Apakah
sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah
tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam
masa yang sama orang lain terus dilanda masalah walau bertukus lumus untuk
mengapainya?
Jawapannya
ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali
setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip
yang berhubungkait dengan jenis masalah. Penulis yang menemui jawapan ini dalam
buku “Tough Times Never Last, But Tough People Do” oleh Dr. Robert H. Schuller
ingin berkongsi dengan semua pembaca tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6
petua ini dipetik daripada buku tersebut.
1.
Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah
Apakah
masalah kita? Kita tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin kita berfikir bahawa
setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai
pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke
tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat
kerja yang tidak mereka sukai. Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah
mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai
ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun
pengurusan kakitangan. Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya?
Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap
kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah
ini sebagai satu hakikat hidup seharian.
2.
Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad
Setiap
masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua. Ketepatan kenyataan ini
adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia
menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi
kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju
kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.
3.
Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif
Setiap
masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada
untuk diri kita atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh
dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya,
seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak
sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis. Masalah
yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada
orang lain.
4.
Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Kita
Sebagai
contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi
bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak
ada kaitan dengan kerjayanya. Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi
sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah
kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan
pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa
ia juga boleh berjaya dalam hidup. Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja
kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus
berusaha hingga berjaya.
5.
Kita Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah
Kita
mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi kita boleh merancang tindakan
balas terhadapnya. Sekiranya kita mengawal rancangan tindakan balas terhadap
masalah hidup, bermakna kita telah dapat mengawal masalah yang melanda diri
sendiri. Masalah boleh membuat kita lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh
membuat kita hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung
kepada diri kita.
6.
Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif
Akhir
sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan
yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif
dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah. Misalnya,
apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang
rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan
diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk
atau sebagainya? Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian
sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru. Tindakan positif
terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah
pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan
berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan
paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah
menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.
Kesimpulannya “Sekiranya kita tidak dapat selesaikan masalah, maka kita harus
mengendalikannya”. Perinsip yang pernah saya praktikkan seperti berikut;
1.
Kenali atau cari punca masalah yang datang
2.
Selesaikan sesungguhnya masalah tersebut sepenuhnya
3.
Sekiranya masalah tersebut datang kembali, bermakna kita yang bermasalah kerana
tidak menyelesaikan masalah tersebut sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment