Sekarang
ni ramai yang bersikap sombong dan menghina atau
memandang rendah pada orang lain. Lebih teruk lagi bila ada yang
menghina sesama muslim. Sifat suka menghina dan merendahkan orang lain timbul
bila adanya perasaan sombong dan ego dalam diri kita. Orang yang sombong sikapnya
akan memandang rendah manusia lain kerana merasakan ada sesuatu kelebihan yang
ada pada diri mereka. Lihat saja contoh sifat sombong yang ada pada Iblis yang
enggan sujud kepada Nabi Adam. Tak cukup dengan kesombongannya itu, malah tidak
menurut perintah Allah dan sanggup menghina Nabi Adam dengan mengatakan
kejadiannya daripada Api itu lebih mulia daripada Nabi Adam yang dijadikan
daripada tanah yang hina.
Sesiapa
yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya
selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling menghormati, bantu-membantu dan
tolong-menolong. Apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak
menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang
telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah
bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat
demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
7
Jenis Sombong Yang Dilaknat Tuhan
Sombong
kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau
ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh didada, dia menganggap orang lain jahil
belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak
diterimanya. Orang yang sombong seumpama ini hendakkan dirinya selalu dihormati
oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang
bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia. Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat
kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)
Sombong
kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri
mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga
menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka. Sedangkan mereka
sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW telah
mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Bahawa siapa yang memuji
dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah tersesat daripada
mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.“
Sombong
kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi
bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan
keramat atau hebat. Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani
Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga
dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia
dikasihi Tuhan.
Sombong
kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina,
seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi
gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.
Sombong
yang berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan,
berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang
rendah orang yang kurang berada.
Sombong
kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya
badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca, kunyah besi, boleh menarik
bas dan lori hanya dengan gigi, boleh dihempap badan dengan batu dan besi, atau
sebagainya.
Sombong
dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang
alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga
dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak parang dan dijilat api.
Oleh
itu, hendaklah kita memeriksa diri kita betul-betul, lihat sama ada 7 perkara
yang membawa kepada penyakit sombong ini ada pada kita atau tidak. Penawarnya
ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong ini hanya akan memakan diri.
Tidak sekarang, mungkin di masa akan datang. Ubatilah sifat sombong itu dan
jangan sesekali menghina orang lain kerana ianya sifat yang dilaknat oleh
Allah. Fikirkanlah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang
sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam
bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya
mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)
No comments:
Post a Comment