Apapun yang terjadi, Berjalanlah tanpa henti, Air mata tertahan, Waktu untuk dijatuhkan, Nanti kita kan tahu, Betapa bijaknya hidup, Sepahit apapun ini, Pelajaran yang bererti
DOA
‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'
Sunday, July 12, 2015
Mengapa Kita Perlu Solat
Firman
Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaku.” (Az-Zariyat : 56). Kenapa Allah SWT memfardukan
solat kepada hambaNya? Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan
yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana
Allah mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan
oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah SAW di langit iaitu pada peristiwa
Isra’ dan Mi’raj.
Melalui
tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat kepada
manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua keadaan
dan ketika.
Pertama:
Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah - Solat membentuk hubungan antara seseorang
hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan
pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian
dan keselamatan daripada-Nya. Lihat sahaja bentuk amalan
solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal
dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang
Maha Kuasa lagi Agung. Kenapa tidak? Dengan
limpah kurniaan dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan
tubuh badan, zuriat, suami-isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat
yang tidak terhingga?
Baginda
Rasulullah SAW. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga mengajarkan
kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh diamalkan sepanjang kita
melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah
sebelum kita melafazkan ucapan salam. Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang
untuk kita berinteraksi dengan Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji
dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam
pada-Nya. Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa
kita mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan
bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan
kita kepada Allah.
Kedua:
Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa - Solat bukan sahaja menjadi penyumbang
kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa
yang yang lalu. Inilah kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad
SAW yang tidak terdapat pada umat-umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah
pernah menyatakan agama Islam itu mudah. Mengapa tidak? Umat terdahulu seperti pada
zaman Nabi Musa begitu banyak sekali pantang larangnya. Hendak makan daging lembu
sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh dimakan begitu sahaja, ada bahagian-bahagian
yang ditegah daripada menjamunya. Kita umat Nabi Muhammad?
Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah, maka daging lembu tersebut
adalah halal dimakan. Bangsa Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk
beribadah pada hari Sabtu dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan
mereka melakukan tipu daya bagi mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad? Kita
bebas melakukan apa sahaja kerja yang halal pada bila-bila masapun, asal sahaja
kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk mendirikan solat Fardu lima waktu sehari
semalam.
Bagaimana
pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan bertaubat
dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan benar-benar
menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah yang
diwajibkan Allah seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa
kita yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah.
Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat
Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat
tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada
bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan
dosa-dosanya pada masa lalu.
Bagaimana
pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan mereka menduakan
Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-bunuhan sesama
sendiri bagi membolehkan taubat kita diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur
sekarang menjadi umat nabi Muhammad? Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan
yang dianugerahkan Allah seperti dari segi penghapusan dosa. Firman Allah: “Dan
dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi
dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya
amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah
Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
Surah Hud (11): 114 Malah Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan
solat Fardu lima waktu kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali
sehari yakni Allah membersihkan sesiapa yang mengerjakan solat dengan penghapusan
dosa-dosa. Di samping itu dengan solat juga, bukan sahaja
kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengucapkan segala pujian seperti
tasbih, tahmid dan juga takbir ketika melakukan qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain
perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang tidak
terhingga.
Ketiga:
Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat - Pernahkah kita terfikir pabila kita mendirikan
solat bagi menjalankan kewajipan perintah Allah, kita bukan sahaja menerima pahala
yang berlipat ganda dan ditebus segala dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi secara
tidak langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita kecintaan dalam melakukan
aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani. Dengan melakukan solat juga
dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita. Solat menuntut agar setiap muslim,
bangun pagi seawal mungkin dan bersemangat dalam menghadapi tugas-tugas harian sejak
menjelang terbitnya matahari.
Menurut
al-Zahabi: “ Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam bentuk senaman
untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu melibatkan berdiri tegak
(qiyam ) sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat pergerakan-pergerakan
badan berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan tenang”.
Rasulullah SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus
dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam keadaan yang lemah
atau malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut,
ini dapat disaksikan dalam perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya
mengulangi solat yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.
Dengan
ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah
tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa dalam memberikan kerehatan
jiwa dan juga jasmani manusia melalui pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti
amalan ruku’, i’tidal, sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi. Menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik
Universiti Malaya ke atas sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya
lima kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding dengan
kumpulan peserta yang meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan
badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, stres, kolestrol dan lain-lain
penyakit.
Keempat:
Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri - Solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’
juga dapat menumbuhkan pada diri mukmin yang
melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna dalam mengharungi segala
kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan seharian kita.
Al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau al-Tib: “Ibadah solat sentiasa
menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat mengurangkan kebimbangan dan mengawal
perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri
terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan serta
membenci dan sifat balas dendam…Seseorang boleh menemui cara-cara untuk menyelesaikan
masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan seseorang itu boleh memeriksa diri sendiri
terutamanya apabila seseorang itu benar-benar menghayati solatnya. Waktu yang paling
baik ialah – selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam
keadaan sunyi sepi”.
Ini
jelas sebagaimana firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan
(kepada Allah) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang
yang sabar.” Dengan ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan
berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan
keji dan mungkar. Firman Allah SWT: “Bacalah serta ikutlah
(wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah
solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan
mungkar” Surah al-‘Ankabut (29): 45
Kelima:
Memberi Keupayaan MentalDan Kekuatan Dalaman
Yang Tinggi - Selain dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat
yang dapat membantu mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan
serta menjauhi perkara maksiat dan juga mungkar, dengan mengerjakan solat juga akan
dapat mengukuhkan moral dan mental seorang mukmin. Ini kerana
ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan ilahi, memelihara
aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan Nya serta sanggup
mengatasi sifat-sifat kemalasan dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat
kelemahan manusia yang lainnya.
Antara
contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit kegelisahan
atau Anxiety. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat. Firman
Allah: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil
kedekut); -Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia
beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan
solat – Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solat” Surah al-Ma’arij (70): 19-23.
Daripada ayat ini, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara
merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah
seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah yang dibaca secara berulang-ulang
ini berdasarkan perasaan rindu kepada-Nya dapat mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan
serta menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain itu,
ibadah solat juga dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah dan
Rasul-Nya. Cinta yang mendalam ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa
mengingati Allah serta takutkan kebesaran-Nya.
Melalui
ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara ini dapat
memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan,
selain dari dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui
doa yang dipanjatkan kepada Allah. Ia juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling
atau Psycho Therapy kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang
kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi. Adapun
dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat, buruk dari
segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga gerakan-gerakan anggota badannya
tanpa disertai kehadiran akal dan kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau
impak yang mendalam dalam pembangunan mental seseorang.
Berbeza
jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’ dapat memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada
dunia, serta mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta
dan kekuasaan. Malah menurut kajian, seseorang yang memahami
bacaan semasa solat dengan baik mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran
yang lebih tenang selepas solat berbanding dengan seorang yang tidak faham sepenuhnya
bacaan semasa solat.Selain menjauhkan jiwa seseorang daripada
bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran agama Islam. Firman Allah: “Orang-orang
yang beriman dan hati mereka tenang karena dzikir kepada Allah.Ketahuilah sesungguhnya
dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang” Surah al-Ra’ad (13): 28
Begitu
juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah: Menurut riwayat Ahmad, apabila
Rasulullah SAW mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan,
“Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan solat.” Apa
yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai pelbagai kelebihan
serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawati segala kekusutan
yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment