Ramai
antara kita yang terleka, menilai kehidupan ini adalah untuk selama-lamanya dan
ada juga yang menilai hidup sesudah mati bukan urusannya kerana sudah mati, apa
lagi yang perlu dirisaukan dan yang paling teruk bila lansung tidak menilai
apa-apa pun hanya mengikut arus kehidupan didepannya. Tiada siapa yang tahu
atau menyedari bahawa detik-detik yang berlalu sebenarnya sedang menghampirkan
kita semua pada saat pemergiaan dari dunia yang penuh kesibukan yang tidak tahu
apa yang kita sibukkan. Pergi yang tidak akan mungkin menghadirkan kita kembali
disini buat kali keduanya. Seperti syair Arab, Berapa ramai anak-anak muda yang
sedang bermain pagi dan petang, sedangkan kain-kain kafannya dah mula
dikoyakkan orang tetapi dia tidak tahu? Berapa ramai anak kecil yang diharapkan
lahir menjadi orang yang terhebat tetapi mati sejurus selepas dilahirkan? Dan
berapa ramai gadis yang dihias indah pada malam pengantinnya, rupa-rupanya pada
keesokan harinya orang datang untuk menguruskan jenazahnya.
Kita
akan tinggalkan seluruh cinta kita yang tercurah dibumi yang penuh dengan
seribu satu ujian dan dugaan. Kita akan terus melangkah pergi tanpa sempat pun
berpaling lagi buat kali yang terakhir. Itu hakikatnya kehidupan sementara ini.
Ikhtibarnya... berapa ramai yang membuka mata dari terus terlena. Apa yang
terlihat di gambaran masa kini hanyalah kelalaian demi kelalaian yang terjadi.
Tiada diambil ikhtibar. Hidup seolah tidak akan bertemu mati. Menabur cinta
pada duniawi yang akan lenyap yang tiada abadi. Gelisah jika tercampak ke
belakang dari arus duniawi. Tapi, tidak kisah langsung dengan sedikit hayat
yang masih berbaki. Oleh sebab itu, kita perlu menyegerakan taubat kerana masih
hidup itu ialah kesempatan yang boleh hilang secara tiba-tiba. Abdullah bin
Umar mengingatkan: "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu
hanya menunggu tiba waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah
kamu hanya menunggu tiba waktu petang. Dan ambillah kesempatan masa sihatmu
untuk persiapan masa sakitmu, dan masa hidupmu untuk persiapan untuk persiapan
kematianmu. (Riwayat al-Bukhari).
Ramai
yang lebih memilih dan mengharapkan kematian apabila ditimpa sesuatu musibah
yang rasanya tidak tertanggung oleh hati dan perasaan. Ketahuilah bahawa
kematian bukan penamat segalanya, tetapi permulaan kepada sebuah perjalanan
baru. Tempat dipertanggungjawaban segala amalan yang terlaku ketika hidup di
atas dunia dulu. Jangan seenaknya menyatakan bahawa kematian akan membungkus
segala-galanya bersama jasad tertanam di bawah tanah. Sebaliknya, kematianlah
akan membongkar segala-galanya. Manusia akan di adili di mahkamah Allah yang
disitu tidak akan ada lagi rasuah untuk membebaskan diri. Tanggunglah segala
apa yang kita perbuat selama ini. Firman Allah SWT, “Maka sesiapa berbuat
kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan
sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat
amalnya)” (Surah Az-Zalzalah: 7-8). Kita telah diberi peringat demi peringatan,
namun kita sengaja membiarkan dan menganggap tiada yang akan perasan, padahal
Allah lah yang menciptakan penglihatan dan Dia maha melihat segala sesuatu yang
nyata ataupun tersembunyi.
Gambaran-gambaran
hari pembalasan seringkali menjadi topik ceramah-ceramah oleh ustaz-ustazah.
Namun, lumrahnya insan tersedar dan akhirnya terlupa. Dalam sebuah hadis
Rasulullah SAW dari Aisyah ra dijelaskan: “Saya mendengar Rasulullah SAW
bersabda: “Semua manusia di kumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan
belum dikhatan.” Aisyah bertanya : “Apakah antara lelaki dan perempuan akan
saling melihat antara satu dengan yang lain?” Rasulullah SAW bersabda “Urusan
pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal yang seperti itu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Bayangkanlah bagaimana ketakutan yang
hinggap dihati-hati manusia sehinggakan mereka sudah tidak menghiraukan keadaan
disekelilingnya. Pada hari itu juga, bumi dan seluruh isinya akan menjadi saksi
atas segala yang manusia lakukan dahulu ketika masih menetap di dalamnya. “Dari
Abu Hurairah beliau berkata: Rasulullah SAW membaca ayat: “Yauma idzin
tuhadditsu akhbaraha?” Para sahabat pada waktu itu menjawab, bahawa Allah dan
Rasulullah SAW yang lebih tahu.” Rasulullah SAW bersabda: “Maksudnya ialah
bahawa bumi akan menjadi saksi terhadap seseorang hamba baik lelaki atau
perempuan atas apa yang dilakukannnya dipermukaannya. Bumi akan berkata: “Dia
melakukan ini dan itu”. Sekarang silakanlah melakukan larangannya andai kita
masih merasakan kita mampu bersembunyi dari kesalahan itu. Siapa lagi yang akan
berpihak kepada kita jika kita dilumuri dosa dan noda. Silakan katakan, siapa
yang akan membantu kita menewaskan saksi-saksi ini? Tidak akan ada yang boleh
menidakkannya. Allah maha mengetahui.
Sebuah kisah yang perlu kita renungkan. Tersebutlah
sebuah kisah seorang lelaki ahli ibadah yang tinggal sendirian beruzlah (Menyendiri)
di tengah hutan.Ahli ibadah itu seorang yang sangat taat dan takut kepada Allah
SWT. Suatu malam yang gelap ketika beliau sedang sibuk beribadah pada ketika
itu hujan telah turun dengan lebatnya,berdekatan dengannya ada sebuah pelita
yang digunakan untuk menerangi malamnya setiap hari.Ketika beliau khusyuk
berzikir dan bermunajat tiba-tiba beliau telah mendengar pintu rumahnya diketuk
dengan kuat. "ahhh siapa pulak datang kerumah ku pada waktu-waktu
begini" katanya di dalam hati. lantas beliau membuka pintu rumahnya.Alangkah
terkejutnya dia apabila didapati ada seorang gadis yang cantik jelita berdiri
di hadapan pintu rumahnya.
Ahli
Ibadah : "Siapa kamu dan apakah tujuan mu kemari?" tanya ahli ibadah
itu.
Gadis
: "Maafkan aku kerana mengganggu mu, sebenarnya aku adalah puteri kepada
raja negeri ini, aku telah tersesat ketika asyik mengikut ayahanda ku pergi
berburu. Di dalam keadaan gelap dan hujan semakin lebat,aku tidak punya arah
untuk dituju bolehkah aku tumpang bermalam di rumah mu ini sementara menunggu
hari siang?"
Ahli
Ibadah : "Maaf tidak boleh,di rumah ini aku hanya tinggal seorang
sahaja.Lagipun kamu perempuan dan aku adalah lelaki tidak manis jika diketahui
orang " ujarnya
Gadis
: "Tolonglah saya tuan, ke mana lagi saya hendak pergi dalam keadaan gelap
gelita dan hujan lebat ini?Tumpangkanlah saya sehingga siang hari sahaja!"
rayu wanita itu
Ahli
ibadah : "Baiklah,tapi sampai esok pagi sahaja ya. Masuklah!"
Gadis:
"Terima kasih tuan"
Setelah
dibenarkan gadis itu masuk, ahli ibadah itu menunjukkan tempat untuk gadis itu
berehat disebabkan rumah ahli ibadah itu kecil. Beliau telah menyuruh gadis itu
tidur di tempatnya manakala dia membelakangi gadis itu. Akibat terlalu letih,
gadis itu pun terlena dengan nyenyaknya.
Tiba-tiba
datanglah bisikan syaitan datang membisikkan niat jahat ke telinga ahli ibadah
itu.
Syaitan
: "Hai kawan, lauk sudah terhidang apa lagi yang kamu nak tunggu? Dalam
keadaan hujan yang lebat dan cuaca yang sejuk begini alangkah baiknya kalau ada
tempat untuk memanaskan badan" bisik syaitan
Ahli
Ibadah : "Astaghfirullahal'azim.... Allah SWT telah menegah ku dari
melakukan zina dan pasti aku akan mematuhinya " Tegas ahli ibadah itu di
dalam hatinya
Syaitan
: "Apalah kau ini, bodoh. Bukannya ada sesiapa pun di sini lagipun dia
tidur sangat nyenyak sudah pasti dia tidak akan sedar apa yang kau lakukan
terhadapnya!" kata bisikan syaitan itu
Ahli
Ibadah : "Tidak, aku takut akan Allah SWT"
Syaitan
: "Alahhhh... ianya bukan ambik masa yang lama pun. Setelah engkau puas
menjamah tubuhnya engkau kembalilah ke tempat ibadat mu " bisik syaitan
lagi
Ahli
Ibadah: "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari
kelingkingnya. Beliau sedaya upaya menahan bakaran api tu pada jarinya, setelah
tidak tahan menahan panas beliau berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api
di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka
yang jauh lebih panas membakar dari api di dunia ini?"
Syaitan
: " Dia cantik, muka dia ayu, kulitnya gebu masakan engkau tidak teringin
untuk memegangnya?"
Ahli
Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari manisnya. Beliau
cuba sedaya upaya untuk menahannya. setelah jarinya itu terbakar beliau angkat
dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia,api di dunia ini pun kamu sudah
tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas
membakar dari ini?"
Syaitan
: "Jika waktu ini engkau tidak ambik peluang bila lagi? aku tahu engkau
pun suka juga kan?"
Ahli
Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari hantunya
pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya selama yang mungkin setelah
jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai
manusia,api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi
api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"
Syaitan
: "engkau ini memang menolak tuah, lauk sudah terhidang di depan mata
engkau menolak, alangkah ruginya diri kerana peluang sebegini sudah pasti tidak
akan kau temui lagi"
Ahli
Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!! aku tidak mahu" lantas beliau membakar
jari telunjuknya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya. setelah
jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai
manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu
hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"
Syaitan
: "Engkau ini asyik beribadah tidak pernah memperdulikan nafsu mu, apalah
salahnya jika kau ambik peluang ini untuk menganugerahkan diri mu dengan
menjamah tubuh wanita itu? Kalau aku sudah pasti aku tidak melepaskan peluang
keemasan yang sebegini" hasut syaitan lagi
Ahli
Ibadah : “Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar ibu jari tangannya
pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya.setelah jarinya itu terbakar
beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini
pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih
panas membakar dari ini?"
Ahli
ibadah itu menangis dan berdoa "Wahai Allah, peliharalah diriku dari
hasutan syaitan dan runtunan nafsu ku. Aku berlindung kepada mu dari zina dan
kemungkaran. Bantulah aku seperti mana engkau membantu Nabi Yusuf ketika
baginda di rayu oleh zulaikha "
Setelah
itu, beliau pun tertidur dan terjaga setelah sekali lagi terdengar pintu
rumahnya diketuk. Beliau pun lantas membuka pintu dan mendapati hari sudah
siang dan rumahnya telah di kelilingi dengan pengawal.
Pengawal
:"Kami sedang mencari seorang puteri raja yang telah hilang semalam adakah
kamu ada melihat sesiapa sejak semalam?"
Ahli
Ibadah : "Ya, ada! Aku tumpangkannya bermalam di rumah ku"
Pengawal
: "Owh jika begitu engkau telah menculiknya ya??"
Ahli
Ibadah : "Demi Allah, aku tidak menculik semalam semasa keadaan gelap
gelita dan hujan lebat dia datang ke rumah ku untuk tumpang berteduh"
Tiba-tiba
tuan puteri telah bangun dari tidurnya dan berlari ke arah pengawal
Gadis
: "pengawal... Jangan apa-apakan dia kalau tak kerana dia sudah tentu aku
akan semakin tersesat di dalam kegelapan atau mungkin aku sudah dimakan
binatang buas!"
Pengawal
: "Baginda raja telah menitahkan kami untuk membawa tuan puteri pulang ke
istana"
Setelah
mengucapkan berbanyak terima kasih tuan puteri pun beredar dan pulang ke
istana.Tidak beberapa hari kemudian ahli ibadah itu telah di datangi oleh
rombongan di raja. Kali ini tuan puteri datang bersama ayahandanya.
Raja
: "Apakah benar kamu yang menjaga puteri beta ketika anakanda beta itu
tersesat di dalam hutan ini?"
Ahli
Ibadah : "Maafkan patik tuanku, patik hanya menumpangnya sahaja tapi patik
tidak berbuat apa-apa kepadanya"
Raja
: "Wahai pemuda,janganlah kamu khuatir puteri beta telah menceritakan
segala-galanya kepada beta engkau adalah manusia yang jujur dan taat kepada
Allah sememangnya orang seperti kamulah yang beta cari selama ini untuk menjadi
pasangan kepada putri beta. Adakah kamu bersetuju dengan tawaran beta ini?
Ahli
Ibadah : "Patik bersetuju tuanku"
Raja
:"Bendahara dan sekelian yang ada! beta akan kahwinkan puteri beta dengan
pemuda yang soleh ini jadi persiapakanlah segala kelengkapan untuk hari bahagia
anakanda beta ini"
Apa
akan jadi sekiranya ahli ibadah itu mengikut pujukan syaitan itu?sudah pasti
ahli ibadah itu akan ditangkap atau dibunuh.Tepuk dada tanyalah iman. Rasulullah
SAW bersabda: “ Tangisan dikirim untuk ahli neraka, maka menangislah mereka
sehingga air matanya kering, kemudian mereka menangis dengan air mata darah
sehingga di wajah-wajah mereka nampak ada parit-parit. Seandainya di
parit-parit itu diletakkan kapal, pasti kapal tersebut akan dapat belayar. (HR
Ibnu Majah). Nauzubillahiminzalik, tak tercapai akal fikiran kita yang sempit
ini membayangkan semuanya. Tiada yang mampu menanggung sakit perit ini walau
hanya dalam bayangan. Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah untuk
menjadikan segala sesuatu sekelip mata. Renungkanlah sedetik melangkaui alam
ini, tentang azab neraka yang sejelasnya ada, tentang nikmat syurga yang jua
wujud dan nyata. Cuba tempatkanlah diri kita yang masih bernyawa ini menghadapi
detik-detik ini sekejap cuma. Dan sedarkan minda yang masih berfungsi ini untuk
segera melakukan perubahan andai dirasa diri sudah jauh tersesat jalan. Kerana
ini waktu kita untuk berubah, sebelum jasad di kandung tanah. Kesempatan ini
tidak lama, bila-bila masa waktu kita akan tiba. Saat di rasakan hidayah Allah
menyapa, sambutlah segera. Kerana kita yang melengah-lengahkan kebaikan
selamanya tidak akan mempunyai masa.
No comments:
Post a Comment