Apa saja yang terjadi samada waktu semalam, hari ini dan esok adalah anugerah Allah yang tidak mungkin dapat ditafsir dan ditaksir dengan apa pun. Setiap dari kita tahu bahawa semalam telah menjadi sejarah, hari ini adalah atas apa yang telah berlaku dan apa yang bakal kita rancangkan di masa hadapan. Manakala esok merupakan perkara yang tidak ketahui apa yang akan berlaku. Setiap orang pasti melalui semalam, hari ini dan esok hari kerana itu adalah rutin kehidupan. Sekalipun kita sudah tidak berada dimuka bumi ini, perkara yang kita lakukan semalam akan kita perolehi semasa kita dialam lain. Kehidupan ini umpama roda. Semalam kita dibawah.. hari ini kita di atas.. dah esok kita tidak pasti kita dibawah ataupun di atas, yang nyata itulah putaran hidup. Perkara yang sudah berlalu biarkan berlalu yang penting hari ini, kita harus mempunyai visi,misi dalam hidup kita, kita tidak tahu apa yang akan jadi pada hari esok, rancanganlah untuk hari esok. Mulakan hari ini dengan semangat baru, rancanganlah untuk esok. Jadilah diri kita sendiri dan bukannya kita terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat ataupun kita cuba untuk menjadi seperti orang lain. Tapi jika kita mengikut sesuatu yang dapat membawa kebaikan dan kejayaan dalam hidup kita adalah bagus..Setiap orang mempunyai minat dan cara mereka sendiri..Gunakan minat dan kelebihan yang kita ada untuk berjaya..InsyaAllah..
Anjakan paradigma mesti kita lakukan dengan segera, Kita tukarkan daripada berfikir apa yang hendak kita lakukan esok kepada apa yang kita akan jadi sepuluh tahun lagi. Rancangan untuk hari esok adalah rancangan jangka pendek yang akan membantu kita merealisasikan impian dan matlamat jangka panjang kita. Ini bukanlah bermakna kita tidak perlu memikirkan mengenai hari esok dan hanya memikirkan perancangan jangka panjang, tidak. Perancangan hari esok adalah sama penting kerana ia adalah perancangan jangka pendek kita, tetapi pastikan ia memenuhi keperluan matlamat jangka panjang. Sesekali, kita perlu berfikir juga apa yang kita sedang lakukan sepuluh tahun dari sekarang. Kebiasaannya apabila kita merancang perlu asas atau kayu pengukur untuk kita realisasikannya. Asas yang dimaksudkan adalah nilai-nilai murni supaya apa yang kita rancangkan tidak tersasar dari matlamat kita. Sebenarnya Islam telah meletakkan satu rukun yang amat menakjubkan, malang jarang antara kita melihat lebih mendalam pada kehebatan rukun ini. Yang dimaksudkan ialah ‘RUKUN ISLAM’. Mungkin ada yang tertanya apa relevannya antara rukun islam dengan perancangan masa depan. Sebagai umat islam kita perlu yakin sesuatu peraturan yang telah dibuat pasti ada matlamatnya, misi dan visi. Jadi ada benarnya bila kita menteliti dan menganalisa untuk kita hubungkaitkan peranan rukun islam dengan perancangan masa depan kita supaya kita menjadi seorang muslim yang berjaya berpegang pada landasan islam. Kita dapat mengecapi kebahagian dibawah naungan Allah SWT disamping kita menjadi insan yang disayangi semua makhluk dimuka bumi ini.
Rukun Islam ada lima (5) perkara :
(1) Mengucap dua kalimah syahadat - Kita mengaku Allah itu yang kita sembah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya. Sesaat pun kita tidak boleh menduakan Allah. Jika ia berlaku maka gugurlah akidah kita. SETIAP SAAT
Berdasarkan rukun yang pertama kita sudah mengakui keEsaaan Allah SWT dan Rasullullah itu pesuruhNya. Bermakna bila kita merancang secara otomatik kita kena percaya adanya ketentuan atau takdir Nya. Kita wajib merasakan sebaik mana perancangan kita, kuasa Allah itu adalah muktamad. Disini hadirnya tawakkal apabila segala usaha yang kita laku, samada baik mahu pun sebaliknya harus kita terima dengan redha, sabar dan tabah. Allah tahu kemampuan hambaNya berdasarkan ketaatan dan ketakwaan
(2) Solat lima waktu - melaksanakan solat wajib lima hari sehari. Malam dan siang mengikut jadualnya. Melalui ibadah ini kita mengingati Allah, berdoa kepadanya dan memperbaharui akidah mengikut jadual. Lima kali sehari. SETIAP HARI
Seperti juga rukun yang pertama, yang kedua juga mempunyai kaitan yang tepat. Dalam merancang kita memerlukan ketetapan masa, jadual dan tujuannya, ketepatan kita merancang akan menghasil kejayaan yang cukup ranum. Dalam solat kita diajar bagaimana menghargai waktu, berniat, mengikut rukun dan kyusuk, baharu solat kita diterima Allah, begitu juga ketika merancang, kita memerlukan waktu yang tepat untuk menghasil gerak kerja yang betul juga, dan kita perlu mematuhi displin yang telah kita rangka supaya sempurna matlamat kita malah kita perlu fokus untuk penghasilan yang terbaik. Dalam melaksanakan keberhasilannya nawaitu kita kena betul dengan disertakan kalimah Allah seperti ‘Bismillah’ permulaan setiap kerja dan diakhir kesyukuran ‘Alhamdullillah’. Indah sungguh Allah mencipta rukun untuk hambaNya.
(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan - Berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang ketiga. Ini adalah penghulu segala bulan. Pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. Banyak peristiwa besar Islam berlaku dalam bulan Ramadhan. Persoalan besar yang tersemat di hati ialah puasa wajib ini perlu dilakukan hanya sebulan dalam setahun. Hanya SEBULAN dan setahun
Apa kaitan puasa dibulan Ramadhan dengan perancangan. Bulan Ramadhan adalah bulan ujian bagi ketaatan manusia terhadap perintah Allah SWT. Setiap waktu dibulan puasa kita sentiasa diuji tanpa pengaruh syaitan, hanya nafsu jadi penghalang untuk mencapai kenikmatan berpuasa, jesteru kesabaran adalah dituntut ketika ini. Begitu juga dalam merancang, ketabahan, kesabaran dan tekun sentiasa dititikberatkan waktu begini bagi melicinkan perlaksanaan untuk mencapai keberhasilan yang kita rancang dilaksanakan dengan jayanya
(4) Menunaikan zakat - Jika cukup syarat-syaratnya seperti haul dan nisab, maka rukun Islam yang keempat ini wajib dilaksanakan. Meskipun banyak jenis zakat tetapi setiap satunya perlu dibayar hanya sekali dalam setahun. Hanya SEKALI SETAHUN
Menunaikan zakat, infak, shadaqah adalah sudah di jamin Allah S.W.T, tidak akan mengurangi harta kita, dan itu adalah salah satu tanda terima kasih kita atas segala rezeki yang telah terima selama ini. Dengan cara memberikan sebahagian harta kita kepada orang yang kurang berkemampuan seperti yang tergolong sebagai penerima zakat, dan Allah S.W.T tidak sedikitpun meminta kembali semua kasihNYA, malahan menjamin tidak akan mengurangi harta kita setelah kita bersedekah. Lihat dalam kita merancang juga jangan lupa hak atau rezeki yang lain kerana kita perlu sokongan dari lain untuk menjayakan visi dan misi kita. Bila kita sama-sama dapat menikmati anugerah dari Allah, Insyaallah setiap perancangan kita seterusnya dipermudahkan Allah SWT
(5) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) - Akhir sekali, menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Ia wajib dilaksanakan sekali seumur hidup. Di atas segalanya, ibadah haji seolah-olah kemuncak rukun Islam yang memberi aroma cukup luar biasa keapda setiap manusia yang mempercayai kewujudan Allah. SEKALI SEUMUR HIDUP
Kita semua tahu, mereka yang pergi menunaikan haji pasti berasa tenang. Suasana di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram sangat tenang kerana mereka yang ada di sana semuanya fokus dan tawadduk dengan beribadah kepada Allah. Apabila kita berhubung dengan Allah, ketenangan akan lahir dari jiwa kita. Jika kita sering berhubung dengan Allah, kita boleh menukar frekuensi minda kita dengan kawalan kita sendiri. Inilah yang patut kita praktikkan di mana ketenangan boleh dicapai dengan kawalan diri kita. Jadi berkaitan dengan merancang, diri kita mesti dalam keadaan tenang dan fokus supaya apa yang kita rancang menepati kehendak yang ingin kita capai agar output yang terhasil menjadikan kita berada dalam kepuasan hati
Walaubagaimana pun sebagai hamba yang taat kepada Khaliqnya apabila kita merancang biarlah berlandaskan laluan yang betul, peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah, bagi memudahkan segala perjalanan perancangan yang telah buat. Yang penting perlu kesungguhan, kesabaran, ketabahan, ketakwaan dan istiqamah. Insyaallah kita jumpa dipuncak kejayaan
Resepi Kek Kejayaan
Bahan-bahannya;
250 gm Daya usaha
100 gm Kesabaran
100 gm Keimanan
190 gm Keinsafan
150 gm Pengorbanan
150 gm Campuran akhlak mulia ( boleh didapati dari didikan yang baik dan sempurna)
8 sudu the rasa tanggungjawab
200 gm senyum secukup rasa
Cara-cara membuatnya:
Pukul semangat hingga menjadi kembang dan kental. Masukkan usaha dan kesabaran, gaul sehingga sebati. Masukkan keinsafan sedikit demi sedikit . Biarkan adunan menjadi lembut. Setelah itu campurkan keimanan , rasa tanggungjawab dan campuran akhlak mulia. Ia perlulah dibungkus dengan kertas ingin tahu dan ingin mencuba. Masukkan adunan tersebut ke dalam mangkuk bertimbang rasa dan tolak ansur. Hiaslah dengan senyum yang menawan kemudian bakar dengan tenaga yang ada.
U/p : Untuk mendapatkan kek yang cantik dan elok, jauhilah ia dari air mata putus asa walaupun setitik. Oleh kerana kek kejayaan ini amat sukar unutk dibuat, syabas kepada sesiapa jua yang berjaya melaksanakan dengan baik.
No comments:
Post a Comment