Hasil mujahadah yang tinggi, serius
serta istiqamah, Allah akan kurniakan kepada kita sifat taqwa. Bermacam-macam
kebaikan yang Allah janjikan dalam Al Quran kepada mereka yang memiliki sifat
taqwa ini. Ini adalah janji Allah yang pasti tepat dan pasti ditunaikan-Nya. Ia
tidak terhingga nilainya yang tidak dapat diukur dengan mana-mana mata wang di
dunia ini. Di antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat taqwa
ini ialah:
Mereka mendapat
pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali melalui firman Allah: "Allah
menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah:
19)
2. Terlepas dari
kesusahan
Mereka dapat
terlepas daripada kesusahan. Bukan ertinya mereka tidak mendapat susah atau
tidak ditimpa ujian tetapi selepas kesusahan dan ujian, mereka akan terselamat.
Walaupun ada pelbagai rintangan dalam ujian itu, ia sementara waktu sahaja.
Selepas itu Allah akan lepaskan dari ujian dan rintangan itu dengan
menghadiahkan pelbagai macam nikmat pula. Ini jelas dalam firman Allah: "Barangsiapa
yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup."
(At Thalaq: 2)
3. Rezeki
Di dunia lagi
akan diberi rezeki yang tidak tahu dari mana sumber datangnya. Diberi rezeki
yang tidak terduga dan dirancang. Ini jelas dalam sambungan ayat tadi:
"Dan akan diberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana
sumbernya." (At Thalaq: 3) Inilah jaminan daripada Allah SWT bagi mereka
yang bertaqwa. Sesiapa yang bertaqwa, rezekinya ada sekadar yang perlu. Makan
minumnya yang perlu tetap ada walaupun dia tidak berusaha. Walaupun dia tidak
ada kerja, tetap ada jaminan daripada Allah. Ini diakui sendiri oleh Imam
Ghazali, mungkin ianya dari pengalaman beliau sendiri. Imam Ghazali pernah
berkata: "Kalau sekalipun orang bertaqwa itu tidak ada kerja,
keperluan-keperluan nya tetap diperolehinya."
Waktu makan akan
diberi makanan. Jika patut dapat pakaian, akan diberi pakaian. Dia sendiri
tidak tahu dari mana sumbernya kerana ianya bukan daripada usaha dan cariannya
sendiri. Dia dapat rezeki bukan melalui sumber usahanya tetapi melalui sumber
usaha orang lain. Kalau taqwanya secara jemaah, maka rezeki itu diberi secara
berjemaah. Sekiranya taqwanya secara individu, maka secara individu jugalah
pemberian Allah itu.
Kerja-kerja
orang yang bertaqwa itu dipermudahkan Allah. Ini jelas Allah gambarkan di dalam
sepotong ayat: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, dipermudahkan
Allah segala urusannya." (At Thalaq: 4) Allah memberi jaminan, kerja orang
yang bertaqwa itu dipermudahkan. Mungkin juga di samping mudah, hasilnya
banyak. Buat sedikit, hasilnya banyak. Jadi kalaulah kita buat kerja berhempas-pulas,
di samping hempas-pulas banyak pula rintangan, kemudian hasilnya pula sedikit
atau langsung tidak ada, itu menunjukkan kita belum mempunyai sifat taqwa
hinggakan Allah tidak membantu.
5. Diberi berkat [barakah]
Dia diberi berkat daripada langit dan
bumi. Berkat pada hartanya, pada kesihatan badannya, pada ilmunya, pada
anak-anak dan zuriatnya, pada isterinya, pada suaminya, pada sahabat handai dan
jiran, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan
sebagainya. Ini jelas sekali dalam ayat: "Jikalau penduduk sebuah kampung
(atau sebuah negara) itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat
daripada langit dan bumi." (Al Aíraf: 96)
Berkat maknanya bertambah atau subur.
Apabila dikatakan hidupnya berkat, maknanya hidupnya penuh dengan kemuliaan,
ketenangan, kebahagiaan dan penuh dengan pahala. Hartanya berkat, harta yang
tidak putus-putus dapat disalurkan kepada kebaikan dan berpahala walaupun dia
bukan orang kaya. Ilmunya berkat, maknanya ilmu yang dimilikinya itu dapat
diamalkan, bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan
pahala.
Badannya yang sihat yang dikatakan
berkat itu adalah badan yang dapat digunakan untuk kebaikan. Dengan kesihatan
badannya itu, digunakannya untuk jihad fisabilillah, untuk khidmat kepada
masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang
Allah untukkan padanya, dapat digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa
percuma dengan perkara yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya
bertambah. Kalaupun umurnya tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan
kepadanya itu akan menambahkan pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak
putus-putus sekalipun tidak kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat
menambahkan pahala.
Berkat pada anak-anaknya atau zuriat
ertinya, anak-anak dan cucu cicit berjaya menjadi anak-anak yang soleh, yang
menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isterinya atau suaminya, iaitu isteri
tersebut atau suami itu soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya
selamat di dunia dan di Akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran, ertinya
mendapat sahabat yang baik-baik dan ramai pula yang membantu perjuangannya
untuk menegakkan kebenaran. Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang
soleh yang dapat memimpin dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.
Amal ibadah orang yang bertaqwa diterima
oleh Allah. Kalau begitu amal ibadah orang [yang sekadar] Islam tidak diterima.
Orang Islam [yang tidak bertaqwa] akan masuk Neraka dulu. Oleh yang demikian,
hanya amal ibadah orang yang bertaqwa sahaja yang diterima oleh Allah. Ini
dijelaskan oleh Allah: "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah
dari orang yang bertaqwa." (Al Maidah: 27) Maksudnya, Allah hanya menerima
solat orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima solat orang yang sekadar
Islam. Allah akan terima puasa orang bertaqwa. Allah akan terima perjuangan
orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima perjuangan orang yg sekadar Islam
sahaja tanpa taqwa. Allah akan terima haji orang yang bertaqwa. Allah tidak
akan terima haji orang Islam yg tak bertaqwa. Begitulah seterusnya berdasarkan
ayat di atas tadi.
7. Amalannya diperbaiki
Amalan orang yang bertaqwa itu sentiasa
dibaiki oleh Allah. Sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada masa ke semasa.
Ini jelas Allah mengingatkan kepada kita: "Wahai mereka yang beriman
hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang
teguh; nescaya Allah akan membaiki amalan-amalan kamu..." (Al Ahzab:
70-71) Jadi orang-orang yang bertaqwa amalannya sentiasa dibaiki oleh Allah. Solatnya
sentiasa dibaiki Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, wiridnya dan
perjuangannya sentiasa dibaiki. Apa sahaja bentuk kebaikan yang dibuatnya
sentiasa dibaiki oleh Allah dari masa ke semasa. Itulah jaminan Allah.
8. Dosa diampunkan
Dosanya diampunkan. Dalam ayat tadi juga
ada sambungannya: "Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada
Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan
membaiki amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu." (Al
Ahzab: 70-71) Ertinya dosa-dosa orang-orang yang bertaqwa ini akan diampunkan.
Namun begitu orang Islam sekadarnya, dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Sebab
itu orang Islam itu akan masuk Neraka dulu dan barulah ke Syurga.
Walíiyazubillah. Allahumma ajirna minan nar. Tegasnya, orang yang bertaqwa
sahaja akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT.
9. Dapat ilmu tanpa belajar
Diberi ilmu tanpa belajar. Yakni diberi
ilmu terus jatuh pada hati. Memanglah ilmu yang jatuh kepada hati, tidak perlu
proses belajar. Kalau ilmu yang jatuh pada akal, ia perlu melalui proses
belajar yakni membaca, mentelaah, kena berguru, kena bermuzakarah, kena
berfikir dan merenung. Barulah akan dapat ilmu itu. Sedangkan ilmu yang jatuh
pada hati, tidak diketahui sumbernya, tidak perlu berfikir, mentelaah dan tanpa
berguru. Ia terus terjatuh sahaja ke hati. Hati itu sebagai wadahnya. Jadi
orang yang bertaqwa ini diberi ilmu tanpa belajar.
Ini jelas Allah nyatakan dalam ayat Al
Quran: "Bertaqwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu."
(Al Baqarah: 282) Dapat ilmu daripada Allah tanpa perantaraan guru, tanpa
perantaraan belajar. Hal ini diperkuatkan oleh sabda Rasulullah SAW:"Barangsiapa
yang mengamalkan ilmu yang dia tahu, nanti dia akan dipusakakan ilmu yang dia
tidak tahu." (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim)
Apa sahaja ilmu yang dia tahu,
diamalkan. Hasilnya nanti Allah akan beri ilmu tanpa dia belajar. Ramai
orang-orang soleh dan ulama yang soleh diberi ilmu laduni. Itulah ilmu yang
jatuh kepada hati yang juga dipanggil ilham. Firman Allah Taala: "Dan Kami
ajarkan dia ilmu yang datang dari dari sisi Kami." (Al Kahfi: 65 ) Ertinya
orang yang bertaqwa itu akan diberi ilmu terus dari Allah tanpa wasilah guru.
Agar tidak terkeliru, perlulah diingat bahawa orang yang hendak dapat ilmu
laduni itu, dia mesti ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain terlebih dahulu.
10. Terlepas dari tipu daya syaitan
Orang bertaqwa itu akan terlepas dari
tipu daya syaitan. Dalam Al Quran ada disebutkan tentang hal ini. Firman Allah:
"Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari
syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat
kesalahan-kesalahan mereka." (Al A'raf: 201)
11. Terlepas dari tipu daya musuh
Orang bertaqwa juga lepas daripada tipu
daya musuh lahir sama ada orang kafir mahupun orang munafik. Firman Allah: "Jika
kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak
mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa
yang mereka kerjakan." (Ali Imran: 120)
12. Terhindar dari Neraka
Orang bertaqwa terhindar daripada
Neraka. Ertinya tentulah dia masuk Syurga sebab di Akhirat tidak ada tiga
tempat. Kalau terlepas daripada Neraka, bermakna ke Syurgalah dia. Firman Allah
Taala: "Akan tetapi orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, bagi mereka
Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di
dalamnya." (Ali Imran: 198) "Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu
berada dalam Syurga dan (di dalamnya mengalir) mata air. (Dikatakan kepada
mereka): ëMasuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman." (Al Hijr:
45-46) "Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang
selalu bertaqwa." (Maryam: 63)
Inilah di antara keuntungan-keuntung an
atau bonus yang diperolehi oleh orang yang bertaqwa. Kesemua itu tidak dapat
dinilai dengan mata wang dunia kerana terlalu tinggi nilainya. Ia didapatkan
hasil daripada membersihkan hati, mujahadah bersungguh-sungguh membuang
sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat mahmudah serta mengamalkan syariat
yang lahir dan batin. Kalau di dunia ini kita berebut-rebut untuk dapatkan
bonus yang tidak ada nilai di sisi Allah itu, mengapa kita tidak rebut bonus
taqwa yang manfaatnya untuk dunia dan Akhirat? Kalau tidak mahu bonus itu,
orang tak berakal namanya.
No comments:
Post a Comment