Tanda
diri itu ikhlas - Orang puji atau keji sama sahaja. Dipuji, hati tidak
berbunga. Dikeji, hati tidak pula derita. Kalau dia rajin atau beribadah sama
ada di waktu seorang atau di waktu ramai, sama saja. Kerana rajin bekerja atau
buat kebaikan, dia tidak marah kalau orang lain tidak menolongnya. Apabila
letih bekerja tidak pula marah-marah dengan orang lain yang mengganggunya atau
tidak buat kerja. Kalau dia membuat ibadah atau buat kerja, hatinya tidaklah
pula berkata moga-moga ada orang melihat supaya ada orang memujinya...
Dalam
ajaran Islam, ikhlas merupakan roh amal atau jiwa ibadah. Ia jadi penentu
apakah amal ibadah kita diterima atau ditolak yang mana bila amal ibadah tidak
ikhlas, maka ia tidak ada nilaian di sisi Allah atau tidak ada harganya lagi.
Sebaliknya kalau ikhlas dalam beramal, Allah terima dan diberi ganjaran yang
tidak ternilai.
Bagaimanakah
yang dikatakan ikhlas ini jadi penentu? Amal ibadah ini umpama seorang manusia.
Bila nyawa (roh) sudah tidak ada, ia akan jadi bangkai. Bangkai mesti dibuang
ke kubur kerana nilai kemanusiaannya sudah tidak ada lagi di waktu itu. Dia
tidak layak lagi bergaul dengan orang yang hidup. Walaupun dia seorang ratu
cantik, orang terpaksa buang juga kerana ia akan jadi busuk, berulat dan reput
menjadi tanah.
Begitulah
dengan amal ibadah kita ini. Kalau tidak ada roh-nya atau tidak ada jiwanya,
yakni tidak ikhlas, Allah anggap seperti bangkai yang kotor lagi busuk, yang
tidak ada harganya. Tidak layak untuk Allah menerimanya dan tidak layak diberi
ganjaran pahala. Bahkan akan dicampak balik ke muka kita sekalipun seluruh
makhluk-makhluk Allah di langit dan di bumi semuanya memuji-muji amal ibadahnya
cantik, baik dan bernilai. Manusia hanya menilai dengan mata lahir sahaja maka
yang kelihatan, amal ibadahnya itu banyak, cantik dan berakhlak. Sedangkan
Allah dapat melihat yang batinnya. Sekalipun amal itu sedikit, jika ikhlas,
Allah tetap menganggapnya banyak. Sedangkan amal ibadah yang banyak tetapi
tidak ikhlas, Allah tetap menganggapnya sedikit atau macam amalan yang tidak
wujud.
Begitulah
penting dan bernilainya ikhlas itu. Allah mahu agama-Nya yang suci murni itu
diamalkan secara suci pula yakni tidak dicelahi dengan sebarang bentuk hati
busuk. Tidak dicelahi dengan rasa riyak, ujub, ingin dipuji, hendak nama, ingin
dinilai dengan mata dunia atau dengan tujuan menolak kemudaratan manusia. Dalam
hal ini Allah ingatkan: “Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih
(khalis).” (Az Zumar: 3) Juga di ayat lain: “Padahal mereka tidak disuruh
kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan
kepada-Nya dalam menjalankan agama yang lurus. Dan supaya mereka mendirikan solat
dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al Baiyinah:
5)
Untuk
melakukan ikhlas ini sangat susah dan sulit terutama dalam sebarang amal ibadah
kerana hati itu amat seni sekali. Nafsu itu sangat tersembunyi perasaan
halusnya dan sangat payah dikesan. Untuk menguasainya amat sulit. Ia
berbolak-balik setiap hari dan berubah-ubah pula setiap waktu dan detik.
Perjalanannya tidak menentu. Bertukar-tukar dari ujub, riyak, sombong, dengki,
gila puji, gila nama, ingin dinilai dengan harga dunia dan susah untuk
didisiplinkan. Amal ibadah itu selalu terdorong ke arah kepentingan-kepentingan
dunia ini.
Riyak,
ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling payah dihindari kerana gerakannya
terlalu halus. Macam desiran semut, tidak dapat didengar bunyinya. Kita tidak
terasa kemahuan-kemahuan nafsu atau dorongan-dorongan kemahuan hati yang jahat
kerana halusnya itu. Inilah yang dikatakan syirik khafi. Kalau tidak disuluh
dengan pandangan mata hati (basirah), ia tidak akan terasa adanya. Salafussoleh,
bila kenangkan hal-hal begini, mereka selalu menangis. Mereka paling takut terhadap
syirik khafi ini. Takut ibadah mereka tidak ada harga di sisi Allah. Takut
mereka akan muflis di Akhirat sedangkan untuk dapatkan ikhlas terlalu susah.
Ikhlas hanya milik Allah. Ia adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta
para malaikat pun tidak tahu. Mereka hanya tahu amal lahir sahaja.
Sebab
itu dalam sejarah pernah diceritakan betapa susahnya untuk dapatkan sifat
ikhlas ini sebagaimana yang digambarkan oleh Sayidina Muaz. Rasulullah SAW
bersabda: “Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya
menurut kehendak-Nya. Wahai Muaz!”. Jawabku: “Ya Saiyidil Mursalin.”
Sabda
Rasulullah SAW: “Sekarang aku akan menceritakan kepadamu, bahawa apabila
dihafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak
dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai hujah di hadapan Allah
kelak. Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan
langit dan bumi. Setiap langit ada seorang malaikat yang menjaga pintu langit
dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut kadarnya
pintu dan keagungannya. Malaikat yang memelihara amalan si hamba akan naik ke
langit membawa amalan itu ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada
malaikat Hafazah: ‘Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke
muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang
umpat.”
Esoknya
naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga
pintunya berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya sebab dia
beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan
amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang lain.” Kemudian naik lagi
malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga
langit berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia
seorang yang sombong.”. Rasulullah SAW meneruskan sabdanya: “Berikutnya
malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga
langit itu berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang
yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub.”
Seterusnya
amalan si hamba yang lulus di langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya
dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit kelima penjaganya
berkata: “Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang
Allah berikan pada hamba-Nya yang lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah.
Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak
terima amalan pendengki dan hasad.”
Di
langit keenam, penjaga pintu akan berkata: “Saya penjaga rahmat. Saya
diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka pemiliknya
kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang mendapat musibah dia
merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini.’
Malaikat
Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang lepas hingga langit ketujuh.
Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu
ialah solat, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga
pintu langit berkata: ‘Saya ini penjaga sum’ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si
pengamal ini ingin masyhur dalam kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di
saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari
para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan melintasiku.
Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riyak. Allah tidak
akan menerima dan mengkabulkan orang-orang yang riyak.”
Kemudian
malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni solat, puasa,
zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi
malaikat ke langit ketujuh hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke
hadrat Allah SWT. Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan
amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah.
Tetapi
firman Tuhan: “Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pengintip
hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan
amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain,
menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha
Mengetahui. Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa
saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama
dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang
yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang
kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya?
Laknat-Ku tetap padanya.”
Dan
ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata:
‘Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi
mereka.’ Dan semua yang di langit turut berkata: ‘Tetaplah laknat Allah
kepadanya dan laknat orang yang melaknat’.”
Sayidina
Muaz kemudian menangis teresak-esak dan berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana aku
boleh selamat dari apa yang diceritakan ini?”. Sabda Rasulullah SAW: “Hai Muaz,
ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan.” Muaz bertanya kembali: “Tuan ini
Rasulullah sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh
selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?”
Sabda
Rasulullah SAW: “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah
lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh
dengan aib, maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain. Jangan riyak
dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang
mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika
di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada
orang lain nanti luput amalanmu dunia dan Akhirat dan jangan berkata kasar dalam
suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit
apabila membuat kebaikan. Jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu,
kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing jahanam.” Sebagaimana firman
Allah yang bermaksud: “Di Neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia.”
Muaz
berkata: “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?” Jawab
Rasulullah SAW: “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang
dimudahkan Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi
orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku
kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu
akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”
Amal
ibadah akan tertolak percuma ibarat debu-debu ber-terbangan kalau keikhlasan
hati tidak ada. Untuk menentukan amal ibadah itu ikhlas bukan boleh ditentukan
dengan kata-kata. Misalnya: “Saya beri ini dengan penuh ikhlas.” “Saya buat ini
ikhlas untuk awak.” “Kutujukan ikhlas untukmu.” “Saya yang ikhlas.” “Saya bantu
awak dengan ikhlas hati.” Tidak perlu disebut ikhlas. Tidak usah ungkapkan
kata-kata tersebut. Ikhlas itu bahasa hati atau kerja hati. Kalau disebut,
ternyata tidak ikhlas. Sebab itu diam sahaja lebih baik. Kita tidak tahu apakah
kita ikhlas atau tidak. Malaikat yang kerohaniannya tajam pun tidak tahu,
mengapa kita yang kerohaniannya tidak tajam mengaku kita ikhlas. Inilah tanda
tidak ikhlas.
Kalau
begitu bagaimana hendak mengesan amal ibadah itu ikhlas atau tidak? Kita bawa
contoh-contoh di bawah ini sebagai panduan untuk mengukur keikhlasan kita.
1.
Apakah kita solat, wirid, zikir, doa dan baca Quran di rumah dengan di masjid
ada perbezaan? Di rumah kita buat cepat-cepat dan lebih kurang sahaja sedangkan
di masjid kita lakukan dengan penuh teratur, tertib, sopan, dengan suara sedap
atau cuba sedap-sedapkan suara kita. Ertinya kita buat lebih baik bila berada
di masjid yakni di depan orang ramai. Itu tandanya tidak ikhlas.
2.
Pernahkah kita tidak buat solat sunat sewaktu di rumah tetapi kita buat atau
buat lebih banyak kalau di masjid? Kita buat kerana takut orang kata atau malu
pada orang. Itu tanda tidak ikhlas.
3.
Kalau ada orang puji, apakah ada rasa berbunga, sedap dan suka hati? Waktu
dikeji adakah rasa marah atau sempit dada dan sedih? Kalau terasa megah atau
sedih, ertinya belum ikhlas.
4.
Apakah kita menderma dengan bersyarat, misalnya mesti ditulis dalam daftar atau
disiarkan dalam akhbar dan tv? Kalau tidak, kita tidak mahu menderma untuk
masjid, surau, anak yatim, sekolah Islam dan lain-lain lagi. Atau terpaksa
ditulis nama kita pada mana-mana batu asas. Kalau tidak, kita tidak menderma.
Itu tanda tidak ikhlas.
5.
Adakah kita membaca Al-Quran bertujuan untuk dapat hadiah besar atau piala dan
lain-lain? Kalau tidak kita malas atau langsung tidak membacanya. Ini tanda
tidak ikhlas.
6.
Cuba kita renung-renungkan, adakah kita buat kebaikan kemudian suka sebut-sebut
atau dengan harapan supaya orang itu balas kebaikan kita? Apakah selepas kita
berbuat baik pada seseorang, kemudian bila dia lukakan hati kita, langsung kita
berkata di depan atau di belakangnya: “Tidak patut engkau buat begini pada aku.
Aku dah banyak tolong engkau. Kalau aku tak tolong selama ini, susah engkau.
Memang orang tak kenang budi.” Ini juga tanda tidak ikhlas.
7.
Pernahkah kita menderma hanya di depan orang tetapi kalau secara sembunyi, kita
tidak menderma? Ini juga tidak ikhlas.
8.
Apakah kita suka segala kebaikan hanya dicetus oleh kita sahaja? Bila orang
lain yang buat kebaikan itu, kita tidak suka. Ini juga tidak ikhlas.
9.
Adakah waktu kita berjawatan, kerana ada gaji dan elaun maka kita aktif dan
gigih berjuang memperkatakan Islam? Kita bersyarah merata-rata tempat. Tapi
bila tidak ada jawatan, kita tidak minat buat kerjakerja itu lagi. Atau kita
ditukar jawatan, bukan jawatan agama lagi, langsung kita tidak minat sebut
Islam lagi. Ini ada udang di sebalik batu namanya, tanda tidak ikhlas.
10.
Apakah kalau pergi berdakwah di tempat yang jauh itu kita pandang pada elaun?
Kalau tidak ada mileage dan elaun kita tidak pergi. Atau kalau pergi pun dengan
hati yang berat. Terpaksa. Ini juga tanda tidak ikhlas.
11.
Apakah kita ghairah menyebut Islam ini hanya dalam pidato-pidato atau
seminar-seminar saja tetapi dalam perbualan-perbualan biasa tidak sibuk
mengatakannya? Ertinya tidak sebut langsung fasal Islam. Ini juga tidak ikhlas
kerana ada motif nama dan kemasyhuran.
12.
Adakah kita sanggup mengajar hanya kerana kita diberi gaji? Kalau tidak ada gaji,
kita tidak sanggup? Atau kalau mengajar juga secara terpaksa kerana takut
dikatakan, ‘Ada ilmu, tapi tidak sampaikan ilmu!’. Itu tanda tidak ikhlas.
13.
Pernahkah kita memperkatakan Islam itu hanya sewaktu-waktu kita harapkan dapat
kerusi di Parlimen? Atau hendak tambat hati rakyat dengan harapan parti kita
dapat memerintah? Tapi bila tidak ada kerusi lagi atau sudah tua, kita tidak
sibuk-sibuk lagi memperjuangkan Islam. Ini ada kepentingan diri namanya. Juga
tidak ikhlas.
14.
Adakah kita buat teguran hanya pada orang-orang kecil atau orang bawahan
sahaja? Tetapi bila tuan-tuan di atas kita buat kesalahan, kita tidak berani
hendak tegur? Ini tanda tidak ikhlas.
15.
Adakah di depan ramai sahaja kita kuat jaga disiplin? Berlakon jadi baik. Bila
di belakang orang, hilang disiplin. Mulalah tidak dapat hendak kawal mata
keranjang. Mula tidak dapat mengawal telinga, dan tidak berakhlak. Ini
berakhlak tidak ikhlas namanya.
16.
Adakah bila kita ada jawatan dalam kampung atau di masjid atau apa-apa juga
jawatan dalam masyarakat, baru mahu berkorban? Tetapi bila tidak ada jawatan,
tidak mahu berkorban lagi. Itu tanda kerja kita tidak ikhlas.
17.
Renungkanlah, apakah kita mahu belajar Islam kerana ada jaminan masa depan?
Kalau tidak, mungkin kita tidak belajar. Atau tidak bersungguh-sungguh belajar
Islam. Ini juga tidak ikhlas.
18.
Pernahkah kita beri bantuan kerana orang itu berbuat baik kepada kita?
Sedangkan kalau orang tidak berbuat baik pada kita, kita tidak suka
membantunya, walaupun orang itu patut dibantu. Ini juga tidak ikhlas.
19.
Adakah kita rasa tidak senang bila ada orang sekali-sekala menggantikan kita
berceramah atau bersyarah di tempat-tempat kebiasaan kita. Atau kita rasa
bangga atau rasa senang hati kerana dia membantu kerja-kerja kita buat kebaikan?
Jika tidak, ini juga tidak ikhlas.
20.
Pernahkah terjadi dalam mana-mana mesyuarat atau mana-mana perbincangan, kita
mahu biarlah cadangan-cadangan yang baik dan bagus hanya datang dari kita?
Kalau ada orang lain turut sama memberi pandangan walaupun baik, kita rasa
tidak senang? Ini tanda tidak ikhlas. Orang yang ikhlas, dia mahu orang lain
juga dapat memperkatakan kebenaran. Bukan hanya melalui dirinya seorang.
21.
Adakah depan orang ramai saja ilmu Islam itu jadi bualan kita tetapi bila
berhadapan dengan anak isteri, kita bungkam? Malas hendak memperkatakan Islam.
Tidak ghairah hendak sebut hal-hal Islam atau hal-hal perjuangan. Ini juga
kerana bermotif nama dan kemasyhuran. Depan anak isteri mana dapat nama atau
kemasyhuran.
22.
Adakah kita hantar anak belajar di satusatu sekolah kerana mengharapkan
didikan, tarbiah dan akhlak yang baik? Bukan kerana jaminan sijil atau dapat
kerja? Atau sebaliknya yakni kalau tidak ada sijil atau tidak ada jaminan
kerja, kita tidak hantar anak kita walaupun sekolah itu baik didikannya? Ini
juga tidak ikhlas.
23.
Adakah kita menutup aurat kerana orang suruh atau menutup aurat ini hanya di
tempat-tempat yang tertentu sahaja? Atau di majlis-majlis rasmi sahaja seperti
majlis kematian. Atau menampakkan sebahagian anggota yang terlarang atau
pakaian terlalu ketat atau jarang? Atau bertudung untuk bermegah-megah? Ini
semua tidak ikhlas.
24.
Seorang yang pernah kita beri bantuan kerana dia patut menerima lantaran
kemiskinan atau kesusahannya, kemudian dia cacatkan hati kita, apakah kita
terus memberikan bantuan itu? Kalau kita teruskan memberi bantuan itu
kepadanya, itu tanda ikhlas.
Cukuplah
setakat ini contoh-contoh yang lumrah berlaku di tengah-tengah kehidupan kita.
Agar ia menjadi kayu pengukur sejauh mana keikhlasan kita selama ini. Kita
tentu ada penga-laman bersama dalam salah satu hal-hal yang berlaku di atas.
Kalau begitu ukurlah diri masing-masing, apakah usaha-usaha, kerja-kerja dan
amal ibadah sudah ikhlas atau belum?
Untuk
mendapat ikhlas amat susah. Tetapi bila tidak ada ikhlas, ertinya tidak ada roh
amal. Tidak ada nyawa ibadah. Walaupun manusia itu nampaknya hebat, di sisi
Allah, tidak ada apa-apa nilai. Kosong. Ibarat habaan mansura yakni habuk-habuk
yang berterbangan, hilang begitu sahaja. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa
kepada Allah SWT: “Ya Allah jadikan kami orang yang ikhlas. Jadikan usaha kami
kerana-Mu. Jangan diselit di hati kami selain-Mu. Pimpinlah kami wahai Tuhan.
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Agar usaha-usaha kami tidak sia-sia.
Amin. Ya Rabbal’alamin. Ya Mujibassailin, Wahai Tuhan yang menunaikan segala
permintaan orang yang meminta.”
Sesungguhnya
orang-orang yang ikhlas itu balasannya ialah syurga seperti sabda Rasulullah
SAW: Allah SWT berfirman, “Aku menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh
(ikhlas), apa yang belum terlihat oleh mata dan belum terdengar oleh telinga
dan tidak pernah terlintas dalam hati.” (Muttafaqun ‘Alaih) - Waullahu 'Alam -
Baitul
Kasih
1 comment:
Verry thoughtful blog
Post a Comment