Sabar
satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat
sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya
sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai
seperti sekarang.
Dengan
sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun
berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.
Dengan
sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun
ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana
mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.
Dengan
sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang
dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil
hati.
Dengan
sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya
melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.
Dengan
sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan
walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah
tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami
isteri'.
Cuba
kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam
diri manusia, walaupun sekelumit.
Tanpa
sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup
lagi menjadi guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang
rasa marah dan sedih di hati.
Tanpa
sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa
kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam
sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.
Tanpa
sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang
kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing
dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan
saling memaafkan.
Tanpa
sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak
sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji
dengan kesukaran.
Tanpa
sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat
sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama
lain.
Firman
Allah S.W.T yang bermaksud: Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan
golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah
Al-Ma'aarij:ayat 5).
Ketika
sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini benar-benar memberi motivasi
kepada kita. Bagaimana Allah memerintahkan kita untuk bersabar, malah bersabar
dengan kesabaran yang baik. Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu
yang sangat perit sehingga kadang-kadang hati kita mengeluh. Kita tidak perlu
fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali kita bersabar dalam hidup
ini kerana kita perlu melihat apa yang dapat kita peroleh dari sifat sabar ini.
Apabila
kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang
mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu
merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang
Islam anjurkan. Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar
kita telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan
sifat sabar ini kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat
sabar ini kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak
sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.
Untuk
yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan, sama ada nafsu ataupun
iman. Jika menang nafsu, maka kalahlah iman, jika menang iman maka musnahlah
nafsu. Kita yang perlu menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih
nafsu untuk terus marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman
dan sabar. Lihat pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan
dikuasai rasa marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi kita
bertindak diluar batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan negatif pada
kehidupan kita ketika itu.
Namun,
jika kita memilih untuk bersabar, insyaAllah kita diberi ketenangan untuk
membantu kita mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan. Namun
perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita bukan malaikat untuk terus
menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar manusia itu ada juga batasnya dan
kadang-kadang orang yang paling banyak bersabar, sekali dia 'meletup' huru-hara
jadinya.
Oleh
itu, perlunya fungsi kita meletakkan diri kita ditempat orang lain. Malah jika
kita jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum bertindak, kita perlu
berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat orang yang teraniaya itu. Sebelum
kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang yang dibunuh itu.
Sebelum kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain, cuba
bayangkan diri kita yang dilemparkan kata-kata itu. Jika kita mampu meletakkan
diri kita ditempat orang lain, saya yakin manusia tidak akan menzalimi sesama
manusia lagi.
Sabar
itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa
dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai
jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke
belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami
untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah
bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya
orang lain tidak mencari salah kita. Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan
juga untuk kamu wahai sahabat sekelian.
No comments:
Post a Comment