‘ditipu’ oleh benda yang kita tak pasti. Maka jadilah kita sampai bila-bila pun macam itu saja. Hanya menjadi komentator, pemberi komen, peng-iya, dan itu sajalah.
Suatu peristiwa adalah kejadian dan ia tidak menyebabkan tekanan dan juga kesalahan. Apa yang menyebabkan tekanan adalah kepercayaan kepada penyebab tekanan; peristiwa, ancaman atau perubahan itu. Ada orang yang bermain dengan ular, tetapi ada juga yang mungkin akan pengsan jika nampak ular. Tahap minda dan kepercayaan kita mengenai apa yang terjadi kepada kita menyebabkan kita menyalahkan diri sendiri atau orang lain. Seseorang boleh menyalahkan diri sendiri atas tindakan sendiri dengan menyedari kepentingan diri dan menghargai nilai. Hal ini boleh berlaku secara semulajadi dengan bersikap bertanggungjawab untuk diri sendiri dan untuk bertindak secara bertanggungjawab.

“Menyalahkan adalah satu pembaziran masa. Walau betapa banyak kesilapan yang kita dapati dari orang lain dan menyalahkannya, itu tidak akan dapat mengubah diri kita. Satu-satunya yang tidak menyalahkan adalah dengan menjaga tumpuan ketika kita sedang mencari alasan luaran untuk menjelaskan ketidakbahagiaan atau kekecewaan kita. Kita mungkin berjaya menyebabkan seseorang berasa bersalah tentang sesuatu tindakan dengan menyalahkannya, tetapi kita tidak akan berjaya dalam mengubah apa-apa pun tentang apa yang membuat kita berasa tidak bahagia.”

Manusia jarang dan kedekut dalam memberikan pujian atas kejayaan, pencapaian dan kebahagiaan orang lain. Jika begitulah lumrah manusia, mengapa manusia harus menyalahkan orang lain atas kegagalan, kekurangan, ketidakbahagiaan dan ketidakpuashatian ? Menyalahkan orang lain tidak memberikan kesan positif dan ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Tetapi ia mempengaruhi tahap pencapaian dan nilai seseorang. Kita hidup dalam zaman yang mementingkan pencapaian dan keberkesanan, ini bermaksud ‘getting things done’. Menurut Napoleon Hill, ‘Pekerjaan terbaik sekarang adalah pergi kepada orang yang dapat lakukannya tanpa menyalahkan orang lain dan memberikan banyak alasan.’
Berhenti menyalahkan orang lain atas kegagalan kita. Seringkali seseorang mengkambing hitamkan orang lain atas kegagalan yang dialaminya. Ini adalah sebuah sikap yang samasekali tidak akan menghasilkan jalan keluar. Saat kita menyalahkan orang lain, inilah yang terjadi :
1. Tanpa sedar kita telah meletakkan hak untuk menentukan masa depan kita kepada orang tersebut.
2. Kita menyatakan bahwa tanpa bantuan orang tersebut kita tidak akan mungkin berhasil.
3. Kita tidak dapat lagi melihat peluang-peluang baru yang ada di sekitar kita.

Apapun alasannya, sebaiknya kita tidak menyalahkan siapapun atas kegagalan kita, lebih baik kita melihat beberapa hal di bawah ini :
1. Melakukan muhasabah diri, apakah kita sudah bekerja dengan maksima?
2. Melakukan penilaian terhadap hasil kerja kita,
3. Melakukan penambahbaikan terhadap setiap kelemahan dan kesalahan.
4. Lebih maksima dalam melakukan sebuah pekerjaan di kemudian hari.

Ingatlah, masa depan kita adalah tanggung jawab kita sendiri. Tak ada seorangpun yang dapat mencegah kita untuk berjaya bila kita menginginkannya. dan sebaliknya tak seorangpun dapat membuat kita berjaya bila kita tidak menginginkannya. Mintalah pada Allah dengan berdoa dalam kehidupan kita, dan lakukan bahagian kita dengan maksima dan sesungguh hati. Motivator terbaik kita adalah diri kita sendiri.

Saturday, November 24, 2012

Jangan mengharap perbuatan baik kita akan dibalas


Seringkali kita berdepan dengan situasi di mana kita manusia mudah berasa kecewa apabila jasa baik tidak berbalas. Baik sewaktu berada di sekolah, pusat pengajian tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum kerabat, rakan dan jiran samada dimasa yang lepas, sekarang dan bakal waktu mendatang. Sering terdengar kekesalan dan keluhan, "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik minta pertolongan kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila tiba giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi hendak menghulur bantuan."
Seolah-olah timbul penyesalan kerana telah bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya suatu ketika dahulu. "Kalau tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi tak patut dibantu." Seakan-akan menjadi lumrah manusia, apabila diminta melakukan sesuatu, maka pasti dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat. Kos yang perlu ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh. Kadangkala apabila saudara kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita fikirkan ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali. Itu yang utama.

Kerana untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung beban masa, tenaga dan mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah masa, tenaga dan wang untuk membantunya; perlulah kelak menerima balasan setimpal. Sekurang-kurangnya bila kita susah, dia juga patut melakukan perkara sama. Apabila bantuan telah diberi dan tiba kitaran waktu kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati sekiranya bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu ditolak. Ungkapan yang sering hadir diminda atau bibir kita, "Dulu dia susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."

Akibatnya ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama lain diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang lain. Kita akan hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih besar. Budaya ini menular hebat dalam masyarakat; daripada penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik. Adalah menjadi fitrah manusia itu akan senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut dilihat dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam perkara keduniaan: harta, pengaruh dan lain-lain.

Sebelum kita memberi wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak apabila kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh kita? Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain. Kita lupa kepada ganjaran syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih tertarik kepada kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding kesenangan Akhirat. Apabila tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu, kita merasa kecewa pula. Adakah patut kita kecewa kerana dunia? Lupa pada Akhirat?
Allah menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka di Akhirat kelak: [5] Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", - [6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. [7] (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. [8] Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, [9] (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, [10] "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". [11] Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera. [Surah Al-Insaan; 76: 5-12]

Fokus kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan mereka suka kepada orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini memberi apa yang mereka perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar, seperti firman Allah: [92] Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. [Surah Ali Imran; 3: 92]

Bukan seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak mahu lagi. Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang sangat kita sayangi dan sukai. Bukan itu sahaja, setelah orang-orang baik ini memberi apa yang sangat mereka sayangi, pada ayat 9 mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah kerana Allah semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan daripada orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak mahu. Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita bantu tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan balasan sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang baik itu mereka adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan terima kasih pun tidak mahu. Itulah semata-mata kerana Allah!
Pada ayat 10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan, mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih dan rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari Allah pada Hari Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di mana orang-orang jahat akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan beratnya azab hari tersebut. Moga-moga Allah akan kasihankan orang-orang baik atas segala bantuan yang pernah mereka lakukan dahulu semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka pada ayat-ayat berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini mendapat ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula segala isinya yang akan dinikmati mereka.

Aduhai celakalah kita kerana tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada melihat kehebatan Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak persaudaraan dan persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang tidak berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik; berilah semata-mata kerana Allah! Lupakan balasan dunia, utamakan ganjaran Akhirat. Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan dalam hidup, dan moga-moga Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari Pertemuan dengan-Nya nanti.

artikel: iluvislam.com

Friday, November 23, 2012

Bersedekah tidak semesti dengan harta sahaja


Mungkin ramai di kalangan kita apabila disebutkan sahaja sedekah akan membayangkan ia perlu mengeluarkan sejumlah wang atau harta. Lalu sebahagian dari kita akan merasa sempit dada kerana mungkin tidak mampu untuk memberi atau mula memberi berbagai alasan. Sinonimnya kebanyakan dari kita sememangnya begitu kerana kelaziman manusia mempunyai sifat berkira atau kedekut. Kita disarankan berbuat begitu kalau untuk melakukan kemungkaran atau berbuat dosa.
Dikisahkan di dalam sebuah hadis riwayat Muslim di dalam Kitab Zakat, beberapa orang sahabat Nabi SAW telah datang menemui baginda SAW menzahirkan rasa cemburu terhadap golongan yang kaya. Mereka merasa cemburu kerana golongan kaya itu dapat membuat pahala yang banyak kerana mampu bersedekah dengan lebihan harta mereka. Lalu apakah jawapan Rasulullah SAW terhadap mereka? “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu yang boleh kamu sedekahkan? Sesungguhnya bagi kamu dengan setiap kali bertasbih (mengucap Subhanallah) adalah sedekah. Setiap kali bertakbir(mengucap Allahu Akbar) adalah sedekah . Setiap kali bertahmid (mengucap Alhamdulillah) adalah sedekah. Setiap kali bertahlil (mengucap La ilah illalLah) adalah sedekah. Ajak kebaikan adalah sedekah. Cegah kemungkaran adalah sedekah. Menggauli isteri adalah sedekah.” Para sahabat terkejut kerana memuaskan nafsu juga dianggap sedekah. Lantas baginda SAW bersabda: “Apakah pendapat kamu kiranya ia memuaskan nafsunya pada yang haram? Adakah ia mendapat dosa? Begitulah sebaliknya. Jika dia memuaskan pada yang halal, maka dia mendapat pahala.”

Sungguh indah agama ini. Sangat mudah untuk membuat kebaikan. Sangat mudah mendapat pahala kebajikan. Sesungguhnya pintu-pintu kebajikan sangat luas.Di mana-mana dan pada bila-bila masa kita boleh bersedekah.

*Tasbih, Tahmid, Takbir, Tahlil dan Melakukan Yang Halal
Sepertimana yang disebutkan di dalam hadis di atas, amalan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil adalah sedekah. Bahkan menggauli isteri juga adalah sedekah. Kerana apa? Kerana dengannya ia terpelihara dari perbuatan maksiat. Tambah-tambah lagi sekiranya ia berniat untuk mendapatkan zuriat yang soleh darinya. Niat telah mengubah adat menjadi ibadat. Hadis itu juga boleh memberi maksud, Allah mengganjari pahala pada apa sahaja perbuatan yang halal, Sangat mudah bukan untuk mendapat pahala? Pada hakikatnya bukan hanya amalan itu yang dianggap sedekah. Terdapat banyak lagi riwayat hadis yang menyatakan bentuk-bentuk sedekah yang lain, yang boleh kita lakukan hingga seolah-olahnya sepanjang 24 jam dalam sehari kita boleh melakukan pelbagai bentuk sedekah. Sekarang mari kita telusuri hadis-hadis di bawah untuk kita sama-sama merasai keindahan, kesyumulan dan mudahnya Islam.
*Nafkah Kepada Keluarga
Hakikatnya, setiap hari Allah telah menyediakan bagi hamba-hambanya ganjaran dan pahala kiranya digandingkan dengan keikhlasan dan niat yang baik. Bukankah setiap hari kita membelanjakan sesuatu untuk ahli keluarga kita? Di situ juga ada pahala sedekah yang Allah janjikan. Sabda Rasulullah SAW: Apabila seorang lelaki memberi nafkah kepada keluarganya dengan penuh pasrah mengharapkan redha Allah, maka baginya bernilai sedekah baginya. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW juga ada bersabda; Sesungguhnya tidaklah engkau menginfakkan sesuatu dengan tujuan mencari redha Allah melainkan engkau akan mendapat pahala kerananya, bahkan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu sekalipun. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

*Sedekah Dari Hasil Tanaman
Pernahkah kita tahu sekiranya binatang memakan hasil tanaman kita, kita mendapat pahala sedekah? Dalam hal ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Mana-mana muslim yang menanam tanaman, apa sahaja daripada tanamannya dimakan, dia mendapat pahala sedekah. Apa sahaja dari tanamannya dicuri, dia mendapat pahala sedekah. Apa sahaja dari tanamannya dimakan binatang buas, dia mendapat pahala sedekah. Apa sahaja dari tanamannya dimakan burung, dia mendapat pahala sedekah. Dan apa sahaja daripada tanamannya diambil seseorang, dia mendapat pahala sedekah. (Hadis riwayat Muslim)

*Tidak Melakukan Kejahatan
Dikatakan juga sebagai sedekah apabila kita menahan diri dari melakukan kejahatan. Sabda Rasulullah SAW: Sekiranya dia tidak mampu melakukan kebaikan, dia hendaklah menegah dirinya dari melakukan kejahatan. Sesungguhnya ia adalah sedekah baginya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

*Membantu, Menasihat Serta Menggembirakan Saudaranya
Bahkan pada setiap perkara yang dibuat untuk menceriakan orang lain, memudahkan urusannya, mengajaknya ke arah kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran dan sebagainya, yang sangat mudah untuk dilakukan setiap hari, padanya Allah sediakan ganjaran. Sabda Rasulullah SAW: Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah bagimu. Kamu menyuruh melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran adalah sedekah bagimu. Kamu memberi pandu arah kepada seorang lelaki yang tersesat di suatu tempat adalah sedekah bagimu. Kamu membuang batu, duri dan tulang di jalan adalah sedekah bagimu. Kamu menuang air dari timbamu untuk diisi ke dalam timba saudaramu adalah sedekah bagimu. (Hadis riwayat Tirmizi)
Maka dengan itu, tenanglah hati-hati mereka yang tidak punyai harta yang cukup untuk bersedekah kerana Allah telah menyediakan ruang yang sangat luas untuk mereka membuat kebaikan. Namun demikian, bagi yang mempunyai harta yang lebih, kiranya mereka bersedekah dengan harta mereka dan dalam masa yang sama mereka juga melakukan amal-amal kebajikan yang banyak, maka sesungguhnya ganjaran untuk mereka sangatlah besar. Itulah kelebihan yang telah Allah kurniakan buat mereka.

Antara pengajaran lain yang boleh kita ambil dari kumpulan hadis di atas ialah;
• Zahir hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa semua yang disebutkan adalah sedekah. Samada ia berbentuk perkataan atau perbuatan. Samada berbentuk harta mahupun bukan harta.
• Islam sangat mudah. Sedekah bukan hanya dengan harta. Bahkan dengan apa sahaja kebaikan yang kita lakukan dan apa sahaja kegembiraan yang kita berikan kepada oranglain. Bahkan ganjarannya adalah sama dengan ganjaran mereka yang bersedekah dengan harta.
• Melakukan sesuatu yang halal, padanya pahala sedekah.
• Sesiapa yang melakukan kebaikan tetap diberikan ganjaran pahala walaupun mereka melakukan tanpa tujuan dan niat sepertimana pahala yang diterima oleh seseorang yang hasil tanamannya dimakan burung atau dicuri orang.
• Ia juga menunjukkan bahawa Islam sangat menuntut umatnya supaya menjaga silaturrahim, memelihara dan menunaikan hak-hak sesama saudara. Hinggakan apa sahaja kebaikanke arah itu, dikira sebagai sedekah.
 Untuk itu, marilah kita memperbanyakkan amal dan kebajikan untuk mengejar kelebihan-kelebihan yang Allah telah janjikan, dengan apa sahaja yang kita miliki dan apa sahaja yang kita mampu kerana Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap perbuatan baik adalah sedekah. (Hadis riwayat Muslim)

Ehsan - Ustazah Suriani binti Sudi