Bismillahirrahmanirrahim,
“…Dan
sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya
Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang
mematikan dan menghidupkan…”- (An-Najm: 42-44)
Wahai
insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji, Pujuklah hati kita
andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpit kita. Bukan Allah tidak peduli.
Bukan Allah hendak menyeksa kita. Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan
doa-doa kita, bukan Dia tidak kisah air mata kita. Dia cuma hendak kita tahu
bahawa Dia menyayangi kita. Sangat menyayangi kita.
Masakan
tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini, kitalah pilihannya. Dia
memilih kita kerana Dia ingin kita kembali padaNya. Mungkin selama ini, kita
lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin selama ini kita
kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan pada kita. Limpahan nikmat
yang kita perolehi jarang sekali kita syukuri. Bahkan kita tambahi dengan
keluhan. Maka, muhasabahlah.
Wahai
calon penghuni syurga,
“Mahasuci
Allah yang menguasai segala kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.
Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang
lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”- (Al-Mulk: 1-2)
Pujuklah
hati kita andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagi kita. Bukan
Allah tidak tahu, betapa dengan ujian dariNya ini, membuat kita terduduk,
membuat kita menangis dan membuat kita lebih banyak ingat Dia. Allah tahu itu
dan ketahuilah Allah sentiasa memerhati kita dengan pandangan kasih sayang. Dia
sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupan kita.
Dan
perancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna. Dia tahu kita merancang
itu dan ini, Dia tahu kita mahu itu dan ini, namun yang terjadi adalah
sebaliknya. Kita perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik
perancang.
Wahai
sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman,
Hidup
ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah. Dia beri kita
nikmat sepasang mata, kerana kita pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kita
terfikir andai selepas ini Dia mengambil nikmat itu? Dia beri kita nikmat
sepasang kaki, kerana kita pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kita
terfikir andai kaki kita patah dan kita disahkan tidak boleh berjalan lagi? Dia
beri kita nikmat sihat, kerana kita pilihanNya untuk merasa nikmat itu.
Pernahkah kita terfikir betapa banyak manusia yang sakit dihospital amat
menginginkan untuk kembali sihat?
Bahkan,
Dia juga beri kita nikmat ada duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat
belajar dan bermacam-macam lagi. Tapi sayangnya, kita selalu lupa untuk
mengamalkan sifat Qanaah yakni merasa cukup dengan pemberianNya. Maka,
refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi
dikemudian hari iaitu diakhirat sana.
Yakinlah
orang yang percaya akan janji-janji Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira
tidak lama lagi kepada kita dari jalan yang kita tidak sangka-sangka, cepat
atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji. Allah
tidak akan mensia-siakan orang yang melakukan kebaikan termasuk usaha kita
untuk bersabar dan redha dengan setiap dugaan dariNya. Jika bukan didunia,
mungkin ganjaran kita disyurga sana. Percayalah dengan hebat bahawa Allah
sesekali tidak akan mengecewakan kita kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha
Memberi.
Tidak
dapat dinafikan ada ketika kita bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya
sakit sangat. Apatah lagi pada masa itu orang sekeliling kita seakan tidak
memahami kita. Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah. Allah sendiri
berpesan dalam Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan
(kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang
sabar.”- (Al-Baqarah: 153) Tidakkah ayat dariNya itu menggugah jiwa kita? Belum
cukup tergerakkah diri kitauntuk mencuba tips yang Allah ajari?
Lihatlah
kehidupan ini dengan teliti, pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif
dan professional serta cubalah belajar dari setiap yang kita perhati. Mungkin
dari situ kita dapat ingat Dia. Ingin saya membawa diri saya dan pembaca semua
satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman kita mengenai
ujian dalam kehidupan ini.
Kita
bayangkan sebuah rumah. Dalam pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap.
Perlu ada duit (peruntukan kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen,
paku, pasir, dan sebagainya. Prosesnya juga banyak dan pelbagai, susun batu
bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya. Kadangkala tukang buat rumah itu
berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar. Dan
mungkin ada ketika tukang itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat,
dia minta cuti, dia sakit dan bermacam-macam lagi. Lihat. Untuk membuat rumah
saja, mengambil masa dan ada proses-prosesnya yang harus dilalui. Tersalah
sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.
Begitu
juga kita dalam kehidupan ini. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai ‘turning
point’ kita agar kembali kepadaNya. Allah beri tempoh yang tertentu untuk kita
lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan
bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa. Mungkin ada masa kita terduduk
seketika, mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kita mengumpul segala
kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus asaan kita.
Ada
masa kita mampu bertahan, namun ada masa kita rebah, tidak tertahan dan airmata
kita pun tumpah membasahi pipi. Kita menangis semahunya, kita berdialog
semahunya. Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kita lakukan termasuk
yang terlintas dihati kita semasa mendepani ujiannya ini. Dan sampai satu saat,
semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan berlalu pergi. DAN ADA UJIAN YANG
LAIN MENANTI PULA.
Amat
beruntunglah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya
samaada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusuhan, dia semakin dekat dengan
pencipta, dia semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya. Amat
rugilah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih
ditakuk yang sama. Mengeluh tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini.
Wahai
yang hidup dan akhirnya akan mati,
Ujian
berbentuk kesenangan atau kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan.
Allah menguji setiap hambanya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar
kemampuan seseorang itu, dan pada masa yang tepat. Mahu ataupun tidak mahu,
kita kena menerima dan menghadapi dugaan yang medatang. Siapa kita untuk
mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri
perintahNya yang diperintahkan kepada kita?
Amat
baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat
untuk mendepani hari-hari yang mendatang. Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Allah, Dia uji kita bersebab. Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak
angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala
pada kita. Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.
Wahai
diri yang lemah yang mendambakan kebahagiaan didunia dan di akhirat,
Andai
dugaan itu menjenguk kita, tidak dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah.
Kekuatan itu milikNya, maka mohon kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan
Dia. Usahakan untuk perbaiki iman. Solat jangan tinggal dan usahakan solat
diawal waktu, lazimi juga diri dengan istighfar dan selawat, dan cuba buat
ibadah yang kita tak pernah buat/ tak biasa buat seperti solat tahajud,
qiamulail, solat dhuha, dan sebagainya.
Dari
situ, insya-Allah kita akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan
redha dengan apapun yang terjadi dalam kehidupan kita. Dari situ kita akan
rasa, betapa nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah
dalam ketaatan untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah
kesudahan yang baik. Saya rasa ada benarnya ayat ini: “Bukan beratnya ujian
yang membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang
menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.”
"Allah tidak
membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala
(dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang
dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum
kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau
bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada
orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami
apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan
rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum
yang kafir." (QS 2.Al Baqarah:286) - (Afdholul Rahman)
1 comment:
WAHAI JIWA... TABAHLAH DENGAN UJIAN YANG ALLAH BERIKAN INI..KEHILANAGAN ORANG YANG TERSAYANG ADALAH SATU UJIAN BERAT YANG ALLAH KURNIAKAN..REDHO DENGAN PERANCANGAN NYA..DIA MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA-GALANYA......
Post a Comment