DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, February 2, 2012

Menfaatkan Peluang

Dalam hidup kita ini peluang datang sekali sahaja. Samada peluang yang baik atau sebaliknya harus kita nilai dari minda yang positif sebelum kita ambil supaya tidak tersalah pilih, kita percaya atau tidak, ianya memang benar. Kita wajib menolak peluang yang membawa kemusnahan atau kemudaratan diri kita, ini oleh kerana sekali kita terjebak maka kita menghadapi kepayahan berterusan. Pada peluang yang baik harus kita menfaatkan kerana kalau ada peluang lain datang selepas kita mengabaikan atau melepaskan peluang pertama - itu peluang lain, bukan peluang yang telah berlalu itu. Dan untuk kali kedua ini apakah kita akan melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja buat kali keduanya atau seterusnya. Jangan terkejut ada orang yang mengabaikan setiap peluang yang datang pada dirinya. Ini disebabkan mereka merasakan ada peluang akan datang lagi untuknya, malang sekali kerana kita telah menolak anugerah Allah untuk hambaNya maka kita akan rugi buat selama-lamanya. Jadi ambillah peluang untuk melakukan apa sahaja sementara ianya masih terbuka untuk kita. Lakukan dengan segera selagi pintunya masih terbuka dan belum terlewat. Jangan berlengah.

Pendidikan merupakan kunci pintu untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Tanpa pendidikan yang sempurna, hidup akan kosong walau dilimpahi dengan wang ringgit. Kerana itu, rata-rata kita diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan, namun masih ada yang mempersiakan peluang itu. Peluang pendidikan antara peluang yang biasanya akan datang sekali terutama sekali pendidikan di peringkat sekolah Rendah dan Menengah. Jika kita tidak mengambilnya pada masa yang ditetapkan, peluang itu akan hilang begitu saja. Kalau ada pun, peluang itu mampu diraih semula, ianya agak sukar. Banyak sudah kekangan terutama dari segi umur. Ringkasnya, kita tidak mampu untuk menduduki bangku tingkatan 1 jika tidak menduduki penilaian UPSR, dan bagaimana pula kita mampu menjadi calon SPM kalau tidak mempergunakan sepenuhnya peluang untuk menduduki PMR. Ramai anak muda yang sepatutnya bergelar pelajar gagal memanfaatkan peluang itu. Lalu menyesal yang tiada kesudahan

Peluang untuk mengaut pahala juga datang sekali sahaja. Kalau kita tidak mengambil peluang membaca al-Quran dalam bulan Ramadan yang lalu bermakna kita tidak berpeluang buat kali kedua sehingga datangnya Ramadan tahun depan. Tapi itu sudah dikira peluang baru. Apakah kita akan melepaskan peluang itu sekali lagi.

Begitu juga kalau kita tidak mengambil peluang untuk memimpin tangan seorang makcik yang uzur keluar dari komuter, peluang itu akan direbut oleh orang lain. Apa perasaan kita hidup dalam suasana persekitaran orang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan sedangkan kita?

Kalau kita tidak memberhentikan kereta kita di sebatang jalan raya untuk menolong seorang yang ditimpa kemalangan, ada banyak kemungkinan akan berlaku:

Orang itu akan mati kerana cedera parah atau pendarahan teruk.

Orang lain yang lalu pun berpendirian seperti kita yang tidak mahu menolong.

Kita akan menyesal apabila terbaca di akhbar keesokan harinya yang orang itu mati dalam perjalanan ke hospital 2 jam selepas kita berlalu.

Penumpang lain dalam kereta kita, sama ada keluarga atau kawan kita akan menyalahkan kita kerana sikap tamak dan mementingkan diri sendiri kita itu.

Peluang yang seperti ini jarang berulang kali kedua.

Kalau begitu setiap detik perjalanan kehidupan harian kita adalah peluang yang perlu kita rebut. Masa terus berlalu dan mustahil untuk berulang. Peluang baru datang dan pergi sedetik kemudian.
REBUT LIMA SEBELUM LIMA

Antara peluang lain yang harus kita rebut adalah seperti maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima:

Masa muda kita yang sihat dan kuat sebelum kita di mamah usia.
Masa sihat sebelum kita sakit.
Masa lapang sebelum kita sibuk.
Masa kaya sebelum kita jatuh miskin, dan
Masa hidup sebelum malaikat Maut datang menjemput kita.

Ada anak yang sentiasa bertangguh untuk berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuanya dengan seribu satu alasan:

Sibuk dengan tugas dan kerjaya yang tak kunjung surut.
Tidak ada cuti.
Tidak cukup wang kerana banyak tanggungan.
Jauh.
Letih.

Sedarkah kita bahawa ibu dan bapa kita tidak pernah memberi alasan sedemikian sewaktu mengandung, melahirkan dan membesarkan kita. Kalau kita tidak mengambil sekali peluang yang datang, jangan menyesal kalau kita tidak lagi berpeluang untuk berbakti kepada kedua-duanya apabila menerima berita kematian mereka.

Ambillah peluang untuk membantu sesiapa sahaja yang anda boleh. Rebutlah peluang untuk memberi kasih sayang pada anak-anak dan pasangan anda sementara mereka masih memerlukannya. Buatlah sekarang kerana besok tidak menjanjikan apa-apa. Rebutlah peluang untuk membina legasi anda hari ini. Bertanyalah pada diri anda apakah legasi yang anda akan tinggalkan apabila anda sudah tiada lagi dalam dunia ini. Adakah anda akan dikenang kerana kebaikan ataupun keburukan anda. Ambillah peluang itu sekarang!
Dan akhirnya jangan lepaskan peluang untuk kita bertaubat atas segala kesalahan kita kepada Allah SWT dan kepada manusia. Ringan-ringankanlah mulut untuk meminta maaf atau ringan-ringankanlah tangan untuk memohon ampun kerana sesungguhnya peluang itu datang sekali. Jangan kita langsung tidak berpeluang untuk bertaubat

No comments: