Andainya dapat kuulang semula
Suatu zaman yang bernama remaja
Akan terpelihara segala milikku
Hanya buatmu...
Lautan mana yang tidak bergelombang
Bumi yang mana tidak ditimpa hujan
Aku sepertimu ada waktu diburu
Oleh dosa-dosa masa yang lalu...
Begitulah beberapa ungkapan diatas yang mengundang kita nak memikir betapa kita perlu berubah atau berhijrah samada nak menjadi insan yang hebat, terbaik, cemerlang dan apa saja malah kalau boleh menjadi idola kepada insan lain didunia ini. Bukan suatu yang mudah untuk melakukan suatu perubahan. Ianya memerlukan satu perngorbanan yang amat besar, juga perlu berdepan dengan diri sendiri yang adakala tewas kepadanya disebabkan kekuatan dalaman yang longgar dan rapuh. Ramai sebenarnya berhajatkan kepada perubahan demi perubahan, tetapi perubahan yang dilakukan tidak kekal lama. Kata orang, hangat-hangat tahi ayam, tetapi apabila kita renungi, sememangnya itulah hakikat yang ada, itulah realiti yang berlaku kepada kita semua. Sebenarnya perasaan kita yang ingin berubah dari masa ke semasa itu adalah suatu anugerah yang indah. Kita diberi peluang oleh Allah untuk merasai perasaan ingin menjadi lebih baik dan mengubah hidup ke arah kesempurnaan. Saidina Ali RA pernah berpesan: Celakalah sesiapa yang hari ini lebih buruk dari kelmarin, dan esok lebih buruk dari hari ini.
Melakukan berubah bukan bermaksud kita tidak bersyukur pada apa yang kita miliki, tetapi ianya adalah satu usaha untuk meningkatkan taraf hidup menjadi lebih baik dari sebelumnya. Menjadikan kita sentiasa berdaya saing dalam segala bentuk supaya kita tidak menjadi insan terkebelakang atau mundur. Yang perlu kita ubah itu bukan hanya berkaitan dengan akhirat atau dunia sahaja, sebaliknya ia merangkumi kedua-dua aspek tersebut agar selari dengan tuntutan jasmani dan rohani Perlu diingat, umat islam lebih-lebih lagi bangsa Melayu jauh ketinggalan kebelakang dalam segenap hal. Keadaan ini telah menyebabkan kita lemah dan sering bergantung kepada orang lain. Islam mengajar kita bahawa tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Kebanyakkan kita lebih cenderung memilih untuk menerima. Walaupun tidak salah tetapi dimana kedudukan kita sebagai umat yang mulia disisi Allah dan Rasulnya. Mungkin persoalan maruah bukan suatu perkara pokok atau remeh, namun mari kita perhatikan anak-anak muda kita sekarang, ramai yang gagal menempatkan diri mereka dalam kelompok kehidupan yang begitu mencabar dan era gobalisasi ini kalau tak punya keinginan atau kekuatan untuk berubah atau berhijrah. Bukan mereka tidak diberi peluang, tetapi gagal dalam menfaatkan peluang yang ada dan adakala mereka masih suka pada keadaan mereka sekarang. Kita hidup di dunia bukan sekadar menghambakan diri kepada Allah dan melengkapi keperluan harian tetapi Allah mengutuskan kita untuk menjadi khalifah. Walau tidak sehebat dan seberjaya insan lain, berubahlah ke arah yang lebih baik. Kerana perubahan kita bukan untuk manfaat kita seorang, tetapi untuk memanyungi manfaat insan sejagat.
“Jika tidak mampu melindungi hutan, sekurang-kurangnya lindungilah sebiji tunas”
Kalau kita fikirkan, masa yang paling indah adalah ketika zaman remaja, kisah suka atau duka, semua saat itu diiringi pelbagai kenangan yang sukar dilupakan. Sesiapa pun tidak dapat menafikan hakikat tersebut. Era remaja menjadi satu fasa hidup yang paling mencabar, remaja yang tersalah memilih hidup dan terlalu alpa atau leka mengejar keseronokan hidup mungkin berhadapan dengan masalah dan keburukan. Lewat masakini, sudah banyak yang kita dengar tentang isu remaja hari ini seperti ponteng sekolah, mencuri, gagal dalam peperiksaan, lari dari rumah, sehingga membunuh termasuklah isu yang agak hangat diperkatakan sekarang, rempit dan gejala pembuangan anak Seharusnya kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi dalam hidup atau apa yang terjadi disekeliling kita. Paling penting adalah kesediaan diri untuk berubah untuk masa depan yang lebih cerah.
Untuk kita melakukan perubahan perlu ada beberapa petua atau tips yang boleh membantu kita untuk melakukan anjakan paradigma dalam diri.
1. Niat
Apa saja yang kita nak buat pada kehidupan kita perlu ada niat. Kalau kita tak ada niat bermakna tidak ada kesungguhan malah apa saja yang kita buat hanya kerana keterpaksaan, maka timbul tiada keikhlasan dalam melakukan apa saja tugasan nak kita buat, akibatnya perlakuan itu tak menjadi apa-apa pun.Tidak kira apa jua kita lakukan, niat adalah perkara utama. Ketika solat pun perlu dimulakan dengan niat. Ia juga boleh dikatakan azam dalam diri seseorang dan tanpanya kita akan hilang arah tujuan. percayalah bahawa niat yang baik akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SAW. Ironinya berniat menjadikan kita berusaha dan bersungguh dalam mencapai apa saja kehendak diri. Kerana sudah tertanam didalam naluri untk mendapatkan pada apa yang kita kehendaki.
2. Mengenali diri sendiri
Mengetahui potensi diri kita sendiri amatlah diperlukan supaya kita mengetahui apakah kelebihan maupun kehebatan yang kita miliki. Kebanyakan kita gagal mengenal diri sendiri dan dalam masa yang sama masih mencari identiti. Ia merupakan masalah yang biasa yang dihadapi fasa perkembangan manusia, ini disebabkan kerana kita jarang berkominikasi dengan diri lantaran kita hanya merasakan mencukupi apa yang kita ada sahaja. Jadi kita perlu senaraikan kelebihan dan kekurangan yang ada pada kita dan lebihkan muhasabah diri. Anda pasti akan mengetahui potensi diri sendiri. Kalau kita tidak mampu mengenali diri kita tanyalah mereka yang rapat dengan kita atau yang benar-benar mengenali kita. Setiap orang ada kehebatan dirinya sendiri jadi carilah apa potensi diri anda yang paling berharga.
3. Menetapkan matlamat
Dalam mencipta sesuatu matlamat atau impian, pastikan ianya realistik agar mudah dicapai. Janganlah kita menetapkan sesuatu yang sukar atau diluar jangkaan kita untuk mendapatkan seperti nak membeli kereta Ferari sedangkan kewangan kita tidak mencukupi jadi timbul angan-angan sahaja. Penetapan matlamat yang tidak relevan dan sukar hanya akan menjadikan diri kita terbeban dan terbatas maka kita berdepan dengak konflik yang tidak sudah oleh kerana keterbatasan kita nak merealisasikannya. Ada diantara kita, menyediakan diari matlamat dengan menulis beberapa matlamat mereka, rancangan tindakan yang sesuai dan bila mahukan ia tercapai. Semua bergantung kepada setiap individu, lain orang, lain cara. Jadi kita kena fikir satu matlamat yang kita mampu capai dan kita berusaha kearahnya.
4. Buang persepsi/andaian yang salah atau berfikiran negatif
Sentiasa anggap sesuatu yang telah dialami mempunyai maksud dan hikmah tersendiri. Ini akan menjadikan kita seorang yang berfikir dan secara tidak langsung memberi kita motivasi untuk terus maju. Percaya ketentuan Allah sebagai landasan untuk kita mengorak langkah disamping berserah dan bertawakkal dengan istiqamah dalam melakukan matlamat yang kita kehendaki. Jangan berfikiran sempit dan menyalahkan takdir atau orang lain atas setiap peristiwa yang telah kita harungi kerana akan menjadikan kita ‘down’ malah akan mmudah mengalah.
5. Hentikan perkataan negatif
Orang yang hebat adalah orang yang menilai sesuatu perkara sebelum berkata. Orang hebat juga tidak pernah berkata "Tidak". Ini kerana setiap perkataan itu menjadi tenaga dan motivasi kepada diri sendiri. Maka, berfikirlah dengan matang dan positif. Kita juga perlu melatih diri kita untuk menggunakan perkataan yang mampu membangkitkan aura dalaman kita. Saranan auto atau berulangkali berkata yang boleh membangunkan menetapkan semangat diri akan menjadikan kita sentiasa memikirkan terkehadapan dalam sebarang tindakkan dan secara tidak lansung menjadikan diri kita orang yang positif
6. Pedulikan apa kata orang
Untuk berubah, pasti banyak dugaannya. Hidup tanpa cabaran bukanlah kehidupan namanya. Sentiasa ingat bahawa bukan orang lain yang mengubah nasib kita tapi diri kita sendiri. Kita pasti berdepan dengan kata-kata negatif juga omelan dari seseorang untuk menidakan kemampuan kita nak berubah Orang akan berkata apa sahaja jika kita ingin berjaya, namun tetapkan jati diri kita untuk terus mencapai kejayaan. Fokus pada diri atas apa yang kita mahu adalah lebih penting daripada telahan orang atas apa yang kita mahu untuk menjadi positif. Bukan untuk mengenepikan pendapat orang lain tetapi biarlah padangan dari mereka yang boleh membantu kita untuk berubah
7. Membaca dan meneladani kisah orang yang berjaya
Dengan menjadikan buku sebagai rakan karib atau rujukan, ia bukan sahaja menambah intelektual dan pengetahuan, malah meningkatkan daya imaginasi kita juga memotivasikan diri kita. Namun, harus dipastikan apa sahaja buku yang kita baca melalui tapisan akal fikiran bagi menjana pengetahuan dan bukannya input yang membuatkan kita terus leka atau dibuai angan-angan kosong. Dekatilah atau bacalah buku-buku tokoh-tokoh yang berjaya dan cuba hadiri ceramah motivasi bagi meningkatkan keinginan untuk berjaya. Jadikan model buku yang kita baca itu sebagai pendorong kepada kita untuk mencipta kejayaan seperti mereka juga. Berhati-hati, pilih yang positif sahaja dan realistik dengan bersesuaian kehidupan kita dan mampu kita lakukan utuk berubah.
Membenihkan tunas-tunas perubahan. Ia memerlukan usaha daripada diri kita sendiri.
Kenapa terlalu sukar untuk berubah - “ Sesiapa yang berubah kerana terpaksa dia sebenarnya adalah mangsa, dan sesiapa yang berubah kepada Allah SWT kerana kesedaran yang jelas dan nyata, pasti ia akan bahagia.”
Jika berubah kerana terpaksa dan buat-buat, maka natijah atau kesannya adalah sementara. Berubah kerana suasana, kerana keluarga, kerana ikut-ikutan, kerana desakan ibu bapa dan sebagainya – ia adalah suatu bebanan perasaan yang menyesakan dada. Ingin berubah, tetapi tiada asas yang kukuh dan kuat, masih samar-samar dan kabur akibatnya kita tetap kembali sama seperti sebelum kerana tiada keikhlasan untuk berubah. Inilah suatu hakikat yang sama-sama kita rasai sebelum-sebelum ini. Apabila hidayah “perubahan” dan kesedaran menerpa ke dalam diri kita – rasa penyesalan, keinsafan dan kesedihan akan segala kisah silam dan perbuatan yang menyalahi tuntutan Allah SWT, timbul bibit-bibit keazaman dan usaha tekad untuk berubah, namun, apabila suatu tempoh masa berlalu – kita menyedari bahawa perubahan itu tidak kekal lama. Suam-suam sahaja, kemudian sejuk kembali. Perasaan yang berkobar-kobar untuk menggerakan perubahan diri telah hilang dimamah usia dan ianya hanya tinggal memori, dan akhirnya, kita terus ditahap yang sama. Tidak perubahan, maka kembalilah kita keasalnya dan jadilah kita orang yang biasa-biasa sahaja.
Apa yang perlu kita buat. Jika kita ingin melakukan perubahan, kita perlu jelas dan fahami akan hakikat perubahan itu sendiri. Hampir semua orang ingin berubah, namun setelah masa berlalu mereka masih di tahap yang sama. Oleh itu, kita bukan sekadar merasa perlu berubah tetapi kita juga perlu tahu kenapa kita perlu berubah, apa perubahan yang perlu kita lakukan dan bagaimana perubahan itu patut bermula. Inilah persoalan-persoalan awal yang perlu kita jawab sekiranya benar-benar ingin berubah.Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” ( Ar Ra’du 13 : 11)
Kebanyakan manusia sebenarnya takut dan sukar menerima perubahan walaupun zahirnya mereka sangat inginkan perubahan. Tapi sayang perubahan kepada kebaikan tidak berlaku secara mukjizat atau sekelip mata umpama magis yang memukau manusia. Kita yang bertanggungjawab untuk berubah dan semua itu ada harga yang perlu kita bayar. Sedar atau tidak, apa yang kita hajatkan kepada perubahan tetapi tidak sanggup untuk membayar harganya. Harga bagi sebuah perubahan adalah pengorbanan, kesukaran dan kepayahan. Kita sentiasa harapkan perubahan yang bersifat segera dan mudah – sedangkan perubahan tidak semudah yang kita angan-angankan. Kata-kata murabbi ini : “ Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi. Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula. Setiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya. Kejayaan tidak akan diraih dengan kesenangan,mahupun kenikmatan. Ini kerana kedua-dua itu hanya akan datang selepas keperitan, kesusahan dan kesengsaran.”
Sebenarnya perubahan menjadi sukar kerana menuntut kita untuk meninggalkan sesuatu tabiat atau kebiasaan yang salah kepada yang betul. Untuk merubah tabiat atau kebiasaan-kebiasaan yang sudah mendarah daging dalam jiwa kita bukanlah mudah melain kita benar-benar bertekad, berazam dan menjiwai sebab serta alasan untuk kita berubah.Oleh itu, perubahan yang sebenarnya bermula dari dalam diri kita iaitu apabila kita membina matlamat hidup yang jelas sehingga kita sanggup berkorban untuk mencapai apa yang kita benar-benar hajati. Tanpa memiliki kejelasan matlamat yang tinggi adalah terlalu sukar untuk kita berubah.
Sesuatu yang sukar, payah dan susah harus digerakan bersama-sama suatu perasaan yang sangat luar biasa dan hebat. Segala hasrat, cetusan dan perasaan untuk berubah jika tiada daya sekuat tolakan dorongan keinginan yang padu, ianya hanyalah suatu gerakan perubahan yang tiada nilai apa-apa. Kerana itu, ramainya mengalami fenomena berubah ala kadar sahaja.
Mereka kehilangan sesuatu dalam melakukan perubahan. Imam Ibn Qayyim pernah berkata:
“Orang yang berjalan mesti memiliki semangat yang akan menjalankannya dan menyampaikannya ke puncak. Sedangkan ilmu hanya menyuluh dan menunjukinya”. Justeru mereka tidak mempedulikan kesusahan, kepedihan, kegetiran dan cabaran yang menempuhinya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, Maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik”. (Al-Isra’ 17 : 29)
Berubah atau Hijrah Menuju kerana Allah. Dimanakah tahap kita sekarang? Sedarkah kita bahawa, kita perlu melakukan perubahan untuk mendaki anak tangga yang lebih baik? Berubah atau terus menerus membeku atau termenung ditahap lama, yang manakah menjadi pilihan anda? Mari sama-sama kita muhasabah semula sedalam-dalamnya. Ma’al Hijrah (1433) dah pun berlalu Tahun Masehi (2012) bakal menjelang, pastikan kita benar-benar membuat keputusan untuk berubah dan kekal dalam momentum perubahan yang sebenar Berubah dan hijrah, menuju Allah adalah menjadi matlamat kita yang utama. Saya mendoakan kepada anda semua semuga yang terbaik dapat diciptakan dan dibuahhasilkan dari perjalanan perubahan kali ini selamat berjaya, Insyaallah kita mampu merealisasikannya.
2 comments:
Thanks: )share
Subhanallah. Sy muhasabh diri
www.iamfinancestudent.blogspot.com
Post a Comment