Seringkali
kita berdepan dengan situasi di mana kita manusia mudah berasa kecewa apabila
jasa baik tidak berbalas. Baik sewaktu berada di sekolah, pusat pengajian
tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum kerabat, rakan dan jiran samada
dimasa yang lepas, sekarang dan bakal waktu mendatang. Sering terdengar
kekesalan dan keluhan, "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik
minta pertolongan kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila
tiba giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi hendak
menghulur bantuan."
Seolah-olah
timbul penyesalan kerana telah bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya
suatu ketika dahulu. "Kalau tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi
tak patut dibantu." Seakan-akan menjadi lumrah manusia, apabila diminta
melakukan sesuatu, maka pasti dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat.
Kos yang perlu ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh. Kadangkala apabila
saudara kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita
fikirkan ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali.
Itu yang utama.
Kerana
untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung beban masa, tenaga dan
mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah masa, tenaga dan wang untuk
membantunya; perlulah kelak menerima balasan setimpal. Sekurang-kurangnya bila
kita susah, dia juga patut melakukan perkara sama. Apabila bantuan telah diberi
dan tiba kitaran waktu kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati
sekiranya bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu
ditolak. Ungkapan yang sering hadir diminda atau bibir kita, "Dulu dia
susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."
Akibatnya
ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama lain
diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang lain. Kita akan
hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih besar. Budaya ini menular
hebat dalam masyarakat; daripada penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian
sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik. Adalah menjadi fitrah manusia itu
akan senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara
sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut dilihat
dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam perkara keduniaan:
harta, pengaruh dan lain-lain.
Sebelum
kita memberi wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak
apabila kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan
meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh kita?
Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain. Kita lupa kepada ganjaran
syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih tertarik kepada
kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding kesenangan Akhirat. Apabila
tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu, kita merasa kecewa pula. Adakah
patut kita kecewa kerana dunia? Lupa pada Akhirat?
Allah
menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka
di Akhirat kelak: [5] Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan
kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan
"Kafur", - [6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum
daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di
tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut
kemahuannya. [7] (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka
menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta
mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. [8]
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya,
kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, [9] (Sambil berkata
dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada
kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari
kamu atau ucapan terima kasih, [10] "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami,
takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah:
masam berkerut-kerut". [11] Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan),
maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya,
serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan
perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan
suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan
Syurga dan (persalinan dari) sutera. [Surah Al-Insaan; 76: 5-12]
Fokus
kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan bagaimana
orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan mereka suka kepada
orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin, anak-anak yatim dan
tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini memberi apa yang mereka
perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar, seperti firman Allah: [92] Kamu
tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang
sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan
sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. [Surah
Ali Imran; 3: 92]
Bukan
seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak mahu lagi.
Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang sangat kita sayangi dan
sukai. Bukan itu sahaja, setelah orang-orang baik ini memberi apa yang sangat
mereka sayangi, pada ayat 9 mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah
kerana Allah semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan
daripada orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak
mahu. Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita bantu
tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan balasan
sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang baik itu mereka
adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan terima kasih pun tidak mahu.
Itulah semata-mata kerana Allah!
Pada
ayat 10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan,
mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih dan
rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari Allah pada Hari
Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di mana orang-orang jahat
akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan beratnya azab hari tersebut. Moga-moga
Allah akan kasihankan orang-orang baik atas segala bantuan yang pernah mereka
lakukan dahulu semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka
pada ayat-ayat berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini
mendapat ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula
segala isinya yang akan dinikmati mereka.
Aduhai
celakalah kita kerana tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada
melihat kehebatan Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak
persaudaraan dan persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang
tidak berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik; berilah
semata-mata kerana Allah! Lupakan balasan dunia, utamakan ganjaran Akhirat.
Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan dalam hidup, dan moga-moga
Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari Pertemuan dengan-Nya nanti.
artikel:
iluvislam.com
No comments:
Post a Comment