DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, June 27, 2014

Sakit Itu Nikmat Allah

Saban hari, para doktor dan pelajar perubatan seringkali ditayangkan adegan "malaikat izrael mencabut nyawa" pesakit di hadapan mata mereka secara live. Biasanya pesakit tersebut sudah dalam kritikal dan tidak boleh diselamatkan lagi. Bagi pelajar perubatan yang buat pertama kali melihat adegan suspen tersebut, pasti akan ada air jernih mengalir dan badan menggeletar menyaksian azab kesakitan yang dahsyat.
Berbeza pula bagi seorang doktor, air mata mereka sudah kering. Mereka sudah lali dan "tiada perasaan" mengurus kematian mahupun kelahiran, ada yang berjaya diselamatkan. Ada pula yang kecundang. Sesungguhnya, doktor bukanlah Tuhan untuk mencegah atau merawat penyakit mati apabila takdir sudah tersurat.

Pernah pada satu masa, saya melihat salah seorang daripada keluarga si mati meraung-raung di dalam ward, sambil menghentak-hentak kepala di dinding. Dia seolah-olah diserang histeria dan bertindak liar. Saya yang sedang clerk case turut terganggu dek aksi liar tersebut. Jururawat dengan segera menjalankan tugas dan doktor cuba berbicara dengan muka yang tenang.

BICARA KESAKITAN
Sakit itu nikmat
Sakit itu penghapus dosa (kafarah)
Sakit itu ujian
Sakit itu bukti cinta Allah
Sakit itu ada hikmah yang kita tidak tahu

Ujian sakit adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Kita selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan. Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.
REDHALAH YANG PALING UTAMA
Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.
Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT?
Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?
Mengapa ada yang sihat tubuh badan tetapi bayak berbuat maksiat?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Firman Allah SWT: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT. Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas. Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157) 

SAKIT HANYA SEBAGAI SIGNAL DARI ALLAH
Ada pepatah berkata: “Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan” Sakit, mampu menjadikan kita beringat. Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita: “Sesungguhnya Aku mampu menarik nikmatKu bila-bila masa sahaja” Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia.

Ya, manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa kita hakikatnya langsung tidak patut mendongak bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT. Percayalah, akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata. Allah SWT berfirman: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Untuk itu, jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan. Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan? Allah SWT berfirman: “Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu” Surah Asy-Syura ayat 30. 


Semoga kita tidak seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’. Sakit itu hanya sementara. Mungkin Allah suruh beringat sahaja. Bila dah beringat, Dia akan angkat penyakitnya - MD

No comments: