Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah,
setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat dikongsukan
sedikit perkongsian ilmu yang menyentuh tentang lima perkara yang boleh
menjadikan manusia itu beroleh kemuliaan disisi Allah SWT, satu kemuliaan yang kita dambakan melebihi kemuliaan disisi
manusia. Kemuliaan disisi manusia tidak kekal malah bermusim iaitu bila
berharta, berpangkat besar, ada title Dr Prof Tan Sri, Dato' dan sebagainya.
Malah ada tempat khusus disediakan didalam satu majlis, diberi keutamaan dan
layanan istimewa. Kemuliaan disisi Allah SWT bukan terletak pada semua itu
malah seorang penyapu sampah lebih mulia sisi Allah SWT jika dia bersih hati,
beriman, bertakwa pada Allah SWT dan menjaga hak-hak Allah SWT dalam
kehidupannya, mulia bila mengambil Islam dalam kehidupan!
Jadi,
bagi kita perlunya meletakkan nilai kemuliaaan sebenar dalam hidup ini.
Janganlah kita rasa bangga diri dengan nikmat sementara yang Allah SWT beri
pada kita dengan merasa diri mulia kerana ada kedudukan dalam masyarakat, cepat
tersinggung bila kita tidak di muliakan orang! Yang kita nak adalah kita ini
mulia disisi Allah SWT. Itu kan lebih utama, lebih baik , lebih abadi! Jadi,
diantara lima perkara yang perlu kita usahakan untuk meraih kemuliaan disisi
Allah SWT adalah:-
1.
Tidak mengikut bisikan atau hasutan syaitan..
Sama-sama
kita renungkan ayat-ayat Allah SWT ini. “Dan janganlah kamu ikut jejak langkah
syaitan;kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi
kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,dan
(menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak
ketahui. (Surah al-Baqarah 2:168-169)
Syaitan
merupakan musuh kita yang utama yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk
membisikkan di dalam diri kita bisikan-bisikan yang jahat dan menyeleweng dari
apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Melawan bisikan dan hasutan syaitan itu
menjadi satu kewajipan yang perlu kita lakukan untuk menempuh jalan yang
lurus.Orang yang digoda oleh bisikan syaitan dan menyahut bisikan tersebut akan
rasa seronok melakukan maksiat tanpa rasa takut pada Allah. Jadi selalulah kita
memohon perlindungan untuk diri kita dan keluarga kita dari bisikan syaitan
dengan banyak bertaawwuz dan berdoa. Sesungguhnya orang yang hatinya sentiasa
terpaut erat mengingati Allah SWT, banyak berdoa dari bisikan syaitan
laknatullah ini yang akan terselamat dari hasutan dan godaannya, Insya-Allah.
Di
samping itu juga, kita perlu menghindarkan diri kita dari mempunyai sifat-sfat
yang disukai syaitan. Satu anologi yang baik yang boleh menarik syaitan pada
diri kita adalah umpama seekor anjing yang tertarik pada tulang yang kita
pegang. Untuk mengelakkan diri dari menjadi daya tarikan anjing tersebut, kita
hendaklah membuang tulang itu dari kita ; dengan kata lain membuang dari diri
kita apa yang disukai syaitan.
Jadi
untuk kita tidak menjadi daya tarikan syaitan, segala sifat-sifat kesukaan
syaitan dalam diri seperti hasad dengki, suka membazir, mengumpat dan semua
sifat mazmumah hendaklah kita buangkan dari dalam diri. Pintu-pintu kemasukan
syaitan hendaklah ditutup rapat supaya tipislah peluang syaitan untuk menggoda
kita tapi jika kita turutkan bisikan syaitan, maka kita akan menjadi kawannya
atau menjadi tunggangan syaitan! Sedangkan Allah menegaskan dalam Al-Quran
bahawa syaitan itu musuh kita yang nyata! Maka perlakukanlah syaitan itu
sebagai musuh kita yang utama!
Rasulullah
SAW telah mengajarkan kepada kita tentang bagaimana perlunya kita sentiasa
memohon perlindungan dari syaitan iaitu dalam satu hadisnya riwayat Bukhari
iaitu... Rasulullah SAW meminta perlindungan Allah SWT kepada cucunya Hasan dan
Husin. "Aku memohon perlindungan dari Allah untuk kamu berdua dengan
kalimah Allah yang sempurna dari setiap syaitan, dan dari binatang berbisa
serta dari mata yang jahat."
Juga
dalam satu hadisnya, beliau juga menegah anak-anak keluar pada waktu senja
kerana diwaktu itu syaitan keluar untuk merasuk. Jadi hindarilah diri dari
keluar pada waktu tersebut supaya kita tidak mendedahkan diri kita pada rasukan
dan hasutan syaitan ini. Juga pentingnya kita sentiasa melakukan wirid harian
sebagai pendinding diri dari syaitan ini kerana menurut Ibnu Abbas setiap anak
Adam yang dilahirkan akan ada bisikan syaitan yang menghasut dan merasuknya.
Jika disebut nama Allah syaitan itu akan lari, tapi jika kita melupakan Allah
syaitan itu akan menggoda dan merasuknya. Maka akan mudah dan seronoklah
sesaorang itu melakukan maksiat disisi Allah bila termakan bisikan syaitan.
Secara
ringkas ada lima strategi untuk melawan bisikan syaitan ini iaitu:- Perlunya
kita sentiasa ikhlas dalam beragama dengan berbuat sesuatu kerana Allah SWT dan
di atas syariat Allah SWT, Takut pada Allah SWT dalam melakukan dosa dan
maksiat, Berusaha selalu melawan bisikan syaitan dengan mujahadah diri, Menjaga
perpaduan ummah iaitu sentiasa berjamaah dan janganlah berpecah belah antara
satu sama lain Serta banyakkan berzikir dan berdoa minta dilindung dari syaitan
ini. Insya-Allah dengan pertolongan dari Allah SWT dan usaha yang istiqamah,
kita dapat melawan bisikan syaitan ini.
2.
Tidak mengikuti hawa nafsu dalam diri.
Orang
yang mengikuti hawa nafsunya akan mudah tergelincir dari landasan yang telah
Allah tetapkan. Nafsu dalam diri sebenarnya sentiasa mengajak kepada
penyelewengan dari jalan Allah SWT. Nafsu perlu ditundukkan dengan iman yang
kuat jika tidak ia jadi tunggangan syaitan yang membisikkan bisikan jahat pada
nafsu. Nafsu yang kita kehendaki adalah nafsu mutmainnah, iaitu nafsu yang
tenang yang ada hubungannya dengan Allah SWT. Jadi sentiasalah muhasabah diri
agar kehendak nafsu dalam diri adakah ia selaras dengan kehendak Allah SWT.
Janganlah
kita menjadi orang yang menjadikan nafsu sebagai raja yang memerintah.
Akibatnya celakalah diri! Sentiasa ingat akan pesanan dari Allah tentang
hakikat orang yang mengikuti hawa nafsunya iaitu Surah Al-Maidah ayat 77.... Katakanlah:
"Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan
cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu
orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka
telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang
lurus." Firman Allah SWT lagi dalam Surah Al-Mukminun ayat 71 yang
bermaksud... " Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti
binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami
telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka
berpaling dari kebanggaan itu."
Jadi
betul jugalah kata pepatah Melayu, ikut hati mati ikut rasa binasa. Justeru itu
janganlah kita turuti kata hati kita, rasa yang bergejolak dalam jiwa. Semua
itu jika tidak dihubungkan dengan Allah SWT akan menjadi jalan pintu masuk
syaitan. Natijahnya cukup hebat. Ia akan membinasakan diri kita, menyebabkan
kita rasa tertekan, kecewa, marah, dendam sehingga sakit dada kita menahannya.
Paling malang sekali hawa nafsu yang dituruti ini akan menyebabkan tindakan
yang melulu, tidak rasional, hilang pertimbangan sehingga sanggup bunuh diri,
bunuh orang dan sebagainya. Relakah diri kita jadi sedemikian?? Jadi biarlah
sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian akibat tidakan tidak rasional itu,
tidak berguna!
3.
Sentiasa rasa ringan untuk berbuat ihsan. iaitu buat yang terbaik dalam
melakukan sesuatu pekerjaan sama ada kecil atau besar. Ihsan dalam melakukan
sesuatu pekerjaan merupakan satu tuntutan dalam Islam dan amat disukai oleh Allah
dan dekat dengan rahmatNya. Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 195..
“Dan berbuat baiklah (ihsan), kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang
yang berbuat baik.”
Firman
Allah SWT lagi dalam Surah Al-A'raf ayat 5 yang bermaksud... “Sesungguhnya
rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki
amalannya).” Jadi kita usahakanlah dalam diri membuat yang terbaik dalam
sesuatu amalan itu samada kecil atau besar kerana amalan terbaik itulah kita
nak persembahkan pada Allah SWT sebagai amal soleh kita, bukan untuk tunjuk
pada manusia atau nak dapat penghargaan manusia semata-mata. Mudah-mudahan
dengan itu, kita mendapat rahmat dan kemuliaan disisi Allah SWT.
4.
Meletakkan keyakinan dan kepercayaan pada Allah SWT semata-mata dalam hidup ini.
Apabila hati tak yakin pada Allah, ini akan meletakkan keyakinan dan
pergantungan pada manusia. Sedangkan pergantungan sebenar kita hanyalah pada
Allah SWT semata-mata.
Sebenarnya
apa yang ada disisi Allah SWT itu lebih baik dan lebih kekal dari apa yang ada
pada manusia. Manusia mungkin boleh simpati dan bantu sekadar yang mampu akan
permaslahan kita. Namun jika kita berlebihan dalam meminta-minta pada manusia,
ini akan menimbulkan rasa bosan, meluat pada kita. Tetapi sebaliknya bila kita
meminta pada Allah SWT! Allah sentiasa membukakan pintu rahmatNya memberikan
bantuan, pertolongan pada kita dengan cara yang Allah kehendaki yang sebenarnya
itulah terbaik buat diri kita. Jadi kena bina keyakinan diri kita agar
benar-benar bulat pada Allah SWT dalam hidup ini!
Marilah
kita yakini betul-betul firman Allah SWT dalam surah Al-Ikhlas yang bermaksud
.... "Katakanlah, Dialah Allah, Yang Maha Esa, Allahlah tempat meminta
segala sesuatu....."
Disaat
kita teruji dan ditimpa musibah, yakini sebenarnya yang dapat mengeluarkan diri
kita dari kesan musibah itu adalah hanya Allah SWT sahaja. Maka hadapkanlah
hati kita ini dengan penuh keyakinan, khusyuk dan tawaduk pada Allah SWT yang
Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Curahkan lah segala rintihan hati kita
pertama-tamanyahanya pada Allah SWT terdahulu dan pasrahkan jiwa kita
padaNya...Yakinilah pertolongan Allah SWT itu amat dekat pada orang yang
kembali padaNya, insyaaAllah!
5.
Tidak menyayangi apa yang ada di tangan manusia lebih dari apa yang ada di sisi
Allah SWT.
Sama-sama
kita renungi firman Allah SWT dalam ayat-ayat berikut yang bermaksud.... "
Sedangkan kamu memilih kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat itu lebih
baik dan lebih kekal..." Surah Al- Ala' 16-17. "Wahai kaumku!
Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu
sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."
Surah Al- Mukminun :39
"Oleh
itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan
hidup di dunia ini sahaja dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari
pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang
beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Surah As-Syuraa: 36
Dan
apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah
ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa
jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan
taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu
memahaminya? Surah Al-Qasas :60
Banyak
lagi ayat-ayat Al Quran yang menegaskan tentang apa yang ada disisi Allah SWT
itulah yang terbaik dan kekal abadi. Inilah yang kita nak rebut didunia ini sementara
hayat kita masih ada. Janganlah kita terleka dengan kehidupan dunia yang
menipu, dengan kesenangan hidup dunia yang melalaikan kita dari mengingati
Allah SWT. Ingatlah bahawa dunia ini adalah ladang akhirat tempat kita menuai
hasil kita nanti. Maka jadilah kita seorang peladang dunia yang yang berjaya
yang sentiasa peka dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan hasil tuaian kita
supaya berlipatganda kelak.
Sematkan
dijiwa kita selalu semua yang ada disisi kita di dunia ini akan kita tinggalkan
kecuali amal soleh kita yang berterusan iaitu, sedekah jariah kita, doa anak
yang soleh dan ilmu yang bermanfaat yang kita ajarkan kepada orang lain.
Sementara hayat masih ada, fikirkan bagaimana kita nak tingkatkan hubungan kita
dengan Allah SWT, tingkatkan amal soleh dan bermanfaat pada manusia! Janganlah apabila
usia semakin bertambah, dunia semakin dekat di hati, semakin lalai dengan
Allah, semakin banyak dosa dan maksiat, semakin tidak sensitif dengan
peringatan Allah SWT. Nauzubillahiminzalik. Allahu Rabbi.
Sama-sama
kita berdoa mudah-mudahan penghujung usia kita lebih baik dari awalnya dan kita
mendapat husnul khatimah di akhir hayat kita. Perbanyakkanlah istighfar kita
memohon ampun dari Allah SWT diatas semua kekhilafan kita pada Allah SWT.
Banyaknya tanggungjawab kita pad aAllah SWT yang masih belum tertunaikan!
Mudah-mudahan Allah SWT tempatkan kita dikalangan orang-orang yang soleh dan
mendapat kemuliaan disisiNya. Aamiin. Ya Rabbal A'lamin. - Serikandi Annur
No comments:
Post a Comment