DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, April 13, 2013

Pengurusan Diri Sendiri


Mengurus diri penting jika mahu jadi orang berjaya. Seimbangkan pelbagai aspek dalam pengurusan diri. Jangan menumpu kepada satu-satu aspek kecemerlangan sahaja. Urus diri kita sebelum kita cuba mengurus diri orang lain. Sekecil-kecil perkara dalam rutin seharian, kita harus urus sendiri. Jika kita mengharapkan orang lain untuk menguruskan diri kita seperti basuh tidaknya pakaian kita, kebersihan diri kita, kewangan kita, makan minum kita, hatta beg sekolah dan kotak pensil kita, anggapkan diri kita sudah mati seperti jenazah yang tidak mampu mengurus dirinya sendiri!
Apa yang hendak diurus?

FIZIKAL DIRI: Keseimbangan Jasad Lahiriah.
Kejadian jasad kita ini bukanlah matlamat kehidupan tetapi kita memerlukan jasad lahiriah untuk mendapatkan kemenangan yang kekal abadi di akhirat. Kalau kita tidak mengurus jasad kita dengan baik, cita-cita kita tidak akan kesampaian. Sebaliknya jika kita berlebih-lebih mengurus jasad lahiriah, kita terlupa perkara yang lebih penting dalam hidup ini iaitu pengisiannya.

Apa aspek fizikal diri yang hendak diurus?
·         Kebersihan Diri: Kebersihan tubuh badan: Kulit, gigi, kuku, anggota sulit.
·         Fungsi Pancaindera: Lahir dan batin - Mata, telinga, lidah, daya sentuh, hidung.
·         Jaga Penampilan Diri: Rambut, solekan, elak tabarruj, aksesori, perkataan,bahasa badan.
·         Jaga Pemakanan: Berzat, enak, halal, mengikut waktu, tidak membahayakan dan tidak berlebihan.
·         Istiqamah Riadah: 1/2 jam sehari. Elakkan riadah melampau dan merbahaya.
·         Kebersihan dan Kesesuaian Pakaian: Bersih, wangi, kemas, harmoni, menutup aurat, sesuai dengan fungsinya.
·         Kebersihan dan Keselamatan Tempat Tinggal: Ada rumah, bilik, study table, work station, aliran udara yang baik, bersih daripada najis, perhiasan yang bermanfaat, peralatan yang membantu.
Foto: Solat menggabungkan empat aspek pengurusan diri: Fizikal (Kebersihan & Pergerakan Rukun Fikli), Mental (Hafalan bacaan & Rukun Qauli), Emosi (Khusyuk & Ehsan kepada Allah) dan Rohani (Ketaatan & Penabdian).

MENTAL DIRI: Kekuatan Minda (Otak)
Kita hendaklah mengurus mental kita dengan cemerlang. Mental kita terdiri lebih daripada 10 bilion sel yang setiap satu mempunyai keupayaan seperti sebuah komputer kerangka utama (main frame computer) sebesar sebuah bilik. Rugilah hidup kita jika aset terpenting ini kita abaikan.

Bagaimana mengurus minda?
·         Lahirkan otak yang cergas.
·         Elakkan daripada merosakkan otak seperti merokok, mengambil dadah, melihat bahan lucah, melihat najis, melihat benda kaku seperti batu nisan, patung berhala, palang gereja, dll.
·         Timbulkan keyakinan dari kekuatan diri. Apa yang mampu difikirkan oleh otak, mampu dicapai oleh jasad.
·         Tambah pengetahuan. Jika kita pelajar, jadilah pelajar cemerlang.
·         Tingkatkan kemahiran diri.
·         Tambah hobi yang bermanfaat.
·         Tambah keupayaan minda. Berfikir dengan lebih kritikal dan rasional.
·         Luaskan perjalanan dan pengembaraan.
·         Ajarkan ilmu kita kepada orang lain.

EMOSI DIRI: Kekuatan Perasaan.
Kekuatan perasaan datang daripada hati. Hati kecil sentiasa dipimpin oleh Tuhan membenarkan perkara yang baik. Apa-apa yang tidak pasti dalam hidup kita kita tanyalah hati kecil kita. Ini juga dipanggil fitrah. Orang yang menyalahi fitrah membuat perkara yang songsang.


Bagaimana mengurus hati?
·         Jagalah hati dengan sempurna.
·         Berbuatlah baik dengan semua orang.
·         Buang sifat dendam kesumat.
·         Jangan iri hati secara negatif (sakit hati dengan kejayaan dan kelebihan orang lain).
·         Jangan gusar dengan kesenangan dan kekayaan orang lain.
·         Jangan rasa rendah diri dengan kekurangan atau kemiskinan diri dan keluarga.
·         Tingkatkan daya juang.
·         Tahan tekanan. Ingat: Kita hanya tidak berdaya menahan tekanan apabila jasad kita sudah tidak bernyawa.
·         Hadapi kesusahan dan kemiskinan hidup. Kesusahan dan kemiskina hanya sementara. Lihatlah orang yang dahulunya susah sekarang sudah senang.
·         Suburkan sifat berlumba. Berlumbalah dengan diri sendiri, jangan berlumba dengan orang lain. Kita akan sentiasa menang jika berlumba dengan diri sendiri.

ROHANI DIRI: Kekuatan Dalaman.
Kekuatan rohani berbanding kekuatan jasmani seperti seekor burung di dalam sangkar. Jika burung itu kuat, dia boleh terbang membawa sangkar. Rohani kita jika kuat boleh menerobos alam semesta ini tanpa batasan. Orang yang kuat rohani, dunia fizikal ini ringan baginya.

Hari ini kita susah untuk berjumpa dengan orang yang kuat rohani. Tetapi bagaimana kita mahu menafikan kekuatan dan kemenangan para sahabat, para pejuang serta para nabi terdahulu. Kekuatan dan kemenangan mereka menakluk dunia adalah cerita benar.
Tempias kehebatan orang yang kuat rohani yang masih tersisa hingga ke hari ini ialah seperti menangnya Mujahidin di Afghanistan menghalau Rusia keluar daripada tanah air mereka, kekuatan kumpulan-kumpulan tarikat dan sufi membentuk jemaah dan pembangunan di serata dunia dan kejayaan beberapa banyak kumpulan underdog, kecil dan lemah mengalahkan lawannya yang kuat dan dominan.

Foto: Ini tongkat ali yang dibawa keluar dari hutan Pahang. Hari ini ramai orang yang mencari ramuan tongkat ali untuk menjana kekuatan lahiriah. Berapa orang yang mencari tongkat iman untuk menjadi perkasa?

Bagaimana mengurus kekuatan rohani?
·         Kerjakan solat seolah-olah kita dapat melihat Tuhan. Ingatlah jika kita tidak dapat melihat Tuhan sesungguhnya Tuhan sentiasa melihat kita.
·         Yakin dengan kekuasan Tuhan.
·         Meletakkan pengharapan yang tertinggi kepada Tuhan. Rasa seperti permohonan kita sentiasa didengari dan dimakbulkan Tuhan. Kalau tidak segera mungkin lambat sedikit. Kalau tidak di dunia pasti di akhirat nanti.
·         Letakkan kebergantungan kita hanya dengan Tuhan. Yakin akhirnya Tuhan akan memberi kemenangan kepada kita.

Catatan motivasi Haji Muhammad Zakaria

No comments: