Kita
sering mahukan hari yang cerah, tetapi Allah lebih mengetahui, hakikatnya hujan
perlu diturunkan. Kita ingin seringkan keseronokan, jauh sekali akan kesusahan
tetapi Allah lebih mengetahui kesusahan itulah yang mengajar erti kehidupan. Kita
sering menginginkan ketenangan, hakikatnya diri kita penuh dengan dosa dan
kejahatan. Kita sering mempersoalkan, Ya Allah, kenapa semua ini terjadi pada kita
sedangkan hati kita tidak menginginkannya? Kenapa berat sangat ujian ini? Dan bagaimana
untuk kita menghadapi semua ini? Semuanya telah Allah SWT jelaskan Al-Quran di
atas setiap perkara yang kita persoalkan. Maha Suci Allah dari menzalimi
hamba-hambaNya bahkan manusia itulah yang banyak menzalimi dirinya dengan
melakukan dosa-dosa.
Firman
Allah SWT mengingatkan kita, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat
baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat
216), “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan
Kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah ayat 286), “Dan mintalah pertolongan (kepada
Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu
amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah ayat
45).
Ujian
adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian
terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu.
Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah
atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja
hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian
tersebut. Hati berdendam dan mudah buruk sangka. Yang dahsyatnya ialah bila hati
jadi buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu. Allah Maha Pengasih,
jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya.
Marilah
kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian
sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar,
redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan
diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat
sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu
bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati
Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi
tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang
dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk
memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu
sehingga bila-bila.
Ujian
juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa
mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat
sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu). Bagi orang yang Allah
kasih, di dunia lagi Allah sudah berikan hukuman, tidak di akhirat. Yakni
dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan
pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran
pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha,
malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi
dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu
hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih
dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia
lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih
daripada dosa.
Adakalanya,
kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah
sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan
redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan
harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan. Apabila kita
diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya
orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa;
menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit,
hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah
mudah diterimanya.
Bagaimana
pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini
sangaja didatangkan agar terasal diri kita ini lemah, tiada kuasa untuk menolak
ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus
membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat.
Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap,
merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta
segala-galanya.
Ujian
juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin
diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.
Firman Allah dalam surah Al Imran; 142: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan
masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di
antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”. Firman Allah dalam
Surah Az Zumar;10: “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala
tanpa hisab.”
Allah
takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala
sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau marah-marah
pada Allah, insyaAllah ganjarannya di syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji
kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya
dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih
Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan
mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka.
Tatkala
Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima
dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan
najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang
berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab: “Biarkan
mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih
jahil.”
Demikianlah,
orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji.
Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah
jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian
kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi
hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai
perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….
Marilah
kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua
murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid
yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera
terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya
lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi
bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya,
dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa
harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula
menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia tidak
mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah
dirotan.
Begitulah
halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk
mendidik kita. Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita.
Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian
yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah;
mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita
selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu
didikan terus dari Allah.
Dan
ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada
1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut
ketika diuji? Semuga artikel ini dapat menjelaskan dan membentuk jiwa yang
bertaqwa kerana inilah jalan keluar bagi setiap kemelut masalah yang dihadapi manusia …..mampukah kita? “Barangsiapa
bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.” (
At-Talaq: 2 )
1 comment:
maasyaa Allah, keep writing. :) kunjungi juga blog ku http://nirmamagfirah.blogspot.com/
Post a Comment