DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, April 2, 2013

Mengurus Jemu


Kebosanan atau jemu sering hadir dalam kehidupan manusia, hatta haiwan pun mengalami perasaan sebegitu, dan mengapa jemu sering hadir dalam hidup manusia di dunia? Adakah ia sekadar pelengkap kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini untuk mencuba sesuatu yang baru dan merekacipta bentuk-bentuk baru dalam dunia ini setelah jemu dengan apa yang ada dan mencuba yang baru. Dari itulah Allah ciptakan perasaan jemu ini dalam diri manusia agar ada daya usaha dan terciptanya masalah untuk manusia selesaikan serta kehidupan boleh berkembang dan membiak dengan pelbagai rupa, cara, kaedah, warna serta rasa.
Kalau kita lihat maksud jemu ialah perasaan yang sudah tak berkeinginan lagi, sinonim dengan bosan, jelak, muak, cemus, jenuh, lugu, cermuih, pasai. Setiap naluri manusia yang ada di dunia ini, sering berubah-ubah persepsi, keinginan dan kehendak yang tak pernah merasa puas. Setiap apa yang dipunyai bagaikan tak pernah memberi kepuasan, nak juga yang lain dan baru. Ini menimbulkan kejemuan pada apa yang dah ada dalam kepunyaan, nak juga mendapatkan yang lain, yang belum dirasai. Allah ciptakan semua makhluk-makhluk yang ada di dunia ini dengan sifat-sifat yang tiada berkualiti, tiada berkuantiti dan terhad. Timbulnya rasa jemu dikalangan makhluk Allah terhadap apa-apa yang di dunia ini kerana sifat-sifat yang ada dalam makhluk itu.

Jika kita lihat apa yang berlaku sekarang ini dari pelbagai sudut seperti kehancuran sosial, politik dan ekonomi adalah berkaitan dengan kejemuan yang melampau dalam diri manusia itu sendiri. Perkahwinan yang hancur asbab kejemuan antara pasangan, kejatuhan pemerintahan asbab kejemuan rakyat dengan pemerintah dan kerosakan urusniaga asbab kejemuan atas apa yang diperolehi yang semakin tak cukup. Dan banyak lagi kejemuan-kejemuan yang hadir dalam sanubari manusia menyebabkan pelbagai ketidakpuasan ditimbulkan oleh manusia yang merekacipta pelbagai masalah-masalah yang sedang mengembang.

Dan jika kita lihat, kejemuan yang wujud dalam diri manusia memberi kesan yang pelbagai iaitu terekanya benda-benda baru ataupun timbulnya masalah-masalah baru. Sudah lumrahnya manusia diciptakan, akan membuat rutin yang kesemuanya hampir sama setiap hari. Dan kerana itu, ada yang telah merasa jemu. Merasa telah muak dengan apa yang dilakukan setiap hari. Merasa bahawa setiap hari yang dilalui tiada variasi atau kepelbagaian. Sama dan tetap sama! Ini kerana manusia kebanyakan hanya memandang yang zahir sahaja.

Kita terkadang keliru, apa sebenarnya yang ingin dilakukan? Apa sebenarnya yang sepatutnya dilakukan oleh setiap manusia. Dan yang lebih teruk, ada yang sudah sedia maklum, tetapi melawan arus akal dan membiarkan nafsu kejemuan menguasai diri. Makanya, siapa yang harus dipersalahkan? Rutin atau diri sendiri? Memang manusia, cepat merasa jemu! Dasar ya. Merasa Telah dan Sangat Cukup

Kenapa manusia cepat sangat merasa jemu? Nak salahkan syaitan? Oh, alangkah. Langkah untuk perbetulkan diri itu ialah hisab diri terlebih dahulu tanpa mencari pihak mana yang dapat dipersalahkan akibat daripada perbuatan diri sendiri. Walaupun sesuatu itu menjadi asbab kepada kejadian yang berlaku.

Adakalanya, dalam berdakwah sekalipun. Oleh kerana kesalahan itu kecil dan kita telah memberikan teguran berkali-kali, kita merasa bosan dan jemu dan itu membuatkan kita senang dihasut amarah terhadap orang yang kita dakwah. Senang cerita, sebagai contoh, dalam berblog. Ada manusia cepat merasa cukup dengan apa yang telah ia kongsikan. Dan ketika itu juga ia akan disapa dengan kejemuan untuk menjaga dan memelihara kualiti penulisannya.

Sebenarnya, apabila seseorang itu disapa dengan perasaan jemu, sebenarnya ia sudah mula menanam sifat takabbur/sombong dalam dirinya. Percaya? Tidak? Kajilah..
Sangat Cepat Menginginkan Hasil
Antara banyak-banyak sebab manusia cepat merasa jemu dan bosan adalah terlalu cepat menginginkan hasil daripada pekerjaan mereka. Macam mana tu? Katakan kita inginkan kebaikan kepada seorang rakan kita yang agak ganas sikit, lalu kita menasihatinya dengan harapan dia cepat-cepat berubah setelah kita nasihatkan. Tetapi ternyata malah sebaliknya pula. Rakan kita degil dan tidak mendengar nasihat serta cepat melenting. Oleh kerana nasihat kita tidak menampakkan hasil, maka kita merasa jemu untuk memberi nasihat lagi. Nah, bukankah ini sifat manusia yang terburu-buru?

Kalaulah Tuan Punya Dunia seperti kita, maka, akan hancurlah dunia ini. Tapi tidak, Allah Maha Pengasih dan masih tetap bersabar dengan kita yang tersangat hina ini. Kenapa ya manusia punya sifat seperti ini? Sedangkan dakwah Nabi memakan masa puluhan tahun dengan penuh kesabaran dan kegigihan. Kita yang hanya baru masuk dalam bidang dakwah yang belum mencabar sehingga kadang-kadang dalam berdakwah itu tiada peluh pun yang keluar, sudah hendak temberang untuk merasa jemu.

Jadi nak buat macam mana? *tanyadirisendiri*
Kita, cepat sangat merasa diri bagus dari orang lain. Dan itu satu penyakit yang merbahaya. Kita perlu takut dengan sifat ini. Boleh memakan diri. Dan saya takut sifat ini dihidapi oleh saudara-saudara seakidah saya. Maka, saya harap, semuanya boleh bermujahadah untuk mencuba jauh darinya.
Banyak sebab kenapa dan mengapa terkadang kita berasa bosan, jemu, tertekan dan berasa marah-marah. Disini jom kita baca 7 cara melegakan tekanan dalam masa 10 minit.

Rehat 5-10 minit – kalau kita terlalu sibuk bekerja, ambil masa 5-10 minit untuk duduk rehat tanpa membuat apa-apa kerja dan tenangkan fikiran. Ini boleh mengurangkan ketegangan dan tekanan darah kita di samping meningkatkan daya kawalan kita terhadap keadaan sekeliling.

Cuba buatkan diri kita ketawa – kita boleh melegakan tekanan dengan membuatkan diri kita ketawa gembira. Cubalah ketawa dengan menonton rancangan TV komedi kegemaran kita atau mendengar sesuatu yang lucu dari nada dering telefon bimbit kita.

Dengar muzik yang menenangkan – semua orang perlukan suasana tenang untuk membuat kerja. Tetapi suasana yang terlalu sunyi akan menambahkan lagi tahap tekanan diri kita. Sekali-sekala kita perlukan muzik untuk tenangkan diri. Jenis muzik? Ia bergantung kepada kita.

Fikirkan sesuatu yang menggembirakan – dalam beberapa minit cuba fokuskan fikiran kita terhadap sesuatu yang menggembirakan. Kita mungkin boleh boleh melihat gambar ahli keluarga tersayang atau melihat gambar pemkitangan indah. Ini boleh meningkatkan semangat dan fikiran positif kita.

Berdiri dan ambil masa berjalan sebentar – para saintis telah membuktikan bahawa mereka yang memperuntukkan masa berjalan sekurang-kurangnya empat kali dalam seminggu kurang berasa tekanan dan mempunyai tidur yang lebih baik. Untuk melakukannya, kita mungkin boleh mengambil masa 5-10 minit untuk berjalan ke hulu ke hilir di ruang pejabat kita setiap hari.

Buat senaman nafas - tarik nafas panjang dan tahan untuk beberapa saat, lepas tu hembuskan secara perlahan-lahan. Kita pasti lega dan lebih mudah membuat kerja.

Relakskan diri dengan senaman ringkas – untuk beberapa minit selepas bangun pagi kita boleh relakskan badan kita dengan senaman ringkas dari kepala ke kaki. Senaman regangan otot menjadikan kita lebih selesa datang ke tempat kerja. Kita juga boleh membuat senaman ringkas di tempat kerja untuk merelakskan badan
Persoalannya, perlukah jemu dalam hidup kita? Mungkin jemu ini perlu ada sebab kita tinggal di alam dunia yang fana, tapi di alam akhirat masih relevenkah perasaan jemu ini? Tapi cubalah membaca surah Al Fatihah(dalam solah), pasti tidak jemu, mengapa menjadi begitu? Dan juga amalan-amalan ibadah yang lain, semacam ada satu yang begitu indah dan manis...mari kita mencuba...pasti tiada jemu...

No comments: