Kita
tidak pernah tahu amalan kebaikan mana yang kita lakukan sehari-hari yang akan
diterima oleh Allah SWT, jadi istiqamahlah dalam beramal. Mungkin dalam
kehidupan seharian kita, kita selalu berurusan dengan orang yang sentiasa
menyakitkan hati dan suka melihat kita susah. Walaupun kita telah cuba
sedaya-upaya untuk melayan mereka dengan baik, tetapi mereka membalas pula
dengan cara sebaliknya, yang boleh dianggap sebagai kurang ajar dan tidak
beradap.
Dalam
percakapan dan semua cara komunikasi kita dengan mereka, kita telah secara
nyata serta jelas, cuba untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara baik dan
secara aman. Tetapi keadaan sebaliknya, reaksi yang diterima semakin bercelaru
dan tidak munasabah. Kebaikan yang dihulurkan tidak berkesan. Jika ada yang terkorban,
orang itu adalah kita. Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? Kebaikan
yang tidak dihargai malah dibalas dengan menyakitkan hati
Bukan
senang bagi kita untuk menerima keadaan seperti ini. Seolah-olah kebaikan yang
kita hulurkan tidak dihargai dan tiada nilainya. Malah dipermain-mainkan dengan
tujuan untuk menjatuhkan maruah kita atau menyakitkan hati kita. Pernahkah kita
terpaksa berpura-pura untuk kelihatan baik pada luaran terhadap seseorang, tapi
dalam masa yang sama kita mencaci sumpah seranah terhadapnya?
Walaupun
kita tersenyum, membuat gerak badan yang mesra dan bercakap dengan penuh sopan,
tapi dalam masa yang sama dalam hati kita sebenarnya “ membunuh” mereka dengan
kemarahan dan bersangka buruk apabila terasa sakit hati. Kita tidak sedar
sebenarnya kita yang egois! Sebenarnya itu kita tidak cukup baik lagi, belum
cukup ikhlas. Kita ego.
Tetapi
mengapa pula kita yang ego, sedangkan merekalah yang jelas-jelas lebih ego dari
kita? Sebenarnya kita ego sebab kita mahukan sesuatu. Kita mahukan sesuatu
situasi itu diselesaikan mengikut cara kita. Selalu kita merasakan orang lain
salah dan kita adalah betul. Kita merasakan apabila kita sudah memberi dengan
kebaikan, kita juga harus dibalas dan dilayan dengan kebaikan. Sedih bila hidup
dikalangan orang menyakitkan hati.
Sebenarnya
kita silap, ita tidak sedar bahawa secara umumnya manusia tidak pandai
berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia
tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apatah lagi kepada kita sesama
makhluk yang terbatas. Oleh itu sebarkanlah kebaikan kita yang seikhlasnya,
tanpa perlu kita terpaksa berpura-pura baik dengan orang yang kita tidak suka. Memang
bukan tugas kita untuk menjaga hati setiap orang, tetapi kita sendiri harus
sentiasa berbuat baik dengan sesiapa pun, seikhlas hati. Percayalah, bermula
daripada ini, kita akan merasakan lebih banyak kebaikan yang akan datang kepada
kita apabila kita menetapkan niat untuk menyebarkan kebaikan kita secara ikhlas.
Metafora
atau analoginya begini:
Katalah
kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh
sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat
untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi
isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di
hadapan kita. Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian
atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah
lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah.
Soalnya
logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi
laluan untuk kita? Tidak. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya. Tapi
ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita? Pasti ada!
Insya-Allah. Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita
tolong. Tetapi Allah lah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan
kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas
kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah
merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi
Walaupun
mungkin ia tidak datang daripada orang yang ego kita mahukan, tetapi pasti
banyak lagi kebaikan daripada orang atau perkara lain, yang akan dihantarkan
oleh Allah kepada kita. Mungkin dari segi jodoh yang baik – isteri yang taat
dan suami yang setia, anak yang baik pintar dan soleh, kelebihan dari segi
harta, dan kebaikan-kebaikan lain yang melapangkan serta membahagiakan hati
kita. Inilah kekayaan yang lebih utama bagi seorang manusia daripada perkara
lain seperti pangkat dan jawatan.
Jadi,
ingin menjadi orang yang baik serta ikhlas perlu rela terus ditindas? Tidak.
Kita bukan mahu ditindas, tetapi memilih jalan untuk bersabar. Tapi bak kata
Al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, ‘Teori memang mudah , praktikal nya?, kita
sendiri yang sedang hadapi situasi tu yang tau’. Sabar itu indah. Beautiful. No
suffer afflicts us beyond our capability.
Allah
maha melihat, oleh itu anggap sahaja setiap perkara yang kita buat untuk
menjaga hubungan sesama manusia itu sebagai satu ibadah untuk mencapai
keredhaan Allah. Yakinlah, what you give, you get back. Itu hukum sunatullah
dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada
kita. Yakinlah. perasaan menyakitkan hati memang memenatkan.
Cuba
selami kembali bagaimana tindakan Rasulullah apabila disakiti penduduk Thaif. Cuma
buat masa sekarang ini, kita hanya perlu bersabar, dan melatih hati kita untuk
bagaimana untuk benar-benar ikhlas. Ikhlas dan sabar itu adalah kunci kekuatan
hati. Memang bukan senang untuk melakukannya, tetapi kita mampu melakukannya. Kerana
mereka yang mempunyai kekuatan hatilah sentiasa dapat menundukkan rasa ego yang
terbit dalam diri. Hanya apabila kita yakin dengan balasan-balasan yang Allah
janjikan, insyaaAllah kita kita akan bahagia dunia akhirat.
“Maka
disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan
diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi
mereka…” – Surah Ali-Imran ayat 159. InsyaaAllah, satu hari keikhlasan kita menyebarkan
kebaikan akan diperlihatkan juga oleh Allah, cuma kita jangan mengharap terima
kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya. Kelapangan hati,
ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir kepada kita insyaAllah. Pasti.
Jadikan
ini sebagai ladang peningkatan diri kita. Kita tidak akan pernah rugi dengan
perilaku orang kepada kita. Jadikan penghinaan orang lain kepada kita sebagai kesempatan
untuk menyucikan jiwa, dengan memaafkan orang yang menyakiti dan membalasnya
dengan kebaikan. Belajarlah melupakan setiap kesalahan orang terhadap kita.
Dengan sikap seperti ini hidup kita akan lebih ringan. Kerana semakin kita
ingin dihargai, dipuji, dan dihormati, maka akan sering kita sakit hati. Walaupun
kebaikan dan kasih sayang tidak selalu dibalas dengan kebaikan dan kasih
sayang, jangan pernah bosan berbuat kebaikan dan menabur kasih sesama insan, Kerana
satu saat nanti kita akan merasakan kepuasan dalam hidup kita. Bunuh
kesakitan yang diberikan dengan kebaikan. Masyaallah.. Tabarakallah
No comments:
Post a Comment